"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

11 June 2018

Salam Ramadhan



Salam Ramdahan untuk semua rakan-rakan beragama Islam. Bulan ramadhan makin hampir meninggalkan kita. Belum tahu kita boleh bersua lagi di tahun hadapan. Sama-sama kita tingkatkan ibadat di penghujung ramadhan. 

Kunjungan sotong mabang tahun ini agak lewat sedikit. Sehingga hari ini, sotong masih lagi tidak begitu galak menyambar jig. Walaupun saiz sotong yang dinaikkan besar-besar tetapi perlawanannya masih kurang menyengat. Tarikannya masih perlahan dan lemah. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti kemasinan dan suhu air. Hujan yang turun sangat mempengarhi keadaan ini.

Sotong banyak membuat ketukan manja. Sotong yang terjerat pula majoritinya mengenai satu atau dua lengan sahaja. Kekuatan perlawanannya sekejap sangat. ia akan mengikut tarikan dan berlawan sedikit bila menghampiri daratan. Telah diterangkan di dalam post-post sebelum ini, suhu dan kemasinan air menyebabkan sotong sedikit pasif. Selepas raya nanti, tarikan sotong dijangka akan semakin ganas dan kuat apabila kadar hujan semakin kurang dan ombak semakin perlahan.

Dalam keghairahan kita memburu sotong jangan pula kita abaikan amal ibadat di bulan mulia ini. Ketika kunjungan di lokasi pada waktu petang, seringkali dijumpai kaki eging sotong yang tidak berpuasa. Ada yang merokok, minum air sambil eging. Walaupun jauh dari pandangan awam, tindakan berkenaan memang tidak wajar bagi seorang muslim dewasa. Rezeki cari juga, akhirat jangan lupa bro. 

Ada orang kata kubur masing-masing apa peduli, lantaklah. Tapi jangan lupa kalau kena bedal besok, memekak kubur sebelah, orang lain nak berehat pun tak senang. Sebelum kau memekak, baik aku nasihat awal-awal supaya sama-sama senang kat sana nanti. Hehe... bukan ambe kata, orang kata. 

Hari dan masa semakin bertambah tetapi umur semakin berkurang. Semoga kita akan jadi lebih baik setiap hari. Insaflah wahai teman yang berkenaan. Salam ramadhan dari ambe. 
Jumpa lagi


Read more >>

Contact Tekong Candat


Maaf Jenny. Lambat balas... semoga tidak mengganggu trip anda.

..............................................................................................................

Yow Lee Khoon Jenny

Salam Encik

Saya baca blog Encik dan berminat untuk pergi ke kijal untuk mencandat sotong. Boleg tolong recommend siapa saya boleh contact menegenai pakej candat sotong

Terimakasih

Jenny 
019 XXX XXXX

................................................................................................................

Salam,

Tekong Tanjung Lumpur, Kuantan
013-945 7561
012-987 1748
017-965 8309
014-545 4670

Tekong Bukit Kuang, Kemaman
014-547 9451-Tekong Asri
019-293 1981
013-984 5259

Tekong, Sungai Ular, Cherating, Pahang
014-837 0852-Tekong Ajang
013-909 1508-Tekong Nuar

Jika nak turun kijal boleh hubungi tekong Bukit Kuang, Kemaman. 
Semoga membantu.

Read more >>

05 April 2018

Tambah Interaktif Jig Anda

Salam kunjungan untuk semua pelawat sotonglaut. Alhamdulillah, dipanjangkan usia dan dapat kita bersua lagi di pentas maya pada kali ini. Ambe ingin berkongsi satu lagi idea untuk menambah interaktif jig. Artikel ini ditulis sebagai rujukan kepada ahli-ahli baru dan mereka yang mementingkan kos minimum untuk eging. Apa yang dikongsi pada kali ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan produk yang lebih mahal tetapi sekadar untuk memberi pilihan kepada eginger baru.

Ramai eginger dan juga ambe sendiri bermula dengan produk yang murah dan tidak sesuai ketika mula-mula bergiat dalam dunia eging. Sebaik sahaja sudah mahir dan mengenali produk yang lebih baik kita sudah berubah ke arah yang lebih sesuai dengan kemampuan masing-masing. Itu pilihan yang kita buat sendiri. Walaupun begitu jika kaedah-kaedah ini hendak diterapkan kembali kepada eginger baru jangan lah pula kita kata yang bukan-bukan. Mereka juga akan berubah pada suatu hari nanti. Blog sotonglaut akan terus mencadangkan idea-idea baru bagi kegunaan pelawat di luar sana

Umum mengetahui, penggunaan abalone sticker adalah bertujuan bagi menambah interaktif jig. Barangan import ini mudah dibeli secara online tetapi harganya agak mahal. Ketika merayau-rayau di sebuah pasaraya di pantai barat, ambe terjumpa dengan produk alternatif yang tidak kurang hebat juga berbanding sticker abalone. Memang tujuan ke sana pun untuk cari bahan seperti ini. Ambe telah membuat percubaan selama 3 bulan dan hasilnya juga boleh tahan. Antara tanda bagi mengetahui keberkesanan jig yang anda guna, ia mampu menarik perhatian ikan. Dari 3 ekor yang ambe bawa seekor telah diputuskan oleh ikan manakala yang dua lagi berjaya mendaratkan sotong.



Barangan yang ambe maksudkan ialah FabFoils yang digunakan bagi menghias kuku. Ia merupakan foil bercorak yang nipis dan lembut. Juga boleh dibeli secara online. Harga ketika dibeli RM15.00 termasuk 10 gulung foil yang berbeza warna, sebotol base coat(white) dan sebotol top coat (clear). Ambe juga membeli beberapa gulungan sticker foil tambahan berlainan warna dengan harga RM5 setiap satu.

Produk ini sangat lembut dan ringan, elak dari memasang foil di bawah kipas yang kuat atau di kawasan yang berangin kerana ia akan menyukarkan anda. Anda juga perlu mempunyai kemahiran untuk memilih kombinasi warna jig dan warna foil yang hendak digunakan. Lakukan percubaan dan ujian beberapa kali untuk mendapatkan keserasian terbaik.


Contoh Abalone sticker yang dipasang pada squid jig
Sangat interaktif. Sekarang harga di Malaysia masih mahal lagi.


Cara penggunaan diterangkan dengan gambar dan tulisan.

Di sini ambe ingin berkongsi cara menggunakan FabFoils bagi menghias jig anda. Pertama sekali anda perlu memilih jig yang sesuai untuk dihias dan cuba dapatkan sedikit perbezaan warna dengan foil yang hendak digunakan. Bersihkan dan keringkan jig anda terutamanya dari minyak dan air. Sapu base coat menggunakan berus yang disediakan. Biarkan selama 2 hingga 4 minit. Kemudian letakkan foil pilihan dengan permukaan bercorak menghadap ke atas. Tekan menggunakan jari atau bahan lembut untuk melekatkan gam dan foil. Biarkan sekejap. Tarik foil perlahan-lahan.

Anda akan dapati bahagian yang terkena base coat akan tertinggal. Jika berlaku koyakkan, ulang semula pada bahagian yang tidak terkena foil. Foil sticker ini sangat sesuai digunakan pada jig yang rata seperti Cougar dan jig-jig plastik yang lain. Walaupun  begitu, ambe telah pun cuba gunakan pada jig-jig permukaan kain. Ianya masih boleh digunakan walaupun tidak begitu kemas. Selepas lekatan dibuat dengan sempurna, sapukan clear coat yang disediakan bagi menambah kilat pada foil.


Corak yang cantik dan menarik
Terbukti mampu menarik perhatian sotong
Imej adalah gulungan tambahan yang dibeli

Contoh foil yang terdapat dalam kotak

Base coat dan clear yang terdapat dalam kotak

Bagi kaki-kaki pancing ikan, kaedah ini juga boleh digunakan pada jig ikan, rapala, umpan jigging dan popper. Ambe hanya memberi sedikit panduan dan asas. Jika ada idea yang lebih baik berkongsilah. Sampai di sini dahulu perkongsian ambe kali ini. Fahami apa yang ambe cuba sampaikan. Cari objektifnya. Jika kesalahan yang dicari.. itulah yang akan anda jumpa. Jika ada kekusutan, kembali kepada puncanya. Ambe sedia membantu setakat yang termampu. Maaf jika ada salah dan silap. Selamat mencuba-Abe Din
Read more >>

Raikan Perbezaan



Salam kunjungan kepada semua pelawat sotonglaut. Pada post kali ini ambe ingin menjawab beberapa pertanyaan dari sahabat-sahabat yang bertanya melalui e-mail. Begitulah adatnya, jika ada kemusykilan adalah paling baik kita terus hubungi dan bertanya kepada sumbernya. Ilmu itu berkembang dengan contoh dan hujah. Dalam pengajian juga diberikan beberapa hujah yang berbeza sebagai bandingan. Bandingan bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan tetapi sebagai pilihan. Tidak semestinya kita bersetuju, kerana semua orang ada hujahnya sendiri. Raikan perbezaan itu.

Soalan 1
Di manakah nak dapat jig batik?
Ambe jumpa jig batik dijual di Kerteh dan Kemaman setakat hari ini. Harga RM5.50 paling murah.

Soalan 2
Adakah semua jig murah boleh tarik sotong?
Tidak semestinya. Kita perlu kreatif mencuba dan membuat ubahsuai

Soalan 3
Kalau betul jig murah berkesan, tak perlu lagi beli jig mahal..
Ambe sendiri pun menggunakan jig mahal. Yamashita dalam harga dalam RM40 seekor. Tetapi jika kita eging sendirian, cukup sekadar jig murah sahaja. Jika eging berkawan kadang-kadang jig murah memang tak laku.

Soalan 4 
Kalau ikut Abe Din, kita tak perlu guna alatan mahal kan?
Kenyataan tidak tepat. Sebagai contoh, artikel lepas ditulis untuk tatapan eginger baru dan eginger dari kumpulan sederhana dan bawahan. Bukan untuk tatapan eginger atasan. Mesej untuk orang baru tak perlu bermula dengan barangan mahal, semua eginger yang hebat kini bermula dengan barang yang murah dan kadang-kadang tidak sesuai untuk eging. Apa yang ambe tulis, ukur baju di badan sendiri. Jika kita dedahkan barangan mahal kepada eginger baru... takut diorang cabut lari pulok. Tujuan kita  menanam minat. Kalau nak beli yang mahal sebagai permulaan pun boleh tiada yang melarang. Pilihan di tangan kita, duit kita.

Soalan 5
Bagaimana nak lepaskan jig sangkut?
Setakat ini belum ada kaedah yang paling sesuai untuk berbuat demikian. Banyak bergantung kepada rezeki kita. Jika tempat sangkut di dawai jig, ia akan bengkok dan tercabut apabila ditarik. Itupun kalau kita guna tali yang tahan lasak dan tahan kakisan. Kalau sangkut pada kepala jig mungkin sukar sikit. Kalau ambe... turun je dalam air. Jangan ikut teknik ni. Yu banyak.

Soalan 6
Warna Jig Batik yang paling killer warna apa?
Sila rujuk pada artikel yang lepas-lepas, semoga membantu.

Soalan 7
Teknologi membantu dalam banyak hal. kan bagus kalau guna peralatan berkualiti
Terima kasih tuan. Ambe setuju sangat.
Dalam penyebaran ilmu, kita memberi maklumat secara pro dan kontra. Disokong dengan dapatan dari pengalaman serta pembacaan. Akhirnya keputusan di tangan individu itu sendiri. Kita tidak boleh memaksa orang terima pendapat kita. Kita juga tidak boleh menyokong sebelah pihak sahaja. Biarlah pembaca ada pilihan untuk buat keputusan.

Soalan 8
Sinker jig selalu tercabut, nak buat guane?
Biasanya jig mahal akan dicucuk dengan logam secara melintang. Jig murah memang tiada. Padan dengan harganya yang murah. Ambe cadangkan jika kita membeli jig yang murah, cabut dahulu pemberatnya kemudian gam semula dengan gam yang lebih berkualiti. Selamat mencuba.


UP: Zainuddin. Jika terbaca
Saya dah balas email. Boleh rujuk



Kepada Pencandat tegar.. boleh hubungi Azli jika berminat untuk 
menjual sotong dalam skala yang besar
Disertakan sekali no telefon Azli


Ambe nasihatkan jika ada kemusykilan boleh terus menaip dalam "Post a Comment" yang terdapat di bawah post yang terkini. Ambe jarang buka e-mail, lambat sikit nak jawab. Semua soalan di atas adalah soalan yang tidak sempat dijawab pada tahun lepas dan yang terkini.

Fahami dengan hati yang ikhlas, anda akan dapat puncanya, insyaallah. Jika anda hendak mencari kesalahan, kesalahan lah yang anda jumpa. Seribu kemaafan dipinta dari ambe.
Semoga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

24 March 2018

Batik Squid Jig



Salam kunjungan kepada semua sahabat maya. Pada post kali ini, ambe ingin memperkenalkan keluaran jig baru yang lebih ekonomi. Jig ini sesuai digunakan bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia eging sotong.


Corak warna dan kualiti kain yang menarik

Setakat tinjuan ambe di kedai pancing terdekat terdapat 5 versi warna corak dengan dua saiz 2.0 serta 2.5. Harga pasaran sekitar RM7.00 bagi seekor jig. Nama diberi Batik Squid Jig jenama Bakau. Pada kotak terdapat tulisan Jepun yang menggambarkan bahan dan pemasangan dilakukan di luar negara. Walaupun bertulisan Jepun, tidak mustahil reka bentuk dan pemasangan dilakukan di China. Dari pengalaman ambe, jig ini mempunyai banyak persamaan dengan jig-jig keluaran syarikat China.

Kilang-kilang China banyak menghasilkan jig sebegini 

Perkongsian ambe kali ini sesuai dibaca oleh mereka yang mementingkan penjimatan kos dan kualiti yang baik. Orang kaya tak payah baca... pi main jauh-jauh. Orang yang mementingkan jenama dan gaya memang tak pakai benda-benda murah ni. Bagi nelayan tradisional dan individu yang mementingkan teknik memujuk sangat sesuai memilih jig ini sebagai bahan eksperimen.

Setakat ini, ambe belum lagi mencuba keberkesanannya di lapangan. Walaupun begitu, bedasarkan pengalaman ambe... set jig ini mungkin ada yang menyengat dan mampu memberi saingan dengan jig-jig yang mahal. Jika anda kreatif... sedikit pengubahsuaian pasti mampu menjadikan jig ini sebagai jig killer yang mesti dimiliki kaki eging peringkat bawah dan pertengahan.

 Mata jig lebih panjang pada saiz 2.5


Dari pengamatan ambe juga, mungkin jig ini akan jadi pilihan ramai dan semestinya harga akan meningkat sedikit demi sedikit. Jadi, dapatkan koleksi anda dan cuba di lapangan. Selamat bereging dan jimatkan kos eging anda. Sudah tiba masanya kita mengubah minda bahawa jig mahal itu paling baik. Datuk nenek kita yang bertahun-tahun menjadi nelayan hanya menggunakan jig-jig yang daif, murah dan hodoh. Rezeki mereka memang tak dikalahkan. Lupakan tentang glamour barang mahal, tumpukan kepada teknik permainan

Ikatan benang yang tidak begitu kemas.
Sesuai dengan harganya, Anda dinasihatkan
meletak gam di bahagian ini sebelum jig digunakan

Corak yang boleh tahan juga

Analogi yang mudah untuk difahami, gadis yang cantik kerana menggunakan kosmetik mahal sebenarnya tidak cantik jika tidak memakai kosmetik berkenaan. Gadis kampung yang tidak bersolek dan jika guna kosmetik pun murah dan dibuat sendiri sebenarnya lebih cantik dan menawan. Bagi kaki eging, mereka yang bergantung kepada perlatan-peralatan mahal untuk mendapatkan sotong sebenarnya kurang berkemahiran berbanding nelayan tempatan yang kreatif dan menggunakan alatan ala kadar sebenarnya yang sangat berkemahiran. Seorang gadis benar-benar cantik jika tidak menggunakan alat solek atau jika digunakan sangat minima. Eginger yang tidak bergantung kepada alatan mahal pula sebenarnya adalah seorang yang sangat mahir. 

Untuk mengubah minda individu yang mementingkan glamour memang sukar kerana mereka ada pandangan masing-masing yang mereka rasakan betul. Tidak salah menggunakan barangan mahal tetapi berpada-pada. Ukur baju di badan sendiri adalah lebih baik. Ketika ekonomi tidak menentu dan nilai mata wang negara yang jatuh, lebih berbaloi memilih barangan yang lebih ekonomi dan murah. Kita mesti membezakan eging ini sebagai rekreasi atau mencari rezeki. Rekreasi memang mementingkan peralatan dan sudah semesti ahlinya berlumba-lumba mendapatkan item-item yang berkualiti dan mahal. Tujuannya hanya satu, supaya diri diterima dalam sesuatu kumpulan.

Jika ditakdirkan anda terdampar di pulau, anda membina peralatan eging sendiri menggunakan bahan pulau yang terhad dan anda masih berjaya menangkap sotong, andalah seorang juara yang berkemahiran tinggi. Jika kita rujuk sejarah penciptaan Eging di Jepun, bahan asasnya sangat ringkas. Ketika itu teknologi masih rendah. Jig dibuat menggunakan batang pokok, dawai, api dan tali yang bukan tangsi. Hasilnya sangat menarik dan sangat berkesan pada ketika itu.

Ubah minda. Tumpukan kepada permainan, gaya dan teknik yang sesuai dengan peralatan ala kadar kita. Bina teknik, kaedah-kaedah baru dan kongsi ilmu yang ada. Bukti telah wujud, hipotesis telah dibuktikan tahun lepas, peralatan bukan penentu kuantiti dan kualiti tangkapan. Bukti juga telah lama ditunjukkan oleh nelayan tua tradisional di perkampungan nelayan. Bukan sahaja di Pantai Barat, Sabah, Jepun di zaman dahulu, Filipina, dan Pulau Jawa, Indonesia adalah pakar dalam membina alatan eging sendiri yang lebih menjimatkan kos.

*Isu berikutnya berkaitan cara menambah interaktif Batik Squid Jig.


Fahami dengan hati yang ikhlas, anda akan mendapatkan ilmunya. Jika anda suka mencari salah orang, anda akan jumpa banyak kesalahan. Malu bertanya, sesat jalan. Mendongak ke langit, kaki tersadung. Maaf dipohon jika ada salah dan silap. Semoga berjumpa lagi -Abe Din
Read more >>

20 March 2018

Sotong Pertama 2018


Salam untuk semua. Perkongsian sotong pertama yang ambe tangkap di Kemasik. Saiz boleh tahan. Tangkapan waktu malam sekitar jam 9 malam. Umpan Yamashita warna biru saiz 2.0.

Kunjungan pertama: 7 Ekor
Kunjungan kedua : 2 ekor




Read more >>

Tahun Suram Eging 2017

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut. Terlebih dahulu, ambe memohon berbanyak kemaafan di atas pemberhentian posting ke blog sejak hampir 9 bulan yang lalu. Ramai yang menghantar E-mail dan text mesej bertanya tentang post terkini. Umum masih tidak mengetahui tentang duduk perkara yang sebenarnya. Pada post kali ini, ambe akan memberi sedikit penjelasan berkaitan masalah yang berlaku. 

  
 Tahun suram dunia eging

Sebenarnya, ambe terikat dengan komitmen terhadap group yang ditubuhkan. Syarat telah menyatakan tiada sebarang posting ke media sosial yang membenarkan imej berlatar belakang kawasan eging. Bahan yang memenuhi syarat agak terhad dan ambe hanya simpan sebagai koleksi peribadi sahaja. 

Walaupun ambe boleh membuat posting yang lain tetapi ambe rasa bertanggungjawab untuk memberi lebih komitmen kepada group yang ditubuhkan. Ambe sedar ada sedikit rasa kerugian kerana tidak dapat berkongsi dengan semua pengunjung seperti sebelum ini. Selepas penulisan ini, blog sotonglaut akan diaktifkan seperti biasa.

Group telah dibubarkan di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan dan group baru telah ditubuhkan. Group terbaru tidak mempunyai syarat yang ditetapkan secara terperinci. Ambe akan melengkapkan tugas untuk memberi sebanyak mungkin maklumat berkaitan eging sotong kepada umum.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, tuhan telah tunjukkan beberapa hikmah di atas tindakan yang diambil. Ambe mula mengenali ramai orang dengan lebih dekat. Rupanya di dalam tidak serupa dengan di luar. Ramai watak dan perangai yang ambe jumpa. Ada pelbagai watak yang baik dan buruk. Ambe tidak bercadang untuk bercerita di sini, cukup sekadar ianya menjadi sempadan dan panduan bagi ambe. Ambe harapkan mereka akan success dengan bidang mereka.


Orang kita kata, bagi betis hendak peha
atau Tikam belakang
Mungkin lebih sesuai

Dunia eging di Malaysia masih baru dan kecil. Perlu diperkasakan. Kadang-kadang ambe rasa macam nak berhenti sahaja dari semua ini tetapi apabila teringatkan kata Jack Ma, rasa macam tak sanggup. Eging dah jadi sebahagian daripada ambe. Ambe mesti kembangkan ke peringkat yang lebih baik. Masuk dalam group yang ada tidak banyak membantu. Perkembangannya sangat perlahan dan beredar secara dalaman sahaja. Ambe perlu bebas untuk meneruskan cita-cita mendidik, memaju dan memperkenalkan eging seperti yang berlaku di negara luar. Ambe tidak boleh paksa orang lain untuk bersama-sama. Ambe perlu lakukan walaupun seorang diri.

" Tidak ada putih atau hitam, Sekiranya kamu berkata "Tutup Laman Itu" 
ia tidak adil kepada penjual yang ada. Kami perlu melindungi mereka 
dan bukan fokus kepada perniagaan berjenama sahaja. Kita 
perlu mengambil berat tentang semua orang dan hak mereka"
Forbes, 4 November 2015

Saya perlu adil kepada orang baik di luar sana. Sebelum menutup post kali ini ambe tinggalkan beberapa rangkap pantun bagi renungan kita bersama. Panjang umur kita berjumpa lagi di ruang maya. Salah silap ambe mohon seribu keampunan. -Abe Din


Sotong datang hingga ke jeti,
Sambil berenang lalu di tepi;
Sepatah kias tidak mengerti,
Hati tertutup jiwanya mati. 

Sotong gila datang menyerang,
Langkah gaya macam pencuri;
Adat mencandat di tempat orang,
Jangan biadap menyilang tali.

Tanah ini memang bertuan,
Bersangka baik mencari rezeki;
Jika sumbang langkahku tuan,
Ajarkan aku adat dan budi.


Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing