"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

09 May 2011

Jom Masak..!

Salam sejahtera dan apa khabar? 

Semoga pelawat yang bertandang ke sini semuanya sihat-sihat belaka. Terima kasih yang tidak terhingga kepada yang sudi melawat blog kecil ini. Diharap anda akan mendapat sesuatu yang berguna di sini.

Pada kali ini, Abe Din akan bercerita tentang cara-cara membuat sotong goreng. Tajuk ini dipilih kerana ramai pelawat sotonglaut yang menunjukkan minat pada masakan ini. 

Abe Din bukan seorang tukang masak.. tetapi hendak memasak masakan berasaskan sotong.. bereh je. Sedap tu... mungkin tak berapa le, tetapi kenyang... memang dijamin... Setakat ini belum lagi berlaku keracunan makanan atau sakit perut.

Post kali ini memang sesuai untuk suri rumah yang ingin mencuba, anak dara yang tak pandai masak atau teruna yang minat nak memasak atau siapa sahaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Bagi yang dah teror tu.. sorry le kalau ada salah silap.. harap dimaafkan.. budak baru belajar le katakan...

Mula-mula dapatkan sotong segar (mencandat atau beli kat pasar... jangan curi udah le..). Buang kulit bagi mengelakkan minyak meletup. Kalau tak buang  pun tiada siapa nak marah. Cuma sediakan le tudung periuk sebagai pelindung anda. 

Potong sotong mengikut citarasa anda... cara potongan bergantung  kepada saiz dan jenis sotong (sudah dibincang dalam post terdahulu). Sotong boleh dipotong putus, membulat, memanjang, atau dikelar tidak putus. Sotong yang sedap digoreng ialah sotong ketupat, torak, mabang, jarum dalam susunan ranking menurun.

Lepas siap jangan lupa basuh.. biar senonoh sikit buat kerja tu dan toskan air sotong berkenaan menggunakan penapis atau apa sahaja peralatan yang sesuai.. guna raga pun boleh..


Kemudian dapatkan tepung menggoreng. Jangan susah-susah buat sendiri, beli je.. murah RM2.50 dah dapat. Kalau buat sendiri belum tahu jadi.... kecuali kalau anda memang teror buat sendiri. Tepung boleh dalam keadaan cecair atau serbuk. Kalau susah cari tepung... guna tepung goreng pisang pun boleh. Jika tepung cair digunakan.. sotong yang dimasak dinamakan sotong goreng celup tepung. Jenis tepung memainkan peranan yang penting dalam menentukan kelazatan sotong goreng anda.

Cari telur ayam (jangan cari yang palsu... nanti tak jadi) dan asingkan telur putih sahaja bagi tujuan melekatkan tepung pada sotong. Kalau korang malas.. tak perlu diasingkan.. biar telur merah dan putih bercampur. Celup je terus..
 
Step seterusnya, Panaskan minyak pastikan ia betul-betul panas. Cara nak uji... renjis setitik dua air ke dalam minyak.. jika bunyi macam garang je... ha.. dah panas le tu. Diingatkan jangan renjis macam nak siram pokok bunga pulak... nanti berjerawat muka.. ambo tak tanggungjawab.

Step lagi, celup sotong yang telah dipotong ke dalam telur kemudian guling-gulingkan pula di atas tepung. Tanpa membuang masa, masukkan terus tepat ke dalam kuali. Ulang aktiviti di atas sehingga semua sotong masak. Gunakan penyepit khas. Kalau penyepit atau alat seumpamanya takde kat rumah anda, pakai tangan je le... (jangan bagitau orang lain... bimbang diaorang tak lalu nak makan). Masa angkat.. lapik dahulu dengan tisu bagi penyerapan minyak. Jangan lapik dengan tangan. Lepas itu... susun dalam pinggan. Jangan makan lagi..... makan sama kekawan atau sedara-mara anda baru best.


Kalau rajin, susun sotong bersama sayur hijau, timun, kepingan kobis, daun saderi, tomato, daun pisang pun boleh. Pencicah ? senang je... beli sos tomato, sos cili atau sos apa sahaja yang korang suka. Mayonis pun ok jugak... Dah siap boleh terus hidang. Kadang-kala masakan korang tak sedap manapun, tetapi hiasan yang cantik nampak macam kat hotel je.. anak, suami, kawan, mak mertua, semuanya tentu tak sabar-sabar nak rasa masakan anda.

kalau anda kuat, makan semasa panas kerana pada ketika ini rasa enaknya sedang berada di tahap paling maksima... tambah pula kalau ada air bergas.. wuhh.... Perlu diingat, apabila sotong sejuk kelazatannya akan jatuh ke tahap paling minima.


Bila anda dah betul-betul teror nanti, boleh le anda modified dan mencipta resepi anda sendiri. Campuran adunan tepung menggoreng, pencicah dan hiasan boleh diubahsuai dan dipelbagaikan. Mana tahu... anda akan jadi chef sotong yang terkenal pada suatu hari nanti.

Bukan sahaja orang berkeluarga, orang bujang.. si dara dan teruna juga boleh mencuba resepi ini. Mudah, cepat, sedap dan boleh menyebabkan orang ketagihan sotong goreng anda.

Selamat mencuba. Kalau ada lebih tu.. antar le sikit. Jika ada resepi sotong goreng baru pun boleh hantar... itu pun kalau sudi. Boleh kita kongsi dengan pelawat lain.

Selamat Hari Ibu, gembira selalu dan jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

Rehat Sekejap..


Salam kepada semua pengunjung blog sotong.

Rasa rindu juga nak pergi mencandat.. kawan-kawan dah mula cerita tentang hasil tangkapan. Apakan daya, tugas di tempat kerja bertimbun-timbun sampai ke malam. Emm... bila le nak gi candat ni?

Di kesempatan ini, Abe Din nak mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pelawat-pelawat yang sudi datang ke blog buruk Abe Din.

Kali ini, Abe Din nak alih sedikit tajuk perbincangan. Kebiasaannya topik sotong menjadi point utama. Biasa le tu kadang-kadang kita perlu sesuatu yang baru.. dan yang paling penting, Abe Din hendak berkongsi dengan semua pelawat blog sotong.

Sedikit masa free yang ada sempat juga Abe Din selongkar fail-fail lama di meja.. maka terjumpa le ... jeng.. jeng.. sehelai kertas lama yang tertulis sebuah sajak sinis yang diilhamkan oleh Dr Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako.
Kalau sudi, korang boleh baca sajak ni... jangan baca saje tau.. cuba fahami apa yang Pak Sako nak bagitau kat kita. Adakah ilham yang lahir dari benak beliau sudah berlaku sekarang.. anda mungkin ada pendapat sendiri : 
Ok mai baca ramai-ramai...



Bapak rugged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini,
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini,
Orang-orang kampung menghadap kiblat,
Mereka membawa komik-komik Barat,
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat,
Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking,
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dansing,
 .
.
 .
Opsss.... letih...rehat jap...
 .
 .
.
Tetapi bila gula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang pada petai dan kerdas,
Barulah belajar nak mandi hadas,
Melayu bukan, Malaysia pun bukan,
Cina bukan, India pun bukan,

Inilah akar-akar yang mengaku rotan?
Atau kaca-kaca yang mengaku intan

 
 Dr Ishak Haji Muhammad@ Pak Sako
(14 November 1909 - 7 November 1991)

Semoga bingkisan ringkas ini dapat menjadi renungan kita bersama..Al-Fatihah untuk Allahyarham..
Read more >>

05 May 2011

Hobi atau Kerjaya?

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Untuk pengetahuan dan makluman semua pelawat, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mencandat sotong torak atau selalu di panggil "Si Panjang" oleh beberapa orang pencandat tempatan. Ramai yang bertandang ke Terengganu bagi menyertai trip-trip mencandat di laut. Setakat ini hasil yang diperolehi agak sederhana walaupun ada juga yang mendapat rezeki yang melampau-lampau. Sotong yang dibawa naik pula bercampur-aduk antara "Si Torak", ketupat dan jarum.

Setakat ini, Abe Din belum berkesempatan ke laut untuk mencandat sotong torak. Kerja dan tugas harian membatasi niat untuk ke laut. Bagi melepas rindu pada laut.. sempat juga pergi ke kuala melihat rakan-rakan membawa balik hasil tangkapan. Jika ada masa lapang, Abe Din akan ke kawasan pesisir pantai untuk mencandat sotong mabang.

Pada ketika ini, sotong mabang masih kurang memghampiri kawasan pesisir pantai berbatu. Semalam, Abe Din sempat mencuba nasib di kawasan yang biasa dikunjungi. Air laut sedang surut dan ombak sedikit kuat. Penat baling candat udang, tiada sambaran atau tarikan si sotong. Beberapa ketika kelihatan tanda kehadiran sotong di permukaan laut. Cahaya biru putih yang agak malap muncul beberapa kali. Saiz... memang boleh tahan.. paling kurang sekilo seekor. Lama memujuk, sotong nampaknya agak malu untuk menarik candat. Last sekali... balik rumah dengan tangan kosong. Walaupun kecewa... sekurang-kurangnya kami tahu bahawa sotong sudah datang ke pantai. Mungkin rezeki belum ada lagi.

Kekadang terbayang-bayang rezeki lepas... bila lagi nak dapat sotong banyak macam kat atas tu? Ramai juga kekawan yang menganggap hobi mencandat ini sebagai membuang masa dan tidak berfaedah. Apa yang pelik... bila bagi sambal sotong, diaorang tak cakap banyak terus bedal sampai habis... siap tanya... bila nak bawa lagi? kih..kih..


Mencandat sotong sama seperti makan... jika dah biasa memang sedap. Jika tak biasa... memang kita tidak akan makan sesuatu makanan itu. Satu yang perlu diingat, jangan kita menghina pula jika kita tidak suka. Camana kalau... orang hina hobi kita.

Pernah dulu seorang rakan berkata, " tak kesian ke?... pancing ikan... sakit mulut dia.... kejam le". Abe Din tanya dia balik," kau tak makan ikan ke?"... dia jawab,"aku beli ikan kat pasar... aku tak pancing... aku kesian... sakit mulut dia"

Spontan terkeluar kata, "ikan pasar lagi kesian, leher kena jerut tali pukat. Mati terjerut kat situ je" ceramah lagi kat dia "mana sakit, mulut ke.. leher?"

Kadang-kadang isu seperti di atas tak perlu.. kerana nak perlekeh orang lain, pelbagai isu ditimbulkan. Kerja halal... bukan mencuri hak orang lain. Abe Din sedar ramai di luar sana memang tidak minat memancing dan mencandat... tetapi apa salahnya jika kita menghormati hobi dan pekerjaan orang lain. Perlu diingat memancing dan mencandat adalah sumber pendapatan bagi ramai orang. Pendapatan dengan menjual ikan, sotong dan hasil laut lain digunakan mereka untuk menyara keluarga dan memberi pendidikan kepada anak-anak. 

Semuanya bermula dengan hobi, seterusnya menjadi kerjaya.
Jumpa lagi,
Abe Din
Read more >>

27 April 2011

Jangan Tamak !

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan menyambung semula penerangan berkaitan teknik-teknik mencandat  sotong. Tumpuan Abe Din pada kali ini ialah memancing sotong mabang di kawasan batuan atau daratan.

Pada kebiasaannya, pencandat sotong mabang di kawasan daratan duduk sebelah menyebelah dan berdekatan antara satu sama lain (selalunya teman rapat le).. maka, apabila salah seorang bertarung dengan sotong maka ia mudah diketahui oleh rakan lain walaupun dalam keadaan gelap.

Kalau asyik orang yang sama sahaja yang menaikkan sotong, maka kadang-kala ia akan menimbulkan rasa iri hati di kalangan teman yang lain. Kalau naik seekor dua boleh kira lagi... tapi kalau lepas dia... dia.. kemudian dia lagi dan dia... dan dia... boleh tercabar juga kejantanan.

Maka mula le nak main jahat. Rakan sebelah dah mula keluar tanduk... dengki le tu... Mungkin rezekinya disebabkan oleh kemahirannya mencandat, jenis candat yang digunakan atau memang sotong banyak berkumpul di situ... patutlah asyik dia je yang dapat. Seperti yang diketahui, jika seekor sotong besar dinaikkan maka seekor lagi sotong yang besar akan mengekori rakannya dari belakang. Jika candat dibaling ke arah berkenaan, maka peluang untuk mendapatkan sotong kedua memang cerah.

Walaupun semua pencandat cuba untuk memikat sotong dengan pilihan jig dan gaya tarian candat yang tersendiri... belum tentu mampu memikat si sotong mabang. Sepatutnya pencandat jangan kecewa jika gagal menaikkan sotong, tetapi perbaiki teknik mencandat. Tentunya ilmu mencandat itu perlu dicari agar kita tidak kecewa di masa akan datang.

Cuba lihat situasi di bawah (situasi A). Sepatutnya pencandat mengambil posisi yang betul dengan membaling candat ke arah hadapan. Jika arus bergerak ke kiri atau ke kanan, maka semua pencandat perlu sama-sama mengikut arah yang tidak memintas tali pencandat lain.
Situasi B pula menunjukkan keadaan di mana, dua orang pencandatA dan B telah tumbuh tanduk dan naik minyak. Kemungkinan pencandat C sedang bertarung dengan sotong. Pencandat A dan B tanpa membuang masa terus membaling candat ke arah pencandat C.
Tujuannya hanya satu iaitu untuk memikat sotong kedua yang mengikuti sotong pertama. Walaupun dalam suasana yang gelap, pencandat masih boleh mendengar bunyi semburan sotong yang sedang bertarung kerana tersangkut pada candat.

Adalah dibimbangi balingan pencandat yang merentang tali pencandat C boleh menyebabkan masalah candat tersangkut pada tali pancing rakan berkenaan. Sotong pencandat C boleh terlepas jika tali tersangkut dan bersilang. Kadang-kala banyak masa terbuang hanya untuk meleraikan tali dan candat yang tersangkut.

Semasa aktiviti mencandat sotong, perlu ada sikap bertimbang rasa agar semua pencandat dapat membawa pulang hasil tangkapan tanpa perlu bermasam muka. Jangan berhasad dengki dan jangan tamak. Nilai tindakan kita.. adakah ia disenangi oleh rakan pencandat lain?

Sekian untuk kali ini... selamat mencandat
Abe Din.
Read more >>

25 April 2011

Sotong Di Laut


      Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan menyambung semula penerangan berkaitan teknik-teknik mencandat  sotong torak. 

Sebelum itu, Abe Din ingin membuat sedikit pengumuman kepada siapa sahaja yang bercadang untuk menyertai fiesta mencandat sotong anjuran kerajaan negeri Terengganu bersama sebuah akhbar harian. Sila pastikan anda mendaftar segera kerana tarikh tutup semakin hampir. Abe Din bukan nak promosi... takde kena mengena pun, cuma Abe Din sangat menggalakkan pencandat baru agar menyertai trip mencandat sebegini yang lebih terjamin soal keselamatannya.

Kepada mereka yang sudah mendaftar, sekalung tahniah Abe Din ucapkan. Buatlah persediaan yang sewajarnya sebelum anda bertolak ke laut lepas. Persediaan yang dimaksudkan termasuklah dari segi keperluan material, fizikal dan mental termasuk juga keperluan ilmu mencandat itu sendiri.

Jangan cari Abe Din di sana pula kerana Abe Din tidak menyertai fiesta berkenaan. Abe Din dah kerap sangat ke laut. Tanpa fiesta pun Abe Din tetap mencari masa untuk melepaskan rindu pada laut.

Kembali semula kepada isu penting hari ini iaitu teknik mencandat sotong torak. Abe Din akan menerangkan teknik pancingan di atas bot yang disertai oleh ramai pencandat. Dalam kawasan yang terhad di tengah laut, kita perlu saling bertolak ansur dan bertimbang rasa. Jangan sesekali mementingkan diri kerana apabila ditimpa kesusahan rakan-rakan  yang berada di dalam bot berkenaan merupakan orang pertama yang akan datang membantu kita.

Semua pencandat perlu mengamalkan etika yang baik. Semua peserta berhak untuk mencandat dengan selesa kecuali kalau sudah mabuk laut. Jika ada pertandingan sekalipun, jalankan dengan sihat tanpa perasaan hasad dan dengki. Kena ingat sekali lagi... kita berada di tengah laut... Jangan seronok lebih-lebih sangat.. control le sikit.

Bot kecil lebih murah tetapi kurang selesa

Sebelum candat diturunkan ke laut, kenalpasti arah arus laut terlebih dahulu. Pencandat perlu sentiasa peka dengan perubahan arus laut kerana ia kerap berubah-ubah. Jangan beranggapan bahawa arus laut itu sama dengan arah angin.

Apabila arus dikenalpasti, pencandat perlu sedar kedudukan mereka di dalam bot. Pencandat yang pertama perlu menggunakan saiz candat bawah atau batu ladung yang lebih besar dan berat. Begitu juga pencandat kedua dan seterusnya, berat batu ladung sepatutnya semakin berkurang. Paling ideal, pastikan setiap pencandat menggunakan berat batu ladung, saiz tali dan kombinasi ikatan yang sama.

Kita mungkin tidak nampak dan tidak sedar kedudukan candat dan tali kita semasa di dalam laut. Di sini kita perlu belajar untuk menekan sifat keegoan dan kita perlu lebih bertimbang rasa. Situasi di bawah menunjukkan susunan tali pancing yang secara logiknya cukup baik. Apabila semua pencandat sedar akan keperluan ini maka proses mencandat akan menjadi lebih seronok dan menarik.
Situasi kedua pula menunjukkan keadaan di mana candat akhir atau batu ladung tidak dikombinasi dengan baik. Jika perkara seperti ini berlaku, banyak masa terbuang bagi merungkai kekusutan tali di antara pencandat. Sepatutnya masa berkenaan digunakan sebaiknya untuk menaikkan sotong sebanyak mungkin.. Bukan tamak tetapi kita perlu tahu bahawa sotong tidak sentiasa menyambar candat walaupun kadang-kadang kita melihat sotong cukup banyak merempit di bawah bot.

 
Bagi pancandat yang biasa mencandat atau sekurang-kurangnya biasa memancing ikan di laut, tentunya mereka faham apa yang Abe Din ingin sampaikan. Abe Din sangat berharap, agar sifu-sifu yang berada di atas bot tidak berputus asa menurunkan ilmu kepada ahli yang lain terutamanya yang baru hendak mengenali hobi ini.

Setiap tahun, aktiviti mencandat sotong semakin dikenali dan kini telah merentasi aspek-aspek bangsa dan budaya. Sekarang sudah terdapat pencandat-pencandat hardcore dari kalangan wanita... jangan tak caya. Pelancong asing juga kerap mengikut trip mencandat di Terengganu. Jika dilihat dari sudut bangsa pula.. sudah tercapai sasaran 1 Malaysia. Nak beritahu, aktiviti mencandat sotong telahpun memasuki "global market". Jadi kita sebagai rakyat Malaysia.. bila lagi nak cuba?(bagi mereka yang belum le..)

Sekian dahulu, sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

24 April 2011

Candat Torak

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit panduan kepada semua yang akan melawat Terengganu sepanjang April hingga Jun 2011.


Seperti yang diketahui umum, sotong torak (gambar sebelah yang dijumpai di internet) telah mula menyerang perairan Terengganu sejak akhir Mac lagi. Maka, kaki-kaki sotong bertaraf otai, baru atau tak pernah langsung mencandat sebelum ini mula berkira-kira merancang trip untuk ke Terengganu. Tujuan mereka tentunya mencandat sotong torak. Ada juga yang secara sambilan memancing ikan.


Cuba tengok gambar di atas. Siapa yang tidak terliur bila terbayangkan sotong bakar. Saiz sotong pula... wuiii.. semangat gila. Jika kena lubuk.. sotong yang dinaikan panjang-panjang belaka. Jika sudah rezeki, siap boleh jual sotong yang ditangkap. Tolak kos bot.. untung pula.

Bagi memberi panduan kepada semua pencandat baru, Abe Din akan menumpukan post-post yang berkisar kepada teknik tangkapan sotong torak. Jika ada kemusykilan.. tanya tau... jangan malu-malu.

Gambar di atas merupakan set yang biasa digunakan bagi memancing sotong torak. Berikut adalah petunjuk bagi rajah di atas:
A-Klip logam (cili)
B-Candat mayat merah putih jenis luminous
C-Candat timah atau batu ladung.

Abe Din syorkan anda menggunakan candat kepala merah berbadan putih jenis luminous. Candat jenis ini memang nampak tidak menarik tetapi sebenarnya power. Jenis biasa tanpa luminous lebih murah tetapi kurang ganas. Candat ini dijual dalam set-set tertentu dan mudah dijumpai di kedai-kedai pancing di Terengganu.

Candat kepala merah yang power

Cara mengikat candat di atas ke tali perambut sama seperti mengikat mata kail apollo. Kalau tak tahu.. minta tolong mereka yang mahir. Anda boleh memasang seberapa banyak candat yang anda mahu jika anda mampu mengendalikan tali kusut dengan baik. Untuk junior, Abe Din cadangkan anda memasang di antara 3 hingga 5 candat.

Jangan pasang candat terlalu dekat antara satu sama lain. Dibimbangi candat bawah dan atas akan tersangkut bersama. Disebabkan sotong torak mempunyai badan yang panjang, perlu diambil kira panjang berkenaan dalam menganggar jarang antara candat. Jika teknik ini tidak dipatuhi, sotong yang terkena candat akan tersangkut pula pada mata candat di bahagian ekornya dan peluang pemancing untuk mendapatkan lebih sotong dalam satu masa akan terjejas.

Candat timah

Candat di atas diletak di bahagian paling bawah tali perambut. Tujuannya untuk memastikan tali perambut sentiasa berada di dalam keadaan tegak, melurus ke bawah. Jika candat di atas tiada, anda boleh gantikan dengan batu ladung yang bersesuaian saiznya. Jika batu ladung digunakan.. tentunya tiada sotong yang sudi menyambar batu ladung berkenaan.  Setakat ini, candat timah berwarna merah merupakan candat yang paling berjaya menambat hati sotong.

Ketika anda menurunkan candat, pastikan anda menurunkan candat timah terlebih dahulu. Turunkan secara perlahan-lahan. Tindakan tergesa-gesa akan menyebabkan tali anda  berpintal. Proses meleraikannya memang menyiksakan batin kerana orang lain sedang sibuk menaikan sotong sambil memprovokasi emosi anda.

Jika sotong memegang candat anda, layan seperti biasa dengan drag kekili dilaras mengikut berat sotong. Jika anda menggunakan serek, rapatkan tali pada tepi bot dan lepas tali secara terkawal jika henjutannya semakin keras dan kuat. Bila tiada tarikan... anda perlu tarik tali  perlahan-lahan. Jangan tarik sotong seperti menarik ikan ... jika bernasib baik anda akan dapat double atau triple..

Selepas sotong pertama dinaikkan. Jangan membuang masa... turunkan candat dengan segera. Sotong torak makan mengikut pergerakan arus. Jika kumpulannya berada di bawah bot anda, semua pemancing akan merasa tarikan sotong. Untuk menaikkan semangat anda, bayangkan sotong berkenaan akan menjadi sotong bakar yang enak apabila anda tiba di daratan nanti..

Jangan terkejut jika sotong jenis lain juga dinaikan. Sotong yang biasa bermain bersama sotong torak termasuklah sotong ketupat dan sotong jarum. Sotong mabang sangat jarang dan hampir tiada kerana sotong ini suka bermain di kawasan berstruktur.

Jika anda pergi mencandat nanti, jangan lupa mengambil gambar yang cantik-cantik dan e-mail kepada Abe Din. Nanti Abe Din post dalam blog.. Beri info sikit..tentu glamour. Akhir kata, selamat memancing.. dan jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

23 April 2011

Memilih Sotong

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit panduan ketika membeli sotong segar di pasar. Ikan yang segar boleh dilihat pada mata, insang dan sisik sebagai tanda kesegarannya. Bagaimana pula cara untuk memilih sotong segar ?

Sotong besar disusun ketika dijual

Sotong kecil diletak secara berselerak

Ketika anda berada di pasar ikan, biasa dilihat sotong di susun dengan pelbagai cara bagi menarik pelanggan. Sotong memang terkenal sebagai haiwan yang mudah rosak kerana organ dalaman yang terdedah kepada persekitaran luar berbanding ikan yang mempunyai organ di bahagian lebih tersorok. Berdasarkan faktor berkenaan, sotong kerapkali disimpan bersama ketulan ais bagi mengekalkan kesegarannya.

Sotong jualan yang tidak disimpan bersama ais dan terdedah kepada suhu persekitaran yang lebih kering akan memudahkan ia menjadi rosak. Penjual selalu menyembunyikan kecacatan ini dengan menggunakan ais atau air sejuk. Walaupun begitu pembeli masih boleh mencari perbezaan antara sotong lama dan sotong yang baru.

Ada ketikanya harga sotong sangat mahal dan 
tidak munasabah

Harga sotong yang dijual kadang-kadang boleh diistilahkan sebagai mencekik darah terutamanya ketika sotong agak sukar untuk diperolehi. Harga borong dan jual begitu jauh bezanya. Pagi semalam Abe Din sempat membeli sotong dengan harga RM14 / kilo, sotong ketupat saiz sederhana. Mungkin bagi sesetengah individu, harga bukanlah suatu masalah yang besar tetapi sebagai pengguna kita sepatutnya menerima produk yang sepadan dengan harga yang ditawarkan.

Selang beberapa kedai, sebuah lagi kedai ikan menjual sotong jenis yang sama dengan harga  lebih murah iaitu RM12/ kilo. Sotong berkenaan juga lebih segar kerana dicampur ais berbanding kedai pertama yang dilonggok secara terbuka dan hanya disiram air sahaja. Apa yang Abe Din boleh katakan di sini, harga sotong tanpa kawalan boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi mengaut keuntungan yang berlebihan.

Siapa yang tidak terbayangkan keenakan sambal sotong, sotong masak lemak, sotong bakar, sotong goreng tepung, ketupat sotong dan lain-lain lagi masakan yang berasaskan sotong. Jika sotong yang dicari mahal dan tidak segar tentunya kita bukan sahaja  kempunan tetapi sangat kempunan.

Pilih sebelum beli
Beberapa panduan boleh digunakan semasa membeli sotong di pasar.
1-Badan sotong baru lebih bulat dan pejal
2-Matanya bulat dan tidak berkedut
3-Kulit luarnya tidak tertanggal
4-Kulit kedua (putih) tiada lebam merah jika kulit pertama tertanggal.
5-Tiada cairan keluar dari kawasan lehernya
6-Baunya tidak kuat
7-Dakwat tidak keluar
8-Jika badan terluka tiada kesan hitam
9-Tantakelnya mengembang atau sedikit mengeras

Tanda-tanda ini agak sukar untuk diperhatikan jika tuan kedai menyimpan sotong di dalam ais. Sebagai pengguna, kita mempunyai hak untuk memilih. Kuasa beli terletak di tangan kita. Jadilah pengguna yang bijak.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing