"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

31 August 2015

Rezeki Tidak Mengira Masa

Salam kunjungan untuk semua pelawat blog sotonglaut. Tangkapan malam penghujung bulan Ogos . Sungguh mendebarkan sebab trip dijalankan pada musim hujan... bimbang juga air laut kurang masin dan sotong selalunya menjadi tidak aktif. Semua ramalan meleset belaka... trip berani mati memberi hasil yang boleh dikatakan memuaskan.




Kemungkinan besar faktor hujan yang berlaku jauh ke tengah laut tidak begitu mempengaruhi kemasinan air laut. Walau bagaimanapun memang bersyukur sangat... cukup lah rezeki yang diperolehi dibahagi sama rata dengan rakan seeging. Jumpa lagi-Abe Din
Read more >>

23 August 2015

Baju Seribu Kenangan

Salam kunjungan untuk semua pelawat blog sotonglaut. Alhamdulillah, dalam kesibukan bekerja siang malam, akhirnya berjaya juga ambe menyiapkan projek yang dah lama dirancang. Selepas menuntut ilmu dengan beberapa orang otai, akhirnya terhasillah T-shirt untuk meminat-peminat hardcore sotong. 

T-shirt dihasilkan dalam 3 variasi warna iaitu kelabu, hitam dan hijau. Saiz pilihan L, XL dan XXL. Dah ada yang datang untuk beli sehelai dua. Ada juga yang order... tak sempat nak hantar. Penghantaran paling awal kepada Wan Tasek dari Majalah UMPAN. Dalam sedikit masa lagi semua tempahan akan siap dihantar. Harga ditawarkan RM20 sehelai. Kalau amik 3 helai, diskaun jadi RM50 je. Stock limited. Siapa cepat dia dapat.

Sebenarnya buat baju ni hanya untuk mencari pengalaman dan bukannya nak berniaga sangat pun. Bagi pengumpul dan peminat T-shirt boleh hubungi ambe melalui e-mail kat atas tu jika berminat. Sementara stock masih ada.


Budak baru belajar...kalau salah tolong tunjukkan


Selepas beberapa kali percubaan...akhirnya...


Baju-baju dicetak dalam dua warna utama iaitu hitam dan hijau bagi menyesuaikan tujuan baju iaitu untuk aktiviti mencandat dan gewang sotong. Pemilihan warna gelap tidak menakutkan sang lembut dan tentunya baju berkenaan boleh digunakan untuk beraksi di lokasi pilihan anda.

Budak baru belajar macam saya ni tentunya banyak kekurangan. Ambe minta maaf jika ada salah silap ketika proses cetakan dilakukan. Nama Abe Din, nama blog bukan lagi dianggap sebagai individu tetapi ianya sudah menjadi satu jenama yang telah lama diterima sebagai universal di alam maya. Sama-samalah kita memajukan dan mempromosi kaedah gewang sotong di Malaysia. Ambe melihat T-shirt adalah salah satu medium penyebaran maklumat yang perlu dicuba. Hingga berjumpa lagi-Abe Din.


Antara design yang dicetak


Read more >>

21 August 2015

Gatal Tangan Di Kuantan

Salam kunjungan untuk semua pelawat. Baru-baru ini dapat berita dari Kuantan... satu trip gewang sotong di Pelabuhan Kuantan. Wakil kat sana Zul dah mula ketar tangan... lama tak dapat sotong katanya. Ambe di Kemaman pun nak ikut tetapi tugas tertentu menghalang hasrat berkenaan. Zul bersama Suhaimi masuk ke lokasi kegemaran mereka di Pelabuhan Kuantan pada sebelah pagi.


Jejaka Hensem Orang Dungun


Sotong Tunggal Si Hitam Manis


Hasil pada hari berkenaan hanya dua ekor sotong saiz sederhana dan seekor anak gerpoh saiz sedap makan. Kemungkinan faktor suhu air menjejaskan tangkapan trip kali ini. Sempat juga ambe minta Zul untuk send gambar lokasi pelabuhan bagi tatapan mereka yang belum pernah sampai ke situ. Sebenarnya ambe pun belum pernah sampai. Bila agaknya...? Mengikut Zul... tidak lama lagi kawasan ini akan ditutup dan orang awam tidak dibenarkan masuk. Susah pulak orang tempatan nak cari rezeki kat sana... nampaknya kena cari alternatif baru.


Suhaimi beralih ke popping apabila sotong menyepi
Dapat juga anak gerpoh  sekor


Kawasan yang cukup berpotensi


Kawasan Rezeki yang semakin Berduka

Baru-baru ini isu pencemaran bauksit mula diperkatakan. Ambe cukup bimbang jika bahan berkenaan masuk ke sistem perairan pantai... sotong akan lari ke tengah laut. Pendapatan nelayan pantai tentu akan terjejas teruk. Harap-haraplah isu ini dapat ditanggani segera oleh pihak berwajib. Jangan disebabkan keuntungan... alam sekitar diabaikan.


Menunggu masa untuk ditutup

Jika ada masa terluang... ingin rasanya ambe berkunjung, untuk mencuba sendiri kekuatan dan keganasan sotong di kawasan ini.. menurut Zul, sotong di sini memang ganas-ganas. Melihat gambar lokasi yang dikirim... memang boleh dipercayai. Tunggulah akan tiba masa itu... harap-harap sebelum kawasan ini ditutup, dapatlah ambe mencuba sekurang-kurangnya sekali beraksi di Kuantan. Hingga berjumpa lagi-Abe Din
Read more >>

Gewang Pengubat Rindu

Salam kunjungan untuk semua pelawat yang sudi bertandang. Kali ni nak citer sikit trip terbaru di Kemaman. Trip bersama seorang sahabat tegar sotonglaut, Kamal. Ketika sampai air nampak sedikit bergelora walaupun tidak sekuat trip sebelumnya. 

Hasil tangkapan tidak bergitu besar tetapi boleh diangggap memuaskan dengan jumlah tangkapan melebihi 10 ekor. Jig killer pada trip kali ini masih didominasi oleh yamashita coklat bintik. Ada juga yang terlepas dan terjatuh di celah batu disebabkan keadaan kelam kabut apabila spesies lembut ini membuat serangan mengejut melarikan jig. Walaupun trip ini singkat tetapi kira ok jugalah. Lepas juga hasrat untuk gewang sang lembut ini... tunggu update trip-trip terbaru selepas ini.-Abe Din

Hasil yang boleh dikira memuaskan


Read more >>

11 August 2015

Masak Lemak Telur Sotong

Salam kunjungan untuk semua. Pada post kali ini... ambe nak berkongsi satu resipi yang menggunakan telur sotong sebagai bahan utama. Untuk pengetahuan korang, telur sotong banyak dijual di pasar-pasar tani. Telur sotong dibekukan dengan berat setengah dan sekilogram bagi setiap bungkus. Harga kalau tak silap ambe dalam RM26 sekilo.

Pada kali ini, ambe nak cerita cara-cara masuk telur sotong ala masakan orang negeri sembilan... masak lemak cili padi. Bahan-bahan yang perlu korang sediakan ialah 200 gram telur sotong, bawang merah, bawang putih, serai, halia, kunyit, cili padi, santan dan garam


Masak Lemak Telur Sotong


Telur sotong yang berwarna putih bersih


Bahan tumis yang digunakan dalam masakan ini


Caranya mudah sahaja, Kisar semua bahan tumis menggunakan mesin pengisar. Tumis semua bahan dengan sedikit minyak. Apabila minyak dah pecah, masukkan telur dan santan sedikit-demi sedikit. Biarkan campuran menjadi pekat dan kemudian tambah sedikit garam sebagai perasa. Jangan lupa masukan juga serai yang telah diketuk pada pangkalnya menggunakan lesung batu.


Kisar bahan tumis sehingga hancur 
menggunakan mesin pengisar


Pastikan api tidak terlalu kuat untuk 
mengelakkan kuah melimpah keluar


Sebaik sahaja masakan mendidih dan sedikit pekat, bolehlah diangkat dan dihidangkan. Resipi ini memang ringkas. Kalau nak tahu sedap atau tidak... korang kena cuba buat sendiri. Sehingga berjumpa lagi. Selamat mencuba-Abe Din
Read more >>

10 August 2015

Rezeki Luar Jangka

Salam kunjungan untuk semua. Trip ke-2 selepas raya hanya sempat diadakan pada bulan Ogos. Sebelah petang kertap hujan. Hujan turun agak lebat berserta dengan angin kilat dan guruh. Dalam kebimbangan sempat juga mencuri peluang untuk turun ke lokasi biasa




Bertolak masuk ke lokasi pada pukul 10 malam dan trip tamat pada pukul 2.30 pagi. Hasil yang berjaya didaratkan pada kali ini, 11 ekor. Termasuk 3 ekor bapak sotong bersaiz sederhana. Keadaan cuaca berangin dan sejuk. Paling merunsingkan keadaan ombak yang kuat. Selepas balingan dibuat tarikan diterima satu persatu... rupa-rupanya ada sang lembut sedang berlegar-legar di sekitar kawasan gewang dilempar. Walaupun agar sukar... tetapi hasil masih boleh dibanggakan


Pada kebiasaanya, sotong berada hampir dengan dasar laut ketika air laut bergelora. Jig udang perlu direndam lebih lama agar sampai ke zon sasaran. Hari berikutnya... hujan mula turun waktu malam silih berganti. Nampaknya peluang untuk menjerat sahabat-sahabat sotong yang lain tidak kesampaian. Hingga kini masih sabar menunggu hujan malam berhenti. Jika siangnya cukup panas... malam tentu sotong akan mengamuk sakan. Sabar... Abe Din
Read more >>

08 August 2015

Siput Buluh Bersos Tomato

Salam kunjungan untuk semua. Pada post kali ini...ambe ingin berkongsi satu resipi bagi memasak sejenis siput yang dikenali sebagai siput buluh. Siput ini ambe beli di pasar ikan Dungun. Ambe terjumpa siput ini secara tidak sengaja semasa memilih ikan yang dijual di pasar berkenaan. Sebenarnya, ambe sudah mengenali siput ini semasa ambe belajar di  Sarawak. Ambe pernah mengikut keluarga angkat di Kuching mencari siput ini untuk dijadikan hidangan. Siput ini mudah ditemui di dalam pasir berlumpur ketika air mula surut. Alat yang digunakan untuk menangkap siput ini hanyalah lidi dan kapur. 

Sebaik sahaja kita menjumpai lubang siput.... cucuk lidi yang dicelup dengan kapur dihujungnya betul-betul ke dalam lubang yang disyaki terdapatkan siput ini. Jika ada siput di lubang berkenaan, ia akan melonjak keluar kerana mabuk kapur. Kutip dan simpan di dalam bekas yang dibawa. Siput ini perlu disimpan di dalam bekas yang mengandungi air laut untuk tempoh sehari dua bagi mengeluarkan segala kotoran di dalam badannya sebelum ia benar-benar boleh dimasak dan dimakan.



Siput Buluh Bersos Tomato


Siput buluh ini juga dikenali oleh penduduk tempatan Sarawak sebagai ambal. Di Semanjung ia dikenali dengan nama siput buluh atau siput pahat. Siput yang telah dikuarantin perlu dibersih dan dibelah perutnya terlebih dahulu sebelum dimasak. Ini bertujuan untuk membuang kotoran dan pasir yang masih berada di dalam badan siput berkenaan.


Siput Buluh yang Belum Dimasak


Untuk memasak siput ini, korang perlu bersihkan siput berkenaan dan rebus dalam tempoh 5 hingga 10 minit. Sediakan bahan penumis seperti bawang merah, bawang putih dan, halia. Semua bahan berkenaan boleh dikisar atau dimayang halus.


Rebus Sibut Buluh Sekitar 5 hingga 10 minit


Panaskan minyak masak, tumis bahan-bahan penumis tadi. Apabila minyak pecah dan tumisan berbau, masukkan sos tomato. Jika anda suka pedas boleh juga menambah cili boh atau cili padi. Masukkan serai yang telah ditumbuk di bahagian pangkalnya. Masukkan siput yang sudah direbus bersama-sama kulitnya. Apabila masakan mula mendidih, masukkan bawang besar yang dipotong secara membulat. Selepas ianya masak, bolehlah diangkat dan dihidangkan bersama nasi putih. Jangan lupa letak sedikit garam atau gula sebagai perasa.


Selepas Sos Masak, Letak 
Siput Buluh yang Sudah Direbus

Ambe berharap anda mencuba resipi ini. Bagi mendapatkan hasil yang lebih baik... jangan takut untuk membuat sedikit pengubahsuaian agar menepati citarasa anda sekeluarga. Sehingga berjumpa lagi-Abe Din.

Read more >>

Mabang Tunggal Syawal

Salam kunjungan untuk semua pelawat sotonglaut. Hari ke 6 bulan syawal sempat berkunjung ke lokasi biasa untuk menduga mabang laut. Trip daratan pertama selepas hari raya membuahkan hasil. Seekor sotong tunggal telah didaratkan dengan jayanya-Jumpa lagi, Abe Din




Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing