"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

19 April 2010

Contoh Sotong

Seperti yang dinyatakan dalam post sebelum ini, terdapat beberapa jenis sotong yang popular di Malaysia. Antaranya Sotong Ngabang, Sotong Cumit, Sotong Kurita, Sotong Torak dan Sotong Katak.

Antara jenis sotong yang dipaparkan, Sotong Torak dan Sotong Ngabang merupakan jenis sotong yang kerapkali diburu oleh kaki-kaki pancing dan candat. Kadang kala, Sotong Katak dan Sotong Cumit juga terjerat dengan kaedah pancingan dan candat. Walaubagaimanapun, jumlah Sotong Katak dan Sotong Cumit yang terjerat dengan kaedah ini adalah terhad dan sedikit.

Contoh-contoh sotong ditunjukkan seperti gambar di bawah :


Penulisan blog ini secara keseluruhannya menumpukan perbincangan terhadap dua spesies sotong iaitu Sotong Torak dan Sotong Ngabang. Kedua-dua jenis sotong ini merupakan sotong buruan utama kaki-kaki pancing dan kaki candat. Sotong-sotong ini mempunyai daya juang yang digilai oleh kaki-kaki pancing.

Umum mengetahui bahawa sotong adalah spesies yang lembut, tetapi tidak ramai yang pernah merasai kehebatannya. Semoga post-post yang berikutnya mampu memberi panduan kepada pelawat untuk menduga spesies ini di perairan laut terbuka.
Read more >>

18 April 2010

Spesies Sotong II

Sotong Ngabang
Sotong ngabang @ mabang juga dikenali sebagai Sotong Harimau di sesetengah tempat. Corak badannya yang cantikdan isinya yang sedap merupakan tarikan utama bagi pemancing. Sotong ini selalunya dipancing menggunakan joran aksi ringan dari kewasan berbatu, pulau dan pantai.

Sotong ini suka mendiami kawasan batu karang. Ia sangat aktif ketika petang dan malam. Air pasang surut juga sangat mempengaruhi keaktifanya. Bulan mengambang merupakan bonus ketika memburu spesies ini.

Di pantai biasanya sotong yang ditangkap bersaiz sehingga sekilo. Di kawasan unjam saiz sotong ini mampu menjangkau sehingga 2 kilo seekor. Badannya yang bulat dan gemuk memberikan perlawanan yang cukup hebat jika joran aksi ringan digunakan.

Sotong ini dipancing menggunakan umpan udang tiruan yang banyak dijual di kedai-kedai pancing. Apabila sotong memegang umpan, tegakkan joran. Jangan sekali-kali mengunci kekili. Kekili yang dikunci boleh menyebabkan sotong terlepas. Biarkan sotong berenang sehingga dakwatnya habis dikeluarkan.


Sotong Katak
Fizikal sotong ini hampir menyamai Sotong Ngabang. Sotong katak mempunyai tulang yang tebal dan besar berbanding sotong ngabang yang mempunyai tulang seakan-akan plastik. Sotong Katak sangat malas untuk bergerak. Wilayahnya tidak jauh.

Jika terkena pancing, sotong ini hampir tidak melawan. Sotong ini juga mudah terlepas kerana ia tidak mempunyai jejari panjang yang terdapat pada sotong ngabang. Oleh kerana tabiatnya yang agak malas, ia selalu menangkap umpan di bahagian dasar laut.

Sotong ini kurang sedap jika hendak dibandingkan dengan sotong-sotong yang lain. Harga di pasar juga lebih murah. Selalunya dakwat Sotong Katak lebih banyak berbanding dengan sotong-sotong lain.

Agak sukar untuk memancing sotong ini dalam jumlah yang banyak kerana sifatnya yang suka bersendirian dan jarang bergerak dalam kumpulan. Ketika air surut, tulang sotong ini boleh dilihat bertaburan di kawsan pantai.


Sotong Kurita
Sotong Kurita merupakan spesies sotong yang mendiamai kawasan berlumpur seperti paya bakau ketika peringkat juvana. Sotong ini selalunya bergerak secara sendirian. Ia mencari makan dengan cara menekup dan menyamar. Tubuh sotong ini lebih fleksibel dari sotong-sotong yang lain. Sotong ini boleh memasuki lubang yang lebih kecil dan sempit untuk mencari makanan. Ia mendiami lubang-lubang ketam yang ditinggalkan dan juga  struktur batu karang di laut.

Sotong kurita bukanlah sotong yang biasa dipancing tetapi ada juga sotong kurita yang ditangkap menggunakan pancing. Ia boleh ditangkap menggunakan sauk di celah-celah pokok bakau. Selalunya sotong ini dijadikan umpan untuk memancing ikan. Di Taiwan dan China, sotong ini dimakan hidup-hidup.

Agak sukar untuk menemui sotong ini diperairan terbuka kerana ia pandai menyamar menyerupai latar persekitaran bagi mengelirukan musuh. Sotong ini juga pandai meniru gaya renangan ikan bagi mengelak pemangsa. Di Malaysia sotong ini dijadikan umpan memancing dan sotong masin.
Read more >>

Spesies Sotong I

Secara umumnya terdapat 6 spesies sotong yang cukup popular mendiami perairan Malaysia iaitu sotong Torak (torok), sotong ketupat, sotong jarum, sotong ngabang, sotong Katak, sotong kurita. Mungkin juga terdapat spesies sotong lain perairan negara kita yang tidak diketahui penulis.

Post kali ini akan membincangkan serba sedikit berkaitan setiap jenis sotong yang telah dinyatakan di atas.

Sotong Torak (Torok )
Sotong ini kebanyakan ditemui di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ketika musim bertelur, sotong ini akan menghampiri pantai dan unjam darat untuk bertelur. Mengikut cerita nelayan, sotong yang ditangkap di kawasan unjam laut bersaiz lebih besar dan panjang.

Bagi mencadat sotong ini, selalunya nelayan mencari kawasan ia bertelur semenjak waktu petang lagi. Kawasan sotong bertelur ini dikenali sebagai "Kandang". Jika terjumpa kandang ini, sauh bot akan dilabuhkan. Aktiviti mencandat bermula dari petang hinggalah ke waktu subuh. Lampu generator dipasang pada waktu malam kerana, sotong ini cukup aktif bermain cahaya lampu. Semakin terang cahaya lampu yang dipasang, semakin banyaklah sotong yang berkumpul di bawah bot.

Penduduk tempatan lebih selesa menggunakan "serek" bagi memancing sotong ini. Bagi orang bandar, mereka lebih suka menggunakan joran pancing kerana mereka tidak mahir menggendalikan "serek". Umpan yang digunakan termasuklah candat udang, candat timah dan candat umpan (payung).

Pancingan dilakukan dengan cara menghenjut. Bagi candat umpan cukup sekadar membiarkannya di dasar laut dan diperiksa sekali-sekala. Jika sotong terkena pancing, pancing akan terasa berat. sotong yang besar mampu untuk menarik tali keluar dari kekili atau serek.

Ketika sotong menghampiri permukaan air, ia akan memancutkan air atau dakwat hitam dalam usaha untuk melepaskan diri. Perlu diingat jangan sesekali menarik sotong secara lurus menghadap muka. Sengetkan sedikit tali bagi mengelakkan daripada terkena dakwat sotong.

Sotong Ketupat
Sotong ketupat mempunyai saiz yang sederhana. Saiznya hampir menyamai sotong jarum tetapi bentuk badannya lebih membulat manakala sotong jarum mempunyai badan yang tirus dan panjang. Warna badan sotong ketupat agak cerah berbanding sotong jarum yang lebih gelap. Selalunya sotong ketupat menyertai kumpulan sotong jarum dan sotong torak. Ramai pencandat baru tidak dapat membezakan dengan jelas antara anak sotong torak dan sotong ketupat. Selalunya sotong ketupat mempunyai bentuk perut yang agak buncit dan badannya pendek sedikit. Cara ia menyambar candat hampir menyamai cara torak menyambar umpan cuma tarikannya tidaklah sekuat sotong torak. Sotong ketupat banyak ditangkap menggunakan pukat. Jika anda turun ke laut untuk memancing sotong torak tentunya hasil tangkapan anda akan diselang seli dengan sotong ketupat. Di pantai timur khususnya Terengganu, sotong ketupat bersaiz kecil dan sederhana dimasak bersama beras pulut dan manisan. Masakan yang popular ini dikenali sebagai ketupat sotong.

Sotong Jarum ( Sotong Cumit )
Sotong Jarum lebih menyerupai Sotong Torak, cuma saiznya lebih kecil. Sotong Jarum berwarna lebih merah daripada sotong Torak. Ketika memancing Sotong Torak, kadang-kadang Sotong Jarum akan mencelah. Selalunya nelayan tidak menyukai sotong ini kerana saiznya lebih kecil dan lebih murah. Sotong selalu mengacau pemancing Sotong Torak.

Sotong Jarum juga boleh dipancing dari kawasan pantai. Bagi pemancing ikan, Sotong Jarum adalah salah satu umpan yang disukai bagi memancing Jenahak dan Kerapu. Jika Sotong Jarum banyak, lampu akan dipasang dan sotong ini boleh ditangkap hanya dengan menggunakan sauk sahaja.

Sotong ini juga berminat dengan umpan yang dihulurkan oleh pemancing. Walaupun sotong ini suka menyambar gewang, ia agak sukar untuk dinaikkan kerana saiznya yang agak kecil. Ketika waktu kurang aktifnya, kita dapat merasakan sotong ini memegang dan melepaskan semula gewang beberapa kali. Jika ini berlaku peluang untuk menaikkan Sotong Jarum sangat tipis.

Dari segi tentangan, sotong ini sesuai dipancing menggunakan joran aksi ringan. Dalam berseronok memancing jangan pula kita alpa tentang dakwatnya.

Abe Din
Read more >>

Salam Perkenalan

Blog Sotong Mania mula dibangunkan dan pada Hari Sabtu, 17 April 2010. Blog ini dibangunkan bertujuan untuk mengumpul kenalan di seluruh negara disamping berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai aktiviti pancingan sotong laut.

Di Malaysia khususnya di perairan Pantai Timur, sotong mula dipancing menjelang bulan April hingga Oktober bagi setiap tahun. Pada ketika ini, keadaan air laut boleh dikatakan kurang bergelora. Di Pantai Timur, aktiviti memancing sotong dikenali sebagai "mencandat sotong"

Aktiviti mencandat sotong kebiasannya dilakukan menggunakan bot laut di sepanjang perairan Pahang hingga Kelantan. Apabila tiba musim mencandat, lampu-lampu bot yang sedang mencandat boleh dilihat dari persisir pantai.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa aktiviti mencandat sotong ini juga boleh dilakukan disepanjang pesisir pantai yang berbatu dan kawasan pulau. Aktiviti mencandat di pantai lebih dikenali sebagai "menggewang sotong". Di laut, sotong kebanyakkannya dicandat menggunakan koyan atau serek dalam panggilan tempatan. Sotong pantai pula dijerat menggunakan joran aksi ringan berserta umpan tiruan.

Bagi yang belum merasai pengalaman ini, tentunya agak pelik. Post yang berikutnya akan mengupas lebih lanjut mengenai pancingan setiap spesies sotong yang terdapat di perairan negara.

Diharapkan kehadiran blog ini akan memberikan pengalaman baru kepada pemancing-pemancing yang ingin memulakan aktiviti pancingan sotong. Blog ini juga diharapkan akan menambahkan lagi pengetahuan pemancing-pemancing yang telah lama menceburi aktiviti pancingan ini.

Salam perkenalan dari Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing