Salam eging untuk semua kenalan dan pengunjung sotonglaut. Harga jig semakin lama semakin mahal. Harga seekor jig terbaru keluaran Yamashita boleh mencapat harga sehingga RM30 hingga RM50 bagi setiap ekor. Bagi eginger yang berkemampuan memang tiada masalah, RM100 pun diorang beli. Bagi nelayan tempatan, orang baru dan orang muda, harga RM10 pun sangat mahal bagi mereka. Apatah lagi sekali turun tiga empat ekor bersemadi sebagi tukun di dasar laut.
Di Indonesia, candat import dari jenama terkenal agak kurang mendapat tempat. Penjualannya terhad kepada golongan elit sahaja. Keadaan ini berlaku kerana percambahan industri kecil dan hiliran yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Setiap industri kecil ini memperkenalkan produk dan keistimewaan yang berbeza pada produk mereka. Disebabkan harga yang jauh lebih murah ianya mendapat sambutan yang sangat baik. Tambahan pula, keberkesanannya memerangkap sotong hampir menyamai produk import.
Dari perbualan ambe dengan seorang rakan di Indonesia, antara keistimewaan produk mereka selain murah, juga mesra alam. Badan jig diperbuat dari kayu dan mudah diurai secara semulajadi. Kepintaran buatan dengan meniru produk-produk import antara faktor industri ini dilihat mampu pergi jauh.
Perbezaan dengan pencandat di Malaysia, Candat dari Vietnam lebih digemari. Harganya sangat murah. Produk Vietnam dibuat daripada bahan resin ringan tetapi sangat mudah rosak. Walaupun ia mampu menjerat sotong-sotong mega tetapi kualiti kainnya sangat rendah dan mudah terkoyak. Dari penelitian ambe produk dari Indonesia lebih berkualiti walaupun harganya lebih sedikit dari produk Vietnam. Kain yang digunakan disalut dengan sangat rapi menggunakan resin tebal. Kain koyak agak mustahil berlaku.
Walaupun harga produk mahal itu dikira berkualiti tetapi ia tidak menjamin kejayaan memerangkap sotong. Jika sahabat terbaca post ambe yang dulu berkaitan jig tradisional Jepun, Jig mereka sangat ringkas, tiada kain hanya menggunakan besi panas bagi menghasilkan corak pada badan jig. Hasil yang diperolehi bukan calang-calang.
Apa hebatnya aktiviti eging atau aktiviti candat ini? Kehebatannya terletak kepada keupayaan pencandat memainkan teknik eging yang berkesan. Lengkok jig yang tepat pada masa yang tepat mengatasi jenama jig yang terkenal. Kehebatan seorang eginger terletak kepada keupayaannya membaca keadaan air dan faktor persekitaran. Tiada jalan pintas untuk menjadi eginger yang hebat. Pilihan di tangan kita. Tepuk dada tanya selera. Semoga perkongsian kali ini akan memberi manfaat dan membuka minda kita ke dimensi baru. Selamat mencandat-Abe Din
No comments:
Post a Comment