"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

05 April 2018

Tambah Interaktif Jig Anda

Salam kunjungan untuk semua pelawat sotonglaut. Alhamdulillah, dipanjangkan usia dan dapat kita bersua lagi di pentas maya pada kali ini. Ambe ingin berkongsi satu lagi idea untuk menambah interaktif jig. Artikel ini ditulis sebagai rujukan kepada ahli-ahli baru dan mereka yang mementingkan kos minimum untuk eging. Apa yang dikongsi pada kali ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan produk yang lebih mahal tetapi sekadar untuk memberi pilihan kepada eginger baru.

Ramai eginger dan juga ambe sendiri bermula dengan produk yang murah dan tidak sesuai ketika mula-mula bergiat dalam dunia eging. Sebaik sahaja sudah mahir dan mengenali produk yang lebih baik kita sudah berubah ke arah yang lebih sesuai dengan kemampuan masing-masing. Itu pilihan yang kita buat sendiri. Walaupun begitu jika kaedah-kaedah ini hendak diterapkan kembali kepada eginger baru jangan lah pula kita kata yang bukan-bukan. Mereka juga akan berubah pada suatu hari nanti. Blog sotonglaut akan terus mencadangkan idea-idea baru bagi kegunaan pelawat di luar sana

Umum mengetahui, penggunaan abalone sticker adalah bertujuan bagi menambah interaktif jig. Barangan import ini mudah dibeli secara online tetapi harganya agak mahal. Ketika merayau-rayau di sebuah pasaraya di pantai barat, ambe terjumpa dengan produk alternatif yang tidak kurang hebat juga berbanding sticker abalone. Memang tujuan ke sana pun untuk cari bahan seperti ini. Ambe telah membuat percubaan selama 3 bulan dan hasilnya juga boleh tahan. Antara tanda bagi mengetahui keberkesanan jig yang anda guna, ia mampu menarik perhatian ikan. Dari 3 ekor yang ambe bawa seekor telah diputuskan oleh ikan manakala yang dua lagi berjaya mendaratkan sotong.



Barangan yang ambe maksudkan ialah FabFoils yang digunakan bagi menghias kuku. Ia merupakan foil bercorak yang nipis dan lembut. Juga boleh dibeli secara online. Harga ketika dibeli RM15.00 termasuk 10 gulung foil yang berbeza warna, sebotol base coat(white) dan sebotol top coat (clear). Ambe juga membeli beberapa gulungan sticker foil tambahan berlainan warna dengan harga RM5 setiap satu.

Produk ini sangat lembut dan ringan, elak dari memasang foil di bawah kipas yang kuat atau di kawasan yang berangin kerana ia akan menyukarkan anda. Anda juga perlu mempunyai kemahiran untuk memilih kombinasi warna jig dan warna foil yang hendak digunakan. Lakukan percubaan dan ujian beberapa kali untuk mendapatkan keserasian terbaik.


Contoh Abalone sticker yang dipasang pada squid jig
Sangat interaktif. Sekarang harga di Malaysia masih mahal lagi.


Cara penggunaan diterangkan dengan gambar dan tulisan.

Di sini ambe ingin berkongsi cara menggunakan FabFoils bagi menghias jig anda. Pertama sekali anda perlu memilih jig yang sesuai untuk dihias dan cuba dapatkan sedikit perbezaan warna dengan foil yang hendak digunakan. Bersihkan dan keringkan jig anda terutamanya dari minyak dan air. Sapu base coat menggunakan berus yang disediakan. Biarkan selama 2 hingga 4 minit. Kemudian letakkan foil pilihan dengan permukaan bercorak menghadap ke atas. Tekan menggunakan jari atau bahan lembut untuk melekatkan gam dan foil. Biarkan sekejap. Tarik foil perlahan-lahan.

Anda akan dapati bahagian yang terkena base coat akan tertinggal. Jika berlaku koyakkan, ulang semula pada bahagian yang tidak terkena foil. Foil sticker ini sangat sesuai digunakan pada jig yang rata seperti Cougar dan jig-jig plastik yang lain. Walaupun  begitu, ambe telah pun cuba gunakan pada jig-jig permukaan kain. Ianya masih boleh digunakan walaupun tidak begitu kemas. Selepas lekatan dibuat dengan sempurna, sapukan clear coat yang disediakan bagi menambah kilat pada foil.


Corak yang cantik dan menarik
Terbukti mampu menarik perhatian sotong
Imej adalah gulungan tambahan yang dibeli

Contoh foil yang terdapat dalam kotak

Base coat dan clear yang terdapat dalam kotak

Bagi kaki-kaki pancing ikan, kaedah ini juga boleh digunakan pada jig ikan, rapala, umpan jigging dan popper. Ambe hanya memberi sedikit panduan dan asas. Jika ada idea yang lebih baik berkongsilah. Sampai di sini dahulu perkongsian ambe kali ini. Fahami apa yang ambe cuba sampaikan. Cari objektifnya. Jika kesalahan yang dicari.. itulah yang akan anda jumpa. Jika ada kekusutan, kembali kepada puncanya. Ambe sedia membantu setakat yang termampu. Maaf jika ada salah dan silap. Selamat mencuba-Abe Din

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing