Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Untuk pengetahuan dan makluman semua pelawat, sekarang adalah masa yang sesuai untuk mencandat sotong torak atau selalu di panggil "Si Panjang" oleh beberapa orang pencandat tempatan. Ramai yang bertandang ke Terengganu bagi menyertai trip-trip mencandat di laut. Setakat ini hasil yang diperolehi agak sederhana walaupun ada juga yang mendapat rezeki yang melampau-lampau. Sotong yang dibawa naik pula bercampur-aduk antara "Si Torak", ketupat dan jarum.
Setakat ini, Abe Din belum berkesempatan ke laut untuk mencandat sotong torak. Kerja dan tugas harian membatasi niat untuk ke laut. Bagi melepas rindu pada laut.. sempat juga pergi ke kuala melihat rakan-rakan membawa balik hasil tangkapan. Jika ada masa lapang, Abe Din akan ke kawasan pesisir pantai untuk mencandat sotong mabang.
Pada ketika ini, sotong mabang masih kurang memghampiri kawasan pesisir pantai berbatu. Semalam, Abe Din sempat mencuba nasib di kawasan yang biasa dikunjungi. Air laut sedang surut dan ombak sedikit kuat. Penat baling candat udang, tiada sambaran atau tarikan si sotong. Beberapa ketika kelihatan tanda kehadiran sotong di permukaan laut. Cahaya biru putih yang agak malap muncul beberapa kali. Saiz... memang boleh tahan.. paling kurang sekilo seekor. Lama memujuk, sotong nampaknya agak malu untuk menarik candat. Last sekali... balik rumah dengan tangan kosong. Walaupun kecewa... sekurang-kurangnya kami tahu bahawa sotong sudah datang ke pantai. Mungkin rezeki belum ada lagi.
Mencandat sotong sama seperti makan... jika dah biasa memang sedap. Jika tak biasa... memang kita tidak akan makan sesuatu makanan itu. Satu yang perlu diingat, jangan kita menghina pula jika kita tidak suka. Camana kalau... orang hina hobi kita.
Pernah dulu seorang rakan berkata, " tak kesian ke?... pancing ikan... sakit mulut dia.... kejam le". Abe Din tanya dia balik," kau tak makan ikan ke?"... dia jawab,"aku beli ikan kat pasar... aku tak pancing... aku kesian... sakit mulut dia"
Spontan terkeluar kata, "ikan pasar lagi kesian, leher kena jerut tali pukat. Mati terjerut kat situ je" ceramah lagi kat dia "mana sakit, mulut ke.. leher?"
Kadang-kadang isu seperti di atas tak perlu.. kerana nak perlekeh orang lain, pelbagai isu ditimbulkan. Kerja halal... bukan mencuri hak orang lain. Abe Din sedar ramai di luar sana memang tidak minat memancing dan mencandat... tetapi apa salahnya jika kita menghormati hobi dan pekerjaan orang lain. Perlu diingat memancing dan mencandat adalah sumber pendapatan bagi ramai orang. Pendapatan dengan menjual ikan, sotong dan hasil laut lain digunakan mereka untuk menyara keluarga dan memberi pendidikan kepada anak-anak.
Semuanya bermula dengan hobi, seterusnya menjadi kerjaya.
Jumpa lagi,
Abe Din






















