"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.
Showing posts with label Sotong Kurita. Show all posts
Showing posts with label Sotong Kurita. Show all posts

14 September 2016

Umpan Kurita

Salam kunjungan semua pengunjung sotonglaut.blogspot. Artikel kali ini, ambe ingin berkongsi maklumat berkaitan aktiviti menangkap sotong kurita. Maklumat umpan sotong kurita ambe perolehi dari FB rakan sotonglaut dan dipopularkan oleh pencandat dari Jepun, Korea, dan China.  Umpan jenis ini masih belum popular di negara kita. Di negara Amerika Latin, pemancingnya menggunakan isi ikan dan daging sebagai umpan.


 Bijak menyamar dan melarikan diri

Sotong kurita merupakan organisma invertebrata paling cerdik di bumi. Kajian sains membuktikan bahawa sotong kurita berjaya menyelesaikan beberapa tugas yang kompleks bagi mendapatkan makanan dan melepaskan diri. Di negara kita, sotong kurita ditangkap dengan menggunakan jerat seperti bubu dan kulit siput. Terdapat juga yang mencari sotong kurita di celah-celah batu karang selepas air laut surut. Diharapkan perkongsian kali ini boleh menjadi satu lagi alternatif untuk menjerat sotong kurita.


Umpan Bentuk Udang

Umpan Bentuk ketam

Masih belum dipastikan kehadiran umpan ini di negara kita. Mungkin umpan ini masih baru. Jika sotong kurita kita tidak memilih. selepas ini, tidak mustahil umpan sebegini akan membanjiri pasaran tempatan.

Ambe telah lama mengkaji gaya makan sotong kurita melalui pembacaan dan youtube. Kaedah pancingan lebih sesuai dari atas atau dari bot. Agak sukar untuk mengumpan sotong kurita dari daratan yang rata kerana risiko umpan tersangkut adalah tinggi. Umpan dilepaskan dan ditarik dari bawah ke atas dalam jarak sekaki dua dari dasar laut. Sotong kurita biasa bermain di bahagian bawah. Gerakan perlahan umpan dari bawah ke atas akan menarik perhatian sotong untuk keluar dari sarangnya. Biasanya sotong akan membawa umpan ke sarang dan pemancing perlu lebih masa untuk menariknya keluar dari lubang. Ada juga pemancing yang membiarkan umpan di dasar dan diperiksa sekali sekala seperti kaedah yang diamalkan kita menggunakan candat umpan sotong torak.


Sotong Kurita Yang Mengenai Mata Jig


Tangkapan yang bersaiz sederhana

Saiz Yang Besar Dan Boleh Tahan

Di negara kita, sotong kurita biasa dibuat sotong masin atau dikeringkan. Di negara Jepun, sotong kurita bersaiz kecil di makan hidup-hidup. Kaedah unik menangkap sotong kurita pernah disiarkan di TV suatu ketika dulu. Kaedah tangkapan ini diamalkan oleh nelayan dari  Pahang iaitu dengan menggunakan kulit siput pelbagai saiz yang diikat berangkai-rangkai dan dibiarkan di dasar laut. Semasa menarik perangkap, sotong akan keluar sebaik sahaja karauan perangkap berhenti. Sotong-sotong yang mula keluar akan dibiarkan jatuh ke dalam baldi besar. Semua sotong kurita yang ditangkap bersaiz kecil kerana hanya saiz berkenaan sahaja muat untuk berlindung di dalam siput.


Kaedah Yang Berkesan 
Boleh Dipopularkan Di Negara Kita

Mencandat sotong kurita adalah potensi baru yang boleh dikembangkan di negara kita. Lokasi tumpuan sotong kurita adalah berpandukan kehadiran struktur bawah laut. Sotong kurita suka kawasan yang boleh memberi perlindungan seperti karang hidup, karang mati dan tukun. Sotong kurita jarang berada di kawasan terbuka. Sotong kurita kerap dijumpai di kawasan terbuka ketika air laut tenang. Selepas ini... bolehlah kita sama-sama mencuba potensi umpan sotong kurita di perairan negara kita. Terbaik...-Abe Din

Read more >>

13 September 2016

Morfologi Sotong

Salam kunjungan untuk semua. Pada kali ini... aku nak share rajah morfologi tiga jenis spesies sotong iaitu sotong katak, kurita dan mengabang. Semua rajah yang dipaparkan disini diperolehi daripada Facebook rakan sotonglaut. Mengikut carian internet, morfologi merujuk kepada ilmu tentang bentuk organisma terutama haiwan dan tumbuhan yang merangkumi bahagian-bahagiannya.


Speses sotong katak
Cuttlefish (sekitar 120 spesies)



Spesies Sotong Kurita
Octopus (sekitar 300 spesies)



Spesies Sotong Mengabang dan Kumpulannya
Squid (sekitar 300 spesies)


-Abe Din-



Read more >>

14 March 2011

Tukang Tiru

Salam untuk semua pengunjung blog sotonglaut. Pada kesempatan kali ini, Abe Din ingin berceloteh tentang satu tabiat haiwan ciptaan tuhan iaitu penyamaran meniru atau lebih dikenali sebagai kemimikan (mimic). Tentunya subjek utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan sotong dan spesies yang dipilih kali ini ialah sotong kurita dari keluarga octopus.
Mimik ialah keserupaan rupa satu spesies dengan spesies lain yang bertujuan melindungi. Keadaan ini berlaku apabila haiwan yang dinamakan mimik berevolusi untuk meniru ciri-ciri yang terdapat pada spesies lain. Kemimikan merupakan satu jenis interaksi yang selalunya akan memberi kelebihan kepada spesies yang meniru.

Dengan bahasa yang lebih mudah mimik adalah satu proses pertahanan dan pelindungan dari musuh.  Sotong kurita meniru untuk memperdayakan musuh. Beberapa jenis mimik sotong kurita telah dikenalpasti oleh saintis antaranya ialah meniru gerak laku ikan lion fish, ular laut, buran atau sea anemones dan obor-obor. Ikan singa, ular laut, buran dan obor-obor memang terkenal dengan musibah yang dibawanya. Pemangsa memang awal-awal lagi menjauhi spesies-spesies ini.

Ada dua jenis mimik yang biasa dilakukan oleh sotong kurita iaitu "Kemimikan Bates" iaitu menyamar sebagai bahaya dan "Kemimikan Mertens",  menyerupai model tidak bahaya.

Sotong kurita mempunyai musuh yang terdiri daripada pelbagai spesies ikan. Untuk pengetahuan anda, sotong kurita selalu dijumpai bersiar-siar mencari makanan secara sendirian dan sukar untuk melihatnya secara berpasang. Kelebihan meniru yang ada padanya tentunya sedikit sebanyak membantunya membuat muka selamba di hadapan musuh.
 
Atas : Ikan sebelah
Tengah : Lion fish
bawah : Ular laut

Kerapkali juga musuhnya teragak-agak untuk membuat keputusan ke atas apa yang diperhatikan. Apa yang menariknya, sotong kurita ini tidak terlalu tergesa-gesa menjauhkan diri daripada musuhnya. Mungkin untuk mengelak rahsianya daripada terbongkar. Nak hidup le katakan..

Jika anda rajin melihat rancangan National Geografi dan video-video di internet, ada juga kedapatan pemangsa yang agak "brutal". Walaupun sotong kurita selamba melakukan mimik, selamba juga dia meluru nak makan. Sotong lari tak cukup tanah. Mungkin pemangsa tu dah tahu kot. Nasib badan le.
 

Kalau difikir-fikir, haiwan juga ada ikhtiar untuk meneruskan kehidupan. Apa yang berlaku kadang-kadang memang sukar untuk dihuraikan secara tepat tetapi sekurang-kurangnya hidup ini masih dapat diteruskan. Jumpa lagi…
Abe Din
Read more >>

17 July 2010

Apa salah Paul ?

Salam untuk semua. Rasa gatal tangan hendak update blog tetapi kesibukan kerja kadang kala membataskan hasrat berkenaan. Sepanjang kehangatan piala dunia ini banyak trip mengilat sotong terpaksa ditunda kerana dua orang lagi rakan Sotong Mania Abe Din memang kaki bola. Abe Din bukan kaki bola tetapi kadang-kadang sempat juga cari masa untuk tengok siaran langsung beberapa perlawanan di televisyen.

Walaupun musim kemuncak bola piala dunia sudah melabuhkan tirai, rasanya belum terlambat untuk Abe Din membicarakan tentang acara popular berkenaan. Pada kali ini, Abe Din ingin berkongsi sedikit pandangan berkaitan isu yang hangat diperkatakan di kalangan peminat-peminat bola iaitu berkenaan ramalan seekor sotong kurita yang dinamakan Paul.

Dari carian internet, Abe Din mendapat maklumat bahawa Paul yang berumur 2 tahun telah mula membuat enam ramalan melibatkan Jerman pada Piala Eropah 2008. Empat daripada ramalan berkenaan adalah tepat manakala dua lagi meleset. Pada perlawanan Piala Dunia baru-baru ini pula Paul berjaya meramal dengan tepat kesemua perlawanan. Ramalan Paul telah menimbulkan kemarahan kepada pasukan yang kalah dan pelbagai ancaman telah dikeluarkan.

Sebenarnya apa yang berlaku boleh dihuraikan secara lebih saintifik jika pihak-pihak berautoriti dan mempunyai pengiktirafan sejagat memberikan pendapat dan panduan. Ahli agama sendiri telah memberikan hukum-hukum berkaitan ramalan sotong dan burung nuri walaupun isu ramalan itu juga perlu dilihat dengan lebih meluas dari konteks rakyat Malaysia itu sendiri. Abe Din berpendapat jika tindakan awal diambil tentunya kekecohan berkaitan ramalan Paul tidak terlalu disensasikan.

Kadang-kadang Abe Din terfikir, salahkah jika Paul hendak mengambil makanan di dalam bekas di hadapannya? Banyak pandangan negatif dan positif nampaknya lebih menjurus kepada Paul tetapi individu atau kumpulan yang memanipulasi Paul bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Memandangkan blog ini menjurus kepada dunia sotong, Abe Din rasa sedikit tanggungjawab untuk mengulas berkaitan isu ini. Jika rakan-rakan Sotong Mania mengikuti penulisan sebelum ini bertajuk pemilihan candat I dan II, Abe Din ada menerangkan faktor-faktor dalaman dan luaran yang boleh menarik perhatian sotong menarik umpan. Salah satu faktor utama ialah warna. Bagi kes Paul, bekas lutsinar yang diisi makanan diletak bendera berwarna sebagai latar. Memang secara semulajadinya, sotong tertarik kepada jig berwarna mengikut ranking iaitu merah-Pink-Kuning/oren-Hijau dan baru-baru ini candat putih juga telah mula dipopularkan.

Jika kita peka, candat dan jig-jig sotong yang terdapat di pasaran, diwarnakan dengan warna yang dinyatakan seperti di atas. Adalah ganjil jika jig dan candat dihasilkan dengan warna yang lain dari yang telah dinyatakan. Kajian warna jig juga telah dilakukan terhadap sotong sebelum ia dikeluarkan secara komersial. Jenama terkenal seperti Yamashita juga mengaplikasikan warna kegemaran sotong pada produk mereka.

Pendapat yang menyatakan bahawa Paul memilih makanan mengikut warna latar bendera yang diletakkan adalah cukup kuat. Sepatutnya untuk lebih adil, bendera pasukan perlu dicetak atau ditulis nama pasukan dengan menggunakan dakwat hitam sahaja. Gambar di bawah adalah sekadar beberapa contoh situasi yang dialami oleh Paul.

Cuba lihat warna bendera pilihan Paul, warna dominannya ialah
merah dan kuning manakala bendera kedua mempunyai
warna biru yang tidak diminati oleh sotong.


Gambar di atas juga menunjukkan bendera kedua tidak
mempunyai
warna dominan kegemaran sotong

Gambar di atas menunjukkan bendera bukan pilihan mempunyai
sedikit warna merah
manakala bendera pilihan mempunyai
warna merah dan kuning yang lebih luas.


Kesimpulan dari situasi di atas boleh dinyatakan bahawa pemilihan Paul adalah bergantung kepada situasi-situasi berikut.
1-Warna pilihan mengikut ranking
2-Keluasan warna
3-Kecerahan warna

Abe Din beranggapan bahawa pemilihan Paul juga sangat bergantung kepada faktor-faktor lain yang diketahui oleh mereka yang pakar tetapi tidak didedahkan kepada umum. Abe Din cukup yakin bahawa sotong Paul tidak mempunyai sebarang magik dan sotong-sotong lain juga mampu melakukan aksi berkenaan.

Kebodohan manusia mempercayai ramalan sotong berkenaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Abe Din percaya, ada haiwan yang dianugerahkan Allah deria yang boleh mengesan sesuatu seperti yang berlaku semasa tsunami dan peristiwa ayam di atas kubur tetapi mempercayai bahawa ia boleh membuat ramalan adalah sesuatu yang keterlaluan.

Jika dahulu orang Arab jahiliah meramal dengan menggunakan anak panah, dukun, bomoh, pawang dan sekarang manusia menggunakan haiwan pula. Menurut wakil ketua MUI Pamekasan, 'Percaya ramalan binatang murtad, agar kembali ke Islam, harus baca kalimah syahadat, jika tidak, murtad seumur hidup'. Mufti Johor pula menegaskan bahawa ramalan, tekaan atau tilik menilik yang dilakukan manusia adalah satu pembohongan. Maka, jika manusia meramalpun dipanggil pembohong, apatah lagi jika haiwan yang meramal.

Bukan tujuan Abe Din untuk mengajar tetapi sebagai peminat sotong, Abe Din tidak begitu senang jika makhluk tuhan yang comel ini dipergunakan untuk menipu. Peringatkanlah kepada mereka yang lupa. Salam dari Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing