"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

13 July 2014

Panorama Pantai Kemasik

Selamat datang kepada semua pelawat. Semoga anda semua ceria dan bahagia selalu. Pada post ini, ambe ingin berkongsi keindahan lokasi mencandat sotong ambe di Kemasik. Kalau ada masa terluang, ambe selalu datang mencandat di sini. Salah satu sebab lokasi ini menjadi pilihan ambe ialah panorama dan pemandangannya yang menarik. Hati rasa tenang kalau datang sini.

Kalau mencandat di waktu malam tentunya keindahan semulajadi di sini tidak jelas untuk ditatap... kalau siang... duduk saja kat sini pun dah ok. Ketika gambar ini dirakam... keadaan sedikit berjerubu dan gambar tidak begitu jelas.

Sotong juga banyak di kawasan ini. Jika kena dengan keadaan airnya... memang banyak rezeki diperolehi. Ambe pernah mencandat berbelas-belas ekor sotong mabang di kawasan ini. Kalau korang tinggal berdekatan dengan kawasan ini... datanglah berkunjung. Bagi pencandat baru... lokasi ini boleh dijadikan lokasi untuk belajar mencandat sotong mabang. Datang le waktu siang... boleh tengok bermacam-macam gelagat manusia kat sini.


Batu tambak yang menghadap bukit

Mencandat dengan tenang tanpa gangguan

Waktu petang... ramai orang kat sini

Lokasi ini juga merupakan lokasi yang strategik untuk perkelahan  dan beraktiviti bersama keluarga. Kawasan ini memang selamat kerana ramai orang lalu-lalang kat sini... cuma jangan mandi ketika air bergelora sebab dah ada korban sebelum ini. Kalau ada masa, sudi-sudilah datang. Hingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

12 July 2014

Trip 12/2014-Daratan

Salamat datang dan salam ramadhan untuk semua pengunjung beragama Islam. Trip kali ini diadakan pada waktu pagi. Selepas bersahur dan solat subuh... ambe bersiap dan bertolak ke lokasi yang paling hampir dengan tempat ambe. Mula sampai... tiada kelihatan pencandat lain di lokasi.

Hari masih gelap. balingan awal tidak bersambut. Sambutan pertama hanya diperolehi sebaik sahaja matahari mula kelihatan timbul di penghujung laut. Pada pagi berkenaan, hanya 3 ekor sotong berjaya dicandat. Oleh kerana saiz sotong tidak begitu besar... semua dilepaskan kembali ke laut supaya ia menjadi lebih besar dan mampu memberikan tentangan yang lebih hebat selepas ini.

 Seekor sotong yang cantik dalam pelbagai posisi


Salah seekor sotong yang baru naik ke darat

Sotong saiz paling kecil

Lebih kurang pukul 8 pagi air mula menyurut... ambe menamatkan trip candat solo ambe dengan tangkapan "catch and release" 3 ekor sotong sahaja. Walaupun pulang dengan tangan kosong... hati sedikit gembira kerana berjaya merakamkan gambar sotong yang cantik semasa di lokasi. Hingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

Bahaya Tu Boh!

Salam Ramadhan untuk semua pengunjung beragama Islam. Selamat datang kepada semua pelawat. Baru-baru ini ambe mendapat kiriman gambar WhatsApp dari Zulkifly... sabahat tegar sotonglaut di Dungun. Gambar tentang aktiviti mencandat di Tanjung Jara, Dungun. 

Gambar dihantar berkaitan satu kaedah mencandat yang semakin popular iaitu mencandat secara mengharung atau mencandat dalam air. Terima kasih kepada sahabat kita yang sudi berkongsi maklumat yang boleh ambe paparkan di sini untuk dikongsi dan diambil pengajaran. Memang tujuan utama pembinaan blog sotonglaut adalah untuk memberi pendidikan dan pengetahuan kepada semua pencandat baru dan lama mengenai kaedah pancingan sotong yang selamat dan berkesan. Ambe tidak akan berhenti daripada terus berkongsi ilmu dan pengetahuan sehingga seni pancingan sotong berjaya diangkat pada kedudukan yang baik di negara kita.



Kaedah Mencandat Dalam Air

Sebenarnya... kaedah mencandat secara mengharung ini telah lama dipraktik oleh pencandat di kawasan Pantai Timur. Suatu ketika dahulu ambe pernah melakukan kaedah ini dengan mengharung air laut sehingga ke paras dada untuk mencandat. Mengikut anggapan ketika itu... sotong besar paling banyak berada jauh ke tengah laut. Bari yang tiada bot untuk ke lokasi berkenaan, mereka memilih kaedah ini untuk mendapatkan hasil lebih lumayan.

Sebenarnya kaedah ini sangat bahaya kepada pencandat. Risiko lemas cukup tinggi. Jika ombak datang secara tiba-tiba, peluang untuk menyelamatkan diri sangat rendah. Mesin dan peralatan memancing juga lebih mudah terkena air masin dan cepat rosak. Jika pencandat tidak memakai kasut yang sesuai... risiko untuk disengat ikan depu yang beracun sangat tinggi. Duri ikan seperti ikan pari dan belangkas juga boleh menjadi ancaman kepada pencandat.

Malang tidak berbau, Baik beringat sebelum kena

Kebiasaannya, pencandat akan meletakkan sotong yang dipancing di dalam jaring atau bekas yang kemudiannya digantung pada pinggang. Sotong selalunya akan melepaskan dakwat hitam walaupun sudah mati. Dakwat ini selalu menarik perhatian ikan-ikan pemangsa seperti ikan jerung. Jerung yang kelaparan boleh bertindak secara agresif jika ia mengesan kehadiran makanan.

Semasa sotong cuba untuk dinaikkan, pancutan dakwatnya boleh mengenai mata pencandat. Peratus terkena dakwat di muka lebih tinggi disebabkan aras kedudukan muka pencandat hampir menyamai paras kedudukan sotong. Dakwat yang terkena mata boleh menyebabkan mata menjadi kabur dalam beberapa minit. Jika berlaku kecemasan ketika ini... tentu sukar untuk pencandat menyelamatkan diri.

Penggunaan lampu suluh untuk menyuluh umpan dan hasil tangkapan di tengah laut juga boleh mendedahkan tubuh pencandat kepada serangan mengejut ikan todak. Ikan todak yang terkejut boleh melukakan pencandat dan boleh juga membawa maut.

Ketika air jernih dan musim obor-obor, pencandat juga akan mudah terkena bisa dan disengat. Walaupun ada yang berkata sudah biasa dengan sengatan obor-obor, pencandat baru mungkin tidak biasa.... dan tentu akan menderita jika terkena. Jika candat pemancing terkena obor-obor dalam jarak yang dekat dan ketika cuba melepaskan obor-obor itu... percikan tubuhnya boleh mengenai mata pencandat. Bahaya sungguh... cakap boleh le. Kalau kena... silap-silap bersara terus.

Mencandat dari atas batu juga perlu berhati-hati

Mudah cerita... ambe nak nasihatkan pada semua pencandat yang masih mengamalkan kaedah ini.... berhentilah. Kaedah ini memang bahaya. Ingat sebelum kena.... jangan ingat kita sorang je kat dunia ni. Kita ada ibubapa, keluarga, anak-anak, saudara mara, rakan-rakan yang tentunya akan bersedih jika perkara yang tidak diingini berlaku kepada kita. Mencandatlah dengan selamat. Agama kita pun melarang menggunakan kaedah yang bahaya untuk mencari rezeki sedangkan ada kaedah lain yang lebih baik dan selamat. 

Berhentilah, sudah-sudah... cukuplah... tolong bagitau saing-saing lain yang masih sombong dan merasai dirinya cukup gagah dan kuat hinggakan tidak mahu mendengar nasihat orang lain. Beringatlah sebelum terkena. Terima kasih kepada En. Zul yang sudi menghantar gambar berkenaan bagi membantu Abe Din menulis untuk membantu sahabat-sahabat yang lain. Hingga berjumpa lagi. Selamat berpuasa-Abe Din


Read more >>

Mengkuang Laut

Selamat datang kepada semua pengunjung. Pada kali ini ambe nak tunjuk satu spesies tumbuhan yang dikenali sebagai mengkuang. Kalau kat kampung dulu mengkuang orang-orang tua buat tikar. Di Terengganu terutama di kawasan pantai banyak juga mengkuang tetapi lebih kecil dikenali sebagai mengkuang laut. Ia juga dikenali sebagai pokok pandang.


Gambar: Mengkuang Laut

Pusingan dan susunan daun yang unik

Ada buah lagi... kalau masak warna merah oren


Banyak tumbuh meliar di kawasan pantai

Pokok mengkuang digolongkan dalam genus pandanus. Ambe tak tau le pulak nama spesies bagi mengkuang laut ni. Tumbuhan ini ada duri tajam tetapi tidaklah setajam duri mengkuang paya atau mengkuang kampung. Mengkuang kampung lebih panjang dan sesuai dibuat tikar bersaiz besar. Masa kecik-kecik dulu selalu juga tolong arwah nenek cari mengkuang... buang duri, potong dalam jalur memanjang menggunakan alat khas kemudian dijemur dan diwarna. Bila dah tua ni... tak reti pula nak anyam tikar mengkuang. Hehe... derhaka sungguh.

Ambe tak tau le mengkuang laut ni boleh buat tikar ke tidak. Kalau ikut saiz nampak lebih pendek daunnya berbanding mengkuang sebenar. Tapi kalau nak buat anyaman kecil boleh kot.. hehe, ambe tak tau. Kadang-kadang best juga kalau dapat jalan-jalan kat tempat orang ni. Banyak benda baru yang kita jumpa.. Setidak-tidaknya bertambah juga pengetahuan dari terperap je kat kampung. Ok lah nanti panjang umur ambe post lagi apa yang patut. Bye-Abe Din
Read more >>

Trip 11/2014-Daratan

Salam pertemuan untuk semua. Selamat menjalankan ibadah puasa bagi semua pelawat Islam. Pada post kali ini ambe nak share dengan korang satu lagi trip mencandat yang diadakan pada hari ke-2 bulan ramadhan. Kebetulan esok hari cuti... 3 orang pencandat tegar sotong laut mula masuk ke lokasi pada pukul 10.30 malam selepas solat tarawih.

Air sudah mula menyurut ketika kami tiba di lokasi. Balingan pertama sudah bersambut... seekor sotong bersaiz sederhana berjaya dijerat. Pada malam berkenaan kami berjaya membawa pulang 19 ekor sotong pelbagai saiz. Lebih kurang pukul 2 pagi kami keluar ke kedai makan berdekatan untuk bersahur, Kami masuk semula ke lokasi selepas itu dan berjaya pula menjerat 2 ekor lagi bapak sotong. Trip tamat pada pukul 3.30 pagi.

Sotong yang berjaya ditangkap. 
Paling besar dan paling ganas


Seekor lagi bapak sotong

Seekor sotong yang terkena mata candat di bahagian ekor.
Tak pernah lagi jadi macam ni. kihkih

Tangkapan keseluruhan: 19 ekor
Berat juga nak usang balik ke kereta.

Satu peristiwa yang menarik... apabila seekor sotong terkena candat di bahagian ekor. Mula kena memang kuat tarik... selepas seketika, tarikan menjadi lemah dan semakin cepat sebaik sahaja karauan dibuat. Dalam kepala....sotong kecik je... bila naik semua terkejut. Tak pernah lagi dalam sejarah ambe dapat sotong macam ni. Tapi... tu semua rezeki di bulan puasa.

Kepada semua pencandat yang beragama Islam... selamat berpuasa, semoga anda sentiasa diberkati dan dirahmatiNya. Inysaallah.... Hinga berjumpa lagi-Abe Din

Read more >>

12 June 2014

Simple Apps

Selamat datang dan terima kasih kepada semua yang sudi berkunjung ke sini. Pada post kali ini ambe nak berceloteh sambil bercerita mengenai satu aplikasi telefon pintar yang sangat berguna kepada pencandat dan pemancing. Aplikasi bersaiz 1.8M dicipta bagi membantu pemancing melihat perubahan persekitaran yang secara tidak langsung berkait rapat dengan aktiviti mereka.

Apps diedarkan penama Anton Nikitin secara percuma tetapi dengan ciri yang terhad... hehe percuma le katakan. Kalau korang nak lebih ciri, korang kena dapatkan Pro Version yang dijual secara atas talian. Setakat ini... 100,000 hingga 500,000 Apps berkenaan telah dimuat turun bagi tujuan installasi.

Bagi korang yang ingin mendapatkan perisian ini... download terus dari Play Store dengan menggunakan akaun Google. Opps... lupa lak nak gitau... software ni dikenali dengan nama Fishing & Hunting Solunar Time. Gunakan maklumat dari perisian ini untuk meramal masa terbaik untuk korang pergi mencandat dan memancing. Suka ambe nak ingatkan... jangan asyik nak tengok Apps ni ketika memancing.... jatuh phone dalam laut... sendiri tanggung.
  
 
 Muka Depan Apps dan Ramalan Pasang Surut Air Laut

Ambe dah guna Apps ni dalam telefon pintar ambe... memang lama dah ambe cari perisian macam ni. Kalau dulu asyik rujuk air pasang surut dari majalah jika nak adakan trip memancing... sekarang semuanya ada di tangan dan hujung jari sendiri. Senang dan mudah... Apabila korang pasang Apps ni... ia akan detect secara automatik lokasi tempat korang berada. Alaaaa.... macam google earth tu lah.. buleh tengok bumbung rumah korang. Kihkih.... Apa yang ambe suka dengan perisian ini ialah keupayaannya untuk memapar keadaan muka bumi lokasi kita berada dan kawasan yang kita nak pergi.

Apps ini juga mampu meramalkan masa bulan dan matahari mula terbit, berada tegak di atas kepala dan ketika terbenam. Antara ciri lain termasuklah keadaan cuaca semasa, suhu, kelajuan angin dan macam-macam lagi lah... tak reti ambe nak cakap betapa bergunanya benda ni. Rujukan ambe selalu tertumpu kepada pasang surut air laut, kelajuan angin, kedudukan bulan, suhu dan cuaca semasa ketika itu. Semua faktor ini sangat membantu ambe ketika hendak turun mencandat dan memancing. Hehe... lupa nak bagitau, ambe guna yang free je. Maklumat Apps percuma pun dah banyak ciri yang berguna.


Calendar Dan Peta Lokasi Ada Juga... Bestttt....

Sebelum ambe terlupa... Apps ini dicipta untuk telefon pintar, Android. Kalau telefon korang cap ayam jangan nak salahkan ambe kalau korang tak leh install. Baca arahan betul-betul sebelum install. Kalau tak reti... tanya orang. Jangan nak tunjuk pandai. Satu lagi telefon korang mesti ada internet... kalau tidak lupakan saje cita-cita korang nak guna Apps ni.

Kalau pemancing dan pencandat atau siapa sahaja rasa Apps ni berguna... haaa.. install cepat sebelum tuan dia tukar Apps ni jadi berbayar. Kalau ok... share le dengan kengkawang. Suruh diorang install sama. Kalau tidak, diorang asyik tanya air pasang surut je bila nak buat trip memancing atau mencandat. Kalau diaorang ada Apps ni... bior diorang tengok sendiri. Kalau tanya jugak... kasi penampar satu das. 

Ok lah bro... letih dah ni. Ambe harap perkongsian ambe ni berguna. Selamat memancing dan mencandat. Jaga diri dan jumpa lagi-Abe Din.
Read more >>

11 June 2014

Trip 10/2014-Daratan

Selamat datang dan terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi bertandang ke blog sotonglaut. Semoga korang semua sihat dan bahagia selalu hendaknya. Pada post kali ini... ambe nak share sedikit cerita tentang hasil yang diperolehi pada trip terbaru.

Trip terbaru diadakan pada sebelah malam. Ambe dan seorang rakan tiba di lokasi ketika azan maghrib sedang berkumandang dari corong masjid berhampiran. Selepas selesai solat kami bergabung dengan seorang lagi sahabat sotonglaut dari Kemaman.  Ketika mula sampai, air laut mula pasang. Dari graf jadual yang dirujuk, air laut akan pasang secara menegak daripada petang sehingga pukul 10 pagi esoknya. Air laut surut sedikit dan naik semula secara berterusan.


Berat giler...sakit tangan nak bawa ke kereta..

Sampai di lokasi air agak bergelora kerana air sedang pasang... nak mencandat pun rasa malas. Menjelang pukul 10 malam air mula beransur tenang dan kami mula berjaya memikat seekor demi seekor sotong mabang pelbagai saiz. Bulan pula sedang tegak di atas kepala... memang best giler malam tu.

Tangkapan ambe pada malam berkenaan berjumlah 22 ekor manakala dua lagi rakan mendapat sebanyak 18 ekor. Jumlah keseluruhan tangkapan mencecah 40 ekor merupakan rekod baru daratan bagi tahun 2014. Anak sotong bersaiz satu hingga tiga jari cukup banyak dijerat... rata-rata sotong kecil yang dilepaskan semula oleh kami mencecah sekitar 30 ekor. 

Rekod tangkapan daratan 2014
 
Malam tu memang malam bertuah kami kerana ada beberapa orang pencandat yang berjaya mendapat hanya dua tiga ekor sotong sahaja dan pulang lebih awal. Seolah-olah padang pancing pada malam itu kami yang punya.  Bapak dan ibu sotong berselang seli menyambar jig udang hingga drag ambe rosak. Hehe... kekili jenis murah le katakan...Ambe terpaksa menggunakan tangan bagi melancarkan pergerakan keluar tali apabila ditarik sotong besar.

Ibu-ibu..., bapak-bapak.. yang berjaya ditarik naik

Kami keluar dari lokasi lebih kurang pukul tiga pagi... sayang nak balik kerana sotong masih galak menyambut jig udang... apakan daya, esok nak kerja. Bersyukur kami atas rezeki yang diperolehi pada malam berkenaan. Bila ada free rasanya nak berkunjung semula... tunggu nak beli candat dulu. Harap rekod malam tu akan dipecahkan lagi dalam masa terdekat. hingga berjumpa lagi... selamat memancing dan mencandat-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing