"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

28 May 2011

Ribut Laut

Salam untuk semua pelawat dan pengunjung.
Dua hari lepas, Abe Din mengetengahkan isu berkaitan sotong dan pencemaran. Antara isi utama yang diulas ialah tentang kurangnya sotong yang ditangkap di beberapa kawasan di Terengganu, khususnya Kemaman.

Pagi tadi kawan baik Abe Din, Mat menelefon dan memberitahu dia baru pulang dari mencandat di perairan Kerteh. Misi dengan dua buah bot bersama belasan pencandat telah mengharung perairan Kerteh semalaman bagi mencandat sotong torak. Abe Din diberitahu, sotong torak cukup banyak bermain cahaya lampu di bawah bot mereka. Teruja sekejap... ini petanda baik, sotong sudah datang.

Apa yang menyedihkan, menurut rakan Abe Din... sotong tidak galak menyambar candat. Mereka hanya memperolehi beberapa kilogram sahaja. Apabila Abe Din bertanyakan tentang arus... Mat memberitahu tiada arus atau arus mati. Patutlah sotong tidak galak.. sotong torak memang kurang menyambar jig jika tiada arus, walaupun kita lihat beribu-ribu sotong bermain di bawah bot.


Lebih menyedihkan lagi, kumpulan berkenaan terpaksa berhadapan dengan ribut yang melanda. Bagi mereka yang belum ada pengalaman dilanda ribut laut... tentunya tidak begitu faham dengan saat getir yang dilalui. Abe Din sudah beberapa kali berhadapan dengan ribut. Bot dilambung ombak sehingga berkedudukan menegak dalam 45 hingga 50 darjah sebelum bot dihempas keras ke bawah.

Tong ikan dan kotak-kotak pancing bergerak ke hadapan dan ke belakang silih berganti. Habis semua doa dibaca hinggakan semua pencandat tertidur. Terjaga sahaja hari dah siang dan ribut sudah teduh. Beberapa tudung tong ikan hilang... peralatan lainnya berselerak ke sana sini. Semasa ribut.. kami peluk tiang bot kuat-kuat, ada juga yang memeluk tong air, tong ikan bersedia jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Itulah asam garam yang perlu ditempuhi oleh pencandat dan nelayan-nelayan saban tahun. Pada musim begini, cuaca agak sukar untuk diramalkan. Jika ribut datang dari arah lautan, peluang untuk melarikan diri sedikit cerah. Itupun kalau bot yang dinaiki boleh bergerak laju. Jika ribut datang dari arah daratan seperti yang kerap berlaku pada musim ini, peluang untuk lari sedikit tipis.

Para nelayan tempatan memang sudah biasa berhadapan dengan ribut laut tetapi bagi pencandat biasa, saat berhadapan dengan ribut sebegini samalah seperti saat penentuan antara hidup dan mati. Sebab itulah ramai pencandat baru yang menghadapi situasi ini terus bersara sebaik sahaja naik ke daratan.



Apa yang akan anda lakukan jika anda berhadapan dengan ribut ketika mencandat atau memancing di tengah laut? Mungkin beberapa tips di bawah boleh membantu anda:

1-Bawa baju hujan
Jika ribut melanda, hujan boleh masuk sehingga ke dalam bot. Hujan di laut sangat sejuk hinggakan mereka yang gemukpun boleh menggigil.

2-Gunakan jaket keselamatan
Pastikan anda membawa dan paling penting memakai jaket keselamatan. Bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

3-Kemaskan peralatan
Pastikan tali, bekas pancing dan joran disusun dengan kemas dan tidak berselerak. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa tali pancing itu sendiri boleh membunuh

4-Tetapkan kedudukan
Duduk di tempat yang mudah untuk berpaut dan tidak terlalu berdekatan dengan bahagian tepi bot. Jangan berdiri dan menggunakan telefon bimbit jika ribut disertai dengan kilat dan guruh.

5-Dapatkan nasihat tekong bot
Tekong selalunya selamba je. kalau di Terengganu... rata-rata mereka sudah biasa berhadapan dengan ribut luar jangka ini.

6-Saling membantu
Mungkin ada di antara rakan anda baru pertama kali keluar mencandat... mereka mungkin  mabuk, kesejukan dan bermacam kerenah lagi. Jangan pentingkan diri.. hulurkan bantuan anda bagi meredakan kebimbangan mereka.


7-Berdoa
Berdoa adalah jalan terbaik memohon pertolonganNya dan menenangkan perasaan. Jika ribut nampak pelik sikit... salah seorang laungkan azan dengan kuat.

Sekian untuk kali ini. Selamat memancing dan mencandat. Utamakan keselamatan anda.
Abe Din

6 comments:

  1. suka la entry abe din nie..hoho..tapi ada rasa ngeri2 cket..ngehngeh..salute la kat nelayan2..diorang memang hebat :D

    ReplyDelete
  2. tu pic btol2 ke abe din... fuhh.. kalo jadi gitu.. mau lemah semangat... bahaya2

    ReplyDelete
  3. Haru Biru: Pic 2 dr cik google... masa ribut mana ingat camera... ingat mati je..Abe Din dah banyak kali kena ribut... sampai darat terus tobat xnak gi dah ke laut... tp esok gi lagi.. kih2x

    ReplyDelete
  4. Pernah kene gak ribut nih...habih tonggang langgang bebarang dlm bot...gi ngan Pok Lan Dungun...

    ReplyDelete
  5. Ada juga pengalaman kapal pecah...huh ngeri... 8 jam di Laut...

    ReplyDelete

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing