"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

29 August 2010

Rezeki Bulan Ramadhan

Salam ramadahan untuk semua.
Baru-baru ini Abe Din berkesempatan mengunjungi sebuah padang pancing di Kerteh, Kemaman. Janji telah diatur bersama seorang rakan Sotong Mania yang selalu bersama Abe Din ketika mengilat sotong mabang.

Kami memasuki kawasan mengilat lebih kurang pukul 12 malam. Semasa tiba di kawasan berkenaan, ramai pengilat sedang melontar jig bagi memujuk sotong mabang. Ada beberapa orang pengilat telah menaikkan sotong bersaiz sederhana dan kecil.

Kebanyakkan pengilat mengambil posisi bahagian utara di mana keadaan arus laut sangat tenang. Bahagian Selatan pula arusnya agak bergelora dan tiada pengilat dilihat membaling jig di lokasi berkenaan.

Lokasi berkenaan dipisahkan oleh satu unjuran batuan yang menganjur dari pantai ke bahagian tengah laut dan menyebabkan terjadinya dua kawasan arus laut yang berbeza.

Disebabkan tempat yang sesuai di bahagian Utara telah dipenuhi pemancing, Abe Din dan rakan mengambil keputusan untuk mengilat di bahagian Selatan yang sedikit bergelora. Balingan pertama Abe Din mendapat tarikan dari sotong bersaiz lengan orang dewasa. Setelah mengilat selama 30 minit, Abe Din telah berjaya menaikkan sebanyak 6 ekor sotong pelbagai saiz. Tiada kes terlepas. Setiap sambaran membuahkan hasil.

Sebahagian sotong yang berjaya dinaikkan oleh Abe Din

Kesemua hasil yang berjaya diperolehi pada pagi berkenaan

Sebahagian sotong yang berjaya ditangkap

Memandangkan kamera Abe Din dari jenis murah, maka kualiti gambar tidak begitu memuaskan. Kesemua gambar diambil setelah sotong dibawa pulang ke rumah. Abe Din bercita-cita untuk memiliki sebuah kamera resolusi tinggi yang sesuai untuk mengambil gambar waktu malam. Rezeki masih belum mengizinkan untuk Abe Din membeli kamera berkenaan.

Nasib baik kawan Abe Din tolong gaik,
kalau tidak mungkin terlepas.

Apa yang menarik ialah mengenai tangkapan besar Abe Din, seekor sotong betina dengan anggaran berat hampir 1 kg. Sotong berkenaan menyambar umpan ketika kami bercadang untuk pulang iaitu kira-kira pukul 4 pagi.

Sebaik sahaja sotong berjaya digaik, Abe Din membuat balingan kedua di lokasi yang sama. Satu tarikan kasar dapat dirasa. Kawan Abe Din bergegas mendapatkan semula gaik sebaik sahaja melihat Abe Din sedang menahan asakan sotong. Mungkin tiada rezeki, sotong berkenaan terlepas. Abe Din cukup yakin bahawa sotong berkenaan akan memegang semula umpan. Hanya masanya tidak dapat ditentukan. Balingan berikutnya tiada sambaran membuatkan kami mengambil keputusan untuk pulang bersahur.

Hasil tangkapan yang akan diproses menjadi sotong kering

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tangkapan pada pagi berkenaan. Antaranya ialah keadaan arus yang kurang bergelora dan arus bahagian Utara yang cukup tenang. Ribut pada sebelah petang telah melemahkan angin dan arus laut sehingga mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk mengilat sotong mabang. Kehadiran bulan juga banyak merangsang nafsu makan sotong mabang disamping keadaan air yang sangat jernih.

Sekali lagi jig cougar menjadi taruhan emas bagi Abe Din. Kedudukan sotong di bahagian bawah menyebabkan beberapa pengilat pulang hampa. Bersyukur kepadaNya diatas apa yang diperolehi. Abe Din juga berazam untuk ke sana lagi jika ada kelapangan. Selamat menjalani ibadah puasa-Abe Din
Read more >>

28 August 2010

Mengilat Di Pantai IV

Sotong mabang cukup galak ketika bulan naik

Selamat berpuasa bagi rakan-rakan yang sedang berpuasa. Pada bulan puasa ini, misi sotong tetap diteruskan. Pada kebiasaannya Abe Din turun ke padang pancing lebih kurang pukul 9.00 malam. Pada bulan ini, aktiviti terpaksa dilewatkan atas beberapa sebab. Kadang-kadang Abe Din turun bersama rakan pada pukul 12.00 malam dan pulang sebelum bersahur.

Tiba di lokasi selalunya telah ramai kaki-kaki mengilat menjalankan aktiviti mengilat mabang. Sesekali rasa sedikit kebimbangan tentang hasil yang bakal diperolehi. Apabila membayangkan kegarangan sotong mabang, tidak mustahil sotong-sotong telah habis ditangkap. Tetapi apabila melihat saiz beg palstik yang dibawa mereka masih kecil, semangat mengilat kembali membara.

Ketika ini sotong mabang sedang menghampiri kawasan pantai di Terengganu. Banyak sotong dinaikkan samada di kawasan pantai atau unjam. Jika anda berpeluang ke Terengganu, cuba lawati kawasan pasar ikan. Ada akan dapat melihat banyak sotong mabang dijual. Ini merupakan petanda bahawa sotong mabang sedang mengamuk.

Pada musim mabang, lokasi-lokasi pancing akan dipenuhi oleh pengilat-pengilat tegar. Setiap tahun juga akan ada kehadiran pengilat-pengilat baru yang sedang berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Abe Din mengalu-alukan azam dan kesungguhan mereka mencari mabang sehingga ke pagi. Jangan pula lupa hendak bersahur.

Kehadiran pengilat baru boleh dikenali dengan beberapa petunjuk fizikal seperti berikut :

1-Menggunakan pancing ikan untuk memancing sotong
2-Membawa sauk bagi tujuan menyauk sotong yang dipancing
3-Tidak memakai kasut ketika berjalan di atas kawasan berbatu
4-Membawa lampu bersaiz besar

Beberapa jenis lampu yang tidak sesuai

Lampu kepala yang semakin popular

5-Tiada bekas mengisi sotong @ bekas ditinggalkan jauh
6-Memakai baju berwarna cerah dan terang
7-Membuat bising sambil bercerita dan bergelak ketawa
8-Banyak berehat ketika pemancing lain sibuk mengilat
9-Menggunakan jig berkelip cahaya merah
10-Riuh rendah apabila dapat menangkap seekor sotong

Menyuluh ke arah air boleh mengganggu pemancing lain

11-Kerap menyuluh ke kawasan air
12-Suka mengilat secara berkumpulan dan setempat

Joran tidak sesuai, berkumpul dan membuat bising

13-Makan sambil mengilat sotong
14-Menggunakan jig bersaiz besar dengan warna tidak sesuai
15-Tali kerap kusut dan lain-lain lagi

Pemancing mahir sukakan kawasan yang sunyi dan jauh dari
gangguan
yang boleh mejauhkan sotong dari pantai.

Abe Din sangat mengalu-alukan kehadiran pemancing baru bagi memeriahkan lagi dunia pancingan sotong. Pemancing baru perlu banyak bertanya dan belajar. Padang pancing sotong adalah satu tempat awam yang perlu dikongsi bersama. Elakkan dari sikap angkuh dan terlalu mementingkan diri kerana dibimbangi akan menimbulkan situasi yang tidak diingini.

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin memberikan beberapa tips kepada pemancing baru dalam mencari pengalaman sambil menanam sikap berkongsi padang pancing. Beberpa perkara utama yang Abe Din senaraikan ini perlu dielakkan :

1-Menyuluh-yuluh dan bermain dengan cahaya lampu.
Baru-baru ini Abe Din berkesempatan melawat sebuah padang pancing sotong. Ketika sedang mengilat datang beberapa anak muda dengan riuh-rendah sambil menyuluh di merata-rata tempat tanpa memikirkan pengilat yang sedang mengilat di kawasan berkenaan. Lebih malang lagi, setiap kali mendapat sotong mereka akan menyuluh ke arah sotong dan tuannya sehinggalah sotong dinaikkan. Ada juga yang mengilat denganl membuka lampu sambil menyuluh pergerakan jig.

Apa yang perlu anda tahu ? : Sotong mabang bersaiz besar tidak menyukai kehadiran cahaya lampu rawak. Setiap kali sotong besar dinaikkan kerapkali pasangannya akan mengikut dari arah belakang.

2-Bergerak ke sana ke mari dan bermain-main air
Apa yang perlu anda tahu ? : Sotong dapat mengesan bayang pergerakan dari arah batuan atau pantai terutamanya ketika bulan terang dan air laut jernih. Sotong yang terkejut selalunya akan bergerak menjauhi rangsangan yang berlaku. Akibatnya pengilat perlu membaling jauh untuk mendapatkan sotong. Sotong kerapkali menyambar jig dalam kedudukan yang jauh. Jika ini berlaku, ia menunjukkan bahawa sotong telah mengesan kehadiran manusia.

3-Menyilang tali pengilat lain
Memancing ketika waktu malam memerlukan kemahiran yang tinggi. Dengan latihan yang konsisten, seseorang pemancing akan mahir dengan situasi pancingan malam. Pemancing perlu mengelak dari membaling jig secara rambang. Perhatikan dahulu kedudukan tali pancing pengilat bersebelahan sebelum jig dibaling.

Apa yang perlu anda tahu ? : Dua tali yang bersentuhan akan memudahkan tali bersimpul dengan mata kail jig. Keadaan akan bertambah rumit jika salah seorang pengilat menggunakan tali benang sulam. Banyak masa diperlukan bagi mengurai kekusutan berkenaan. Masalah juga akan berlaku jika salah satu pancing disambar sotong. Lebih teruk lagi jika sotong yang menyambar jig, bersaiz besar. Risiko terlepas adalah tinggi.

4-Balingan rambang
Balingan rambang dan tidak berhati-hati boleh menyebabkan kecederaan kepada pemancing bersebelahan. Jig yang tajam mudah tersangkut pada baju, beg, kulit tubuh, bahagian muka serta bahagian lain tubuh serta struktur sekeliling.

Apa yang ada perlu tahu ? : Jika kejadian tidak diingini terjadi, aktiviti pemancing akan terganggu. Ia juga akan menyusahkan pengilat-pengilat sotong yang lain.

Diharapkan tip-tip yang diberi diambil perhatian serius oleh pemancing baru. Malang tidak berbau. Jika anda perlu melakukan perkara-perkara berkenaan, cuba meminimakan kesannya kepada pemancing-pemancing di kawasan berkenaan. Mungkin selama ini, anda tidak tahu apa yang anda lakukan di padang pancing menyakitkan hati pemancing lain. Semoga pengalaman akan mematangkan anda untuk belajar memberi dan menerima. Selamat berpuasa-Abe Din
Read more >>

09 August 2010

Mengilat Di Pantai III

Salam untuk semua dan selamat menjalani ibadah puasa bagi yang beragama Islam. Semoga mendapat keredhaan dan keberkatan dari-Nya.

Pada kesempatan ini, Abe Din akan menyambung perbincangan tentang ilmu mengilat sotong mabang di kawasan pantai. Untuk pengetahuan semua, aktiviti mengilat di waktu siang dan malam mempunyai cara dan kaedah yang berbeza. Ada diantara pengilat sotong mabang lebih cenderung mengilat di waktu siang. Mengilat di waktu siang ada kelebihannya yang tersendiri termasuklah peluang memilih tempat yang paling baik, dapat melihat kehadiran sotong dan mengelak candat daripada tersangkut.

Mengilat pada waktu malam pula lebih mencabar di mana pengilat sotong perlu bergantung sepenuhnya kepada naluri dan pengalaman. Umum mengetahui bahawa mengilat di waktu malam di kawasan pesisir pantai selalu membuahkan hasil jika keadaan air dan cuaca sesuai. Sotong lebih mudah diperolehi di waktu malam dan saiznya lebih besar.

Anda perlu membezakan aktiviti mengilat di kawasan pantai dan unjam. Mengilat di kawasan unjam tidak banyak dipengaruhi oleh waktu siang atau malam kerana kawasan berkenaan merupakan rumah tumpangan sotong mabang di laut terbuka. Ini bermaksud sotong pelbagai saiz mudah ditangkap di kawasan unjam dan tentunya saiznya lebih besar dari kawasan pantai.

Perbincangan kali ini akan lebih tertumpu kepada pancingan malam dan cara-cara mengesan kehadiran sotong mabang di kawasan persisir pantai. Ramai pengilat sotong pulang hampa kerana gagal mengesan beberapa petunjuk semulajadi tentang kehadiran sotong. Dengan pemahaman kepada petunjuk tersebut, Abe Din yakin hasil tangkapan dapat ditingkatkan.

1-Kewujudan Tulang Sotong Katak
Tulang sotong katak terdiri dari kepingan kalsium yang agak tebal dan rapuh. Selepas ombak besar semakin teduh dan air agak surut, kita mudah untuk melihat tulang sotong ini berselerak di kawasan pesisir pantai. Fenomena ini hanya boleh dilihat pada bulan dan musim tertentu sahaja. Kehadiran tulang sotong menunjukkan jumlah sotong yang mati dan dihanyutkan ke kawasan pantai. Kewujudan tulang sotong ini juga bermaksud bahawa sotong-sotong katak telah menghampiri kawasan pesisir pantai terutamanya kawasan pantai berbatu. Pada ketika ini peluang untuk mendapatkan sotong katak agak cerah.

Tulang sotong katak berwarna putih mudah dilihat jika disuluh

2-Jejak Kaki Pengilat
Jika kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan pengilat sotong, petunjuk ini dapat membantu pengilat mengesan kedudukan sotong. Sotong selalu berkumpul di kawasan-kawasan tertentu bagi tujuan mengawan, bertelur, mencari makanan dan perlindungan. Kadang-kadang kita boleh melihat pengilat yang baru sampai terus mengilat di sesuatu kawasan tertentu. Ini bermaksud, pengilat berkenaan biasa memperolehi sotong di kawasan berkenaan. Jika anda sampai lewat, kesan kewujudan tapak kaki di sepanjang pantai kawasan mengilat. Cuba buat balingan di kawasan yang paling banyak menunjukkan kesan tapak kaki.

3-Kehadiran Dakwat Sotong
Dakwat sotong yang tertinggal di kawasan pantai bercorak memanjang. Ini kerana sotong yang ditarik ke pantai akan memancutkan dakwatnya sebaik sahaja badannya mengenai pasir yang tiada air. Dakwat sotong di kawasan batuan pula akan menunjukkan pola setempat dan membulat. Situasi ini terjadi demikian kerana, pengilat di kawasan batuan akan mengangkat dan meletakkan sotong yang ditangkap pada tempat tertentu di atas batu manakala di pantai pengilat lebih cenderung menarik sambil mengheret sotong berkenaan. Saiz sotong yang berjaya dinaikkan boleh diagak dengan melihat kepada panjang dan saiz dakwat manakala jumlah sotong yang dinaikkan boleh diagak dengan melihat jumlah jaluran dakwat.

4-Kehadiran Ketam Angin
Ada masa dan ketikanya ketam angin hadir dalam jumlah yang banyak ketika ombak semakin teduh dan air laut perlahan. Ketam ini boleh dilihat bermain dan berkejaran di kawasan pantai dan kerap berlari masuk ke kawasan air laut. Kekerapan ketam masuk ke laut dan berlari semula ke kawasan pasir memberi petunjuk kehadiran sotong bersaiz besar. Ketam angin merupakan salah satu makanan sotong mabang. Sotong selalunya akan berada di kawasan gigi air sambil menyamar dan bersedia menyerang hendap ketam yang berlari masuk ke air. Pengilat di nasihatkan pembaling jig dengan tarikan perlahan dalam keadaan duduk. Jangan bermain-main dengan cahaya lampu suluh kerana ia akan menakutkan sotong.

Kehadiran ketam angin akan menarik perhatian
sotong bersaiz besar



Kedua-dua gambar di atas menunjukkan hasil seni ketam angin
ketika mencari makanan yang terdapat di dalam pasir pantai.


5-Kehadiran Ikan-ikan bersaiz Kecil
Ikan-ikan bersaiz kecil selalu bermain di kawasan tepi pantai ketika waktu malam. Kita boleh mengesan kehadiran kumpulan ikan ini dengan cara membuat suluhan rawak menggunakan lampu suluh sebelum aktiviti mengilat dilakukan. Jika terdapat kumpulan ikan, beberapa lompatan dan larian di kawasan atas air boleh dilihat. Pada ketika itu, padamkan lampu dan buat balingan jig merentasi kumpulan ikan berkenaan dan tarik secara perlahan. Kita juga boleh membaling jig di kawasan tepi kumpulan ikan berkenaan. Kehadiran kumpulan ikan kecil akan menarik sotong bagi membuat serang hendap. Jika bernasib baik, jig kita akan melalui kawasan sotong yang sedang dalam keadaan sedia. Sifat sotong yang garang menyebabkan jig disambar dalam masa yang cukup singkat.

6-Kehadiran Ikan Besar
Kehadiran ikan bersaiz besar seperti todak dan kekacang juga boleh dikesan menggunakan teknik suluhan rawak. Kadangkala ikan berkenaan melompat dan menyambar ikan kecil dan sotong di kawasan permukaan air. Jika anda dapat mengesan petunjuk ini, Abe Din nasihatkan agar anda berpindah tempat. Kehadiran ikan akan menyebabkan sotong turun ke dasar dan menjauhi pantai serta menyorok di struktur dalam laut seperti batu dan karang. Peluang untuk mendapatkan sotong pada ketika ini cukup tipis.

Jika anda tidak berhasrat untuk berpindah, anda perlu menghalau ikan-ikan berkenaan terlebih dahulu dengan cara menyuluh rawak berterusan. Anda juga perlu berhati-hati kerana ikan seperti todak yang takut dan terkejut akan melompat ke udara serta berenang menegak sambil menuju ke arah cahaya lampu.

7-Kehadiran Cahaya Dalam Air
Pada masa-masa tertentu, kita akan melihat kehadiran beberapa cahaya seakan-akan biru muda dan putih. Cahaya ini akan menyala 2 atau 3 kali kemudian berhenti. Beberapa minit kemudian ia akan menyala lagi di tempat lain. Cahaya berkenaan adalah cahaya yang dihasilkan dari tubuh sotong mabang. Cahaya berkenaan selalunya akan terhasil ketika ritual mengawan.

Saiz cahaya mengambarkan saiz sotong berkenaan. Cahaya yang lebih terang menunjukkan kedudukan sotong dipermukaan manakala cahaya samar menunjukkan sotong berada jauh ke dasar pantai.

Seorang rakan Sotong Mania memberitahu bahawa sotong tidak akan menyambar jig ketika bercahaya berkemungkinan kerana sibuk menarik perhatian pasangan atau bertelur. Kadangkala kita dapat melihat cahaya perbagai saiz di merata-rata tempat. Jika ini terjadi kepada anda, baling jig merentasi kumpulan cahaya berkenaan dan tarik secara perlahan dalam posisi duduk. Sotong yang tidak bercahaya selalunya akan menarik jig.

Jika cahaya bersaiz besar yang anda lihat menyala setempat dan peredarannya agak lambat, maka cahaya berkenaan dikeluarkan oleh obor-obor. Pengalaman akan mengajar anda untuk membezakan antara cahaya sotong mabang dan cahaya dari obor-obor.

Penutup
Semua petua di atas adalah dari pengalaman Abe Din yang hanya menjadi tajuk perbualan di antara rakan terdekat sahaja. Semoga post kali ini akan memberi manfaat kepada peminat-peminat Blog Sotong Mania. Abe Din juga sangat berharap agar petua ini dapat disebarluaskan kepada semua rakan-rakan pengilat lain agar aktiviti mengilat sotong mampu berada sebaris dengan aktiviti-aktiviti pancingan yang lain-Abe Din.
Read more >>

02 August 2010

Mengilat Di Pantai II

Salam untuk semua peminat sotong.
Pada post sebelumnya, Abe Din telah menghuraikan tentang jenis dan keadaan pantai yang biasa menjadi lokasi sotong mabang mencari makan. Pada post kali ini Abe Din akan menghuraikan dengan lebih lanjut sebagai pengetahuan tambahan cara mengilat sotong mabang di kawasan pesisir pantai.

Secara umum, sotong mabang akan bermain berdekatan dengan kawasan yang agak selamat baginya untuk melarikan diri atau menyamar. Mabang jarang dijumpai di kawasan perairan terbuka. Oleh itu pengilat yang bijak akan memilih pantai yang mempunyai struktur batuan berdekatan kawasannya mengilat. Aktiviti mengilat boleh dilakukan di kawasan pantai berbatu dengan menggunakan jig ringan atau kawasan pantai berpasir bersebelahan kawasan berbatu dengan menggunakan jig berat.

Salah satu kawasan pantai berbatu yang berpotensi

Jika mengilat dilakukan di kawasan berbatu, beberapa teknik perlu diaplikasi bagi mengelakkan jig tersangkut (telah dibincang dalam post sebelumnya). Mengilat di kawasan pantai pasir berdekatan batu adalah lebih selamat.

Perlu diingat, antara punca pengilat gagal mendapatkan sotong adalah kegagalan pengilat berlindung diri bagi mengelak kehadirannya diketahui. Antara tanda kehadiran kita diketahui ialah apabila sotong memegang jig pada kedudukan yang jauh dari pantai. Jika jig dipegang berdekatan pantai, ia menunjukkan kehadiran kita tidak disedari oleh sotong.

Pastikan kedudukan anda tidak menakutkan sotong.

Antara cara-cara mengatasi masalah berkenaan ialah dengan memakai baju serta pakaian berwarna gelap. Warna putih dan cerah tidak digalakkan. Pastikan juga matahari, bulan, lampu atau unggun api tidak berada di belakang kita. Kehadiran subjek berkenaan boleh menghasilkan kesan bayang yang akan menakutkan sotong.

Apa yang Abe Din terangkan bukanlah sesuatu yang tetap tetapi berubah-ubah mengikut keadaan. Secara biasanya sotong yang lebih besar agak culas, penakut dan cukup berhati-hati manakala sotong bersaiz kecil lebih berani dan tidak berapa kisah dengan kehadiran manusia. Satu lagi cara penyamaran ialah dengan mengilat secara duduk di atas pasir atau batu. Berdiri ketika perlu sahaja. Kaedah ini mempunyai beberapa kelebihan termasuklah pergerakan candat dapat ditarik dan dimainkan di kawasan dasar pantai.

Mengilat secara mengharung air

Teknik mengilat secara mengharung air ini banyak digunakan oleh pengilat-pengilat sotong di kawasan Dungun dan Kerteh di Terengganu. Pertama kali Abe Din melihat teknik ini ia nampak agak pelik dan bahaya. Dari perbualan dengan beberapa orang pengilat yang mengaplikasi kaedah ini menyatakan bahawa teknik ini mampu memberikan pulangan hasil yang jauh lebih lumayan. Sotong banyak bermain pada batuan yang agak jauh dari kawasan pantai. Kebiasaannya kawasan pantai ini adalah dari jenis rata dalam.

Kaedah ini memerlukan pengilat mengharung air hingga ke paras dada dan bergarak selari dengan pantai. Pengilat menggunakan jig yang lebih berat dan besar bagi mempercepatkan jig tenggelam ke dasar serta bertujuan melawan tiupan angin. Ada juga pengilat menggunakan kaedah ini pada waktu malam.

Untuk keselamatan, pengilat perlu memakai kasut dan stokin serta seluar yang lebih ringan. Baju dan stokin perlu dimasukkan ke dalam bagi mengelakkan obor-obor dan haiwan berbisa lain. Peralatan yang dibawa juga perlu ringkas seperti set pancing, sedikit alatan serta bekas mengisi sotong. Set pancing sangat kerap terkena air masin dan pengilat perlu kerap mencuci menggunakan minyak dan air tawar.

Tidak perlu membahayakan keselamatan diri
semata-mata
untuk mendapat sotong.
Ingat orang tersayang.

Pengilat dinasihatkan agar tidak menggunakan kaedah ini terutama pada waktu malam. Pada post sebelumnya Abe Din ada menyatakan bahawa pada pukul 7 pm hingga 11 pm adalah masa aktif bagi ikan jerung atau yu. Kemungkinan dakwat dari sotong yang ditangkap boleh menarik perhatian pemangsa berkenaan. Teknik ini juga tidak sesuai digunakan ketika laut bergelora.

Bagi pengilat yang sudah lama menggunakan kaedah mengilat secara mengharung ini, mereka sebenarnya cukup berani dan mahir. Pengilat baru dinasihatkan tidak mencuba kaedah ini. Apa sahaja yang anda lakukan, keselamatan perlu diberi keutamaan. Beringat sebelum kena. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing