"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

22 November 2012

Mesej Penguasa...

Salam kepada semua pengunjung sotonglaut.Post kali ini adalah susulan daripada post sebelum ini berkaitan penutupan lokasi mencandat sotong popular di Kerteh. Dari papan tanda jelas ditulis nama lokasi Pantai Cakar Hutan. Pihak kami sangat berdukacita dengan situasi yang terjadi. Walaubagaimanapun itulah realiti yang terpaksa ditanggung oleh pencandat-pencandat di kawasan ini.

Pemberitahuan Amaran di Pintu Masuk


Tempoh memancing siang hari sahaja..

Haiwan ini Banyak Keluar Pada Waktu Malam... 

Pengunjung Perlu Keluar Sebelum Pukul 8 Malam. 
Patuhlah Pada Arahan yang Diberi Bagi 
Mengelak Sebarang Kesulitan

Pintu Masuk ke Lokasi Cakar Hutan

Ambe yang juga merupakan salah seorang yang pernah mencandat di lokasi ini sangat berduka cita di atas apa yang terjadi. Walaupun begitu kami berharap agar pencandat-pencandat hardcore di lokasi ini agar patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan. Kami juga berharap anda yang terlibat untuk berkongsi maklumat dan lokasi baru bagi diwar-warkan kepada umum di laman ini.

Kerjasama semua adalah sangat dialu-alukan. Terima kasih kepada yang sudi berkongsi.
Hingga berjumpa lagi.

Read more >>

18 November 2012

Ronda Kawasan.

Salam untuk semua pengunjung dan rakan sotonglaut. Apa khabar semua? Pada post kali ini Abe Din ingin membawa anda ronda-ronda di satu kawasan lama yang merupakan lokasi mencandat sotong yang popular di Kerteh.

Rombongan kami sampai pada waktu petang lebih kurang pukul 6.00 petang. Masa kami tiba air laut dah mula menyonsong surut. Dalam hati dah tak sabar nak test mencandat kat sini. Sekali tengok ramai orang sedang memancing. Air sedikit keruh. Ada sorang brader tu sedang asyik mencandat sotong... bila tanya... jawapannya mudah .. takde sotong.

Sabar Menunggu...

Sekumpulan Pemancing Sedang Memancing Selar

Pasir Mula Dihakis Ke Laut

Kami pun tak mahu melepaskan peluang untuk mencandat sotong. Baling terus... dan baling lagi sampai lenguh tangan. Bayang sotong pun takde. Jumpa sorang pencandat lama. Dari perbualan... katanya sotong makin kurang kerana air keruh dan berombak. Takde rezeki le tu...

Kami juga sempat berbual-bual dengan penduduk tempatan yang memancing ikan selar kuning menggunakan bulu. Banyak juga diorang dapat. Menurut kata mereka selar kuning atau lebih dikenali sebagai "ikan kawan" oleh penduduk tempatan, hanya menyambar bulu pada waktu siang yang hari cerah. Meraka perlu memancing dengan cepat sebelum hari gelap.

Kumpulan Pemancing Ikan

Lama tak datang kat sini... rasa rindu pulak nak mencandat. Sebelum ini.. kawasan batuan ini memang kerapkali dikunjungi oleh sotong-sotong besar yang sesuai dijadikan lauk. Sotong-sotong ini mudah dicandat pada waktu malam.

Dari perbualan kami dengan pemancing tempatan... memaklumkan bahawa kawasan ini akan ditutup kepada orang awam pada waktu malam. Hanya siang hari sahaja pemancing dan pengunjung dibenarkan berana di sini. Kami agak terkejut dengan peraturan baru ini. Ini bermakna pencandat sotong tidak boleh lagi mencandat sotong pada waktu malam.

Lokasi ini telah sekian lama menjadi kawasan pemancing mencari rezeki pada waktu siang dan malam. Sejak ia dijadikan pusat penetasan dan pengumpulan telur penyu... inilah kali pertama peraturan ini diperkenalkan. Menurut sumber.. ia bagi mengelakkan pengunjung mengganggu penyu-penyu yang hendak datang bertelur di sini pada waktu malam.

Pihak sotonglaut sendiri agak terkejut dengan perkembangan ini. Kami memang menyokong pemeliharaan dan pemuliharaan penyu tetapi... adakah ini satu-satunya cara untuk berkongsi kekayaan di bumi Tuhan? Tidak adakah cara lain bagi mewujudkan situasi menang-menang diantara penguasa dan pencari rezeki iaitu pemancing pantai yang menjadikan kawasan ini sebagai punca rezeki sekian lama?


Bak kata orang ditelan mati emak, diluah mati bapa. Nampaknya bukan penyu tetapi pencandat sotong yang menangis. Semoga pencandat di kawasan ini akan menemui kawasan yang lebih baik untuk mencari rezeki.
Abe Din
Read more >>

13 November 2012

Tulang Lagi..

Salam kunjungan untuk semua..
Pada satu ketika... ambe sempat ronda-ronda dengan seorang rakan menikmati pemandangan indah di pantai Kemasik, Kemaman. Sambil jalan-jalan menikmati keindahan alam ciptaan tuhan sempat juga gang ambe mencari tulang-tulang sotong untuk burung-burung kesayangannya.

Tiba... masa air laut dah mula menyurut. Tengok keadaan air... macam takde sotong. Si lembut jarang mencari makan jika keadaan air begini. Tangan dah gatal sangat nak baling candat. Tapi apakan daya...
Kejadian Semulajadi yang Indah

Keadaan Air Laut Sedang Surut

Mencari Tulang Sotong

Ada Juga Dapat Sikit...

Untuk pengetahuan anda, pantai Kemasaik adalah salah satu pantai yang indah di Terengganu. Jika ada berpeluang ke sini... jangan lupa ambil peluang untuk singgah. Tentu ianya mampu mententeramkan jiwa anda. 
Jumpa lagi..
Read more >>

06 November 2012

Qatar: Menyotong Pertama

Salam pertemuan sekali lagi. Selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. Semoga anda semua berada di dalam rahmat yang maha kuasa. 

Lama sungguh ambe tak update sotonglaut.. tahun ni agak sibuk sikit sampaikan nak pergi mencandat pun tak berapa nak sempat. Pada kali ni Abe Din  nak kongsi beberapa foto seorang rakan rakan maya yang berada jauh di Qatar. E-mail dari


Lokasi mencandat di Al Wakrah Port, Qatar. Jauh tu... mungkin member ni ada kena mengena dengan kerja carigali minyak kot.. ambe agak je. Menurut pengirim, beliau mula belajar mencandat dari blog buruk Abe Din.... dan first time test power di Al Wakrah... kalau salah tolong betulkan.

Ambe rasa bersyukur kerana seorang lagi telah berjaya menjadi pencandat sotong. Semuanya kena bermula dari percubaan pertama. Pemancing ikan tegar juga boleh menambah koleksi pengalaman dengan cuba mencandat sotong pula.

Abe Din juga cukup berbangga dan berterima kasih dengan pengirim kerana sudi berkongsi sedikit pengalaman walaupun hanya beberapa gambar. Di Jepun, candat di pantai telah lama berada di dalam kelas profesionalnya yang tersendiri... kat Malaysia bila le akan jadi kenyataan? Ambe berharap satu hari nanti kot....


 

 Corak sotong ni memang cantik
Saiz yang boleh tahan

Saiz sotong dalam gambar di atas adalah jenis pendek membulat. Sotong jenis ini memang berat apabila ditarik kerana rintangan terhadap air yang tinggi. Drag perlu dilaraskan dengan betul semasa bertarung dengan sotong jenis ini. Jika drag terlalu ketat sotong cukup mudah untuk terlepas. Apa yang penting kena sabar banyak dan jangan terlalu ganas semasa menarik sotong...

Sedikit maklumat dan carian tentang lokasi Al-Wakrah boleh anda diperolehi dari wikipedia. Imej satelit kawasan pelabuhannya cukup cantik dan berpotensi untuk memancing dan mencandat sotong.

Carian ambe tentang aktiviti memancing di sana agak kurang diperolehi. Mungkin orang kat sana tak pantai mencandat kot. Aktiviti memancing dan menangkap ikan banyak tertumpu bagi tujuan komersial. Mungkin juga ambe tak jumpa maklumat kat internet.




Bertuah sungguh kalau dapat melawat dan mencari pengalaman di tempat orang. Terima kasih kepada pengirim di atas perkongsian anda. Semoga ada perkongsian dari anda selepas ini.


 
 Imej satelit Al Wakrah Port, Qatar.

Sehingga berjumpa lagi. Selamat memancing.
Abe Din
Read more >>

25 June 2012

Sambal Sotong 2012

Bertemu lagi di lapangan Sotonglaut. Semoga anda semua sentiasa mendapat rahmat daripadaNya. Post kali ini... aku nak terangkan cara mudah untuk menyediakan sambal sotong. Bagi mereka yang malas memasak yang rumit-rumit, bleh cuba resepi aku ni.

Step 1: Memula.. korang pergi beli sotong jeruk di pasaraya. Kenapa guna sotong jenis ni... sebab dia bersih, lembut dan mudah disediakan. Bawa balik rumah kemudian basuh lebih kurang. Potong ikut suka korang dan sejatkan air sotong menggunakan penapis. Kalau korang malas tak payah nak sejat-sejat... lepas potong terus je masak.


Sotong Jeruk Yang Diimport


Sotong Jeruk Siap Dibersihkan


Bahagian Yang Paling Sedap: Mulut Sotong


Step 2: Korang potong bawang putih, bawang merah, cili padi kalau nak pedas... tumbuk dalam lesung... kalau rajin guna mesin pengisar. Jangan lupa letak sedikit belacan. 

Step 3: Beli petai yang sudah siap dikupas. Kenapa kena beli? Aku suruh beli sebab korang malas nak kupas. Kalau korang rasa rajin sikit jangan beli.. pi panjat pokok petai, amik sendiri.

Step 4: Beli cili boh. Kalau rajin korang kisar cili kering menggunakan mesin pengisar. Cili kering lebih ummph.. daripada cili boh.


Bahan Menumis Dan Petai 

Step 5: Panaskan kuali. Letak minyak. Bila minyak panas, tumis bahan yang korang buat dalam step 2. Bila naik bau, korang letak cili kisar. Bila nampak pecah minyak... korang campak petai dan sotong dalam kuali. Boleh juga tambah bawang besar yang dipotong bulat. Sederhanakan saiz api... letak garam..... Kalau korang tak tahan pedas letak gula sikit. Kecilkan api... rasa sikit. Kalau ok.. hidangkan. Boleh makan dengan nasi. Jangan lupa tutup api dapur.


Sambal Yang Sudah Siap

Inilah rupa sambal sotong yang dimasak dalam keadaan cukup santai sambil makan biskut empat segi. Tunggu apa lagi... cepat le pergi test. Serlahkan bakat korang. Ingatan: Resepi ini hanya untuk dicuba oleh mereka yang sudah profesional atau mereka yang sudah ada sedikit basic memasak... bagi mereka yang baru belajar atau buta kayu terus bab memasak.. "don't try this at home!". Budak-budak sangat dilarang membuat aksi berkenaan. Dapatkan bantuan ibubapa anda. Kalau korang degil gak...aku tak bertanggungjawab.

Sehingga berjumpa lagi.... Selamat memasak.
Read more >>

18 June 2012

Gajus VS Sotong


Selamat bertemu lagi di blog maya Sotonglaut. Harap anda semua yang sentiasa mengikuti blog buruk aku ni.. akan sentiasa sihat hendaknya.

Pada post kali ini, aku akan berceloteh tentang buah gajus. Di Terengganu buah ini lebih dikenali dengan panggilan "Jambu Golok". Mungkin nama berkenaan diambil sempena bentuk buahnya seperti golok atau parang. Buah ini juga dikenali dengan panggilan "Janggus", "Jambu Monyet", "Jambu Terung" dan "Bunga Kesasar". Nama saintifik gajus ialah Anacardium occidentale.


Buah Gajus Yang Masak Ranum

Pokok Gajus dikatakan berasal dari Brazil dan ditanam untuk mendapatkan bijinya. Bijinya akan dibelah dua dan dibuang kulit luarnya. Biji gajus menghasilkan getah yang sedikit gatal jika terkena kulit. Di Terengganu, penduduk tempatan memungut buah-buah gajus untuk mendapatkan bijinya. Bijinya dibelah dan digoreng sebelum dimakan. Biji gajus mempunyai rasa lemak seperti kacang.

Putik-putik Gajus

Gajus Terbiar: Masak Dan Rosak Di Pokok

Di pantai Timur, Buah gajus kurang popular untuk dijadikan sebagai makanan berbanding kawasan pantai Barat. Besar kemungkinan pokok gajus terlalu banyak di pantai timur. Jika korang berkesempatan datang ke kampung-kampung nelayan di Pantai Timur, korang akan jumpai banyak pokok-pokok gajus tumbuh samada ditanam manusia atau tumbuh meliar. Buah-buah gajus terbiar mengecut di atas pokok. Selalunya hanya haiwan seperti lembu sahaja yang berkumpul di bawah pokok gajus ketika musimnya untuk memakan buah gajus yang gugur. Rasa buah gajus sedikit masam dan kandungan air di dalam buah berkenaan cukup tinggi.


Buah Gajus Pelbagai Warna

Walaupun buah gajus tidak begitu popular berbanding bijinya, masih ada yang menjadikan gajus semagai menu masakan. Selalunya buah gajus dimasak bersama sotong, ikan atau makanan laut lain. Masakan yang biasa dijumpai di sini ialah masak lemak. Rasanya boleh tahan juga...



Pucuk Gajus Sesuai Dijadikan Ulam

Pucuk gajus muda pula dijakan ulam untuk dimakan bersama nasi. Harga secekak ulam gajus di sini ialah RM0.50. Di kawasan pantai barat pula, pucuk gajus juga cukup popular dijadikan ulam. Ia juga dijadikan sebagai ulam yang dipotong untuk dipadankan dengan laksa penang. Rasa memang sedap.


Gajus VS Sotong

Apa kaitan antara buah gajus dan sotong? Mungkin persoalan ini tidak pernah korang fikir. Kalau korang singgah di kedai-kedai makan di Terengganu pada musim gajus berbuah, tentu korang pernah terjumpa menu masakan buah gajus bersama sotong. Menu seperti ini tidak selalu ada. Ianya bermusim. Kalau pucuk gajus tu... sepanjang tahun pun ada..

Kenapa buah gajus selalu dipadankan dengan sotong dalam satu-satu menu masakan? Aku tertarik untuk menulis tentang tajuk ini apabila aku teringatkan perbualan dulu-dulu diantara aku dan seorang otai sotong. Katanya kalau pokok jambu golok dah berbunga dan berbuah itu tandanya sotong sudah boleh dicandat di laut. Sebetulnya musim pokok gajus berbuah dan musim sotong torak hadir ke perairan Terengganu adalah sama. 

Nelayan tempatan menggunakan petunjuk alam ini untuk meramalkan kehadiran sotong di perairan Terengganu. Apa yang menariknya... ia sudah diguna pakai sekian lama dan ramalan berkenaan menjadi. Itulah sebabnya, sotong dan gajus merupakan sebahagian daripada sumber asas yang banyak diperolehi ketika itu untuk dijadikan pasangan masakan. Pada zaman moden ini.. kombinasi masakan sotong boleh dipelbagaikan, maka jarang sekali dijumpai sotong dimasak bersama buah gajus.

Jika korang berhajat untuk datang mencandat sotong torak di Terengganu, pastikan juga adakah masa berkenaan pokok gajus sedang galak berbuah di Terengganu. Ini kerana musim gajus berbunga dan berbuah adalah kemuncak kehadiran sotong torak. Ini bukan bermakna musim lain tiada... cuma jumlah sotong torak ketika itu agak kurang.

Jangan lupa selepas musim kemuncak sotong torak berlalu, kemuncak kehadiran sotong mabang pula akan mengambil tempat sehingga musim tengkujuh melanda. Semoga maklumat yang aku beri kali ini berguna untuk korang yang bercadang ke Terengganu untuk mencandat sotong. Selamat mencandat.
Jumpa lagi.
Read more >>

11 June 2012

Menu: Belangkas

Salam semua. Jumpa lagi di laman Sotonglaut. Kali ini...aku akan sambung tentang cara memasak belangkas. Aku harap korang dah dapat serba sedikit info tentang belangkas di dalam post aku sebelum ini. Korang jangan takut belangkas adalah haiwan yang halal dimakan.

Orang Melayu Johor pandai memasak asam pedas dan sambal tumis belangkas. Walaupun  belangkas boleh dimakan, dikatakan belangkas mempunyai toksin atau racun yang menyebabkan mabuk...betul ke? Aku dah beberapa kali makan belangkas tak pula kena gejala seperti yang disebutkan. 

Ada dua bahagian belangkas yang biasa dimakan oleh manusia iaitu isi dan telurnya. Isi belangkas berwarna putih dan rasanya seakan-akan isi ketam. Telurnya pula berwarna merah keemasan apabila masak dan rasanya sedikit kenyal apabila digigit. Ketika telur dikunyah anda akan rasa lemak yang boleh aku katakan sedap jugak le...

Aku mula makan belangkas di Kampung Awat-awat, Lawas di Sarawak. Ketika belajar kat sana sempat berkunjung ke rumah rakan ketika cuti semester. Member aku tanya nak makan belangkas ke? dia bawa aku kat bawah rumahnya. Rumah kawan aku tu bertiang dan dibina di dalam air.... panggilan glamour kat sini, "rumah air". Aku pun tak tahu apa yang dicarinya... selepas meninjau seketika... dia menarik tali tangsi yang diikat pada tiang rumah. Rupa-rupanya belangkas besar diikat menggunakan tali di hujung kepalanya yang ditebuk. Belangkas akan bermain di dasar dalam keadaan hidup. Apabila hendak dimakan...belangkas akan ditarik naik ke atas... banyak juga belangkas kat bawah tu. Kihkih.. macam kambing jer.

Belangkas tadi di bawa ke dapur kayu yang telah dihidupkan dan belangkas berkenaan diterbalikkan di atas dapur berkenaan. Teknik memasak seolah-olah memanggang. Aku tengok belangkas mengerakkan kakinya apabila belakangnya terasa panas... hinggalah kakinya berhenti bergerak dan belangkas itu mati...kejam ke? Sob sob...nak wat camana dah makanan manusia.

Belangkas dibiarkan beberapa minit lagi. Member aku bagi isyarat dah boleh makan. Bara api dikeluarkan. Kulit dalam dibuka dengan mudah...dan kelihatan telur-telur belangkas yang berwarna kuning keemasan. Aku takut nak makan...tengok je.. bila dah separuh dikerjakan oleh gang-gang member aku...aku mula rasa nak cuba.. test sekali... best. . Apa lagi aku makan laju dari diorang. Bahagian yang paling sedap ialah isi belangkas. Rasanya lebih sedap dari rasa ketam.

Minggu lepas..aku dapat tangkap belangkas di perairan Terengganu. Aku bawa balik ke Kampung kat Negeri Sembilan... ayah aku (mantan seorang nelayan) kata nak masak. Haa... ni yang aku nak share dengan korang. Mula-mula rebus belangkas yang ditangkap. Jangan lupa terbalikan beberapa kali bagi memastikan ia cukup masak.



Belangkas Yang Sedang Direbus

Aku syorkan korang matikan dulu belangkas sebelum direbus... bukan apa untuk mengelakkan peristiwa yang agak tragis. Caranya senang je... bungkus dalam plastik, letak dalam petis ais. Jangan buang ekor kerana ia akan memudahkan korang memegang dan memusingkan belangkas ketika berada di dalam kuali yang panas.


 Proses Mengambil Isi Dan Telur

Gunakan pisau yang tajam untuk membelah bahagian dalam kepala belangkas bagi  mengeluarkan isi dan telurnya. Gunakan sudu untuk mengikis telur belangkas dan letak di dalam bekas yang bersih. Jika belangkas sudah cukup masak... korang boleh makan terus isi dan telur belangkas berkenaan.

Rupa Isi Belangkas


Isi Dan Telur Belangkas

Ada satu petua yang gang aku bagi masa kat Sarawak. Jangan sekali-kali memegang dan menggosok kepala belangkas semasa ia hidup kerana jika belangkas berkenaan ada telur... telurnya akan berbuih apabila ia di masak nanti. Penghasilan buih yang banyak di kawasan simpanan telur akan menyukarkan proses membersih dan memakan telur belangkas berkenaan.

  
Isi Dan Telur Yang Dimasak Bersama

Selepas isi dan telur belangkas dikumpul dan diasingkan, korang potong bawang, cili macam biasa. Tumiskan bawang dan masak telur dan isi belangkas bersama. Masukkan sekali serai yang telah ditumpuk dihujungnya. Jangan lupa garam secukup rasa. Anda juga boleh membuat sambal tumis menggunakan isi dan telur belangkas.

Di Johor, hanya belangkas betina ditangkap dan dijual dengan harga antara RM2 hingga RM5 seekor mengikut saiz. Orang kat sana memasak belangkas berserta dengan kulit yang dipotong-potong. Masakan kegemaran ialah asam pedas kering. Korang boleh cuba... Di restoran-restoran Cina, masakan belangkas ini cukup popular.

Belangkas merupakan haiwan laut yang boleh dimakan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Feb 2011 telah memutuskan bahawa memakan daging, isi dan telur belangkas adalah diharuskan

Walaupun belangkas boleh dimakan... kesan dari tindakan lampau tuai boleh meletakkan spesies ini dalam senarai spesies terancam. Adalah lebih baik belangkas dilepaskan terutamanya belangkas betina bagi menjamin kemandirian spesiesnya. Bagi memenuhi permintaan belangkas sebagai makanan, kaedah ternakan dan pembiakan terkini boleh diaplikasi sebagai sember bekalan masa depan.
Jumpa lagi

Kalau korang rajin, gagah, cantik, comel, dan mancho... Cer copy, paste, send atau link maklumat dari blog buruk aku ni untuk dikongsi dengan gang-gang anda. Jangan kedekut... tak baik.
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing