"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

05 June 2010

Pemilihan Candat 1

Pelbagai pilihan candat / jig. Adakah ia sesuai ?

Secara umum sotong mabang kurang memilih candat yang digunakan. Nelayan tradisional pada masa dahulu hanya menggunakan candat buatan sendiri tanpa luminous. Mereka hanya menggunakan timah dengan balutan kain atau plastik berwarna.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa sotong mabang juga boleh ditangkap menggunakan jig twist. Jig twist yang lebih berat digunakan di bahagian bawah bersama dengan jig bentuk udang di bahagian atas. Cara pancingannya lebih menyerupai pancingan sotong torak tetapi penggunaan jig selalunya terhad kepada dua jenis sahaja. Cara pancingan yang dinyatakan di atas selalu digunakan ketika mengilat sotong mabang di kawasan unjam.

Sotong mabang di kawasan unjam lebih mudah untuk ditangkap kerana ia jarang memilih umpan candat. Perlu diingat jika anda meniat untuk mencari mabang di kawasan unjam, gunakan jig yang bersaiz lebih besar iaitu 3.0 ke atas. Sotong di kawasan unjam selalunya lebih besar dan tarikannya sangat kuat. Benamannya hampir menyerupai ikan.

Post kali ini menyenaraikan beberapa tips memilih candat yang boleh dijadikan panduan oleh pengilat-pengilat sotong mabang yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Faktor-faktor pemilihan candat boleh dikelaskan kepada dua kumpulan besar iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor-faktor dalaman termasuklah warna candat, keupayaan menyimpan cahaya, mata candat, mata kail candat, pemilihan sirip, bentuk pemberat, ketumpatan badan candat, dan berat candat. Faktor-faktor luaran termasuklah kejernihan air, pengaruh bulan, harga, kekuatan arus, saiz sotong, dan lokasi pancingan.



Faktor-faktor Dalaman

1. Warna candat. Pada post sebelum ini, saya telah menerangkan tentang pengaruh warna candat bagi menarik perhatian sotong mabang. Selalunya sotong lebih tertarik kepada warna yang terang dan cerah. Sotong akan mudah melihat warna yang lebih terang daripada warna kelabu tetapi kenyataan ini belum dibuktikan secara saintifik. Warna candat sangat berkait rapat dengan luminous yang terdapat pada badan candat, kejernihan air dan faktor cahaya bulan. Berikut adalah ranking warna candat mengikut yang paling mendapat perhatian sotong mabang berdasarkan ujian-ujian lapangan sebelumnya. Merah - Pink - Kuning/Oren - Hijau.

2. Keupayaan menyimpan cahaya. Selalunya faktor ini dikaitkan dengan kehadiran bahan luminous yang diadunkan dengan plastik semasa pembuatan badan jig. Selalunya jig yang mampu menyimpan cahaya lebih terang dan lebih lama cepat ditarik oleh sotong. Lominous sangat diperlukan ketika mengilat sotong di waktu malam hari. Selalunya cahaya yang lebih terang akan lebih cepat mendapat perhatian sotong torak dan jarum. Cahaya yang samar akan menarik perhatian sotong mabang. Ada juga syarikat pengeluar menghasilkan jig yang mengeluarkan kerlipan cahaya berwarna merah apabila jatuh ke dalam laut. Setakat ini, keberkesanan jig berkenaan masih belum diuji sepenuhnya.

3. Mata candat. Faktor ini merujuk kepada dua mata yang diletakkan oleh pembuat jig di kiri dan kanan kepala jig bagi meniru mata udang. Terdapat dua jenis mata candat udang iaitu jenis lekatan kekal dan lekatan tidak kekal. Lekatan kekal lebih kukuh dan tidak mudah tercabut manakala jenis lekatan biasa menggunakan gam lebih mudah tertanggal apabila terkena pada batu atau lengan sotong. Terdapat mata yang dicat secara biasa, mata merah besar bersama anak mata dan luminos. Susunan terbaik ialah luminous - mata merah bersar bersama anak mata - cat biasa.

Contoh sebaris mata kail candat bentuk 'U'

4. Mata kail candat. Mata candat diperbuat dari logam yang berbentuk lurus tanpa cangkuk. Matanya agak berbeza dengan mata kail bagi memancing ikan. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk mata candat di pasaran. Selalunya mata candat disusun membulat dalam dua lapisan. Ada juga kedapatan mata candat disusun sehingga tiga lapisan. Mata candat yang lebih keras dan panjang digunakan untuk menangkap sotong yang lebih besar. Mata candat yang tajam boleh diuji dengan cara memegang mata candat dengan perlahan menggunakan kelima-lima jari. Jika terasa lekatan apabila jari dikembangkan, itu satu tanda bahawa mata candat berkenaan cukup tajam. Bentuk susunan mata candat juga dapat mengurangkan risiko sotong terlepas. Sotong bersaiz besar memerlukan mata candat yang lebih kuat dan panjang. Mata candat disusun berbentuk bunga, bentuk 'V', dan bentuk 'U'. Bentuk 'V' lebih banyak ditemui di pasaran kerana pembuatannya lebih mudah. Susunan bentuk mata kail yang paling baik ialah bentuk 'U' diikuti oleh 'V' dan bentuk bunga. Mata bentuk 'U' boleh dilihat pada candat jenis Yamashita keluaran Jepun.

5. Pemilihan sirip. Sirip merujuk kepada bulu burung yang dicat dan dipasang pada kedua-dua belah pipi candat berdekatan dengan mata. Bulu berkenaan bertindak sebagai sirip bagi mengimbang kedudukan candat di dalam air. Bulu sirip berkenaan dipasang menghala ke bahagian kepala candat dan hampir menutupi bahagian matanya. Terdapat dua jenis bulu sirip iaitu bulu biasa dan bulu berkilat. Mengikut ujian tidak rasmi yang dilakukan, bulu berkilat adalah lebih berkesan. Selalunya bulu berkilat ini dipasang pada jig-jig mabang yang lebih mahal harganya.

6. Bentuk pemberat. Pemberat yang digunakan adalah dari jenis timah dan logam tidak berkarat. Terdapat dua bentuk pemberat iaitu bentuk segi dan bentuk separa bulat. Pemberat berfungsi bagi mengubah pusat graviti candat ke bahagian kepalanya. Semasa statik candat akan berada dengan keadaan dagunya menghala ke bawah. Hal ini akan mengurangkan risiko sangkut pada mata candat kerana matanya berada pada posisi ke atas (Bergantung kepada jenis candat). Posisi statik candat akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam post yang berikutnya. Dari ujian yang dijalankan pemberat bersegi lebih mudah tersangkut berbanding pemberat yang berbentuk separa bulat.

7. Ketumpatan candat. Post sebelum ini telah dinyatakan jenis bahan yang digunakan untuk membuat badan jig atau candat. Bahan yang biasa digunakan termasuklah kayu, plastik tumpat dan plastik berongga atau berudara. Dari siri ujian yang dijalankan, plastik berongga udara lebih baik daripada plastik padu dan kayu ringan. Penggunaan plastik berongga akan menyebabkan candat berada di dalam posisi yang sangat ideal.

8. Berat candat. Pemilihan berat candat merujuk kepada berat candat keseluruhannya dalam gram. Berat candat selalunya dicatatkan pada timah pemberat. Antara yang biasa dijumpai ialah 2.0 hingga 2.5 (sesuai digunakan di kawasan batuan dan pulau) dan berat 3.0 hingga 4.0 (sesuai digunakan di kawasan unjam). Berat candat yang digunakan perlulah bersesuaian dengan jenis dan panjang pancing yang digunakan. Jika anda membeli joran pancing yang dikhaskan untuk pancingan sotong selalunya tercatat berat candat yang disyorkan. Ini bermaksud bukan semua jenis pancing sesuai untuk menggayakan sesuatu candat. Pengaruh pancing dan berat candat akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam post yang akan datang.

Post berikutnya saya akan cuba mengupas faktor luaran yang mempengaruhi pemilihan candat. Semoga maklumat yang diberikan serba sedikit dapat membantu pencandat baru dan lama bagi menambahkan lagi pengetahuan berkaitan pancingan sotong mabang. Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing