"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

12 June 2011

Trip Mabang 5-2011

Selamat datang semua,
Selepas trip ke-4, trip seterusnya diatur keesokan harinya bersama teman rapat, Mat. Macam biasa,, tujuan utama nak cari sotong mabang. Malam sebelumnya masih terasa tarikan sotong besar yang ditangkap oleh Mat. Bila le... nak dapat besar macam tu.

Sampai di lokasi air agak jenih di bahagian kiri dan keruh sedikit di bahagian kanan. Lokasi sebelah kiri, langsung tidak membuahkan hasil. Berpuluh kali jig udang dibaling... masih tiada sambaran.

Kami mengambil keputusan untuk berpindah ke sebelah kanan. Balingan pertama dan kedua Abe Din disambut oleh dua ekor sotong jarum bersaiz sederhana. Ehh..jarum sahaja ke? Kami masih tidak berputus asa mencari mabang. Siapa sahaja yang biasa mencandat mabang memang sentiasa rindukan tarikannya yang ganas dan keras.

Sotong jarum pertama yang dinaikkan.


Lokasi tepi pantai menjadi pilihan menghendap mangsa.

Sambil duduk bersila di atas pasir pantai, kami sabar menunggu jig ditarik sotong. Balingan demi balingan membuahkan hasil beberapa ekor lagi sotong jarum.

Antara sotong jarum yang diperolehi Abe Din

Anak sotong torak yang menyambar umpan di gigi air.

Sekian lama menarik dan menghenjut jig.. seekor anak torak menyambar dengan ganas. Cara tarikannya hampir menyamai sotong mabang. Di akhir pecutannya agak lemah sedikit seolah-oleh ia cuba mendedahkan identitinya sebagai seekor sotong torak. Paling menarik.. sotong torak ini menarik umpan jig terlalu hampir dengan pantai. Berani sungguh.. memang selalunya sotong torak biasa dicandat di tengah laut. Itulah kalau dah dinamakan rezeki.


Tangkapan Abe Din malam itu

Malam berkenaan, Abe Din berjaya menangkap 5 ekor sotong. Syukur.. rezeki ada untuk kaum kerabat di rumah. Sambil berfikir...nak masak apa esok?
Abe Din
Read more >>

11 June 2011

Trip Mabang 4-2011

Salam untuk semua pelawat.
Balik dari kampung terus rancang trip ke batu tambak untuk mencari sotong mabang. Janji dengan Mat yang juga baru sampai dari bercuti di Kelantan.

Malam tu..siap-siap pergi. Masuk lokasi lebih kurang pukul 12.30 mlm. Sampai kami terus mengambil lokasi di pertengahan batu tambak. Balingan beberapa kali, joran Abe Din ditarik sotong.. baru nak pegang, terjatuh atas batu. Nasib baik tak masuk dalam air.

Sotong mabang bersaiz sederhana terus melekat di selipar buruk.. macam tak mahu lepas je. Kata orang kalau dah rezeki kita, tak ke mana.

Pandangan sotong pertama dari atas

Pandangan dari bawah.. Buncit... ada telur ni..

Selepas beberapa ketika, Abe Din dapat seekor lagi. Mat dah masam muka.. jelous le tu. Mat ambil keputusan untuk ke hujung batu. Lebih kurang 20 minit.. di datang semula dengan membawa seekor sotong. "dapat satu je...kecik" apabila ditanya. Hampir pukul 2 pagi kami mengambil keputusan untuk pulang selepas tiada tarikan sotong.


Gambar 1-Sotong yang Abe Din dapat
Gambar 2-Sotong yang ditangkap oleh Mat

Apabila dibuat perbandingan... macam kat bawah tu. Mat menang lagi.. memang besar. Dia tipu aku... kata tadi kecik... Emmm, dah rezeki dia.

 Bandingan yang kurang adil.. nasib le..

Walaupun Mat jadi juara, dapat sotong besar.. Abe Din dapat juga hadiah kategori paling banyak...walaupun dua ekor, kira menang juga. Rezeki tetap rezeki.

Walaupun sotong kurang galak menyambar jig, kami tetap merancang untuk mengadakan trip susulan. Nantikan kedatangan kami wahai sotong..

Jumpa lagi
Abe Din.
Read more >>

Sotong Bakar

Salam untuk semua.
Pada kali ini.. Abe Din nak cerita pengalaman memasak semasa berada di kampung. Nak tunjuk sikit cara mudah membuat sotong bakar yang semakin hari semakin digemari oleh peminat-peminat sotong.

Post ini sesuai dibaca oleh mereka yang tak pandai masak atau tak pernah masak sotong bakar. Kalau dah pandai... boleh baca kalau sudi.. jangan kutuk dah le.. aku bukan pandai masak, cuma suka kongsi pengalaman je..

Haa... tu le rupa sotong bakar

Ok.. moh kita mula masak. Tak perlu salin resepi ni. Ingat je... bukan susah.... sifir 2 lagi susah nak ingat. Jeng..jeng.. mula-mula korang bersihkan sotong yang hendak dibakar (pastikan sotong berkenaan dah mati... jangan guna yang hidup macam kat Jepun tu). Antara jenis sotong yang sesuai dengan resepi kali ini ialah semua jenis sotong kecuali sotong kering. Kalau dapat sotong fresh lagi baik. Camana?... gi mencandat.

Nampak tak tu.. tu le namanya sotong

Basuh bersih-bersih... buat kerja tu bior senonoh sikit. Kemudian korang potong sotong seperti gambar di bawah. Peringatan: jangan buang tulang sotong kerana ia mampu meluruskan sotong sekaligus memudahkan proses membakar... ingat tu. Oppss... kalau korang guna sotong katak... aaaa.. yang ni kena buang tulang dia... kalau tak nanti kena keracunan makanan.

Cukup setakat ukiran seperti gambar di atas.. 
jangan korang ukir corak bukan-bukan lak.. 
nanti orang takut nak makan

Kemudian, korang gaul sotong berkenaan dengan sedikit garam halus dan kunyit. Kunyit serbuk ye... bukan kunyit hidup. Tips untuk menambahkan glamour masakan ini: Boleh gunakan rempah goreng ayam, serbuk kari, rempah satay atau apa-apa sahaja yang korang rasa sesuai dan mampu melazatkan masakan korang.

Persediaan sebelum dibakar

Susun di atas tempat pembakar. Boleh gunakan tempat bakar satay, jaring atau apa sahaja yang sesuai. Jika suka bungkus dengan daun kunyit. Korang boleh juga gunakan daun pisang atau aluminium foil. Guna dapur arang.. kalau guna peralatan seperti di atas boleh gunakan dapur gas. Ketuhar?.. jangan tanya... belum dicuba lagi.. sebenarnya benda tu aku takde.


Haa.. tunggu apa lagi... bakar le. Berapa lama? Ikut suka korang. Jangan mentah sudah le.. kalau jadi hitam... tu maknanya terlebih masak. Jangan lupa dibalik-balikkan. Renjis atau sapu sedikit dengan minyak masak. Guna sudu atau serai yang ditumbuk sedikit di hujungnya. Jangan letak minyak banyak sangat.. nanti terbakar rumah.

Rupa sotong bakar yang masak secukupnya... lebih kurang macam gambar bawah tu.. kalau beza sikit-sikit tu .. kira ok le..


Tu le rupanya sotong bakar yang telah masak

 Markah hidangan "C" sebab kurang interaktif. 
Kalau nak dapat "A" korang letak hirisan tomato ke, 
timun ke, hias dengan daun saderi ke, 
letak patung doremon pun ok gak.


Sotong yang sudah masak.. diangkat dengan penyepit. Jangan pegang pakai tangan... nanti melecur.. panas tu. Susun dalam pinggan. Panggil le siapa saja yang korang suka... kawan, family, boss korang, jiran ke... ajak makan sekali. Makan sorang-sorang mana best. Cicah dengan sos tomato, sos cili, sos yang korang buat sendiri, atau pencicah yang sesuai. Boleh juga dimakan dengan nasi putih atau nasi goreng. Kalau makan dengan nasi dagang.. boleh juga.. tapi jarang orang buat... sebenarnya takde orang buat.

Ampun le kalau sotong bakar yang korang buat tak jadi atau korang kena E.coli. Ada dua sebab... korang salah faham baca resepi ni atau.... heh.heh.. korang memang dilahirkan tak reti memasak, reti makan je.. Jangan marah.

Akhir kata.. selamat mencuba simple resepi ni. Kalau jadi atau jadi lagi best dari aku punya.. inform le kat sini. Anto gambar pun kira ok juga...Boleh aku berguru dengan korang pula. 

Thanks.. sudi baca. Happy always..Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

Balik Kampung

Salam kepada semua pengunjung.
Sempena musim bercuti, Abe Din sekeluarga mengambil peluang untuk pulang beberapa hari ke kampung. Lama rasanya tidak  balik kampung.

Balik kali ini cadang nak bawa sotong mabang. Berhari-hari pergi mencandat, hanya beberapa ekor sahaja yang dapat.. setakat buat lauk kat rumah je.

Pagi hari sebelum bertolak pulang, Abe Din pergi mengintai sotong torak yang dijual di kuala sungai. Cadang nak beli dua tiga kilo sebagai buah tangan untuk orang kampung.


Semua gerai yang ditinjau tidak menjual sotong mabang. Penjual hanya berkata, "sotong payah sekarang ni". Hanya sebuah gerai menjual lebih kurang 10 kilo sotong mabang. Bila ditanya harganya... RM18/kilo... Huuhh mahalnya. Kebetulan rakan Abe Din yang berniaga.. dapat le RM14/ kilo. Bila ingatkan mak abah kat kampung beli juga le.. 3 kilo sotong torak dengan seekor ikan "aya" atau tongkol. Harga semua RM54... kawan Abe Din bagi diskaun lagi jadi RM50 semuanya.

Siap diletak dalam bekas polisterin lagi.

Letak ais... nak jalan jauh le katakan.

Mengikut rakan Abe Din, sotong agak kurang tahun ini. Jika ke laut mencandat, dia hanya mampu memperolehi 4 hingga 6 kilo sahaja. Hanya sekali sekala melebihi 10 kilo. Mungkin itulah sebab sotong menjadi mahal. Tapi kira ok jugak... nak murah.. gi le tangkap sendiri. kih..kih.



Sampai kampung.. buka kotak.. letak dalam bekas..Hiss... macam sikit je. Sambil membelek-belek sotong yang dibawa... mula terfikir.. nak suruh mak masak apa ye.. Mmmmm... kalau mak masak memang sedap.
Tak sabar rasanya..

Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

09 June 2011

Ranking Pertama

Salam untuk semua pengunjung dan pelawat. Apa khabar pencandat-pencandat sotong? Bagaimana hasil tangkapan anda? Semoga anda dianugerahkan rezeki yang banyak olehNya. Pastikan proses halal itu diutamakan agar rezeki yang diperolehi itu lebih berkat.

Pada kali ini, Abe Din akan menutup perbincangan siri jig-jig pilihan 2010. Semua yang dipaparkan di sini tidak semestinya berkesan untuk anda tetapi ia hanya sekadar panduan bagi pencandat-pencandat mabang memilih umpan jig yang bersesuaian dengan lokasi, cuaca, gaya mencandat dan jenis sotong yang ingin diperangkap.

Jig kali ini mula dikenali dengan meluas pada tahun lepas. Abe Din mula melihat jig ini di sebuah kedai di Dungun. Abe Din bertanya apa kelebihan jig baru ini kepada seorang penjual cina. Katanya jika kita menggunakan jig ini, nisbahnya 10:1. Maksudnyanya kita dapat sepuluh ekor, orang lain dapat seekor. Nadanya begitu serius tetapi tidak begitu tepat setelah diuji. Walaupun begitu setakat hari ini, jig ini paling berjaya menarik perhatian sotong mabang.

Jig Yamashita, Golden Bait baru


Harga jig ini sangat mahal iaitu RM27 hingga RM28 sejak ia mula diperkenalkan di Terengganu. Walaupun begitu ia masih mempunyai peminatnya yang tersendiri. Tinjauan harga di pantai barat terutamanya di Selangor menunjukkan harga jig jenis ini lebih murah iaitu RM18 hingga RM19.

Syarikat pengeluar masih menggunakan trademark, Golden bait sebagai usaha menarik perhatian pelanggan. Warna yang biasa dijumpai ialah merah, pink, hijau, putih dan oren dengan berat 2.0, 2.5, 3.0 dan 3.5. Disebabkan harganya yang mahal, Abe Din dan rakan-rakan cukup berhati-hati ketika menggunakan jig jenis ini. Orang kata, kalau tersangkut seekor.. seminggu tak lalu makan.. bukan kerana sedih tak dapat sotong tetapi sedih kerana kehilangan jig mahal. Selalunya ia digunakan di kawasan tiada atau kurang batu atau ketika sotong benar-benar sedang galak menyambar umpan


Salah satu kelebihan yang paling menarik perhatian Abe Din tentang jig ini ialah badannya disalut oleh kain yang hampir sebati dengan badan. Gam yang digunakan cukup kuat. Kelebihan ini menjadikan badan jig tidak terkoyak dan sukar dikotorkan oleh dakwat sotong.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Bentuk yang paling menyerupai badan udang
2-Mampu menyimpan cahaya dalam tempoh paling lama
3-Renangan yang paling stabil
4-Sesuai bagi aras pertengahan dan atas air
5-Warna dan corak yang pelbagai dan menarik
6-Paling menarik perhatian sotong 
7-Mata kail panjang dan tajam 
8-Mata sukar tercabut
9-Sotong sukar terlepas
10-Ada mata jenis luminous
11-Kain digam kuat
12-Bulu tepi yang menarik
13-Mata tahan karat

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Harga sangat mahal
2-Mata kail jig sedikit lembut
3-Mudah dikesan dan disambar oleh ikan

Sekian dahulu untuk kali ini. Jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

Ranking Ke-2

Salam untuk semua yang sudi datang ke blog buruk Abe Din..
Hari ni, Abe Din nak sambung bercerita mengenai jig yang berada di ranking ke-2 pada tahun 2010. Jig ini diberi nama Yamashita Egi Sutte. Begitu popular dengan gelaran Golden Bait yang diberi oleh pengeluarnya. Jig ini  memang cukup berpuaka.. ntah berapa banyak sotong yang berjaya diperangkapnya.. sukar untuk diramalkan.... yang pasti memang banyak sungguh.

Abe Din mula mengenali jig ini pada tahun 2008. Pada masa itu, jig ini cukup popular dan dijadikan senjata rahsia otai-otai sotong di Terengganu. Kebiasannya jig ini dijumpai dijual dengan berat 2.0, 2,5 dan 3,0. Jig bersaiz 2.0 dan 2.5 selalu digunakan di kawasan pesisir pantai. Warna yang biasa dijumpai ialah merah, pink, oren dan hijau. Pada tahun lepas Abe Din terjumpa jenis jig ini yang dijual dalam warna baru iaitu biru dan coklat.

Inilah rupa jig Yamashita merah 2.0

Pada tahun 2009, harga jig ini ialah sekitar RM 12 hingga RM15. Kini harganya telah mencecah sehingga RM25 bagi setiap jig. Jig awal yang dikeluarkan mempunyai beberapa ciri istimewa iaitu mempunyai keupayaan untuk menyimpan cahaya yang lama, bulu sisi yang dilekat dengan paku plastik dan bahagaian pinggang yang lebih besar dan melengkung.

Pada hari kini, jig ini telah dipermudahkan dengan bulu sisi yang dilekat dengan lidi buluh, pinggang yang kurus serta keupayaan menyimpan cahaya yang singkat. Terdapat jig tiruan yang hampir sama iaitu buatan China yang tidak langsung menyimpan cahaya dan dijual dengan harga yang lebih murah. Jig jenis ini kurang sesuai untuk pancingan pada malam hari.




Himpunan  jig-jig Yamashita

Kumpulan jig Yamashita ini cukup digemari dan digilai oleh pencandat-pencandat sotong mabang di Terengganu. Hinggakan kadang-kadang ia kehabisan di beberapa kedai. Beberapa jenis warna dan saiz begitu sukar untuk diperolehi. Jig ini cukup berkesan. Jika kita menggunakan jig biasa dan berada bersebelahan pencandat yang menggunakan jig Yamashita... alamat kalah teruk le jawabnya.

Kelemahan yang paling ketara pada jig ini ialah penggunaan kain penutup badan yang mudah terkoyak. Setelah beberapa ekor sotong mabang bersaiz besar menarik jig ini, pasti kainnya akan terkoyak. Ini kerana tabiat sotong yang suka menarik sambil menggigit mangsanya. Pada post berikutnya.. Abe Din akan menerangkan cara-cara mengubahsuai jig ini agar ia menjadi lebih berkesan... sabar.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Bentuk yang hampir menyerupai badan udang
2-Mampu menyimpan cahaya dalam tempoh lama
3-Renangan yang stabil
4-Sesuai bagi aras pertenghan dan atas air
5-Warna yang pelbagai dan menarik
6-Sangat menarik perhatian sotong 
7-Mata kail jig kuat, panjang dan tajam 
8-Mata sukar tercabut
9-Sotong sukar terlepas

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Kain mudah terkoyak
2-Lambat tenggelam
3-Harga mahal
4-Badan jig mudah kotor
5-Sukar membersihkan dakwat

Hingga berjumpa lagi.. selamat memancing.
Abe Din
Read more >>

07 June 2011

Ranking Ke-3

Selamat bertemu semua sahabat maya yang sudi berkunjung ke blog buruk sotonglaut ni. Empat hari berada di kampung.. sungguh resah gelisah. Bukan tak suka balik kampung, cuma internet kat sana cukup slow. Nak tengok blog sendiri pun berjam-jam loading. Dah le tu keluar separuh je.. kejap putus-putus.

Malam ni baru sampai rumah. Bertolak dari kampung tercinta lebih kurang dalam pukul 2 petang... sampai rumah lebih kurang pukul 7.30. Fuhh.. letih gila. Semalam kawan pula call ajak cari sotong. Malam ni... apa lagi mesti gi punya. Gatal dah tangan ni nak pegang sotong.

Sebelum pergi mencandat, Abe Din update sikit berkaitan jig yang menduduki ranking ke-3 pada tahun 2010. Kalau korang nak cuba... boleh gi cari kat kedai pancing. Nama glamour... Couger. Nama penuh dia Couger 2.5 EGI Squid. Dikeluarkan dalam dua warna pink dan coklat. Saiz yang dijumpai di pasaran setakat ini hanya seberat 2.5 sahaja.


Kalau cerita tentang harga, di pasaran Terengganu lebih kurang RM6. Kalau dah biasa dengan tuan kedai dapat le RM4. Kalau kat Kepong Tackle lebih kurang RM2.20. Bukan semua kedai menjual jig ini kerana jig ini sudah pun mendapat status dinasour. Orang lama le katakan... tetapi masih berbisa menipu sotong. kih...kih.. Oppss.. lupa nak beritahu... jig ini dibuat di Jepun.



Berikut disenaraikan beberapa kelebihan jig:
1-Badan dari plastik: tahan lasak
2-Berat: Selaman dalam ke dasar
3-Jig cepat sampai ke dasar
4-Berkesan jika bulan mengambang
5-Harga murah
6-Mampu menarik perhatian sotong

Kelemahan jig yang dikesan:
1-Mudah tersangkut
2-Mata jig mudah tercabut
3-Mata kail jig mudah tercabut
4-Mata kail jig pendek
5-Mata kail jig kurang tajam
6-Mata kail jig mudah bengkok
7-Kurang berkesan semasa bulan gelap
8-Sotong mudah terlepas
9-Tidak menyimpan cahaya 

Kelebihan jig ini yang paling menarik perhatian Abe Din ialah ia dapat membuat renangan dasar dengan cukup baik. Selain hensem, tugas menangkap sotong kerapkali menghasilkan kejayaan. Rugi le kalau korang tak cuba. Pergi le cari cepat kat kedai sebelum kehabisan. Lepas artikel ni keluar.. mesti kaki sotong serbu kedai cari jig ni... jangan nyesal kalau abisss..


Jig ini paling sesuai dimainkan di kawasan pesisir pantai yang tiada atau kurang batu sebabnya jig ni cukup suka memeluk batu... tersangkut le tu. Cukup berkesan jika ada Sang bulan... bukan ikan bulan. Bulan akan memberi sedikit pantulan cahaya pada badan Couger.

Kenapa dia berada di ranking ke-3. Jawapannya senang je... kerana semasa diuji dia lebih banyak memerangkap sotong berbanding jig di ranking ke-4 dan tangkapannya kurang  sedikit dari jig yang berada di ranking ke-2... kui..kui..jangan tak caya lak. 


Moh gi cari dan test jig Couger ni. Semoga dapat sotong besar... tetapi awas...Kalau di tarik bapak sotong... korang jangan lawan macam tarik ikan.. slow sikit kerana mata Couger pendek.. sotong mudah terlepas. Caranya...korang lawan perlahan-lahan dan kurangkan sedikit tegangan tali. Bila dia letih... baru tarik perlahan-lahan. Lepas tu.. korang boleh buat apa yang korang nak dengan sotong berkenaan. Nak makan, goreng, jual, bagi jiran... jangan aniaya dia sudah.


Selamat mencandat.
Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing