"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

27 June 2011

Simple trip

Salam untuk semua pelawat yang sudi menjengah ke sini. Biar siapapun anda, latar belakang anda, hobi anda, lokasi anda.. atau apa sahaja, terima kasih kerana sudi bertamu sebentar ke sini. Moga-moga mendapat sesuatu yang baru di sini. Bagi yang sentiasa ke sini... biar apapun tujuan anda... setinggi penghargaan yang tidak terhingga dari Abe Din.

Pada kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit tips sebagai persediaan mencandat sotong mabang atau sotong mengabang di kawasan daratan atau batuan. Konsep yang cuba Abe Din tonjolkan ialah ringkas, mudah dan santai. Konsep yang diketengahkan merujuk kepada persediaan dari segi peralatan dan keperluan. Dengan mengaplikasi konsep ini, pencandat akan mudah bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi tujuan mencandat sotong. 

Keperluan ringkas atau "simple" ini banyak membantu pencandat ketika mencandat terutamanya di kawasan berbatu dan sangat membantu jika aktiviti mencandat dijalankan pada waktu malam.


Pencandat yang ringkas dan santai.
Persediaan yang ringkas dan santai ini memudahkan pencandat dari segi membaling jig, menarik jig, menyimpan hasil tangkapan, menukar jig dan perpindahan lokasi. Hal-hal ini tentunya berkait rapat dengan peralatan dan kelengkapan yang dipilih bagi digunakan semasa aktiviti mencandat.

Pakaian yang dipilih perlulah ringkas, ringan dan sesuai untuk pergerakan. Seluar yang ketat dan berat tidak sesuai untuk proses pergerakan di atas batuan. Dari segi peralatan joran dan kekili, telah diulas cara pemilihannya di dalam post-post sebelum ini. 

Beg pinggang yang ringkas

Beg pinggang digunakan untuk mengisi jig, penyambung candat, jig cap, tali simpanan, pisau atau gunting, atau keperluan lain yang dirasakan perlu. Gaik sotong juga perlu ringkas dan mudah untuk dibawa.

Beg plastik mudah diperolehi

Beg plastik diikat menggunakan tali ke pinggang. Ada juga pencandat yang memegang beg plastik dengan menggunakan tangan. Bagi menepati konsep simple, lebih mudah jika diikat di pinggang. Sebaik sahaja sotong diperolehi, terus di pegang dan dimasukkan ke dalam beg plastik di pinggang. Jika sotong berat dan banyak, plastik perlu dipegang dengan tangan bagi memudahkan pergerakan pencandat. Letak di kawasan rata berdekatan pencandat sebelum jig dibaling. Plastik beras 10kg juga digunakan pencandat bagi menyimpan hasil tangkapan. Anda perlu kreatif memanipulasi bahan di persekitaran bagi kegunaan anda.


Kasut getah anti-gelinciran

Harga kasut di atas lebih kurang RM10. Mempunyai ciri ringkas, ringan dan anti-gelincir ketika digunakan di kawasan batuan. Jangan menggunakan kasut yang berat. Selipar jepun  tidak sesuai digunakan semasa mencandat di kawasan berbatu.

Kesimpulan: Pemancing perlu memastikan aktiviti mencandat berjalan dengan lancar dan berkesan. Jangan sampai keperluan dan perlatan yang dibawa menganggu aktiviti mencandat yang anda sertai. Apa yang dicadangkan di sini bukanlah sesuatu kemestian, anda mungkin mempunyai cara lain untuk kelihatan lebih ringkas dan santai ketika mencandat.

Hingga berjumpa lagi.
Abe Din.

No comments:

Post a Comment

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing