"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

06 July 2013

Bersedia Ke Lokasi?

Persediaan Sebelum Ke Lokasi

Berjumpa lagi di ruangan maya sotonglaut. Pada post kali ini, Abe Din akan berkongsi tentang persediaan yang perlu dilakukan sebelum menyertai sesuatu trip mencandat sotong. Persediaan rapi perlu dijalankan kerana kekurangan peralatan boleh membantutkan usaha menjerat sotong. Pancing perlu disediakan paling kurang dua batang dengan beberapa kekili tambahan bagi kegunaan semasa kecemasan. Candat perlu mencukupi kerana kawasan pulau memang terkenal dengan kawasan batuan yang kerap memutuskan tali pancing.

Candat-candat Pilihan Ke Lokasi

Candat perlu disusun dengan kemas agar mudah diambil. Pencandat sotong perlu menukar candat mengikut kejernihan air laut dan keadaan cuaca ketika itu. Susunan kemas dan teratur dapat memudahkan pencandat ketika di lokasi. Kotak candat perlu diikat dengan kemas agar tidak terbuka. Jika candat terjatuh ke dalam laut atau di celah-celah batu... ia tentu menyusahkan.

 Rapala Untuk Menduga Ikan 

Gewang ikan juga boleh di bawa sebagai senjata tambahan. Perlu diingat, antara faktor sotong tidak mahu memegang candat ialah kerana kehadiran ikan di lokasi. Pencandat yang pandai menggunakan peluang tentunya akan menukar candat kepada gewang ikan sebaik sahaja terlihat kelibat ikan di lokasi. Kecekapan dan kepantasan pencandat dapat membuahkan  hasil tambahan bagi sesuatu trip. Pencandat boleh menukar semula gewang kepada candat sebaik sahaja sotong kembali ke kawasan berkenaan.

 Candat-candat Untuk Ujian

Pencandat juga boleh membawa candat-candat lama untuk diuji di lokasi. Ada sesetengah candat lama masih lagi berkesan menjerat spesies lembut ini. Jika ada rezeki tidak ke mana.

Siap Sedia Menggempur

Pastikan juga kekili anda diservis terlebih dahulu. Periksa keadaan cincin joran. Pastikan semuanya berada di dalam keadaan yang terbaik. Bawa tali dan kekili simpanan untuk digunakan ketika perlu. Lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

 Kawasan Pantai Berbatu yang Tenang

Persediaan seterusnya adalah ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah keupayaan anda untuk menjangka kehadiran sotong di sesuatu lokasi dengan melihat keadaan persekitaran anda. Pengalaman ini akan anda berolehi setelah kerap melakukan trip mencandat di lokasi-lokasi yang berbeza.

Sekian dahulu. Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

03 July 2013

Ketupat Dan Sumbat

Selamat datang kepada semua pengunjung. Pada post kali ini, Abe Din ingin berkongsi pengalaman kecil ketika singgah makan semasa trip mencandat baru-baru ini. Abe Din bersama beberapa rakan sempat singgah di sebuah gerai di Cherating. Nampak gerai macam popular... ramai gak orang. Kami singgah untuk makan tengahari sebelum menaiki bot untuk mencandat sotong mabang.

Lauk kat gerai ni memang banyak... macam-macam ada. Dalam banyak-banyak lauk tu.. Abe Din hanya tertarik kepada dua jenis lauk sahaja iaitu ketupat sotong dan sotong sumbat. Nampak macam sama.... tapi ada sedikit perbezaan di antara keduanya.

 Inilah Makanan yang Berjaya Meracun Selera Abe Din

Sotong yang warnanya agak cerah dikenali sebagai ketupat sotong. Pulut disumbat ke dalam spesies sotong ketupat dan dimasak bersama kuah istimewa. Bagi mengelakkan pulut keluar ketika dimasak... lidi kelapa digunakan bagi menutup bukaan dengan menyucuk bukaan bersama-sama kepala sotong.

Ketupat sotong ni memang sedap.... sampai lupa nak makan nasi. Pulut yang digunakan cukup lembut dan lemak, manakala kuahnya sungguh sedap sehingga menjilat jari. Macam  tak cukup satu... tapi nak tambah malu le pulak... orang ramai.


 Rupa Hampir Sama...Tapi, Rasa Berbeza

Masakan kedua... Abe Din lebih suka namakan sebagai sotong sumbat. Walaupun nampak macam ketupat sotong... isi dalamnya tiada pulut. Bahagian dalam diletak ubi kentang yang dipotong dadu. Ditutup bukaan dengan lidi kelapa dan digoreng dengan cili.... ala macam sambal biasa je.

Rasa dia kureng sikit sebab kentang kat dalam tu tidak begitu masak dan masih keras... sepatutnya die rebus dulu kentang tu.. baru best. Sambal pulak manis.... Abe Din ni kalau sambal manis... selera terus turun. Dulu dok kat Negeri Sembilan... masakan dia memang ganas. Berasap telinga. Abe Din rase kalau wat masak lemak cili padi mesti best. Nanti ambe nak cuba buat.

Masakan sotong kedua ni bagi Abe Din agak kurang menyengat sikit. (Sedap-sedap je komplen masakan orang.. hehe).... tapi dua-dua masakan ni Abe Din bedal habis licin. Mungkin bukan sebab masakan sangat.... mungkin sebab medium utamanya, sotong. Abe Din memang suka sotong.

Walaupun begitu... kedua-dua spesies masakan ini telah berjaya menarik minat Abe Din untuk cuba, try, dan test hinggakan terlupa lauk kegemaran yang lain. Kena pulak dengan milo ais... fuhh... tengahari lagi. Satu masa nanti... Abe Din post cara nak masak dua jenis masakan ni. Bulan puasa ni kot....

Hingga Berjumpa lagi. Selamat berpuasa.
Abe Din
Read more >>

29 June 2013

Trip Pulau Ular S3

Selamat datang kepada semua pengunjung dan pelawat. Terima kasih juga kepada semua follower yang sudi bersahabat dengan blog sotonglaut. Semoga anda semua berada di dalam rahmat-Nya. Pada post kali ini, Abe Din ingin berkongsi pengalaman mencandat sotong Siri 3 yang diadakan di Pulau Ular, Cherating.

Trip kali ini mungkin merupakan trip pulau terakhir sebelum ketibaan bulan ramadhan. Selepas ni.. mungkin joran sotonglaut akan berhenti rehat buat sementara waktu. Jika pun ada, kemungkinan trip jangka pendek di kawasan berhampiran sahaja.

Trip Siri 3 dirancang secara ringkas disertai oleh 5 orang pencandat termasuk Abe Din. Dengan bantuan tekong Nuar.. boleh dikatakan trip kali ini sangat berjaya kerana rekod tangkapan sotong mabang meningkat melebihi angka 50 ekor.. jumlah tidak rasmi ini melepasi rekod sebelum ini iaitu 40 ekor.

 Kumpulan Trip Siri 3
 
 Antara Hasil Trip Siri 3

Pada trip kali ini beberapa lokasi penting dan berpotensi di kawasan pular ular telah dikenalpasti. Abe Din akan cuba mengulas tentang lokasi dan potensi berkenaan pada post akan datang. Bagi Abe Din, jika masa dan lokasi yang dipilih bersesuaian, pemancing dan pencandat tidak akan pulang dengan tangan kosong. 

Antara Gambar yang Berjaya Dirakam di lokasi.
Semua Orang Terlalu Sibuk Melayan Tarikan Sotong.... 
Hinggakan Tiada yang Mahu Menjadi Jurugambar.

Berdasarkan 3 trip yang dijalankan sebelum ini, Abe Din dapat membuat kesimpulan bahawa pulau ini menyimpan khazanah pancingan sotong yang sangat bernilai. Setiap kali trip dijalankan, Abe Din akan cuba belajar dan mengenali potensi pulau ini. Hasil yang diperolehi juga semakin meningkat daripada trip sebelumnya. 

Pulau Ini Juga Kaya Dengan Ikan-ikan Gred A


 Kerapu Karang yang Cantik... 
Rakus Sekali Menyambar Candat Sotong Mabang.

Masih banyak yang perlu dipelajari dari pulau ini. Potensinya sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan memang tidak boleh dinafikan.  Pelancong dalam dan luar negara memang kerap datang ke pulau ini. Memandangkan potensinya yang mampu berkembang baik, perlu ada satu pengurusan yang sistematik bagi memelihara khazanah di pulau ini.

Sebelum pulang, tekong bot sempat membawa kami mengelilingi kawasan pulau. Dari laut, rupa mukabumi pulau dapat diperhati dengan lebih jelas. Masih banyak kawasan berpotensi yang masih boleh dicuba pada trip akan datang.

Tekong Bot yang Banyak Membantu.

Pada post sebelum ini, Abe Din pernah bercerita tentang pulau ular dan memaparkan sekali maklumat tentang tekong. Anda yang berminat ke sini, boleh merujuk post Abe Din sebelum ini. Post berkenaan ditulis ketika Abe Din berkursus di sebuah resort berhampiran Kampung Pulau Ular.

Pandangan Pulau Dari Belakang

Pandangan Pulau Dari Bahagian Tengah

Selepas mengelilingi pulau, peserta trip terus bergerak pulang ke tanah besar. Hari semakin panas...  tak sabar nak pulang ke rumah. Perjalanan ke Kemaman masih jauh.

 Bersiap Untuk Pulang

Pandangan Sebuah Resort ... Dari Kuala Kampung Pulau Ular

Sampai di daratan... ada peserta yang mengambil peluang untuk mandi air tawar di surau berhampiran. Sempat juga berjamu selera di gerai bersebelahan resort. Semua peserta trip bertolak pulang lebih kurang pukul 2 petang. Jika panjang umur, kami akan datang lagi...
Setakat ini dulu maklumat berkaitan trip Pulau Ular S3. Badan masih letih.... perlu banyak rehat. Esok nak kerja. Hingga berjumpa lagi. Sekian.
Abe Din.
Read more >>

27 June 2013

Panggilan Trip 3-2013

PANGGILAN TRIP SUNGAI ULAR
SIRI 3 / 2013


Diminta peserta-peseta Trip Siri 3

Mengesahkan penyertaan anda bagi memudahkan

pihak kami menguruskan trip. 

Bayaran Trip RM50 seorang (sewa bot dan makan). 
6 peserta setiap kumpulan.
Tarikh dan masa bertolak: Jumaat (3.30 Petang)

Hubungi Abe Din untuk pertanyaan..
Terima Kasih.
Read more >>

Trip Pulau Ular Siri 2

TRIP PULAU ULAR SIRI 2

Selamat datang kepada semua pengunjung dan pelawat blog sotonglaut. Minggu lepas satu lagi trip ke Pulau Ular telah dijalankan dengan jayanya. Abe Din mendapat panggilan telefon dari seorang guru untuk menjadi fasilitator satu program kelab guru sekolah berkenaan. Selepas perbincangan dan perancangan rapi diatur, trip berkenaan berjaya juga diadakan dengan penyertaan seramai 17 orang peserta.

Dari maklumat yang diperolehi, kebanyakkan peserta tidak pernah tiba di Pulau Ular dan ramai juga yang tiada pengalaman memancing dan mencandat sotong mabang. Kesemuanya  bersemangat untuk mencuba pengalaman baru ini. Peserta trip berkumpul di perkampungan Sungai Ular selepas solat jumaat dan bertolak ke pulau lebih kurang pukul 3.30 petang dengan menaiki dua buat bot. Tekong bot memberikan kerjasama dan bantuan yang cukup baik sepanjang proses menghantar peserta ke pulau.

Peserta Trip Siri 2

Menguruskan peserta yang agak ramai memang mencabar. Perancangan rapi termasuk meramalkan air pasang surut dan masa yang sesuai untuk mencandat perlu dibuat lebih awal agar trip yang disertai tidak mengecewakan. 


Peserta Bersiap Menuju Pulau Ular

Setelah tiba di Pulau Ular, peserta mendirikan khemah terlebih dahulu sebagai persediaan jika berlakunya hujan secara tiba-tiba. Cuaca ketika itu agak berjerebu, tetapi bacaan IPU masih tidak membahayakan. Beberapa orang peserta ditugaskan untuk memasak, sebahagian lagi terus bergerak ke kawasan karang menggunakan bot untuk memancing ikan kerapu. Ada juga yang mengambil kesempatan mandi-manda sebelum hari gelap. Sementara menunggu pasukan pertama pulang memancing, pasukan yang masih berada di pulau sibuk menyiapkan peralatan masing-masing.


Peserta Tiba di Pulau Ular

Pada sebelah malam, air surut pada tahap paling rendah hingga menampakkan batu-batu karang yang cantik. Peserta dinasihatkan agar berehat kerana keadaan tidak sesuai untuk memancing. Ikan dan sotong pada ketika ini kebiasaannya tidak aktif dan bergerak jauh ke laut. Peserta berehat di hamparan batu sambil berbual-bual kosong sementara menunggu mata mengantuk. Air laut dijangka akan pasang semula pada pukul 4 pagi. 

Ketika air pasang sekitar pukul 6 pagi, sotong mabang sudah mula galak memegang umpan candat. Beberapa ekor sotong bersaiz besar berjaya dinaikkan peserta. Selepas sarapan, sebahagian peserta bergerak ke bahagian belakang pulau dan menyusur tebing batu untuk mencandat sotong mabang. Pada waktu ini sotong cukup galak memegang candat. Banyak sotong berjaya dicandat sehingga melewati pukul 9 pagi.


Aktiviti Mandi Manda di Pulau

Ada peserta yang mengambil kesempatan untuk manda manda sambil melihat keindahan batu karang di dasar laut. Lebih kurang pukul 10 pagi, peserta mula mengemas khemah dan peralatan, memandangkan kawasan pulau sudah mula didatangi beberapa kumpulan pelancong dari dalam dan luar negera. Suasana pulau semakin meriah dengan kehadiran pelancong-pelancong. Peserta trip yang sudah siap berkemas, mula menyusun dan membahagikan hasil tangkapan. Sotong dicuci terlebih dahulu dan disusun di atas plastik. Peserta dan pelancong asing yang begitu teruja datang melihat hasil tangkapan sambil bergambar.

Berkumpul Melihat Hasil Pancingan di Pulau Ular

Sotong Mabang yang Berjaya di Candat di Pulau Ular

Sotong yang berjaya dicandat sepanjang trip berjumlah 40 ekor. Saiz memang boleh tahan. Ramai juga peserta yang berjaya mencandat sotong mabang buat kali pertama. Kesungguhan mereka bertanya dan belajar banyak membantu mereka sepanjang aktivti mencandat dijalankan. Semoga trip ini menjadi memori indah bagi mereka semua.


Bergambar Bersama Hasil Tangkapan

Bergambar Sebelum Pulang Ke Tanah Besar

Bot tiba lebih kurang pukul 10 dan kesemua peserta meninggalkan pulau lebih kurang jam 11 pagi. Ada juga peserta yang berhajat untuk datang semula mencandat dan memancing pada masa akan datang. Abe Din berpisah dengan kumpulan trip sebaik sahaja selesai minum di sebuah gerai yang terletak di tanah besar. Trip sebegini memang meletihkan. Tak sabar nak berehat di rumah. 

Di kesempatan ini, Abe Din mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua peserta kerana berjaya melalui trip ini dengan jayanya. Semoga ilmu yang diperolehi dapat digunakan pada masa yang mendatang. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

20 June 2013

Menawan Pulau Ular

Selamat datang kepada semua pengunjung. Pada kali ini ambe akan cuba memberi satu gambaran tentang fotografi  di Pulau Ular. Grafik pulau diambil menggunakan GoogleEarth. Gambaran awal ini mungkin diperlukan individu atau kumpulan yang bercadang untuk datang ke sini.

Semua gambaran lokasi dan kedudukan adalah berdasarkan pengalaman Abe Din sewaktu pertama kali berkunjung ke sini. Adalah diharapkan paparan ini sedikit sebanyak membantu anda untuk memahami rupa bentuk mukabumi dan lokasi untuk beraktiviti di sini.

 
 

Semua yang dipaparkan di dalam grafik di atas adalah sebagai satu cadangan sahaja dan tidak semestinya sesuai pada keadaan dan masa tertentu. Semoga ia bermanfaat. Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

15 June 2013

Trip Pemanas Badan

Salam untuk semua. Satu trip yang tidak dirancang telah diadakan di Kijal, Kemaman pada 14 Jun (Jumaat). Sebanyak 9 ekor sotong mabang berjaya dinaikkan. Salah seekor daripadanya bersaiz bapak dan cukup kuat melawan.

Keadaan arus sedikit bergelora. Air laut pada ketika itu jernih..... dan keruh ketika air pasang. Candat Yamashita berwarna kuning cukup berkesan ketika air sedikit keruh. Air laut pada ketika itu adalah panas dan sejuk ketika akhir trip. Untuk pengetahuan semua, jika air laut terasa sejuk... ia memberi gambaran bahawa spesies lembut ini tidak begitu aktif mengejar umpan candat..


 Saiz terbesar dan terkecil


Spesies bermata hijau yang cantik

 Sotong baru yang masih mengekalkan coraknya

Trip ini bolehlah dikatakan sebagai trip pemanas badan sebelum bertolak ke Pulau Ular pada minggu hadapan. Kepada semua peserta trip diharap bersedia. Pada post-post berikutnya... ambe akan ulas berkaitan trip Pulau Ular Siri 2 pula. Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing