"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

02 August 2010

Mengilat Di Pantai II

Salam untuk semua peminat sotong.
Pada post sebelumnya, Abe Din telah menghuraikan tentang jenis dan keadaan pantai yang biasa menjadi lokasi sotong mabang mencari makan. Pada post kali ini Abe Din akan menghuraikan dengan lebih lanjut sebagai pengetahuan tambahan cara mengilat sotong mabang di kawasan pesisir pantai.

Secara umum, sotong mabang akan bermain berdekatan dengan kawasan yang agak selamat baginya untuk melarikan diri atau menyamar. Mabang jarang dijumpai di kawasan perairan terbuka. Oleh itu pengilat yang bijak akan memilih pantai yang mempunyai struktur batuan berdekatan kawasannya mengilat. Aktiviti mengilat boleh dilakukan di kawasan pantai berbatu dengan menggunakan jig ringan atau kawasan pantai berpasir bersebelahan kawasan berbatu dengan menggunakan jig berat.

Salah satu kawasan pantai berbatu yang berpotensi

Jika mengilat dilakukan di kawasan berbatu, beberapa teknik perlu diaplikasi bagi mengelakkan jig tersangkut (telah dibincang dalam post sebelumnya). Mengilat di kawasan pantai pasir berdekatan batu adalah lebih selamat.

Perlu diingat, antara punca pengilat gagal mendapatkan sotong adalah kegagalan pengilat berlindung diri bagi mengelak kehadirannya diketahui. Antara tanda kehadiran kita diketahui ialah apabila sotong memegang jig pada kedudukan yang jauh dari pantai. Jika jig dipegang berdekatan pantai, ia menunjukkan kehadiran kita tidak disedari oleh sotong.

Pastikan kedudukan anda tidak menakutkan sotong.

Antara cara-cara mengatasi masalah berkenaan ialah dengan memakai baju serta pakaian berwarna gelap. Warna putih dan cerah tidak digalakkan. Pastikan juga matahari, bulan, lampu atau unggun api tidak berada di belakang kita. Kehadiran subjek berkenaan boleh menghasilkan kesan bayang yang akan menakutkan sotong.

Apa yang Abe Din terangkan bukanlah sesuatu yang tetap tetapi berubah-ubah mengikut keadaan. Secara biasanya sotong yang lebih besar agak culas, penakut dan cukup berhati-hati manakala sotong bersaiz kecil lebih berani dan tidak berapa kisah dengan kehadiran manusia. Satu lagi cara penyamaran ialah dengan mengilat secara duduk di atas pasir atau batu. Berdiri ketika perlu sahaja. Kaedah ini mempunyai beberapa kelebihan termasuklah pergerakan candat dapat ditarik dan dimainkan di kawasan dasar pantai.

Mengilat secara mengharung air

Teknik mengilat secara mengharung air ini banyak digunakan oleh pengilat-pengilat sotong di kawasan Dungun dan Kerteh di Terengganu. Pertama kali Abe Din melihat teknik ini ia nampak agak pelik dan bahaya. Dari perbualan dengan beberapa orang pengilat yang mengaplikasi kaedah ini menyatakan bahawa teknik ini mampu memberikan pulangan hasil yang jauh lebih lumayan. Sotong banyak bermain pada batuan yang agak jauh dari kawasan pantai. Kebiasaannya kawasan pantai ini adalah dari jenis rata dalam.

Kaedah ini memerlukan pengilat mengharung air hingga ke paras dada dan bergarak selari dengan pantai. Pengilat menggunakan jig yang lebih berat dan besar bagi mempercepatkan jig tenggelam ke dasar serta bertujuan melawan tiupan angin. Ada juga pengilat menggunakan kaedah ini pada waktu malam.

Untuk keselamatan, pengilat perlu memakai kasut dan stokin serta seluar yang lebih ringan. Baju dan stokin perlu dimasukkan ke dalam bagi mengelakkan obor-obor dan haiwan berbisa lain. Peralatan yang dibawa juga perlu ringkas seperti set pancing, sedikit alatan serta bekas mengisi sotong. Set pancing sangat kerap terkena air masin dan pengilat perlu kerap mencuci menggunakan minyak dan air tawar.

Tidak perlu membahayakan keselamatan diri
semata-mata
untuk mendapat sotong.
Ingat orang tersayang.

Pengilat dinasihatkan agar tidak menggunakan kaedah ini terutama pada waktu malam. Pada post sebelumnya Abe Din ada menyatakan bahawa pada pukul 7 pm hingga 11 pm adalah masa aktif bagi ikan jerung atau yu. Kemungkinan dakwat dari sotong yang ditangkap boleh menarik perhatian pemangsa berkenaan. Teknik ini juga tidak sesuai digunakan ketika laut bergelora.

Bagi pengilat yang sudah lama menggunakan kaedah mengilat secara mengharung ini, mereka sebenarnya cukup berani dan mahir. Pengilat baru dinasihatkan tidak mencuba kaedah ini. Apa sahaja yang anda lakukan, keselamatan perlu diberi keutamaan. Beringat sebelum kena. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din.

1 comment:

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing