"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

11 October 2013

Bali di Dungun

Selamat dan dan selamat berkunjung kepada semua pelawat. Lama juga aku tak jenguk blog sotonglaut. Penghujung tahun macam ni... aku memang sibuk dengan kerja. Nak pergi mencandat pun takde masa.

Baru-baru ni... aku terlibat dengan tugasan di luar... di Dungun, Terengganu. Lokasi di Mayang Sari Resort, Pantai Teluk Lipat, Dungun. Dalam kepala dah mula mencongak untuk bawa pancing. Maklumlah... kawasan resort berhadapan dengan Laut China Selatan. Apa lagi... ni le masa nak test power.

Pintu masuk ke Mayang Sari Resort

Mula-mula sampai... memang aku kagum dengan resort ni. Menawarkan konsep dan pengalaman Bali. Sapa-sapa yang tak pernah pergi ke Bali.... boleh datang sini. Kalau best baru gi Bali, Indonesia. Kawasan persekitaran memang cantik...


Gambar hadapan salah satu rumah Bali

Sekitar kawasan resort banyak terdapat tumbuhan-tumbuhan yang hijau dan cantik. Berbaloi jugak datang sini. Dalam 3 hari dua malam kat sini apa le aku  nak buat... mungkin jalan-jalan kat bandar Dungun... mencandat sudah semestinya. bila..

Permandangan Laut China Selatan dari Cafe

Ruang rehat di Resort

Masa nak masuk bilik...rupa-rupanya pintu dia kat belakang. Bilik boleh le tahan.. masa nak gi mandi...bilik air pulak takde dinding. camne nak mandi. Kalu ada orang ngintai macamane. Last sekali pakat terjun kolam kat belakang rumah. Puas jugak aku mandi sampai merah bijik mata. Lepas tu nak bagi kursus pulak... budak-budak aku tu perasan ke mata aku merah? Lantak le diorang. Masa mandi kolam tu teringat zaman budak-budak dulu.

Kolam mandi resort berkonsepkan "Bali"

Lepas habis tugas... tidur. Memang best. Malam nanti dah plan nak gi candat kat pantai.. Makan kat sini biasa-biasa saja... tak rasa macam Bali pun. Rasa macam dok Malaysia jugak. Disebabkan makanannya biasa saje... aku dengan kekawan banyak pergi makan kat luar... bandar Dungun. Boleh gak jalan-jalan hilangkan boring.. Tak sabar nak tunggu malam. mencandat..

Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

04 October 2013

Salam Dari Kuantan

Selamat berkunjung kepada semua pengunjung dan pelawat. Pada post kali ini, aku nak perkenalkan kepada korang sume dengan seorang lagi sahabat baru sotonglaut. Sahabat yang aku maksudkan itu ialah Mohd Zulkifly dari Kuantan, Pahang.

E_mail, aku terima pada 5.57PM, 24 September 2013 bersamaan hari selasa. Beliau boleh dikatakan kerap juga mencandat dan mengewang sotong sekitar Benteng Pemecah Ombak Gebeng, Pantai Pelindung Beserah dan teluk Tongkang Pelindung. Beliau juga menyertakan dua keping gambar digital untuk tatapan korang sume.

 Mohd Zulkifly dari Kuantan

Jika korang berminat untuk menghubungi beliau, bolehlah menghantar e-mail menggunakan alamat bigbug_yn@yahoo.com. bukan apa.... kalau korang tersesat ke Kuantan boleh juga le ajak Zul melawat dan mencuba lokasi terbaik di sana. Orang kata sotong pemecah ombak kat sana... memang power giler. Bila lagi korang nak test..

 Mabang yang berjaya beliau candat

Bagi korang yang masih belum hantar gambar korang bersama sotong ... bile lagi nak hantar. Kongsi-kongsi le dengan orang lain. Jangan kedekut sangat pengalaman tu.... kalau ada story berkaitan sotong pun ok gak. Blog buruk aku ni... tanpa segan silu akan publish pengalaman korang dengan syarat ia bersesuaian dengan tema blog sotonglaut.

Salam perkenalan bagi pelawat yang baru tiba ke sini. Sehingga berjumpa lagi. Sekian.
Abe Din.
Read more >>

24 September 2013

Penyesuaian Mabang

Selamat datang kepada semua pengunjung. Semoga anda semua sentiasa berada di dalam keredhaan-Nya. Pada post kali ini, aku akan berkongsi sedikit maklumat tentang penyesuaian bentuk badan sotong mabang. Baru-baru ini, aku berkesempatan mengikut satu trip ke Kijal. Trip yang diatur pada sebelah malam itu telah disertai oleh tiga orang lagi pencandat sotong mabang.
 
Ketika sampai di lokasi, kami lihat keadaan air yang agak bergelora. Situasi ini memang kurang sesuai untuk menjerat spesies sotong mabang. Alang-alang dah sampai kami masuk juga ke port mencandat. Sampai di tempat yang dituju... aku terus mencari batu yang agak rata dan terus lepak sambil baring. Sementara menunggu dua orang lagi sampai... aku sempat melelapkan mata seketika. Ombak memang kuat... tanda-tanda berhenti pun tak nampak.
 
Bila rasa boring... aku turun ke tepi batu dan membaling candat ke tengah air laut yang bergelora. Tanpa di sangka-sangka, tarikan kuat dikesan menyambar candat berhampiran dengan tebing batu ketika balingan candat kali kedua. Sah sotong... memang tak sangka. Saiz besar lengan orang dewasa. Pada malam itu aku berjaya menaikkan 6 ekor sotong mabang pelbagai saiz.
 
Sebaik sahaja dua orang lagi rakan sampai... koleksi kami makin bertambah. Walaupun rezeki pada malam tu tak banyak... salah satu tangkapan yang berjaya dinaikkan oleh seorang rakan sotonglaut bersaiz mega dan sentiasa menjadi idaman pencandat sotong mabang. 
 

 Sotong yang dinaikkan bersaiz besar dan panjang

Sotong mabang biasanya berbadan bulat dan gempal... tidak terlalu panjang ataupun gemuk pendek. Sotong sebegini biasa bermain di kawasan batuan berair tenang. Walaupun begitu, sotong melakukan penyesuaian semulajadi kepada bentuk badannya jika berada di kawasan berarus laju dan bergelora. Tujuannya adalah untuk memudahkan ia bergerak dan mencari makanan. Jika korang memperolehi sotong yang agak panjang... korang boleh membuat kesimpulan bahawa...  air tempat habitat sotong berkenaan tinggal berarus deras dan bergelora. 

Sotong gempal dan gemuk yang suka bermain di air tenang sangat kuat membenam apabila terkena umpan. Walaupun lariannya tidak begitu laju... tarikannya sangat kuat dan berat. Sotong bersaiz panjang pula yang mendiami habitat berarus laju... mempunyai daya tarikan yang kuat dengan pecutan awalnya yang sangat bertenaga. Sotong begini mampu melepaskan diri dengan melakukan kejutan ketika memecut. Bagi menjerat spesies sotong arus deras, korang perlu melonggarkan drag kekili agar sotong tidak tercabut dan terlepas lari dengan mudah.


Dapat saiz macam ni dalam 5 ekor pun dah berbaloi

Sekian dahulu untuk kali ini... hingga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

17 September 2013

Hasil Trip S4/5

Selamat datang untuk semua. Post kali ini memaparkan hasil tangkapan peserta Trip Pulau Siri4/5. Peserta Trip Siri 4 bertolak pulang pada pukul 11 pagi. Ketika kami meninggalkan pulau, sotong masih galak menyambar candat... tapi apakan daya, pemandu bot sedang menunggu. Kami terpaksa berkemas dengan tergesa-gesa dan bertolak pulang. Kami juga tidak sempat untuk bergambar bersama tangkapan di lokasi. Semua gambar yang diperolehi di Whatsapp dari rumah peserta.


WhatsApp Dari Chukai, Kemaman
Pencandat: Cikgu Man
 
 


WhatsApp Dari Cheneh, Kemaman
Pencandat: Suhaimi
 
 


WhatsApp Dari Kota Bahru, Kelantan
Pencandat: Cikgu Irwan dan Kamarudin
 
 

Sekian untuk post kali ini... hingga berjumpa lagi.
Abang Din.
Read more >>

16 September 2013

Trip Pulau S4/5

Selamat datang kepada semua pelawat sotonglaut. Baru-baru ini trip pulau Siri 4 dan 5 telah diadakan di Pulau Ular, Cherating. Siri 4 disertai 5 orang pemancing dan pencandat manakala Siri 5 disertai 4 orang pencandat. Bersama Post kali ini disisipkan gambar-gambar peserta ketika beraktiviti di sana.



Air laut bergelora. Mendebarkan semua peserta


Air lebih tenang berhampiran pulau. 
Kecantikan karang dapat dilihat dengan jelas


Bergambar sebaik tiba di pulau
Dari kiri: Cikgu Irwan, Kamaruddin, Man dan Suhaimi 


Memancing sambil bersantai

Melayan tarikan sotong mabang mega



Peserta Siri ke-5 memunggah barang ke bot


Kamarudin bersama pari bintik



Bertolak pulang ke tanah besar
Pemandangan di dasar cukup cantik. 
Karang dan ikan dapat dilihat dengan jelas.


Hasil tangkapan pada post berikutnya.
Sekian, Abe Din.
Read more >>

14 September 2013

Fenomena Air Penor

Selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut. Pada post kali ini, aku ingin berkongsi sedikit maklumat dan pengetahuan berkenaan satu fenomena alam semulajadi untuk panduan korang. Fenomena yang aku maksudkan ialah "air penor".

Istilah ini mungkin asing bagi korang dan ia juga asing bagi aku. Aku bertemu dengan fenomena ini secara tidak sengaja di Pantai Kemasik dan Pulau Ular, Cherating. Pada malam ketika aku mencandat... air cukup cantik, tenang dan tidak bergelora. Selalunya... keadaan seperti ini mampu menghasilkan jumlah tangkapan di luar jangka.

Malangnya apa yang diharapkan tidak berlaku. Di Kemasik, aku hanya berjaya menjerat seekor sotong mabang bersaiz sederhana dan seekor lagi sotong besar berjaya melepaskan diri. Selepas itu tiada langsung sambaran dari sotong. Bahu pula semakin sakit kerana kerap membaling jig. Hari itu... aku pulang pada pukul 5.30 pagi dengan perasaan kecewa. Aku masih belum tahu sebabnya pada ketika itu.

Sotong tunggal yang berjaya dijerat di Kemasik

Pada hujung minggu berikutnya, aku mengikuti satu trip siri 4 ke pulau ular. Keadaan yang sama berlaku. Aku dan peserta trip gagal memperolehi sebarang tangkapan ketika malam hari walaupun keadaan air dan bulan cukup baik. Seorang dari peserta trip kami cuba membuat hipotesis tentang keadaan ini. Kami semua bersetuju dengan pendapat ini. Setelah tiada sotong yang ditangkap sepanjang malam.... kami mengambil keputusan untuk pulang ke khemah dan berehat. Rezeki kami hanya datang pada siang hari keesokannya.

Sampai di tanah besar... aku bertanya kepada pemandu bot kami. Pak Yahya mengesahkan fenomena ini dengan satu terminologi tempatan yang baru bagi aku iaitu "air Penor". Sampai di Rumah... aku sahkan pula penemuan ini dengan otai sotong di kawasan aku dan mereka memberikan jawapan yang sama iaitu "air penor". Carian di laman sesawang pula gagal menemui maklumat berkaitan penggunaan istilah ini.

Gambar "air penor" tidak jelas menunjukkan fenomena yang berlaku

Apakah "Air Penor"
Air penor ialah keadaan di mana air laut akan menghasilkan cahaya-cahaya bersinar putih kehijauan atau kebiruan apabila berlaku kocakan dan pelanggaran antara atau dengan molekul-molekul air laut. Selalunya fenomena ini berlaku ketika air jernih. Kilauan cahaya ini dapat dilihat dengan jelas ketika ombak memukul pantai atau ketika bot membelah lautan. 

Setiap kali tali pancing ditarik... garisan-garisan cahaya terbentuk dan dapat dilihat dengan jelas di waktu malam. Gewang atau umpan yang ditarik pula akan menghasilkan kilauan cahaya yang lebih besar dan memanjang apabila ditarik.

Kita mudah mengesan kedudukan umpan dan arah tali pancing kita sebaik sahaja tali dihenjut atau ditarik. Keadaan ini akan menakutkan sotong dan ikan untuk mendekati umpan yang dibaling. Fenomena ini adalah sesuatu yang tidak baik bagi pencandat sotong dan mereka yang menggunakan gewang atau rapala bagi memancing ikan. Jika fenomena ini berlaku tentu hasil akan kurang atau tiada langsung. Walaupun begitu, ikan dan sotong masih boleh ditangkap dengan mudah pada waktu siang hari kerana fenomena ini sukar dilihat pada siang yang terang.

Ketika mengambil air sembahyang... titik-titik cahaya berwarna bertaburan di lengan dan tangan dan hilang seketika kemudian. Keadaan ini mengingatkan aku tentang cerita fiksyen Avatar. Fenomena ini masih sukar untuk aku jelaskan puncanya. Mungkin kerana tindakbalas molekul air dengan air hujan atau bahan kimia asing ataupun mungkin juga ia terjadi disebabkan perbezaan kepekatan garam dalam air laut. Aku percaya sains ada jawapannya...cuma aku masih belum menemuinya.

Sekian dahulu untuk kali ini. Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

31 August 2013

Sejarah EGI


Selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/. Pada kali ini, aku nak story sikit  dan share dengan korang berkaitan dengan sejarah penciptaan EGI. Pada umumnya EGI merujuk kepada umpan tiruan yang dicipta dan digunakan oleh nelayan tradisional Jepun. Umpan ini dicipta dengan meniru gaya ikan dan udang bagi memikat sotong. Pada tafsiran yang lebih luas, EGI juga merujuk kepada gaya permainan sotong yang meliputi teknik-teknik tertentu dan dimainkan di perairan negara Jepun.

Dari rujukan yang aku perolehi, dikatakan bahawa jig sotong pertama telah mula dicipta sekitar 300 hingga 400 tahun yang lalu. Sekali imbas penciptaan jig pertama ini masih kekal utuh dari segi rupa bentuknya. Ia menjadi asas utama kepada penciptaan jig-jig sotong pada zaman moden.

 
Mengikut sejarahnya.. kalau korang nak tahu le.., jig sotong terawal telah dicipta oleh seorang pemuda yang telah melihat kawanan sotong di sebuah pelabuhan di Jepun. Beliau berfikir cara yang lebih baik untuk menangkap sotong-sotong berkenaan. Dari pemerhatiannya, beliau dapati sotong kerap menjadi mangsa ikan kerana pergerakannya yang perlahan dan kerap berhenti-henti ketika berenang. Selepas melakukan berapa rekaan jig dan membuat beberapa percubaan.. maka terciptalah umpan tiruan ini yang dinamakan EGI.

EGI awal dicipta menggunakan kayu maple hanyut dan duit syiling digunakan sebagai pemberat. Pada ketika itu kain atau balutan jig masih belum digunakan. Seiring dengan perubahan masa, ukiran tangan dan haba digunakan bagi melakar tulisan dan warna berbeza pada badan jig. Bulu kuda digunakan untuk meniru kaki udang manakala bulu burung digunakan untuk meniru sirip ikan dan bertujuan melambatkan jig tenggelam. Seterusnya siri dawai halus dan mata kail telah diletak di belakang EGI dan evolusi ini telah memangkin kepada penciptaan jig (EGI) moden pada masa kini.


Pada masa dahulu, jig-jig kayu tradisional ini telah digunakan secara meluas oleh nelayan-nelayan tempatan Jepun di Satsuma, Wilayah Kagoshima. Setiap jig yang digunakan pada ketika ini mengambarkan kekayaan hasil seni penduduk Jepun pada ketika itu. Rata-rata jig yang dihasilkan bersaiz 16 cm panjang atau lebih kurang 6.29 inci. 


Sekarang, jig-jig moden telah dihasilkan menggunakan badan-badan polikarbonat. Pelbagai warna foil dan kain balutan yang lengkap dicipta dengan pemberat plumbum atau timah bagi menambahkan keseimbangan dan kesempurnaan pada jig moden. Hingga kini, rekabentuk asas dan fungsinya masih tidak berubah. Penggunaan EGI sotong yang berasal dari negara asalnya Jepun bagi tujuan menangkap sotong juga dikenali dengan panggilan egingu. 

Potensi jig-jig dari negara matahari terbit ini dalam menjerat sotong memang tidak boleh dinafikan. Sehingga kini, jig-jig Jepun ini telahpun memasuki pasaran global. Jig Jepun ini  mudah dibeli di negara kita dan di negara-negara seperti Australia dan Eropah. Apa yang menjadi kebimbangan pada ketika ini, ialah kehadiran jig-jig tiruan buatan China yang banyak ditemui di pasaran. Moga-moga EGI Jepun ini akan terus kekal mewarnai dunia pancingan sotong di negara kita. Sekian... jumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing