"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

08 March 2011

Jerat Jig

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Dalam kesibukan tugas harian sempat juga Abe Din menyelongkar koleksi internet berkaitan pancingan sotong. Mungkin ramai di antara kita yang pernah merasai tarikan sotong yang sememangnya mempunyai daya juang yang tinggi tetapi tidak ramai yang dapat melihat perjuangannya di dalam air.

Pada kali ini, Abe Din ingin berkongsi situasi berkenaan dengan semua pengunjung sotonglaut. Rakaman video berkenaan diperolehi dari laman Youtube. Jika anda mempunyai kelapangan, banyak pengalaman memancing sotong boleh ditonton di laman ini.






Sotong memang terkenal dengan kegigihan untuk melepaskan diri. Semburan dakwat dan pecutan jet air adalah dua cara yang selalu digunakan. Pemancing mahir tidak akan mengunci drag kekili kerana ia akan menyebabkan tantekal sotong terputus seterusnya sotong akan berjaya melepaskan diri.

Sebaik sahaja sotong merasai ketajaman mata jig, ia akan mula menyembur dakwat hitam. Pada ketika ini, sotong berkenaan beranggapan jig yang disangkakan makanan adalah merupakan ancaman kepadanya. Sotong secara konsisten menyembur dakwat ke hadapan untuk menjauhkan diri daripada jig. Jika mata jig kuat dan tajam, peluang untuk sotong melepaskan diri adalh tipis.

Pemancing perlu banyak bersabar dan berhati-hati jika jig disambar sotong terutamanya jika saiz sotong berkenaan besar dan kuat.  

Semoga anda mendapat sesuatu yang baru. 
Sehingga berjumpa lagi. Abe Din
Read more >>

05 March 2011

Resepi Pelik 2

Salam untuk semua pengikut blog Sotonglaut. Apa sahaja yang anda lakukan, setinggi penghargaan dan terima kasih kerana sudi menjengah ke laman sotong ini. 

Pada kesempatan ini, Abe Din akan bercerita tentang satu lagi resepi pelik berasaskan dakwat sotong. Seperti yang kita sedia maklum, dakwat sotong merupakan salah satu mekanisme pertahanan bagi sotong. Untuk pengetahuan anda, sotong menghasilkan warna dakwat yang berbeza mengikut spesies. Kumpulan octopus menghasilkan dakwat hitam pekat, spesies squid menghasilkan dakwat berwarna biru kehitaman manakala spesies cuttlefish menghasilkan dakwat berwarna sedikit coklat. (sila rujuk spesies berkenaan dalam ruangan Rahsia Dakwat Hitam)

Antara kegunaan dakwat sotong ialah sebagai bahan rencah dalam masakan, pewarna rambut dan ada juga dijadikan dakwat untuk mencetak. Di kesempatan ini, Abe Din akan mengupas fungsi dakwat sotong di dalam proses penyediaan makanan. Antara fungsi utamanya ialah  sebagai pelembut dan perasa. Dakwat sotong juga boleh dimasak bersama nasi, pasta dan stew ikan.

 

Resepi yang Abe Din ingin perkenalkan di sini ialah "Cuttlefish Ink Pasta". Dalam resepi ini dua ekor sotong katak yang besar digunakan. Sotong diasingkan pundi dakwatnya. Bahagian badan lain dibersihkan secara lebih kurang dan dipotong kecil-kecil secara memanjang. Tulang sotong katak pula boleh digunakan sebagai bahan makanan burung nuri.

Pundi dakwat dipecahkan di dalam bekas dan dicairkan menggunakan air suam. Goreng bawang besar serta bawang putih yang telah dicincang. Tambahkan isi sotong bersama sisa dakwat yang masih tinggal kemudian masak beberapa minit. Orang Eropah akan menambahkan sedikit wine dan kemudian ditambah pati tomato. Tambah dakwat sotong yang telah diasingkan dan masak selama 15 minit lagi. Tambah air jika campuran kuah agak pekat.

Sementara menunggu kuah pasta masak. Celurkan pasta di dalam air panas dan sebaik sahaja pasta lembut tuangkan ke dalam kuah pasta yang sedang mendidih. Masak beberapa minit lagi sehingga kuah pekat.



Pasta yang telah masak dan berkuah pekat boleh diangkat dan dihidangkan di dalam pinggan. Gambar di atas menunjukkan hasil yang diperolehi. Kaedah memasak ini bukan sahaja popular di Eropah tetapi juga di Asia Tenggara. Rakyat di negara China pandai memasak dengan menggunakan dakwat sotong.

Sesiapa yang berminat untuk mencuba, boleh mendapatkan lebih info melalui halaman Youtube. Semoga resepi pelik ini akan kena dengan selera anda.

Hingga berjumpa lagi.
Salam dari Abe Din.
Read more >>

Resepi Pelik 1

Salam untuk semua pengikut dan pembaca blog sotonglaut.blogspot.com/
Tidak sabar rasanya menunggu masa dan ketika sotong menyerang kawasan pesisir pantai Terengganu. Dari tinjauan di beberapa kawasan pasar ikan, nampaknya sudah ada tanda-tanda kehadiran sotong mabang dan sotong katak di perairan Pantai Timur. Peralatan telah tersedia, hanya masa yang sesuai sahaja belum muncul.

Dalam kesibukan seharian, sempat juga Abe Din membuat sedikit carian internet dan berjumpa dengan beberapa artikel berkaitan tabiat makan sotong yang agak pelik di luar negara. Tabiat yang Abe Din maksudkan ialah memakan sotong kurita secara hidup-hidup. Mungkin agak asing di Malaysia tetapi di luar negara terutamanya negara Korea, ia cukup popular. Makanan ini juga dikenali sebagai "Korean Sushi". Kita juga boleh melihat trend makan sotong kurita hidup ini sudah mula dipopularkan di Jepun, China dan Taiwan.

Dua dua cara bagaimana sotong kurita disediakan sebagai makanan. Sotong Kurita bersaiz kecil akan dihidang di dalam bekas atau mangkuk secara hidup. Sotong bersaiz besar akan dipotong-potong dan disusun bersama sayuran. Apa yang pasti, sotong berkenaan dipotong ketika masih hidup. Jejari sotong berkenaan masih dilihat bergerak-gerak.


Sotong hidup atau potongan sotong yang masih bergerak akan diambil menggunakan penyepit, diputar dan dipusing seterusnya dicelup ke dalam sos khas. Sotong berkenaan akan disuap ke dalam mulut dan dikunyah hidup-hidup.



Ada ketikanya sotong yang masih hidup tadi cuba melawan untuk melepaskan diri. Ketika ini tangan akan digunakan bagi memegang sotong tanpa penyepit. Bagi orang-orang Korea mungkin makan cara begini sangat menyeronokkan.

Di Malaysia, cara makan sotong segar agak berlainan. Sotong yang digunakan adalah sotong yang baru mati. Sotong dibersihkan, dibuang kulit, dipotong dengan pisau tajam dan dimakan dengan menggunakan sos khas. Penggemarnya memakan sotong tanpa dimasak terlebih dahulu. Walaupun begitu, sotong berkenaan dibasuh sehingga bersih.

Bak kata orang, lain padang lain belalangnya. Apakah ada kemungkinan cara makan warga Korea ini akan ditiru oleh rakyat Malaysia? Sudikah anda menjadi orang yang pertama mencubanya? Hanya masa dan ketika yang akan menentukan.

Semoga berjumpa lagi.
Abe Din.
Read more >>

01 March 2011

Kaedah Sembelih

Salam untuk semua peminat Sotonglaut.
Pada post kali ini, Abe Din akan menunjukkan beberapa gambar bagaimana proses "penyembelihan" sotong dilakukan.

Di dalam post sebelum ini, ada dinyatakan beberapa alatan yang boleh digunakan bagi melakukan proses "penyembelihan" sotong. Kita semua mengetahui bahawa, bahagian otak haiwan adalah bahagian penting yang mengawal aktiviti makhluk hidup. Apabila jaringan kawalan ini diputuskan maka aktiviti hidup haiwan akan lumpuh atau terhenti.

Dalam proses penyembelihan yang sebenarnya, memotong urat yang membawa mesej ke otak akan mengurangkan penderitaan dan kesakitan kepada haiwan yang disembelih. Bagi haiwan sotong, proses memutuskan jaringan saraf ini cukup hanya sekadar membuat beberapa tusukan ke bahagian yang berdekatan dengan otaknya. Pemilihan alatan yang tajam akan memudahkan proses ini dan ia juga tidak menyiksa haiwan berkenaan.

Gambar 1-Pisau atau alatan tajam yang digunakan diletakkan 
dalam sudut 45 darjah menghala ke leher sotong.

 Rajah 2 dan 3- Menunjukkan sebahagian badan sotong bertukar 
kepada putih. Keadaan ini menunjukkan pelaku telah berjaya 
melumpuhkan aktiviti saraf pada separuh badan sotong.

Rajah 4- Tusukan kali kedua di bahagian badan sebelah lagi 
menyebabkan semua badan sotong bertukar kepada putih. 

Rajah 5-Tusukan di bahagian tengah kepala di antara 
kedua belah mata bertujuan untuk melumpuhkan 
saraf di bahagian kepala.

 Rajah 6-Menunjukkan keseluruhan badan sotong telah 
bertukar kepada warna putih. Ini adalah petunjuk bahawa
sotong berkenaan telah mati.

Bagi pemancing baru, sedikit latihan diperlukan bagi memahirkan kaedah "penyembelihan" ini. Pemancing yang mahir boleh mematikan sotong hanya dengan sekali tusukan sahaja. Walau apa yang kita lakukan, mestilah bermula dengan niat yang baik. Jangan sesekali kita menganiayai haiwan berkenaan kerana ia juga makhluk ciptaan yang Maha Esa.

Semoga anda semua mendapat sesuatu yang berguna. Sehingga berjumpa lagi pada post yang berikutnya. Salam bahagia-Abe Din
Read more >>

Alatan Sembelih

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din akan menunjukkan alatan yang digunakan untuk "menyembelih sotong". Sebelum anda memilih alat yang sesuai, anda perlu mengetahui serba sedikit tentang struktur badan sotong. Bahagian utama yang terlibat di dalam proses "penyembelihan" ini ialah kawasan otak (brain).

Proses "penyembelihan" tidak menggunakan pisau seperti cara yang biasa dilakukan. Konsepnya sama seperti sembelihan yang difahami umum iaitu memutuskan fungsi otak haiwan. Apabila fungsi otak terhenti, kawalan ke atas tingkahlaku juga akan terhenti. Kaedah sembelihan juga akan mengurangkan kesakitan dan penderitaan sotong.

Carian dari internet, didapati ada sesetengah pemancing "menyembelih" dengan cara menetak menggunakan tangan merintangi bahagian leher sotong. Sotong akan mati serta merta dan kaedah ini dilihat agak kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Rajah di atas menunjukkan dua jenis alat yang digunakan oleh pemancing-pemancing Jepun bagi "menyembelih" atau mematikan sotong dengan cepat. Cara penggunaannya adalah dengan menusuk bahagian bawah yang lebih tajam dengan sudut 45 darjah ke arah otak sotong. Selepas tusukan dilakukan, buat sedikit gerakan ke kiri atau ke kanan. Kebiasaannya sotong akan mati serta merta.

Anda juga boleh menggunakan pisau bagi menggantikan alatan di atas. Pastikan alatan "sembelih" benar-benar tajam agar ia tidak menyiksa sotong yang "disembelih".  Apa yang dilakukan diharap tidak bertujuan menganiaya atau menyiksa sotong yang "disembelih".

Pada post yang akan datang, Abe Din akan menunjukkan gambar kaedah-kaedah "menyembelih" sotong yang betul. Semoga berjumpa lagi.
Read more >>

28 February 2011

Menyembelih Sotong

Salam untuk semua peminat pancingan sotong.
Semoga anda semua dirahmati oleh Nya.
Mungkin ramai yang terkejut jika dikatakan sotong boleh disembelih. Sebenarnya, sembelih yang dimaksudkan bukanlah seperti menyembelih haiwan berkaki dua atau kaki empat yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam. Sembelih yang dimaksudkan oleh Abe Din ialah satu proses mematikan sotong dengan lebih cepat. Umum tahu bahawa sotong bukan haiwan yang wajib disembelih.

Kebiasaanya jika sesekor sotong itu ditangkap, ia akan dibiarkan mati dengan sendirinya. Proses semulajadi ini mungkin akan memakan masa sehingga 5 minit. Sotong yang telah mati boleh dikenali dengan warna badannya yang bertukar kepada warna putih sepenuhnya. Masa yang lama ini mungkin akan menimbulkan suasana yang tidak diingini kepada pemancing.

Sotong yang ditangkap selalunya akan dibiarkan di lantai bot, atas batu, atau di dalam bekas ikan. Selagi sotong itu hidup ia akan memancutkan dakwat hitam di sekitar lokasi ia diletakkan. Keadaan ini lebih ketara jika terdapat sedikit air yang mengenai badan sotong. Nelayan selalunya tidak mencampurkan sotong yang baru ditangkap dengan ikan di dalam satu bekas kerana ia akan mengotorkan badan ikan dan menurunkan harga serta mutu ikan yang hendak dijual.

Dakwat yang dilepaskan oleh sotong di kawasan batu dan lantai bot boleh menyebabkan keadaan licin serta membahayakan pemancing. Sebagai jalan mudah, pemancing meletakkan sotong yang ditangkap di dalam bekas berisi ais. Kaedah ini akan menyebabkan dakwat yang disembur akan terkena air sejuk dan melambatkan ia disebarkan ke kawasan lain di dalam bekas. Sotong yang disimpan di dalam ais juga kurang aktif dan cepat mati.

Pada post yang berikutnya, Abe Din akan menunjukkan beberapa peralatan biasa yang digunakan untuk "menyembelih sotong". Sekian untuk kali ini.
Read more >>

15 February 2011

Zon Gaik Sotong

Salam untuk semua.
Pada post kali ini, Abe Din ingin menerangkan serba sedikit tentang zon-zon gaik yang terdapat pada badan sotong mabang.

Terdapat beberapa jenis sotong yang ditangkap oleh pamancing dan nelayan. Jika sotong itu bersaiz kecil seperti sotong jarum, gaik tidak diperlukan sama sekali. Sotong torak juga tidak memerlukan gaik ketika dinaikkan disebabkan bentuk badannya yang panjang. Torak mudah dipegang dengan tangan pada pertengahan badannya.


Sotong katak dan mabang sangat memerlukan gaik untuk dinaikkan terutamanya jika saiz sotong berkenaan adalah besar dan berat. Gambar di atas menunjukkan zon-zon yang ditanda pada badan sotong mabang. Zon berkenaan juga sesuai diaplikasikan kepada sotong katak.

Lokasi gaik yang baik ialah pada zon A dan zon B. Walaupun begitu, penghujung ekor sotong adalah lokasi terbaik. Apabila kawasan ini terkena gaik, sotong akan berada pada posisi kepala ke bawah. Dengan yang demikian, pemancing boleh merendam sotong lebih lama di dalam air agar dakwat hitam tidak tumpah ke dalam bot atau di atas batu.

Jika sotong terkena gaik di zon C dan Zon D, posisi sotong akan senget ke kiri atau ke kanan. Dakwat semburan sotong boleh mengenai bahagian kaki pemancing ataupun terkena pemancing bersebelahan.

Kawasan gaik yang paling tidak sesuai ialah di zon E iaitu kawasan kepala sotong. Jika gaik terkena kawasan ini, muka pemancing akan menjadi sasaran utama semburan dakwat sotong.

Kulit sotong sangat lembut dan cukup mudah melekat pada mata gaik. Sotong yang terkena gaik akan menjadi lemah dan lebih mudah untuk dinaikkan. Jika memancing di waktu malam, proses mengaik sotong di dalam gelap adalah sesuatu yang cukup mencabar. Dibimbangi gaik tidak mengenai kawasan sasaran pada badan sotong.

Sesetengah pemancing lebih suka menggunakan mata gaik jenis bunga daripada mata tunggal kerana mudah untuk mengaik sotong. Jika anda menggunakan mata tunggal dan digunakan pada waktu malam, Abe Din nasihatkan anda meletakkan sedikit warna luminous selari dengan kedudukan mata gaik. Dengan adanya warna berkilau pada waktu malam, anda tidak perlu tercari-cari kedudukan mata gaik yang betul untuk mengaik sotong. Anda juga boleh menggunakan plastik pemantul cahaya ataupun cat putih sebagai penanda kedudukan mata gaik.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi pada post yang akan datang.
Abe Din.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing