Selamat datang kepada semua pengunjung. Semoga anda semua sentiasa berada di dalam keredhaan-Nya. Pada post kali ini, aku akan berkongsi sedikit maklumat tentang penyesuaian bentuk badan sotong mabang. Baru-baru ini, aku berkesempatan mengikut satu trip ke Kijal. Trip yang diatur pada sebelah malam itu telah disertai oleh tiga orang lagi pencandat sotong mabang.
Ketika sampai di lokasi, kami lihat keadaan air yang agak bergelora. Situasi ini memang kurang sesuai untuk menjerat spesies sotong mabang. Alang-alang dah sampai kami masuk juga ke port mencandat. Sampai di tempat yang dituju... aku terus mencari batu yang agak rata dan terus lepak sambil baring. Sementara menunggu dua orang lagi sampai... aku sempat melelapkan mata seketika. Ombak memang kuat... tanda-tanda berhenti pun tak nampak.
Bila rasa boring... aku turun ke tepi batu dan membaling candat ke tengah air laut yang bergelora. Tanpa di sangka-sangka, tarikan kuat dikesan menyambar candat berhampiran dengan tebing batu ketika balingan candat kali kedua. Sah sotong... memang tak sangka. Saiz besar lengan orang dewasa. Pada malam itu aku berjaya menaikkan 6 ekor sotong mabang pelbagai saiz.
Sebaik sahaja dua orang lagi rakan sampai... koleksi kami makin bertambah. Walaupun rezeki pada malam tu tak banyak... salah satu tangkapan yang berjaya dinaikkan oleh seorang rakan sotonglaut bersaiz mega dan sentiasa menjadi idaman pencandat sotong mabang.
Sotong yang dinaikkan bersaiz besar dan panjang
Sotong mabang biasanya berbadan bulat dan gempal... tidak terlalu panjang ataupun gemuk pendek. Sotong sebegini biasa bermain di kawasan batuan berair tenang. Walaupun begitu, sotong melakukan penyesuaian semulajadi kepada bentuk badannya jika berada di kawasan berarus laju dan bergelora. Tujuannya adalah untuk memudahkan ia bergerak dan mencari makanan. Jika korang memperolehi sotong yang agak panjang... korang boleh membuat kesimpulan bahawa... air tempat habitat sotong berkenaan tinggal berarus deras dan bergelora.
Sotong gempal dan gemuk yang suka bermain di air tenang sangat kuat membenam apabila terkena umpan. Walaupun lariannya tidak begitu laju... tarikannya sangat kuat dan berat. Sotong bersaiz panjang pula yang mendiami habitat berarus laju... mempunyai daya tarikan yang kuat dengan pecutan awalnya yang sangat bertenaga. Sotong begini mampu melepaskan diri dengan melakukan kejutan ketika memecut. Bagi menjerat spesies sotong arus deras, korang perlu melonggarkan drag kekili agar sotong tidak tercabut dan terlepas lari dengan mudah.
Dapat saiz macam ni dalam 5 ekor pun dah berbaloi
Sekian dahulu untuk kali ini... hingga berjumpa lagi.
Abe Din.