"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

29 June 2013

Trip Pulau Ular S3

Selamat datang kepada semua pengunjung dan pelawat. Terima kasih juga kepada semua follower yang sudi bersahabat dengan blog sotonglaut. Semoga anda semua berada di dalam rahmat-Nya. Pada post kali ini, Abe Din ingin berkongsi pengalaman mencandat sotong Siri 3 yang diadakan di Pulau Ular, Cherating.

Trip kali ini mungkin merupakan trip pulau terakhir sebelum ketibaan bulan ramadhan. Selepas ni.. mungkin joran sotonglaut akan berhenti rehat buat sementara waktu. Jika pun ada, kemungkinan trip jangka pendek di kawasan berhampiran sahaja.

Trip Siri 3 dirancang secara ringkas disertai oleh 5 orang pencandat termasuk Abe Din. Dengan bantuan tekong Nuar.. boleh dikatakan trip kali ini sangat berjaya kerana rekod tangkapan sotong mabang meningkat melebihi angka 50 ekor.. jumlah tidak rasmi ini melepasi rekod sebelum ini iaitu 40 ekor.

 Kumpulan Trip Siri 3
 
 Antara Hasil Trip Siri 3

Pada trip kali ini beberapa lokasi penting dan berpotensi di kawasan pular ular telah dikenalpasti. Abe Din akan cuba mengulas tentang lokasi dan potensi berkenaan pada post akan datang. Bagi Abe Din, jika masa dan lokasi yang dipilih bersesuaian, pemancing dan pencandat tidak akan pulang dengan tangan kosong. 

Antara Gambar yang Berjaya Dirakam di lokasi.
Semua Orang Terlalu Sibuk Melayan Tarikan Sotong.... 
Hinggakan Tiada yang Mahu Menjadi Jurugambar.

Berdasarkan 3 trip yang dijalankan sebelum ini, Abe Din dapat membuat kesimpulan bahawa pulau ini menyimpan khazanah pancingan sotong yang sangat bernilai. Setiap kali trip dijalankan, Abe Din akan cuba belajar dan mengenali potensi pulau ini. Hasil yang diperolehi juga semakin meningkat daripada trip sebelumnya. 

Pulau Ini Juga Kaya Dengan Ikan-ikan Gred A


 Kerapu Karang yang Cantik... 
Rakus Sekali Menyambar Candat Sotong Mabang.

Masih banyak yang perlu dipelajari dari pulau ini. Potensinya sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan memang tidak boleh dinafikan.  Pelancong dalam dan luar negara memang kerap datang ke pulau ini. Memandangkan potensinya yang mampu berkembang baik, perlu ada satu pengurusan yang sistematik bagi memelihara khazanah di pulau ini.

Sebelum pulang, tekong bot sempat membawa kami mengelilingi kawasan pulau. Dari laut, rupa mukabumi pulau dapat diperhati dengan lebih jelas. Masih banyak kawasan berpotensi yang masih boleh dicuba pada trip akan datang.

Tekong Bot yang Banyak Membantu.

Pada post sebelum ini, Abe Din pernah bercerita tentang pulau ular dan memaparkan sekali maklumat tentang tekong. Anda yang berminat ke sini, boleh merujuk post Abe Din sebelum ini. Post berkenaan ditulis ketika Abe Din berkursus di sebuah resort berhampiran Kampung Pulau Ular.

Pandangan Pulau Dari Belakang

Pandangan Pulau Dari Bahagian Tengah

Selepas mengelilingi pulau, peserta trip terus bergerak pulang ke tanah besar. Hari semakin panas...  tak sabar nak pulang ke rumah. Perjalanan ke Kemaman masih jauh.

 Bersiap Untuk Pulang

Pandangan Sebuah Resort ... Dari Kuala Kampung Pulau Ular

Sampai di daratan... ada peserta yang mengambil peluang untuk mandi air tawar di surau berhampiran. Sempat juga berjamu selera di gerai bersebelahan resort. Semua peserta trip bertolak pulang lebih kurang pukul 2 petang. Jika panjang umur, kami akan datang lagi...
Setakat ini dulu maklumat berkaitan trip Pulau Ular S3. Badan masih letih.... perlu banyak rehat. Esok nak kerja. Hingga berjumpa lagi. Sekian.
Abe Din.
Read more >>

27 June 2013

Panggilan Trip 3-2013

PANGGILAN TRIP SUNGAI ULAR
SIRI 3 / 2013


Diminta peserta-peseta Trip Siri 3

Mengesahkan penyertaan anda bagi memudahkan

pihak kami menguruskan trip. 

Bayaran Trip RM50 seorang (sewa bot dan makan). 
6 peserta setiap kumpulan.
Tarikh dan masa bertolak: Jumaat (3.30 Petang)

Hubungi Abe Din untuk pertanyaan..
Terima Kasih.
Read more >>

Trip Pulau Ular Siri 2

TRIP PULAU ULAR SIRI 2

Selamat datang kepada semua pengunjung dan pelawat blog sotonglaut. Minggu lepas satu lagi trip ke Pulau Ular telah dijalankan dengan jayanya. Abe Din mendapat panggilan telefon dari seorang guru untuk menjadi fasilitator satu program kelab guru sekolah berkenaan. Selepas perbincangan dan perancangan rapi diatur, trip berkenaan berjaya juga diadakan dengan penyertaan seramai 17 orang peserta.

Dari maklumat yang diperolehi, kebanyakkan peserta tidak pernah tiba di Pulau Ular dan ramai juga yang tiada pengalaman memancing dan mencandat sotong mabang. Kesemuanya  bersemangat untuk mencuba pengalaman baru ini. Peserta trip berkumpul di perkampungan Sungai Ular selepas solat jumaat dan bertolak ke pulau lebih kurang pukul 3.30 petang dengan menaiki dua buat bot. Tekong bot memberikan kerjasama dan bantuan yang cukup baik sepanjang proses menghantar peserta ke pulau.

Peserta Trip Siri 2

Menguruskan peserta yang agak ramai memang mencabar. Perancangan rapi termasuk meramalkan air pasang surut dan masa yang sesuai untuk mencandat perlu dibuat lebih awal agar trip yang disertai tidak mengecewakan. 


Peserta Bersiap Menuju Pulau Ular

Setelah tiba di Pulau Ular, peserta mendirikan khemah terlebih dahulu sebagai persediaan jika berlakunya hujan secara tiba-tiba. Cuaca ketika itu agak berjerebu, tetapi bacaan IPU masih tidak membahayakan. Beberapa orang peserta ditugaskan untuk memasak, sebahagian lagi terus bergerak ke kawasan karang menggunakan bot untuk memancing ikan kerapu. Ada juga yang mengambil kesempatan mandi-manda sebelum hari gelap. Sementara menunggu pasukan pertama pulang memancing, pasukan yang masih berada di pulau sibuk menyiapkan peralatan masing-masing.


Peserta Tiba di Pulau Ular

Pada sebelah malam, air surut pada tahap paling rendah hingga menampakkan batu-batu karang yang cantik. Peserta dinasihatkan agar berehat kerana keadaan tidak sesuai untuk memancing. Ikan dan sotong pada ketika ini kebiasaannya tidak aktif dan bergerak jauh ke laut. Peserta berehat di hamparan batu sambil berbual-bual kosong sementara menunggu mata mengantuk. Air laut dijangka akan pasang semula pada pukul 4 pagi. 

Ketika air pasang sekitar pukul 6 pagi, sotong mabang sudah mula galak memegang umpan candat. Beberapa ekor sotong bersaiz besar berjaya dinaikkan peserta. Selepas sarapan, sebahagian peserta bergerak ke bahagian belakang pulau dan menyusur tebing batu untuk mencandat sotong mabang. Pada waktu ini sotong cukup galak memegang candat. Banyak sotong berjaya dicandat sehingga melewati pukul 9 pagi.


Aktiviti Mandi Manda di Pulau

Ada peserta yang mengambil kesempatan untuk manda manda sambil melihat keindahan batu karang di dasar laut. Lebih kurang pukul 10 pagi, peserta mula mengemas khemah dan peralatan, memandangkan kawasan pulau sudah mula didatangi beberapa kumpulan pelancong dari dalam dan luar negera. Suasana pulau semakin meriah dengan kehadiran pelancong-pelancong. Peserta trip yang sudah siap berkemas, mula menyusun dan membahagikan hasil tangkapan. Sotong dicuci terlebih dahulu dan disusun di atas plastik. Peserta dan pelancong asing yang begitu teruja datang melihat hasil tangkapan sambil bergambar.

Berkumpul Melihat Hasil Pancingan di Pulau Ular

Sotong Mabang yang Berjaya di Candat di Pulau Ular

Sotong yang berjaya dicandat sepanjang trip berjumlah 40 ekor. Saiz memang boleh tahan. Ramai juga peserta yang berjaya mencandat sotong mabang buat kali pertama. Kesungguhan mereka bertanya dan belajar banyak membantu mereka sepanjang aktivti mencandat dijalankan. Semoga trip ini menjadi memori indah bagi mereka semua.


Bergambar Bersama Hasil Tangkapan

Bergambar Sebelum Pulang Ke Tanah Besar

Bot tiba lebih kurang pukul 10 dan kesemua peserta meninggalkan pulau lebih kurang jam 11 pagi. Ada juga peserta yang berhajat untuk datang semula mencandat dan memancing pada masa akan datang. Abe Din berpisah dengan kumpulan trip sebaik sahaja selesai minum di sebuah gerai yang terletak di tanah besar. Trip sebegini memang meletihkan. Tak sabar nak berehat di rumah. 

Di kesempatan ini, Abe Din mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua peserta kerana berjaya melalui trip ini dengan jayanya. Semoga ilmu yang diperolehi dapat digunakan pada masa yang mendatang. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

20 June 2013

Menawan Pulau Ular

Selamat datang kepada semua pengunjung. Pada kali ini ambe akan cuba memberi satu gambaran tentang fotografi  di Pulau Ular. Grafik pulau diambil menggunakan GoogleEarth. Gambaran awal ini mungkin diperlukan individu atau kumpulan yang bercadang untuk datang ke sini.

Semua gambaran lokasi dan kedudukan adalah berdasarkan pengalaman Abe Din sewaktu pertama kali berkunjung ke sini. Adalah diharapkan paparan ini sedikit sebanyak membantu anda untuk memahami rupa bentuk mukabumi dan lokasi untuk beraktiviti di sini.

 
 

Semua yang dipaparkan di dalam grafik di atas adalah sebagai satu cadangan sahaja dan tidak semestinya sesuai pada keadaan dan masa tertentu. Semoga ia bermanfaat. Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

15 June 2013

Trip Pemanas Badan

Salam untuk semua. Satu trip yang tidak dirancang telah diadakan di Kijal, Kemaman pada 14 Jun (Jumaat). Sebanyak 9 ekor sotong mabang berjaya dinaikkan. Salah seekor daripadanya bersaiz bapak dan cukup kuat melawan.

Keadaan arus sedikit bergelora. Air laut pada ketika itu jernih..... dan keruh ketika air pasang. Candat Yamashita berwarna kuning cukup berkesan ketika air sedikit keruh. Air laut pada ketika itu adalah panas dan sejuk ketika akhir trip. Untuk pengetahuan semua, jika air laut terasa sejuk... ia memberi gambaran bahawa spesies lembut ini tidak begitu aktif mengejar umpan candat..


 Saiz terbesar dan terkecil


Spesies bermata hijau yang cantik

 Sotong baru yang masih mengekalkan coraknya

Trip ini bolehlah dikatakan sebagai trip pemanas badan sebelum bertolak ke Pulau Ular pada minggu hadapan. Kepada semua peserta trip diharap bersedia. Pada post-post berikutnya... ambe akan ulas berkaitan trip Pulau Ular Siri 2 pula. Sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

11 June 2013

Panggilan Trip 2-2013

PANGGILAN
TRIP PULAU ULAR SIRI 2 / 2013


Diminta peserta-peseta Trip Siri 2
Mengesahkan penyertaan anda bagi memudahkan
pihak kami menguruskan trip. 

Bayaran Trip RM50 seorang (sewa bot dan makan). 
6 peserta setiap kumpulan.
Tarikh dan masa bertolak akan diberitahu kemudian.

Hubungi Abe Din untuk pertanyaan..
Terima Kasih.
Read more >>

07 June 2013

Rendang VS Masak Lemak

Salam sayang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Pada post kali ini... ambe akan berkongsi resipi cara-cara untuk memasak rendang sotong mabang dan masak lemak cili padi ketam renjong. Sotong mabang yang ambe gunakan adalah sotong yang ambe candat sendiri manakala ketam renjong pula diberikan seorang nelayan kampung semasa trip ke Pulau Ular baru-baru ini.

 Rendang & masak lemak yang telah sedia untuk dihidangkan


Sotong dan ketam yang sudah dibersihkan

First sekali, korang kena bersihkan dahulu bahan-bahan utama resipi ni iaitu sotong dan ketam. Cara membersihkan sotong telah diterangkan dalam post ambe yang lepas. Bagi membersihkan ketam pula... korang perlu menanggalkan cengkerang atas ketam. Caranya, gunakan pisau dan cungkil bahagian bawah cengkerang ketam. Bersihkan dan kerat ketam kepada dua bahagian.

Lepas semua bahan mentah dibersihkan... korang toskan air ketam dan sotong menggunakan penapis. Korang sediakan bahan-bahan macam kat bawah tu... lupa pulak... aku ajar cara nak buat rendang dulu yer..

Kupas ubi kentang, bawang ditumbuk dan dihiris, serai dihiris halus, cili kering digiling, daun kunyit dicarik-carik, kayu manis dan macam-macam benda lagi... aahhh, korang tengok sendiri kat bawah tu. Satu lagi bahan penting yang aku lupa nak upload gambar die... ialah kerisik. Siapa tak tau?... korang boleh beli kat kedai. Selepas semua dah sedia macam gambar kat bawah tu... maka korang mulalah panaskan kuali.. jangan lupa taruk minyak masak. Jeng... jeng...jeng.

Antara bahan yang diperlukan untuk membuat rendang sotong

Selepas minyak panas... camana nak tau?... celup je jari korang. kihkih... acah je.. jangan buat sungguh. Aku gurau je... renjis sedikit air. Kalau bunyi cam garang je.. tu tanda minyak dah panas. Satu cara lagi tengok minyak tiada gelembung udara dan sedikit berasap. Ok boleh gi step berikutnya.

Tumis kayu manis, cengkih, bawang kisar, serai, cili kisar. Bila dah naik bau... letakkan serbuk rendang yang sudah dicampur air. Tumis sampai pecah minyak.... bukan pecah periuk... tu nama ikan. Kalau tak tau... tanya jiran sebelah... apa itu pecah minyak?

Bila pecah minyak.. letak kerisik, asam jawa, santan. Santan mesti letak last sekali. Lepas campuran sebati dan nampak sedikit panas.. letak sotong kemudian campak daun kunyit yang dicarik-carik atau dipotong halus ke dalam kuali. 

Proses mamasak rendang sotong

Letak bawang besar dan kentang. Haaa tunggu apa lagi? kacau le... bagi rata. Semua nak suruh.. (bekeng orang ganu kata). Selepas campuran panas... perlahankan api dan kacau rendang anda sehingga kuah rendang nampak pekat dan kering. Kalau korang malas nak kacau... rendang akan hangit dan rasa pahit. Kalau kerap kacau pun tak molek jugak.... berpada-pada le kalau nak kacau rendang korang.

Ambe gunakan ubi kentang untuk pekatkan kuah rendang. Kalau korang nak pedas... tambah cili padi yang ditumbuk. Pastu... lepas rendang kering, korang boleh hidangkan di dalam bekas yang sesuai. Perasa seperti gula dan garam boleh ditambah mengikut kesesuaian. Sebelum angkat... rase dulu sikit.. jangan rasa semua pulak.. dah ok.... baru angkat.

Masakan kedua pula ialah masak lemak cili padi ketam renjong. Memula, panaskan sedikit minyak.. tumis bawang yang telah ditumbuk. Bawang boleh digiling atau dihiris atau letak seketul terus ikut tahap kerajinan korang. Pastu letak santan dan sedikit air. Jangan lupa taburkan serbuk kunyit dan letak cili padi yang ditumbuk halus. Kalau suka pedas letak banyak cili.. kalau korang tak tahan pedas letak sikit je.

Campak pula serai yang telah ditumbuk hujungnya menggunakan lesung batu. Jangan korang campak lesung batu ke dalam kuali pulak. Lepas campuran mula mendidih, korang campak ubi kentang yang telah dipotong mengikut kreativiti korang. Campak pula ketam yang telah dipotong ke dalam kuali. Tambah perasa seperti gula dan garam ikut jer suka hati korang... asalkan korang bahagia.

Proses menyediakan masak lemak ketam

Untuk makluman korang... jangan masak ketam terlalu lama. kerana ia akan menghilangkan rasa manis isi ketam. Ketam yang telah masak akan berubah warna kulitnya kepada warna merah. Jika isi ketam korang menjadi kecil dan kecut... mungkin korang masak terlalu lama. 

Berhati-hati ketika masak masakan ini... kerana ia akan meruap selepas beberapa minit anda letak santan. Ambe nasihatkan korang jangan tingalkan dapur di masa kritikal seperti ini. Nanti kuah melimpah. Jika korang terpaksa pergi ke mana-mana.... perlahankan api atau tutup terus api.. lagi baik. Kalau korang tak mampu nak lakukan dua perkara ni... takyah masak. 

Selepas masak lemak korang dah mendidih, lakukan ujian rasa. Jika ada umphh... angkat le. Tunggu apa lagi. Sambil-sambil korang masak rendang dan masak lemak ni... jangan pula korang lupa nak masak nasi. Nanti tak pasal-pasal korang makan dua hidangan tu tanpa kehadiran mahkluk nasi. Orang tak pernah buat cam tu... kalau korang buat gak.. jangan takut... takde sape nak marah.

Last sekali... korang boleh cuba resipi ni bila-bila masa je korang suka. Mereka yang tak pandai masak pun boleh cuba masak resipi ni. Bagi yang pandai dan teror memasak... jangan pulak gatal-gatal nak kutuk ambe sebab tujuan kita masak mungkin tak sama. Korang masak untuk sedap.. ambe pula masak untuk kenyang. Bagi ambe kalau perut dah lapar... "kesedapan" itu akan datang sendiri. Jumpa lagi
Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing