"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

13 April 2011

Telur Sotong

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din masih lagi ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasihkepada semua pengunjung terutamanya individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini. Terima kasih juga kepada pengunjung yang sudi menghantar komen pada post-post sebelum ini.
 
Sotong sedang mengawan dan bertelur

Pada post kali ini, Abe Din akan berceloteh tentang telur sotong. Mungkin ramai di antara kita adalah peminat telur sotong. Telur sotong tidak bercengkerang dan mempunyai tekstur yang lembut. Telur sotong mengandungi kandungan air yang menyebabkan ia agak lembik pada peringkat awal kematangan telur. Oleh sebab itu telur sotong mudah pecah dan berkecai. 

Pada kebiasaannya, telur sotong berwarna putih susu pada peringkat awal, berbiji-biji putih di peringkat separa matang dan berbiji-biji gelap pada fasa akhir sebelum penetasan berlaku. Ketika fasa akhir, anak sotong yang kecil boleh dilihat bergerak-gerak di dalam biji-biji telur berkenaan. 

Ketika telur sotong berada di dalam tiub badan, bentuk telur akan dikekalkan oleh badan sotong. Bentuk telur sotong adalah berbeza mengikut spesies. Ada yang berbentuk memanjang, bulat, dan bentuk tidak sekata.

Lokasi-lokasi pilihan sotong untuk bertelur

Sotong memillih tempat yang berbeza-beza untuk bertelur mengikut spesies. Sotong Torak, jejarum, ketupat, dan mabang memilih lokasi cetek yang boleh ditembusi oleh cahaya matahari bagi membantu proses penetasan telur. Selalunya sotong jenis ini bertelur secara kumpulan besar dan setempat. Sotong kurita pula bertelur di kawasan tersorok dan biasanya bertelur secara sendiri atau kumpulan yang kecil.

Proses dimulai dengan ritual mengawan yang melibatkan kumpulan sotong. Dari pembacaan Abe Din, sotong bukan jenis haiwan monogami tetapi pemilihan pasangannya adalah rawak dan sukar ditentukan. Beberapa spesies sotong seperti sotong mabang akan berlawan bagi merebut seekor sotong betina. Ada juga sotong bersaiz lebih kecil mengambil kesempatan mengawan dengan sotong betina ketika jantan yang lebih besar sedang mengancam antara satu sama lain.

Pengalaman Abe Din menunjukkan bahawa sotong yang sedang mengawan tidak begitu berminat untuk menyambar jig udang. Sotong yang sedang mengandung telur pula lebih berminat untuk menyambar jig begitu juga sotong yang telah bertelur. Abe Din tidak dapat memastikan adakah sotong yang sedang bertelur mempunyai minat untuk menarik jig.

Ketika proses ritual mengawan, semasa bertelur atau dengan kata lain ketika sotong berkumpul dalam kumpulan yang banyak, berlaku kecederungan untuk sotong mencederakan sesama sendiri terutamanya bagi spesies sotong jarum, cumi-cumi dan torak.

 
Anak sotong yang mula menetas

Sotong torak dan mabang yang begitu popular di Terengganu bertelur dalam kumpulan yang besar. Lokasi telur berkenaan dikenali sebagai "kandang" oleh masyarakat setempat. Jika di kawasan laut lepas terdapat banyak "kandang" sotong yang perlu dicari pemancing. Setiap tahun lokasi "kandang" akan berubah-ubah mengikut lokasi pasir yang terbentuk di tengah laut. Kemahiran tekong mencari "kandang" tentunya akan membuahkan hasil yang lumayan kerana lokasi berkenaan merupakan tempat berkumpulnya beribu-ribu sotong. (Cara-cara mencari "kandang" telah Abe Din bincangkan di dalam post sebelum ini)

Sotong yang mempunyai telur boleh dikenalpasti dengan melihat bahagian abdomennya yang nampak sedikit membengkak dan mengeras. Telur sotong memang sedap... setakat ini belum ada yang palsu macam telur ayam tu...kih.kih. Jika anda mempunyai stok telur sotong yang banyak tentunya pelbagai resepi boleh direka dan dicuba.
 
Telur sotong selalunya agak lembik dan mudah pecah. Keadaan ini akan menyukarkan kita untuk mencuci bahagian dalam badan sotong. Satu cara yang boleh dipraktikan ialah dengan menyimpan sotong di dalam peti sejuk. Selepas dibekukan sedikit, proses mengeluarkan telur, membuang dakwat dan mencuci akan menjadi lebih mudah.

Telur sotong boleh dimasak secara berasingan atau dibiarkan berada di dalam badan sotong. Jangan buang telur sotong... rugi... kerana sotong tidak bertelur sepanjang masa. Kita jarang melihat sotong yang dijual mempunyai telur. Tidak mustahil jika dikatakan sotong bertelur setahun sekali bergantung kepada spesies. 

Tidak lama lagi "si panjang" atau sotong torak akan mula ditangkap di perairan Terengganu. Mungkin ramai yang ingin tahu kenapa pada masa-masa tertentu sahaja sotong spesies ini mengunjungi pantai Timur? Jawapanya hanya satu iaitu untuk mencari makan, mengawan dan BERTELUR.

Semoga berjumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

05 April 2011

Sotong BAHAYA

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. 

Pada kesempatan ini, Abe Din masih lagi ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih semua pengunjung terutama individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini.


Mungkin anda pernah terjumpa atau terbaca keratan yang berkaitan dengan gambar di atas. Sebenarnya ulsaan di atas telah disiarkan oleh sebuah akhbar perdana berkaitan kenyataan  CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) yang mendedahkan bahawa sotong kering tidak selamat dimakan kerana mengandungi logam kadmium.

Bahan kadmium dikatakan digunakan di dalam pembuatan bateri, plastik dan baja fosfat. Presiden CAP juga menyatakan bahawa logam berkenaan juga dikesan di dalam tiram, ikan bilis dan udang. Kadmium juga dikatakan bahan yang boleh mencetuskan kanser, penyakit buah pinggang dan penyakit hati.

Sotong kering yang diuji dikatakan mengandungi 4 kali ganda kadmium melebihi daripada yang dibenarkan. Kajian yang telah dijalankan terhadap sampel sotong kering mendapati 5 sampel mengandungi kadmium manakala 3 lagi sampel mengandungi logam berkenaan secara berlebihan.

Kenyataan akhbar berkenaan telah mengejutkan peminat-peminat sotong kering. Banyak blog dan laman-laman peribadi telah mengulas isu ini. Tidak kurang juga yang membuat link bagi kenyataan akhbar berkenaan. Hampir semua ulasan dan catatan laman berkenaan seolah-oleh memberi signal iaitu memakan sotong kering boleh mengundang bahaya.


Sotong kering memang ramai peminatnya.

Abe Din sememangnya sangat terkejut dengan kenyataan berkenaan. Betul ke..? Carian internet bertajuk "bahaya sotong kering" mudah dicapai kerana tajuk ini banyak diulas dan dijadikan isu perbincangan. Walaupun begitu artikel yang dipaparkan nampak agak berat sebelah.

Perasaan bimbang sekali-sekala datang juga hinggalah Abe Din menjumpai satu lagi ulasan akhbar yang sama yang menyatakan sotong kering masih selamat dimakan dan paras kadmium berada di bawah paras bahaya. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, berkata pihaknya sentiasa  memantau kandungan kadmium dalam produk makanan laut bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna. 
 
Di bawah Peraturan 38, Peraturan-peraturan Makanan 1985 paras kadmium yang dibenarkan di dalam makanan termasuk makanan laut adalah tidak melebihi 1.00 bahagian sejuta (ppm) atau mg/kg. Hasil pemantauan dari Januari hingga Jun 2010 mendapati sebanyak 12 atau (0.86 peratus) daripada 1,372 sampel yang diambil dikesan positif untuk kadmium iaitu kandungan antara 1.1 hingga 10.75 ppm.

Antara sampel yang diuji termasuk udang harimau (dua sampel), sotong kering (dua sampel), ikan bilis (tiga sampel), ikan tuna ( satu sampel), ikan hake (satu sampel), rumpai laut berperisa (dua sampel) dan kepala sotong kering (satu sampel).


Penggunaan kadmium yang berlebihan dalam makanan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 dan mereka yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kadmium adalah sejenis logam berat yang boleh hadir secara semulajadi dalam udara, air dan tanah tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja. Ia tidak terurai dan akan berkumpul mengikut masa.
Kadmium juga terhasil daripada pembakaran bahan buangan dari rumah atau industri, pembakaran arang batu dan minyak selain terhasil daripada asap kenderaan, penghasilan bateri dan cat, industri pemprosesan logam, pengangkutan dan pembuangan sampah. Kesan sampingan kadmium boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan jangka masa pendek di mana seseorang itu akan mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, berpeluh berlebihan, otot menggigil dan keresahan.

Apabila dikaitkan dengan kanser yang memang menjadi igauan terutamanya di kalangan wanita, isu ini mula mencetuskan aura kebimbangannya tersendiri. Tidak mustahil ada di antara mereka yang telah berhenti memakan sotong kering kesan daripada kenyataan CAP ini. 

Seperti yang diketahui umum, sotong kering merupakan makanan popular orang Melayu terutamanya di Kelantan dan Terengganu kerana makanan ini mudah diperolehi. Abe Din cuba mendapatkan sedikit statistik yang cuba mengaitkan kanser dan sotong kering. Statistik yang dijumpai menunjukkan kajian risiko bagi 100,000 orang antara tahun 2002 hingga 2003 mengikut kaum utama, kanser payudara paling biasa di kalangan kaum Cina diikuti oleh kaum India dan Melayu.

Banyak pandangan CAP yang boleh dipertikaian terutama dari segi pengumpulan datanya. Sepatutnya lokasi di Pulau Pinang tidak boleh mewakili keseluruhan data bagi Malaysia. Bahan kajian yang dipilih juga perlu diperhalusi terutama punca bahan, tempoh pembuatan bahan, Bahan campuran, teknik pembuatan begitu juga lokasi dan pembuat.

Kajian berasaskan sampel yang kecil dan lokasi tunggal tidak mematuhi kaedah kajian yang sebenar. Datanya masih boleh dipertikaikan dan dianggap lemah. Kenyataan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan yang dibuat sehari selepas kenyataan CAP berkenaan wajar diambil sebagai satu kenyataan yang lebih ilmiah.

Abe Din tidak berhasrat untuk mempertikaikan usaha CAP tetapi kenyataan mereka telah mengubah pandangan awam terhadap makanan berasaskan sotong kering. Kesan terhadap kenyataan berkenaan perlu diambil perhatian yang serius. Kesan yang paling besar adalah terhadap pengusaha sotong kering komersial. Apabila pandangan terhadap sotong kering terlalu negatif maka sotong mentah dan sotong segar juga akan terkena tempiasnya dan mendapat title yang sama.


 Makan makanan yang halal

Akhir kata, Abe Din berharap blog dan laman-laman yang menyiarkan hanya kenyataan CAP agar memperbetulkan kenyataan berkenaan dengan menyiarkan kenyatan Pengarah Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan. Semoga pembetulan ini akan menghilangkan fobia pengguna terhadap sotong samada yang kering atau segar.


Sehingga berjumpa lagi.. jaga diri.
Abe Din
Read more >>

29 March 2011

Melembut Sotong

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung sotonglaut. 

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih semua pengunjung terutama individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini kepada

Pada post kali ini, Abe Din akan menerangkan serba sedikit petua bagi melembutkan daging sotong. Sotong sememangnya satu hidangan yang istimewa bagi penggemarnya. Ramai di antara kita yang tidak begitu mengambil tahu tentang cara dan teknik penyediaannya. Antara cabaran memasak sotong ialah letupan minyak panas dan kesabaran melembutkan dagingnya.

Di antara beberapa jenis sotong, sotong mabang, sotong katak dan sotong kering mempunyai daging yang agak liat. Jika tidak kena cara penyediaannya, memang sukar untuk dimakan. Sotong jenis lain seperti sotong jarum, cumi-cumi, ketupat dan torak mempunyai struktur isi yang lebih lembut dan sedap dimakan.


Gambar di atas menunjukkan dua jenis sotong di dalam kategori yang keras dan liat struktur  dagingnya iaitu sotong mabang dan katak.  Sotong jantan bersaiz besar lebih liat dari sotong betina. Sotong bersaiz kecil pula lebih lembut dagingnya.

Cara melembutkan sotong katak dan sotong mabang
1-Bersihkan sotong dan buang kulitnya
2-Belah sotong kepada dua bahagian dan buka isinya
3-Ambil kayu atau lesung batu bersih
4-Ketuk setiap bahagian daging (jangan ganas... nanti hancur)
5-Basuh sekali lagi dan potong ikut citarasa kita sebelum dimasak
6-Cara lain : Mengelar daging secara halus dan rapat tanpa putus
7-Buat bentuk seperti jaring pagar
8-Potong ikut saiz dikehendaki dan masak.

~Jika sotong berkenaan bersaiz besar dan tentunya liat, elakkan memasaknya dengan kombinasi masam kerana masakan masam seperti tomyam akan menyebabkan dagingnya semakin mengecut, memendek dan liat

 ~Jangan masak sotong terlalu lama-kalau buat gak.. sah liat
~Di negara barat, penduduknya mencampur beberapa jenis bahan kimia yang bertindak sebagai enzim pelembut daging.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
sukar untuk dinafikan bahawa sotong kering memang mempunyai peminatnya yang tersendiri. Walaupun diwar-warkan akan bahaya sotong kering, peminatnya macam tidak ambil kisah. Di Terengganu, untuk membeli sotong kering memang mudah. Ada yang dijual di tepi-tepi jalan sahaja. Pusat jualan tentunya di pasar payang, Kuala Terengganu. Harganya pula boleh dikira berpatutan dan boleh tawar menawar macam beli kain. Memang best..



Cara melembutkan sotong kering
1- Cara turun-temurun : Rendam sotong di dalam air panas. Biarkan lembut seketika kemudian dipotong mengikut citarasa sebelum dimasak.
2- Cara lain-Rendam sotong kering di dalam abu tanah bakar atau abu kayu pun boleh dalam masa lebih kurang setengah jam sebelum dipotong ikut citarasa dan dimasak.

Info tambahan: Abu yang digunakan perlu dilarut dalam air dulu (lagi pekat lagi bagus).. lepas tu, rendam sotong kering korang dalam larutan berkenaan. Sebelum masak korang basuh le dulu, kemudian potong ikut citarasa korang dan terus buleh masak. Beres...

Diharap info yang diberi dapat digunakan oleh tukang masak terutamanya suri rumah. Jika ada teknik dan cara lain boleh hantar komen anda untuk kita sama-sama berkongsi. Jangan sorok ilmu... tak baik

Hingga berjumpa lagi pada post akan datang. Jaga diri..
Abe Din
Read more >>

25 March 2011

Petua Goreng Sotong

Salam sejahtera untuk semua pengunjung sotonglaut.com/
Pada post kali ini, Abe Din hendak berkongsi sedikit petua berkaitan proses penyediaan sotong goreng. Mungkin ramai yang pernah merasai kelazatan sotong goreng. 

Sotong goreng disaluti telur dan tepung perencah sebelum digoreng menggunakan minyak masak. Terdapat 3 cara yang biasa digunakan ketika menghiris sotong iaitu secara potongan membulat putus, membulat tidak putus dan, digoreng seekor.

Keenakan hingga menjilat jari.

Memang ramai peminat sotong goreng celup tepung tetapi tidak ramai yang sanggup membuatnya terutamanya tukang masak baru. Keadaan ini berlaku kerana sotong yang digoreng menggunakan minyak masak selalunya akan menghasilkan letupan. Kalau kena boleh masuk spital..... Inilah faktor yang menyebabkan ramai yang lebih berani makan daripada membuat.

Kalau sekali kena mahu bersara daripada memasak. 
Bukan kena api tetapi kena minyak.

Apabila dikaji secara mendalam, bahagian sotong yang menyebabkan berlaku letupan ialah bahagian kulit dan mata sotong. Adalah bijak jika anda menanggalkan sulit sotong sebelum ia digoreng. Mata sotong sebaiknya dikeluar dan dibuang terlebih dahulu. 

Bagaimana letupan boleh berlaku?
Mata dan kulit sotong akan mengembang seperti belon apabila ia terkena minyak masak yang panas. Apabila ia mencapai saiz tertentu, ia akan pecah dan memercik minyak panas. Air yang dikeluarkan daripada sotong juga merupakan sebab terjadinya letupan. Siapa pernah kena? Cakap pun tak guna.... Cuba try dan test sendiri... Bagi mengelakkan fobia dan kemurungan kekal, pastikan anak atau suami anda tidak berada berdekatan dengan kawasan anda menggoreng sotong... kih..kih..


Kulit dibuang sebelum digoreng

Berikut adalah beberapa petua bagi menghalang atau mengurangkan risiko letupan kesan daripada aktiviti menggoreng sotong :
1-Buang kulit dan mata sotong terlebih dahulu
2-Merebus sotong, keringkan air (lap dengan tisu) dan goreng
3-Bersihkan sotong, keringkan dengan tisu, goreng
4-Goreng dengan minyak yang dipanaskan sedikit demi sedikit
5-Guna deep-fryer

6-Gunakan alat di atas sebagai pelindung keselamatan.
7-Pakai cermin mata sebagai perisai tambahan

Jika anda memang kategori penakut minyak panas. Jangan masak, beli terus dari kedai. Mudah dan lazat. Di Terengganu, tidak sukar untuk mendapatkan sotong goreng celup tepung yang sedap. Sotong celup tepung mudah dijumpai di kedai-kedai yang berdekatan dengan kawasan pantai. Cari di gerai-gerai makanan bukan di kedai runcit...

Jika anda minat memasak, pelbagaikan adunan tepung dan bahan rencahnya. Try and error sehinggalah mendapat resepi yang memenuhi citarasa anda sekeluarga. Sekali lagi jika malas, beli rempah KFC segera yang selalu digunakan untuk menggoreng ayam.

Sesiapa ada petua lebih special, meh kita kongsi..
Hingga berjumpa lagi...
Abe Din

Perhatian kepada kaki mengilat sotong : 
Siapkan kelengkapan anda, sotong semakin hampir dengan pantai Terengganu.
Read more >>

21 March 2011

Memasak Sotong

Salam sejahtera untuk semua pengunjung sotonglaut.
Pada post kali ini, Abe Din akan bercerita tentang langkah-langkah awal sebelum sotong dimasak sebagai hidangan. 

Kebiasannya, sotong akan dibersihkan terlebih dahulu. Ada antara penggemar sotong akan menanggalkan lapisan kulit luar sotong yang berwarna lebih gelap. Langkah membuang kulit sotong akan menjadikan daging sotong putih bersih.

Bagi kebiasaan rakyat Malaysia, cara potongan daging sotong adalah bersifat universal atau diterima sejagat. Apa yang dimaksudkan di sini ialah cara potongan daging sotong yang hampir sama di hampir keseluruhan negeri-negeri di Malaysia. Kita boleh melihat trend ini di kedai-kedai makan yang menyediakan masakan sotong. Mungkin juga cara yang sama digunakan di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina.

Berikut adalah beberapa cara potongan daging sotong yang begitu popular dan diterima umum :
1-Hirisan membulat atau bergelung.
2-Hirisan memanjang
3-Masakan seekor


Hirisan daging sotong secara membulat atau bergelung adalah teknik hirisan daging yang biasa dijumpai di kedai-kedai makan. Terdapat satu lagi hirisan jenis ini iaitu hirisan membulat bersambung (tidak putus). Hirisan jenis ini biasa digunakan ketika menyediakan sotong goreng celup tepung.

Hirisan kedua iaitu hirisan memanjang yang selalunya diaplikasi pada daging sotong yang besar dan tebal. Sotong mabang dan sotong katak selalu disediakan menggunakan teknik hirisan ini.

Masakan seekor pula, ialah kaedah di mana sotong dibersihkan dan dimasak seekor-seekor samada bersama kepala atau tanpa kepala. Di Terengganu, teknik ini digunakan ketika menyediakan ketupat sotong.

Gambar di bawah (carian internet), menunjukkan beberapa jenis teknik hirisan daging sotong yang biasa digunakan di luar negara. Untuk mendapatkan hasil potongan yang baik seeloknya gunakan pisau yang tajam. Sekali tengok sotong mentah di bawah nampak macam  sedap je ...



 


Bagi suri rumah yang terbaca post Abe Din pada kali ini, diharap cuba, try, test teknik hirisan sotong yang baru ini. Buat carian di internet jika anda mahukan design baru yang lebih canggih. Semoga ada kelainan pada masakan anda. 

Abe Din juga berharap teknik hirisan ini akan menarik perhatian anak anda yang tidak suka makan sotong. Jika suami, rakan-rakan, jiran, atau mertua sudah mula memuji dan bertanya tentang masakan anda itulah bonus di atas kesungguhan anda untuk mencuba sesuatu yang baru.

Sehingga berjumpa lagi pada post berikutnya.
Abe Din
Read more >>

19 March 2011

Resepi Pelik 3

Salam untuk semua pelawat,
Kali ini, Abe Din akan bercerita dengan satu lagi resepi yang biasa bagi sesetengah orang dan agak pelik bagi kita di Asia yang tidak makan pasta. Resepi yang Abe Din maksudkan ialah membuat doh hitam pasta menggunakan dakwat sotong.

Seperti biasa, bahan eksotik yang digunakan ialah dakwat sotong. Kalau nak banyak dakwat dapatkan sotong katak bersaiz besar. Di Barat, dakwat sotong biasa digunakan sebagai pewarna bagi pasta.

Bahan-bahan yang diperlukan ialah :
-3 cawan tepung
-4 biji telur
-Air
-Sedikit garam
-1/4 cawan dakwat sotong

Cara membuatnya :
-Campurkan semua bahan dan uli menjadi doh.
-Jika doh kelihatan agak kering, tambahkan telur putih, telur kuning atau sedikit air.
-Simpan di dalam peti sejuk seketika
-Keluarkan doh dan boleh dibentuk mengikut selera anda
-Anda boleh gunakan pisau, helaian plastik, penggelak dan mesin khas bagi menghasilkan pasta

Ha.. ni le.. rupa doh yang dah siap

Pasta yang menggunakan dakwat sotong

 Pasta yang biasa kita jumpa

Ramai orang kata pasta sedap, Abe Din tak pernah cuba.
Anda bagaimana ?
Untuk membuat kuah pasta sila rujuk post sebelum ini.
Sehingga berjumpa lagi.. Selamat mencuba
Abe Din
Read more >>

17 March 2011

Buang Dakwat

Salam sejahtera untuk semua pengujung sotonglaut.blogspot.com/
Di kesempatan ini, Abe Din ingin berceloteh tentang cara-cara mudah untuk membuang dakwat sotong ketika kerja-kerja membersihkan sotong dilakukan.

Ramai di antara kita pernah merasakan keenakan masakan berasakan sotong tetapi tidak ramai yang mengambil peduli tentang cara penyediaannya. Ketika Abe Din mula belajar memancing sotong satu ketika dahulu memang cukup teruja untuk cuba membersihkan sotong. Selalunya emak dan isteri yang buat semuanya.

Pengalaman pertama, habis air basuhan menjadi hitam. Tangan dan lengan hingga ke dahi habis dipalit dengan dakwat. Baru belajar le katakan..


Cuba bayangkan anda mencandat atau membeli sotong dalam jumlah yang banyak. Adakah anda hendak membiarkan isteri sahaja yang membersihkan dan memasaknya. Mungkin ada isteri tersenyum bangga apabila semua sotong telah dicuci dan dibersihkan semuanya. Tetapi berapa ramai isteri yang bertuah dapat merasai pengalaman begitu... Kalau bernasib baik lagi, si suami tolang memasak pula... memang tersenyum leber si isteri.


Kita perlu berhati-hati ketika membersihkan sotong bagi mengelakkan dakwatnya daripada pecah. Memang tidak bahayapun tetapi leceh sikit kerana air dan tangan menjadi hitam. Silap hari bulan terkena baju... lagi kuat le isteri membebel.

Sediakan plastik kosong. Ceraikan kepala dan badan terlebih dahulu dan cari kedudukan pundi dakwatnya. Pegang dan buang pundi dakwat sotong dari bahagian atas (kepala) ke bawah (ekor). Selepas pundi dakwat berjaya ditanggalkan terus buang ke dalam plastik. Jangan buat main pula.

 

Ingat ! Jangan cabut pundi dakwat dari bawah ke atas

Jika sotong yang hendak dibersihkan sotong lama, jangan rendam terlalu lama di dalam air kerana ia akan menyebabkan pundi dakwat mencair dan meleleh keluar. Aksi paling "brutal" rendam sotong sambil putar dengan tangan. Kalau tujuannya untuk memeningkan kepala sotong berkenaan, memang silap le aksi macam tu. Lebih elok lagi, selepas beli, terus sahaja dibersihkan. kalau anda memancing, bersihkan terus di laut (air laut free) dan simpan dalam kotak sejuk. Boleh le dapat anugerah suami mithali.

Bagi mereka yang suka bertangguh membersih dan mencuci sotong, Abe Din nasihatkan sotong disimpan di dalam peti sejuk terlebih dahulu. Bila dakwat sotong mula membeku, keluarkan dari peti dan bersihkan. Cara ini memang paling selamat dan bijak. Dakwat tidak akan mengotorkan air rendaman sotong dan tangan anda. Ingat sekali lagi, jangan buat main. Terus buang.

Mungkin ada cara lain yang biasa anda gunakan ketika membersihkan sotong. Anda boleh memberikan pendapat di ruangan ulasan. Semoga ia dapat dikongsi bersama rakan-rakan pelawat yang lain. 

Hingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing