"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

25 December 2011

Mitos Sotong

Salam sayang untuk sume palawat dan pengunjung.
Bertemu lagi di laman maya ini. Ketika musim angin dingin, hujan turun mencurah-curah dan banjir sana-sini.. sentiasalah berwaspada terhadap sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku. Sentiasalah perhatikan anak-anak korang, barang-barang korang dan diri korang sendiri.. jangan asyik ngadap komputer je.

Pada kali ini dan beberapa post yang akan datang, aku nak citer berkenaan sotong-sotong raksasa yang terdapat di muka bumi kita ini. Korang pernah tengok lelaki kat bawah tu? Dia ni, kalau datang kat pasar malam..alamat tutup habis kedai. Anak gadis sume tak berani kuar rumah.. lebih bahaya daripada orang minyak. Watak Davy Jones kalau aku tak silap dalam filem Pirate of the Caribbean. Aku cukup minat filem ni... tapi aku tak minat dia... benci. Nape..ntah le.

Apa yang menariknya... janggut dia tu macam tantakel sotong. Ini salah satu mitos yang cuba ditonjolkan di dalam filem berkenaan. Dari pengamatan aku... penulis cerita ni cuba mengadaptasi lagenda Kreken di dalam tulisannya. Korang tau tak apa itu Kraken? Kraken dikenali sebagai sekor rasaksa yang tinggal dalam laut di wilayah Islandia dan Norwegia (kat mana..aku tak tahu le pulak). Perkataan Kraken berasal daripada bahawa Skandinavia yang bermaksud haiwan gila atau sesuatu yang aneh. Di dalam bahasa Jerman moden ia merujuk kepada sotong kurita rasaksa.

 

Binatang ini memang popular. Bukan sahaja telah di adaptasi ke dalam filem Pirate of the Caribbean sahaja tetapi di dalam filem Clash of The Titans (best juga cerita pelawok ni.. korang kena tengok). Kalau korang kaki wayang... mesti korang pernah tengok kemunculan binatang ini di dalam filem-filem yang merentasi pelbagai bahasa, budaya, dan bangsa. Jalan ceritan yang diketengahkan selalunya menggambarkan cerita dewa-dewa di zaman greek kuno.


Selalunya Kraken ni watak jahat le... yang selalu mengganggu pelaut-pelaut di zaman dahulu. Kalau ada kapal lalu maka muzik di dalam filem akan dimainkan secara menakutkan dan mendebarkan (pandai tul diorang pilih muzik). Seketika lepas itu, datang Kreken.. ntah dari mana. Dengan kebrutalannya maka ia berjaya menenggelamkan kapal berkenaan. Kalau gagal... dia akan lari dan tentunya akan kembali. Maka makin panjang dan lamalah filem berkenaan. Kalau Kreken mati, mana best...tak mencabar. Maka terus heboh sekampung, senegara dan orang jadi takut. Sapa tengok filem tu tentu fobia kejap. Nak gi ambik air kat dapur pun takut. Pakcik, makcik dan uwan yang gi tengok filem tu kat pawagam.. balik rumah je terus deman. Budak-budak toksah cerita le..



Mitos Kraken ini berkembang dan masih diperkatakan sehingga kini. Beberapa penemuan sotong besar oleh saintis masa kini juga mengembalikan nostalgia tentang Kraken. Ramai di antara kita yang menganggap kewujudan Kraken sebagai tidak lebih dari cerita dongeng yang sengaja dibuat-buat tetapi perkataan Kraken ini telah digunakan oleh Linnaeus pada tahun 1725 di dalam bukunya Systema Naturae. Linnaeus adalah orang pertama yang mengelaskan haiwan ini ke dalam golongan tertentu. Beliau mengkelaskan Kraken ke dalam kumpulan Chepalopoda dengan nama latinnya Microcosmus.


Dari pembacaan ambo... haiwan ini memang wujud. Dalam sains dia tak le namakan Kreken. Sekurang-kurangnya ada tiga kumpulan sotong raksasa yang terdapat di muka bumi ini. Sumenya adalah spesies sotong.. ada diantaranya sebesar ikan paus. Post-post aku yang berikutnya, aku akan tulis berkaitan dengan spesies-spesies ini. Aku nak habiskan tahun ni juga sebab tahun depan aku nak mula mencandat... hehheh.

Aku bimbang mitos Kreken ini akan jadi mitos juga bagi orang-orang kita. Nak gi ngaji takut, ke laut takut. Banyak kerja tak jadi... negara kita ni dah banyak sangat mitos. Mitos hok dulu-dulu pun dok setel lagi... jangan tambah pula. Jangan ada mitos larangan makan sotong dah le... rugi wooo... sotong kalau dibuat celup tepung memang sedap. Sambal...fuhh lagi sedap. Bakar... waduhh, hanya mereka yang makan je tahu. Sesapa tak makan sotong.. rugi sesangat. Jangan jeles lak ye..

Ok lah.. aku nak gi jumpa ketua Kreken jap...Oppss, ketua kampung. Besok aku sambung lak...tu pun kalau idup lagi. Moga ceria selalu...bye.
Jumpa lagi
Read more >>

17 December 2011

Teknik PELUK

Bertemu lagi di ruang lembut, sotonglaut.blogspot.
Di kesempatan ini, aku hendak bercerita tentang satu lagi teknik memancing sotong yang aku namakan sebagai teknik PELUK. Hujan-hujan macam ni... tajuk pun pelik-pelik. Korang jangan pikir bukan-bukan dah le...aku bukan nak ajar korang cara-cara nak berpeluk... aku pun tak berapa reti....aku nak share teknik candat sotong je. 

Sume teknik yang aku bagi kat blog ini akan berguna pada kaki-kaki candat sebaik sahaja musim sotong tiba tahun depan. Bagi korang yang tidak minat mancing... jangan risau, anggaplah apa yang korang baca di sini sebagai santapan minda yang santai. Mungkin korang dah ikut post-post aku sebelum ini... telah banyak kali aku bagi clue tentang teknik ini. Aku selalu sebut sebagai teknik TARIK-LEPAS-TARIK atau mudah sebut Teknik PELUK candat. Cara mencandat lebih kurang sama... cuma pencandat perlu lebih peka dan berhati-hati.

Dulu aku pernah bagitau kat sini... sotong kadang-kadang tidak begitu berminat untuk mengejar dan memegang candat. Kadang-kadang.. sotong akan mengejar, sentuh sikit dan terus lari. Tentunya perangai tak senonoh ini akan merugikan pencandat yang baik hati. 

Ada sesetengah sotong (aku tengok sendiri masa air laut jernih) langsung tak peduli candat. Buat tak tau je... masa aku baling candat lalu depan dia, buat muka selamber je... abih-abih dia berganjak sedikit dan buat muka bodo semula. Rasa macam nak turun selam, tangkap dengan tangan dan sekeh sekali. Geram jugak aku... Haa, kalau korang jumpa gang sotong perangai jahat macam ni...jangan aplikasi teknik yang aku ajar ni... sah dok berkesan.



Korang tengok gambar kat atas tu... satu je tangan kena. Kalau pencandat atau sotong itu sendiri terbersin... memang terlepas le jawabnya. Mudah citer... teknik yang aku nak kabo kat korang ini sangat sesuai digunakan jika sotong berperangai macam kat atas tu. Sotong yang suka cuit-cuit juga boleh diajar menggunakan teknik ini. Paling best jika mata jig korang jenis yang tajam giler.... kalau tak tajam, korang asah le. Nak suruh aku ajar juga ke...sekeh kang. Bukan korang... sotong tu.. kih..



Intai pula gambar kat atas nu. Cukup rakus sotong memuluk kemas jig yang dihulurkan..itulah teknik PELUK. Nak bagi jadi camni... korang kena aplikasikan proses TARIK-LEPAS-TARIK. Teknik ni aku belajar dari pengalaman...kadang-kadang 100% berkesan tetapi bukan pada semua keadaan. Jika tak berkesan jangan marah aku... korang cuba teknik lain pula. Banyak teknik yang boleh dicuba. Ini hanya satu jer..

Untuk menggunakan teknik ini, korang perlu tarik jig atau karau pancing dengan lembut dan berhati-hati. Tujuannya hanya satu iaitu untuk mengesan sebarang tarikan yang berlaku. Pencandat profesional boleh menganggar saiz sotong hanya dengan merasa salam pertama sotong ini. Kemahiran ini mudah dikuasai jika peralatan, tali, dan jig yang digunakan adalah sesuai.



Cer tengok gambar kat atas... asyiknya sotong memeluk jig hingga tinggal separuh. Kalau jadi macam ini, peluang untuk sotong melepaskan diri adalah tersangat-sangat tipis kecuali kalau korang sesaje lepaskan beliau. kih.. Kalau dah kecik sangat lepas le... sian dia. Nanti bila dah besar, korang candat le balik.

Aku nak sambung citer tentang teknik tadi... Sebaik sahaja korang rasa jig korang dipegang sotong, terus korang tarik sekali dan lepas semula dalam beberapa saat (jangan terlalu lama) lebih kurang dalam kiraan tiga. Cara terbaik untuk korang melepaskan candat ialah dengan mengendurkan joran ke bawah dan tarikan kedua adalah bertujuan menaikkan sotong ke atas.

Secara kebiasaanya apabila sotong mula memegang jig, pencandat akan menahan joran dan mengarau pancing tanpa berlaku pengenduran tali utama. Pencandat juga tidak pasti bahagian mana yang terkena mata candat samada jejari primer atau sekunder. Pencandat hanya mengetahui apabila sotong sudah berada di permukaan air. Ini akan menimbulkan rasa cemas dan bimbang sotong terlepas. 

KETERANGAN TEKNIK:
Sebaik sahaja sotong memegang candat. Henjut jig sekali. Jika joran keras buat henjutan sederhana. Henjutan keras boleh dilakukan jika joran anda jenis lembut. Tujuan henjutan adalah untuk memastikan mata jig tersangkut pada jejari primer sotong kerana sotong memulakan tangkapan menggunakan jari utamanya.

Merendahkan jorang bertujuan agar sotong menarik jig merapati jejari sekunder dan bahagian mulut. Perubahan jig dari jejari primer ke sekunder mengambil masa beberapa saat sahaja. Tarikan kedua adalah dengan andaian mata jig sudah berada di kawasan jejari sekunder yang lebih banyak atau di kawasan pangkalnya iaitu mulut. Selalunyanya pada peringkat ini semua jejari sotong sedang memeluk kemas jig udang. Tarikan kali kedua akan menyebabkan lebih banyak jejari sotong yang akan mengenai mata jig udang. Ini bermaksud risiko untuk sotong melepaskan diri adalah sangat rendah. 

Sekali lagi aku nak kabo.. teknik ini tidak semestinya berkesan di dalam semua keadaan. Jika sotong dalam keadaaan menggila atau 'galak' tentunya tiada masalah kerana hampir kesemua sotong cukup rakus menerpa dan memeluk erat jig. Perlu diingat kita perlu banyak bersabor ketika belajar dan mengaplikasi sesuatu teknik. Niat perlu baik agar rezeki yang kita perolehi akan berkat. Seperti biasa, jangan lupa kongsi dengan orang lain samada teknik atau rezeki... jangan kedekut.
Jumpa lagi.. si lembut.
Read more >>

11 December 2011

Sesumpah Laut

Selamat datang kepada semua pelawat yang dikasihi.
Hari ni, rase malas sungguh nak update blog sotong ini. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan angin yang bertiup.... sejuk sampai ke tulang sotong menyebabkan otak dan fizikal aku semakin pasif. Tapi...bila aku lihat pelawat datang makin ramai... aku gagahkan juga menaip walaupun jari aku dah nak jadi rata. Bukan apa.. aku tak nak kecewakan korang... datang rumah aku kosong je, sama macam dulu, tak berubah pun. Bila aku gi rumah korang... semua dah tukar... background baru, entri baru... dan macam-macam lagi yang baru. Aku ni orang miskin... sebab tulah aku tak leh nak tukar baru tiap-tiap hari (sebenarnya malas). Aku harap korang faham le... kalau tak faham gak, buat-buat macam faham dah le.

Haaa.. hari ini nak cerita tentang satu lagi tabiat spesies lembut ini iaitu menyamar. Kalau kat darat kita ada sesumpah, 'pok ke' kata orang kat sini, yang cukup teror menyamar. Kat laut banyak haiwan yang pandai menyamar salah sengkor nya sotong. Sotong bukan sahaja pandai menyamar, beliau juga pandai meniru (rujuk post aku yang dulu-dulu).

Cer.. korang lihat kat bawah. Seekor sotong remaja sedang mengubah dirinya mengikut warna pasir tempat beliau diletakkan. Sekali tengok hampir serupa... ayam yang rabun, sah tak nampak benda alah ni. Tengok muke dia yang slamber dan tidak sedikitpun rase bersalah sebaik sahaja berjaya menyamarkan diri. Sebelum aku lupa... tujuan beliau
berkeadaan demikian adalah untuk menyelamatkan diri daripada musuh. Beliau memang sedap dan disukai serta selalu menjadi buruan pelbagai spesies penghuni laut seperti ikan dan penyu.



Kajian yang dibuat oleh saintis telah menunjukkan, sotong yang dilepaskan ke warna latar yang berbeza akan cuba beradaptasi dengan latar belakang barunya dalam beberapa minit. Semua maklumat yang dilihat dari matanya dihantar ke bahagaian kepala dan dipindahkan pula ke sel-sel warna yang terdapat pada kulit haiwan berkenaan. Hemm.. kalau aku boleh wat cam tu kan best....hampir serupa macam halimunan.



Gambar kat atas tu pula menunjukkan sotong cuba meniru latar belakang 'dam aji.' Gambar bawah pula, keadaan sotong yang sudah meniru latar berkenaan. Nak gelak pun ada sebab rupe dia kelakar sikit.. tak sama macam 'dam aji' pun. Silap la... patutnya omputih tu bagi tiru batik Terengganu ke... haa, baru ada klass. Tak pun letak je kain songket. Baru nampak tradisional sikit. Baru terbaek..



Korang cuba pula teliti gambar kat atas tu. Pada mulanya sotong hitam bertompok putih lari secara berundur ke belakang.. tak tahu sebab apa.. kena kejar toyol kot. Hampir dengan lubang dia dah start tukar warna kepada kelabu dan terus meniru background laut sebaik sahaja berhenti bergerak di dalam lubang. Ayam dengan itik memang payah nak nampak ni. Beliau akan selamat dari dilihat musuh jika berkeaan begini. Tapi bukan semua musuh. Ada sejenis jerung dan ikan pari yang boleh mengesan makanan hidup yang tertimbus dalam pasir dengan melakukan scan semulajadi dari atas.. lebih kurang macam batman le..

 

Gambar terakhir yang aku nak share dengan korang. seekor sotong coklat sedang berundur dikejar... tak apa yang kejar. Terus masuk celah soft coral dan terus menyamar seperti coral berkenaan (dalam bulatan).

Aku memang kagum dengan ciptaan tuhan. Aku sendiri pun tak sampai nak mikir.... kenapa boleh jadi cam tu. Saintis barat... la ni begitu bersemangat menguji perangai spesies ini. Cuba korang bayangkan jika mereka mengetahui rahsia dan mampu menirunya. Agak-agak korang apa tujuan atau aplikasi utama omputih tu? Haaa.. cer, jawab. Apa dok dengor..Senjata. Haa betul. Mala petaka yang terjadi kesan daripada inovasi berkenaan toksah  nak habaq la..mesti dasat. Kalau teknologi cam gini dapat ke Israel...lagi le dasat.

La ni pun diorang dah buat kapal terbang halimunan yang radar pun tak leh nak kesan. Telefon Nokia kepala ular korang lagi lah tak leh nak kesan. Tahun lepas telah dicipta sejenis cat ketenteraan yang boleh menghalimunankan kereta perisai dan khemah tentera. Inovasi dan perkembangan teknologi terbaru selalunya akan menentukan juara. Sotong merupakan salah satu spesies purba yang masih mampu bertahan dengan segala macam perubahan yang berlaku di laut. Tentunya ada sesuatu yang istimewa yang tidak dipunyai oleh spesies lain yang telah pupus. Rasenya salah satu keistimewaan itu ialah keupayaan menyamar untuk melindungi diri dari musuh.

Asyik sangat menaip... udah malam buta rupanya. Sebelum aku buta sebab lama sangat dok depan komputer buruk ni... lebih baik aku berhenti merapu. Tido pun best gak.. sejuk-sejuk ni. Rasa macam kat Cameron Highland le pulak. Orang kata kat sana banyak sotong betul ke?.. Bila le aku nak gi mancing kat sana... kihkih.
Jumpa lagi maa..Selamat malam.
Read more >>

10 December 2011

Tangkap Mangsa3

Selamat datang semua pengunjung sotonglaut.blogspot.
Perbincangan kita masih berkisar tentang cara sotong memegang mangsanya. Isu kali ini cuba mengupas serba sedikit berkaitan umpan ikan dan jig buatan manusia. Aku cuba mendapatkan beberapa lagi gambar dari laman youtube untuk memudahkan penyampaian maklumat aku kepada korang.

Gambar di bawah menunjukkan sotong sedang ghairah mendakap umpan ikan. Sekali tengok umpan berkenaan digunakan untuk memancing ikan bukannya untuk mencandat sotong. Nanti kalau aku ada masa aku kenalkan kat korang candat umpan pula (bagi yang dok kenal lagi le).

Untuk pengetahuan korang, sotong masih boleh ditangkap menggunakan pancingan ikan yang berumpankan ikan. Sotong sebenarnya memang suke giler dengan ikan. Ikan adalah menu KFC bagi sotong. Kenapa sotong berkelakuan demikian. Macam citer "Ombak rindu" je. Sebenarnya sotong sedang menarik badan  ikan ke bahagian mulut yang berada di tengah pangkal jejarinya. Sotong makan dengan cara menggigit daging ikan. Kalau korang pernah mancing kat laut berumpankan sengkor ikan... mesti korang pernah lihat, umpan ikan korang ada kesan gigitan kecil (bukan love bite) di merata tempat hingga menanggalkan kulit ikan berkenaan. Haa... tu kerja spesies lembut macam kat bawah tu... bukan "Alamak toyol"

Kalau umpan kecil macam anak udang atau anak ikan bilis... sotong saiz besar selalunya telan terus tanpa amaran. Kalau korang biasa membersihkan sotong jarum... mesti pernah jumpa ikan bilis atau anak udang dalam perut sotong. Memang ganas spesies ni..




Sebenarnya, sotong lebih sukakan ikan daripada candat udang. Walaupun begitu, peratus sotong yang dinaikkan menggunakan jig udang lebih tinggi kerana gerakan jig itu sendiri yang banyak menggoda nafsu makan sotong. Peluang untuk mendapatkan sotong berpandukan gambar di atas adalah rendah kerana kedudukan mata kail ikan yang dipasang menghala ke dalam. Cer korang lihat gambar mata kail ikan dalam bulatan. Sotong akan mudah terkena pancing jika kedudukan mata kail menghala ke luar. Mata kail Apollo ikan mudah mengenai badan sotong jika kena gayanya.



Sotong selalunya berkeadaan demikian dalam jangka masa yang lama sehingga kenyang. Jika korang menarik umpan ikan, sotong akan melepaskan pegangannya pada badan ikan. Ada juga sotong yang terlupa untuk melepaskan ikan hingga berjaya disauk pemancing.



Jenis ikan yang biasa digunakan untuk memikat sotong ialah ikan tamban, kembong, kunyit, atau selar kuning yang berbeza mengikut lokasi pancingan. Jika korang sedar sotong yang sedang mengacau korang memancing ikan... apa lagi cucuk ikan pada candat umpan atau turunkan jig udang bagi mendapatkan sotong. Jika penghuni di bawah adalah sotong torak alamat kaya le korang.... berpuluh-puluh kilo sotong boleh dinaikkan jika kena caranya.

Kadang-kadang sotong menyerang secara berkumpulan seperti sotong torak. Teknik candat yang sesuai ialah menggunakan jig udang atau jig mayat yang disusun secara Apollo. Kalau guna satu jig sahaja... rugi kerana tangkapan akan berkurangan. Korang boleh baca post sebelum ini bagaimana jig disusun secara Appolo. Bagi memaksimumkan tangkapan, aku cadangkan korang menggunakan susunan hibrid antara umpan ikan dan jig. Bila-bila nanti aku post cara nak buat susunan hibrid ini. 
Jumpa lagi.

Read more >>

Tangkap Mangsa2

Salam untuk semua yang sudi melawat blog buruk aku ni.
Kali ini aku nak sambung citer tentang cara sotong menangkap jig udang. Seperti yang aku kabo sebelum ini, pengetahuan ini serba sedikit akan bantu pencandat ketika mencandat sotong. Sume gambar kat bawah tu aku print screen dari sebuah laman youtube demi untuk bagi info kat korang sume. Kalau korang berminat, korang boleh ke laman youtube dan search perkataan-perkataan seperti 'squid',' squid jig', 'Jig' dan apa sahaja yang sesuai. 

Kebanyakkan video yang terdapat di youtube dihasilkan dari negara matahari terbit, Jepun. Ada juga yang diterbitkan di Taiwan, China dan lain-lain negara. Jepun mendahului dari segi penerbitan video-vedio berkaitan teknik mencandat menggunakan jig udang. Boleh aku katakan kat sini... bahawa aktiviti mencandat sotong di Jepun sangat maju dan cukup profesional. Tidak pelik jika aku simpulkan bahawa sukan memancing sotong adalah antara sukan yang digemari oleh rakyat Jepun. Di setengah tempat, aktiviti ini lebih popular dari aktiviti memancing ikan.

Sotong dikatakan antara haiwan invertebrata laut yang cerdik dan bijak. Ia begitu cepat beradaptasi dan bergerakbalas terhadap perubahan di persekitarannya. Disebabkan kelebihan ini, sotong cukup peka dengan kehadiran jig udang di persekitarannya. Jika jig berkenaan berjaya mengoda nafsu makan sotong, tentunya jig berkenaan akan dikejar sotong berkenaan.


Cer.. korang tengok bagaimana cara sotong mendekati jig udang. Mata yang besar digunakan sebaiknya untuk melihat jig dengan lebih berkesan berbanding ikan. Cara ia mendekati jig cukup berhati-hati. Penat juga aku memikir... nape sotong tidak menangkap jig dari arah belakang iaitu pada mata jig. Mudah sikit nak mengena.


Kedua-dua jejari primernya dilancarkan ke arah jig sambil membelit kemas. Sekali tengok, seolah-olah jig disepit seperti sepit makan orang Jepun, kihkih...Jig dalam keadaan tegak, sedikit berpusing disebabkan daya yang terhasil dari tolakan lengan sotong.

Sebenarnya jig berkenaan ditarik sangat perlahan bagi tujuan penggambaran. Jika jig ditarik dengan laju, peluang untuk mengenai mata jig adalah lebih tinggi dan jig sukar untuk berpusing disebabkan daya tarikan oleh pencandat.


Dua gambar di atas menunjukkan bagaimana sotong menarik jig secara melintang dan memeluknya menggunakan jejari primer dan skunder. Sotong berpeluang melakukan aksi berkenaan kerana jig tidak ditarik. Jika jig ditarik laju, sotong tidak mampu memeluk jig seperti gambar di atas. 

Korang mungkin dok sedar... aku dah beri sedikit tips bagi teknik TARIK-LEPAS-TARIK. Kalau korang tergolong di kalangan pencandat yang bijak serta bestari, korang mesti dah dapat memahami apa yang aku maksudkan..kihkih. Mungkin bagi sesetengah pencandat... tips ini tak berguna langsung... hampeh. Takpe... aku dok kecik ati... sekurang-kurangnya maklumat ini diperlukan oleh pencandat yang baru nak belajar. Ye ker... camana tau? Diorang tanya aku kat E-mail. Jangan dok cayer... 

Kalau ada lagi yang dok faham leh tanya.. kalau ada masa aku jawab. Jangan malu tanya, nanti sesat jalan. Aku rasa lega kerana sekurang-kurangnya aku sedang buat sesuatu untuk memajukan sukan memancing sotong kat negara kita. Bukan macam sesetengah orang tu... tahu kritik je... sumbangan takde. Ada setengah tu pula.... ilmu banyak macam gaban tapi kedekut.  Jangan perasan pulak... aku tak tujukan pada pelawat blog aku ni kerana korang sume baik-baik.

Cukup untuk kali ini... akhir kata sama-sama lah kita majukan sukan mencandat sotong.
Jumpa lagi.
Read more >>

Tangkap Mangsa

Selamat datang kepada semua otai blog dan pencandat sotong tegar.
Pada post kali ini, aku akan berceloteh tentang cara-cara sotong menghambat dan menangkap jig udang. Sebagai seorang pencandat, korang perlu tahu tabiat sotong yang satu ini. Pemahaman tabiat ini akan memudahkan korang ketika mencandat.

Cuba korang tengok gambar kat bawah ini. Banyak yang boleh diperkatakan tentang gaya makan sotong tersebut. Terutamanya dari segi cara ia memegang candat udang yang semestinya melambangkan tahap kerakusannya.

Satu jari sahaja mengena
Jika tidak berhati-hati.. sotong mudah terlepas

Korang patutnya dah tahu... tabiat makan sotong ini dipengaruhi oleh banyak faktor. Urutan gambar kat bawah tu menunjukkan sotong dalam keadaan mood makan yang sederhana. Sotong menyerang dalam keadaan berhati-hati tetapi nekad. 

Sotong dalam keadaan gelojoh selalunya akan menyerang dan membuka luas lengannya bagi tujuan menangkap dan membrek. Pada gambar di bawah, sotong datang, melancarkan tantakel utama dan terus berundur ke belakang tanpa berhenti. 

Apa pentingnya pemahaman proses ini kepada korang? Dok le penting sangat.. cuma lepas ini aku akan post artikel tentang teknik TARIK-LEPAS-TARIK. Kalau korang dok faham asas ini.. payah le aku nak citer kat korang teknik tu.



Urutan gambar menunjukkan sotong datang dari arah belakang jig udang, melancarkan tantakel primer melepasi jarum candat. Sekali tengok... tangan sotong berkenaan tidak mengenai jarum candat. Dalam erti kata lain usaha menipu sotong tidak berjaya... betul ke?



Jejari primer yang menyentuh candat, menarik candat ke jejari sekunder. Haa... ketika ini le kekudukan candat itu telah secara tidak sengaja berkeadaan selari dengan badan sotong disebabkan oleh tarikan sotong berkenaan. Daya tarikan ke belakang dan tarikan tali oleh pencandat ke arah yang bertentangan menyebabkan mata jig terkena pada jejari sotong (Dilurut secara tidak sengaja).  Pada tahap ini, peluang mendapatkan sotong sekitar 50%. Separuh lagi peluang terletak pada kemahiran korang mengendalikan sotong pada permukaan air.

Kalau korang nak tahu... sebaik sahaja candat mengenai jejari sotong, beliau akan cuba melepaskan candat berkenaan. Jika gagal ia akan melepaskan senjata utamanya iaitu dakwat hitam... itupun kalau dakwat dia ada lagi. Kalau masih gagal, ia akan memecut ke belakang. Situasi inilah yang selalu menjadi drama sinetron di kalangan pencandat. Bertahun-tahun citer benda sama kat kekawan... tak jemu-jemu.

Usaha sotong ketika melepaskan diri sangat bergantung kepada tenaga, saiz badan, kelajuan, keadaan sekeliling dan jenis sotong berkenaan. Kekuatan mesin, kelembutan pencandat dan kekuatan sotong bersilih ganti sehingga pemenang diketahui samada sotong atau pencandat.
Untuk memahami dengan lebih lanjut tabiat sotong yang menjadi topik kali ini, cer korang  review sumber dari laman youtube.

Lebih baik korang tengok video untuk memahami tabiat makan sotong. Kalau nak harap korang pergi menyelam, tengok sendiri dalam laut... tak tau bila. Aku pun takut... jerung banyak. Pakai cermin selam pun terbalik.... nak pasang gas lagi tak tahu. Pasang gas masak Petronas pun takut.. Guna je teknologi yang ada. Tak tau ..tanya. Apa lagi ha.... emmm..

Rasa cam nak tido le pulak..
Ok, tido dulu..jumpa lagi...
Read more >>

04 December 2011

Memegang Candat

Salam untuk semua. Bertemu lagi di laman maya ini. 
Aku nak sambung citer berkaitan dengan gaya makan sotong. Pada kali ini, citer aku akan lebih menjurus kepada gaya sotong menangkap atau memegang jig udang. Gaya dan stail tangkapan sotong sangat mempengaruhi kejayaan menaikkan sotong. Maklumlah sotong ni.. spesies yang yang jarinya lembut sikit (aku tak kata kat saper-saper... jangan perasan ye)

Kalau ganas-ganas jari dia bleh putus.. kalau putus, memang sotong tu payah nak makan semula.. walaupun ada sekor dua yang memang degil giler. Tangan tak cukup masih lagi berselera mengejar dan memegang jig. Terlepas tiga empat kali... masih tak serik-serik.

 

Cuba korang lihat gambar kat atas tu... itulah gayanya sotong yang sudah keletihan. Mata candat tersangkut pada bahagian B (rujuk post sebelumnya). Bahagian B mempunyai pangkal tantakel yang lebih besar dan kuat. Walaupun begitu, korang masih perlu menaikkan sotong berkenaan dengan sabar dan berhati-hati.

Peratus sotong terlepas pada situasi ini (kedudukan sotong di permukaan air) adalah paling tinggi. Pecutan akhirnya adalah paling kuat dan laju. Jika tidak berhati-hati, korang akan berputih mata. Pada ketika ini, sotong yang kepenatan menyembunyikan dakwat terakhirnya dan sedia melancarkan pada bila-bila masa sahaja yang sesuai. Kalau timing tak kena... alamat hitam lah muka korang. Korang perlu bersedia dengan tindakan luar jangka spesies ini.



Dua gambar kecil sebelah kanan anda menunjukkan sotong memegang candat menggunakan tantakel yang paling panjang. Situasi ini selalu terjadi jika keadaan air laju atau jika anda menarik candat dengan cepat. Sotong yang tidak sempat mengejar candat selalunya melancarkan tantakel utamanya untuk memegang candat dan menariknya ke tantekal sekunder dan terus ke mulut. Jika sotong merasa sakit, ia akan memejut ke belakang dengan segera menyebabkan candat tidak sempat untuk dibawa ke bahagaian B.

Gambar utama dan sebelah kiri menunjukkan mata candat yang tertancap kukuh di bahagian B. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan jig ditarik dengan sangat perlahan dan memberi peluang sotong berkenaan mendapat jig tersebut dengat kemas. Peratus untuk menaikkan sotong dalam situasi ini sangat tinggi.



Lihat gambar sotong di tengah, bagaimana ia memeluk candat dengan lebih daripada satu tantakel. Dari pemerhatian aku, jika semakin banyak tantakel sotong yang mengenai mata candat maka semakin kurang peratus untuk sotong terlepas. Pernah beberapa kali, aku menaikkan sotong remaja yang memeluk kemas jig menggunakan kesemua tantakelnya. Paling mengejutkan, tiada satupun tantakel yang mengenai mata candat. Itulah kalau sudah rezeki.

Perlu diketahui bahawa aktiviti mencandat sotong ini adalah satu seni memancing yang lemah-lembut dan berhati-hati. Jangan tarik sotong macam tarik ikan paus. Tangan sotong sangat lembut. Kalau ada pemancing ikan tegar yang nak test pancingan sotong ini... aku nasihatkan korang buang dulu sifat agresif korang tu. Aku takut nanti takde orang nak mencandat bersama korang kerana jika sotong banyak terlepas, peluang untuk orang lain mencari rezeki juga semakin sempit.

Bak kata orang.. tak tahu tanya. Malu tanya sesat jalan.. kalau dah sesat jalan, macam mana korang nak gi mancing sotong.. kahkahkah..memang sah tak dapat sotong. Ok...nak gi wat keja lain plak. Jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing