"BLOG SOTONG PERTAMA DI DUNIA" ....... "Selamat datang"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA......Thanks follower semua"

.

.

17 November 2010

Amaran Tengkujuh


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapatnya tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".
(Ali Imran : 190-191)




Salam untuk semua peminat Sotong Mania.
Sudah lama rasanya Abe Din tidak update. Kesibukan membataskan usaha meneruskan penyampaian maklumat kepada semua.

Alhamdulillah, kali ini Abe Din ingin menyelitkan sedikit panduan dan pesanan kepada semua pemancing dan pengilat sotong. Selepas post terakhir, sudah beberapa kali aktiviti mengilat dilakukan di lokasi-lokasi yang kerap dikunjungi Abe Din.

Hasil sepanjang bulan Oktober agak kurang. Keadaan ini disebabkan kehadiran hujan yang kerap pada sebelah malam dan membataskan pergerakan pengilat-pengilat sotong. Hujan yang kerap menyebabkan keadaan air kawasan pesisir pantai menjadi sedikit keruh. Kualiti air menyebabkan kehadiran sotong ke kawasan pesisir sedikit merosot.

Bahaya : Situasi Biasa Musim Tengkujuh

Kekurangan tangkapan juga dipengaruhi oleh keadaaan air laut yang mula bergelora kesan daripada ribut yang melanda Filipina dan Taiwan. Kehadiran ombak besar menyukarkan pemancing untuk menghampiri kawasan batuan dan pantai. Pada penghujung Oktober, hanya sedikit sotong dapat dijerat.

Pemandangan Biasa Di Laut

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pantai, mungkin biasa melihat burung camar yang terbang dalam bentuk "V" menghala ke kawasan daratan. Itu merupakan satu petanda semulajadi kehadiran angin dan laut bergelora. Burung camar biasanya berhenti rehat pada pelampung-pelampung unjam di laut. Kehadiran ombak dan angin menyebabkan kedudukan pelampung tidak stabil. Keadaan ekstrim menyebabkan burung camar berpindah ke kawasan daratan. Burung camar selalunya lebih dahulu menyedari kehadiran ombak dan gelombang. Jika anda melihat kumpulan burung camar menuju ke daratan ia adalah tanda bahawa angin, ombak dan gelombang akan tiba tidak lama lagi.

Memasuki bulan November, adalah masa yang paling tidak sesuai untuk aktiviti pancingan sotong. Bot nelayan dan bot pelancongan juga banyak yang tidak ke laut serta mengantung operasi buat seketika. Kehadiran ombak yang tinggi dalam anggaran 4.5 meter di Kelantan dan Terengganu sememangnya boleh membahayakan penumpang bot. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Mac 2012. Sotong pula dijangka akan hadir semula di kawasan pesisir pantai menjelang bulan April 2012.

Bagi pengilat-pengilat hardcore sotong mabang, diberikan beberapa panduan jika anda masih berhajat untuk meneruskan aktiviti pancingan sotong mabang. Pertama sekali anda perlu tahu bahawa pada musim tengkujuh kehadiran sotong sangat merosot. Kehadiran ombak besar menyebabkan sotong-sotong akan mati terutama jika kualiti air menjadi keruh dalam masa yang lama. Antara sotong-sotong yang mudah mati termasuklah sotong katak yang lebih bersifat pasif dan lambat bergerak. Tulang-tulang sotong katak akan mudah dijumpai di kawasan pesisir pantai apabila ombak semakin reda.

Mengiurkan : Suasana Sesuai Bagi Pancingan Pesisir

Sotong Torak pula akan berpindah ke kawasan tengah laut dan berada di kawasan dalam berlurah yang sedikit aman daripada hentaman gelombang. Umum mengetahui sotong torak hanya menghampiri kawasan beting pasir pesisir pantai bagi tujuan bertelur.

Sotong jarum dan mabang pula berpindah ke kawasan-kawasan pulau yang terlindung dan terdapat batu karang yang banyak. Kawasan yang sesuai adalah kawasan pulau berbatu karang dan berteluk. Pada musim tengkujuh, mudah untuk menjerat sotong di kawasan begini.

Kawasan Peranginan Yang Terlindung

Jika rajin anda juga boleh mencuba nasib dengan meninjau kawasan yang biasa anda mengilat sotong. Abe Din syorkan lawatan dilakukan pada waktu pagi kerana pada waktu begini selalunya ombak akan teduh seketika sehingga waktu tengahari. Itupun kalau anda bernasib baik dan tiada ombak besar yang menghempas pantai.

Kerana minat semua boleh jadi, tetapi Abe Din nasihatkan kepada semua pengilat sotong agar berehat seketika sehingga April tahun hadapan. Sebagai gantinya, cuba cari rezeki di kawasan sungai dan kuala-kuala yang sedikit tenang. Pada ketika ini, ikan siakap putih dan merah ganas melarikan umpan. Udang galah juga galak memakan umpan dan kadang kala ia hanyut sehingga ke kuala.

Jangan biarkan minat memudaratkan kita. Rezeki ada di mana-mana. Keikhlasan adalah kunci kepada keberkatan dan kerahmatan. Selamat memancing-Abe Din
(Paparan adalah berdasarkan pengalaman semata-mata. Harap maklum)
Read more >>

26 September 2010

Koleksi Sotong Syawal

Koleksi Sotong Syawal 2010
Post kali ini adalah koleksi gambar-gambar sotong yang dirakamkan sepanjang Trip Selepas Raya 2010.

Abe Din.
Read more >>

Trip Selepas Raya 4

Salam sejahtera untuk semua.

Abe Din tiba di jeti bot lebih kurang pada pukul 2.00 petang. Kami bernasib baik kerana hari berkenaan tidak begitu panas. Maklumlah bot otai yang kami tumpang tiada bumbung. Kami membalut kepala dengan menggunakan tuala yang dibasah menggunakan air mineral bagi mengurangkan kesan kepanasan matahari.

Keadaan air laut yang jernih menyebabkan hasil tangkapan kami tidak begitu memberangsangkan. Walaupun begitu kami tetap bersyukur dengan apa yang diperolehi.

Seekor mabang bersaiz sederhana


Tangkapan sampingan kami


Ikan selayang, kembong dan selar


Antara mabang yang berjaya ditangkap

Seribu kemaafan kerana Abe Din terpaksa memasang topeng bagi menutup muka rakan Abe Din yang pemalu. Bukan apa, dia bimbang jadi lebih glamour daripada tuan blog. Bagi kami, ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang disampaikan lebih penting daripada identiti individu. Bak kata bijak pandai, "Siapa yang bercakap tidak penting, apa yang lebih penting ialah apa yang dicakapkan".

Abe Din sangat-sangat berharap agar blog tunggal Sotong Mania ini akan selalu menjadi rujukan bagi pengilat sotong yang lama atau yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Pesanan untuk pengilat sotong semua diharapkan anda sudi memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi tujuan perkongsian ilmu atau pengalaman untuk manfaat semua.

Anda boleh menghantar melalui alamat E-mail Sotong Mania. Semoga kemurahan hati anda dapat membantu dan membimbing pengilat-pengilat sotong lain yang sedang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Hanya yang Maha Esa sahaja dapat membalas budi baik dan keikhlasan anda. Abe Din.
Read more >>

Trip Selepas Raya 3

Salam sejahtera untuk semua. Pada trip baru-baru ini, Abe Din sempat juga mengambil beberapa keping gambar ketika otai sotong sedang menarik sotong. Demi untuk mengambil gambar-gambar berkenaan, Abe Din terpaksa mengambil "pencen pilihan" sementara ketika sotong sedang galak menyambar jig udang.

Untuk pengetahuan semua, kaedah memancing di laut sedikit berbeza berbanding di kawasan persisir. Tambahan pula, joran tidak digunakan dan diganti dengan serek.

Di pesisir pantai dengan bantuan joran, pemancing perlu mengangkat dan menegakkan joran jika pancing terkena sotong. Berbeza ketika di laut, dimana pemancing kerapkali menahan tali di bahagian tepi bot bagi menahan tarikan kuat dari sotong besar.

Sotong yang ditarik menggunakan serek agak cepat letih jika saiznya kecil atau sederhana. Sotong yang ditarik dengan cepat akan berpusing-pusing dan boleh dilihat bahagian perutnya yang putih jika keadaan air laut jernih. Sotong kerap melawan ketika mula-mula terkena pancing dan akan melawan semula ketika ia ditarik mendekati bot.

Sotong besar akan melawan dari mula hingga akhir. Pengalaman Abe Din yang sukar untuk dilupakan ialah ketika otai meletakkan umpan jig di dalam air dengan batu ladung serta tanduk diletak di atas bot. Ketika otai sedang membetulkan kedudukan bot bagi mencari lokasi yang bersesuaian dengan arus laut, satu tarikan ganas berlaku sehingga batu ladung dan tanduk tercampak.

Tarikan kuat dan pantas menyebabkan sotong berjaya melepaskan diri ke arah unjam. Kami hanya mampu menyaksikan sotong berkenaan melarikan diri secara mengundur. Berani sungguh sotong besar berkenaan naik ke permukaan menyambar umpan udang merah bersaiz 3.5 berkenaan. Situasi berkenaan membuatkan kami semakin tidak sabar untuk menangkap sotong berkenaan.

Setelah sekian lama mencandat, sotong berkenaan masih tidak muncul. Kemungkinan tantakelnya sakit. Apapun, kami tetap berpuas hati dengan tangkapan hampir 30 ekor sotong mabang pelbagai saiz.

Sotong sedang ditarik dari jauh


Sotong yang berpusing-pusing ketika ditarik


Sesekali sotong melakukan pecutan ke belakang


Sotong yang menghampiri tepi bot

Ketika sotong semakin menghampiri bot, selalunya sotong besar akan membuat larian laju ke belakang sebaik sahaja terlihat manusia. Anda dinasihatkan berhati-hati dan tidak mematikan tali serek. Jika anda gunakan joran, pastikan drag dilaraskan dengan betul agar sotong tidak terlepas apabila pecutan dilakukan.

Sotong bersaiz besar sukar untuk dipegang dengan tangan. Anda dinasihatkan agar menggunakan cangkuk. Penggunaan sauk kurang digalakkan kerana ia akan memudahkan jig tersangkut pada jaring sauk berkenaan. Keadaan ini akan menyusahkan, lebih-lebih lagi jika sotong sedang galak menyambar jig.


Sotong yang berjaya dinaikkan secara manual

Sekali lagi pemancing perlu berhati-hati kerana ketika ini sotong selalunya sedang menunggu peluang untuk menyembur dakwat hitam ke muka pemangsanya. Jika semburan dakwat tidak berlaku, sotong selalunya akan menyembur dakwat sebaik sahaja ia diletakkan di lantai. Dakwatnya boleh mengotorkan lantai bot atau paling kurang menyebabkan isteri rakan anda marah jika tembakan akhir berkenaan tepat mengenai baju suaminya. Seeloknya sotong yang berjaya ditangkap dimasukkan terus ke dalam baldi atau bekas khas dan jangan sekali-kali meninjau ke dalam bekas berkenaan ketika sotong dimasukkan.

Bersambung ...
Read more >>

25 September 2010

Trip Selepas Raya 2

Proses Membuang Unjam Sotong Mabang
Pada kali ini, Abe Din sempat merakamkan gambar cara nelayan tradisional di Terengganu membuat unjam sebagai perumah kepada ikan-ikan serta sotong. Nelayan tradisional di sini membuang unjam tanpa menggunakan sebarang bantuan mesin.

Unjam yang dibuang ke lokasi pilihan akan masam dalam beberapa minggu dan menjadi perumah sementara bagi pelbagai spesies hidupan laut. Pada tulisan yang lepas, Abe Din ada membincangkan tentang struktur unjam mabang ini.

Apabila air pasang, unjam akan berada di dalam posisi menegak. Posisi ini akan menyebabkan daun-daun kelapa, daun pohon ru atau daun nipah yang di pasang menjadi selari dengan air. Sotong mabang kerapkali menyerang hendap sambil berehat di celah-celah pelepah dan daun unjam.

Sifat sotong yang agresif dan cepat marah akan menyebabkan ia pantas mengejar serta memegang objek-objek seperti jig jika ia ditarik berhampiran kawasannya. Dari permukaan hingga ke dasar unjam, merupakan kawasan yang berpotensi untuk mengilat sotong. Saiz sotong adalah mengikut kedudukannya pada daun unjam. Selalunya, sotong besar berada pada strata yang paling bawah dan pertengahan.

Sotong dan ikan-ikan akan mula menjauhi unjam sebaik sahaja daun-daun pelepah unjam mula reput dan tercabut dari tali yang mengikatnya. Oleh yang demikian, unjam perlu dibuang dengan sekerap mungkin. Semakin banyak unjam yang dibuang, maka semakin banyaklah ikan dan sotong yang akan berkumpul di kawasan berkenaan. Kos bagi membuat sebuah unjam yang sederhana ialah lebih kurang RM250 termasuk upah mencari daun pelepah, mengisi pasir, tali dan pelampung.


Daun unjam dibuka dan dilepaskan satu persatu


Unjam di tarik ke lokasi yang dipilih


Guni berisi pasir dilepaskan di lokasi pilihan


Sambil Menyelam Minum Air
Sebaik selesai membuang unjam, bot di labuh di kawasan kawanan ikan bagi mencari umpan. Keadaan arus yang tidak sesuai bagi mengilat sotong membuka peluang saya dan rakan melihat otai sotong memancing ikan menggunakan mata kail berumpan bulu hijau dengan jumlah lebih kurang 15 bentuk mata. Pancing buatan sendiri itu berjaya menjerat ikan kembung, tamban, selayang, selar, anak gerepoh dan seekor sotong mabang.


Rakan Abe Din membantu otai membuka ikan


Ikan-ikan yang sesuai untuk umpan dan lauk


Merah suman menyambar umpan hirisan isi ikan


Tetanda juga banyak di unjam

Sambil menunggu masa yang sesuai untuk mengilat sotong, dapat juga memancing ikan untuk dijadikan lauk. Mengikut kata otai, masa yang sesuai untuk menjerat mabang di unjam ialah ketika arus semata. Arus semata bermaksud keadaan arus laut yang sehala dan selari dengan arah angin. Air laut pula perlu keruh sedikit.

Bersambung...

Read more >>

Trip Selepas Raya 1

Salam untuk semua pengunjung setia. Rasanya masih belum terlambat untuk Abe Din mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin.

Lama sungguh rasanya tidak menulis. Walaupun Abe Din tidak mengirim sebarang post, bukan bermakna aktiviti mengilat sotong telah berhenti. Sebenarnya aktiviti mengilat sotong masih berjalan seperti biasa, cuma tiada kesempatan untuk menulis di blog. Terima kasih kepada semua pengunjung setia yang sudi menyampaikan salam dan ucapan hari raya. Semoga anda semua sentiasa mendapat rahmat dari yang Maha Kuasa.

Semenjak pulang dari bercuti di kampung, Abe Din telah beberapa kali melakukan trip mengilat sotong di kawasan batuan pesisir pantai. Hasil setakat ini sangat memuaskan. Ketika post ini ditulis, keadaan air dan arus di lokasi Abe Din sangat sesuai untuk melakukan aktiviti mengilat sotong. Ditambah dengan kehadiran bulan mengambang, aktiviti mengilat semakin mendapat sambutan dari pengilat-pengilat di sini.

Beberapa lawatan Abe Din bersama rakan di lokasi-lokasi mengilat didapati kehadiran pengilat agak luar biasa. Sehingga pukul 4 pagi masih terdapat ramai pengilat sotong yang aktif. Ada pelajar-pelajar sekolah menengah dan ada juga yang membawa isteri serta anak kecil ke kawasan pesisir pantai hanya semata-mata untuk mengilat sotong.

Kehadiran terlalu ramai pengilat menyebabkan sotong bersaiz besar semakin sukar diperolehi. Sotong-sotong terlebih dahulu dijerat oleh pengilat di kawasan hujung batu tambak. Abe Din dan rakan yang hanya mampu mengilat di kawasan tepi pantai sekadar mampu menjerat sotong-sotong bersaiz kecil dan sederhana sahaja.

Pada minggu lepas, Abe Din dan seorang rakan Sotong Mania berjaya merancang satu trip mengilat sotong di kawasan unjam darat. Kami bertolak pada pukul 7 pagi dan tiba di unjam pada pukul 9.15 pagi. Trip tamat pada pukul 2.00 petang. Kami mendapat khidmat dari seorang otai sotong yang cukup berpengalaman dalam aktiviti mengilat sotong.

Abe Din berharap pengalaman yang didedahkan di sini dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan pengilat di mana sahaja anda berada.

Bertolak dari pengkalan pada pukul 7.15 pagi


Pemandangan pagi yang indah

Gambar sambil berbaring bagi menyimpan tenaga.


Kumpulan camar yang mengikut kumpulan ikan


Nelayan tempatan menaiki bot fiber glass


Bersambung...
Read more >>

04 September 2010

Membuat Sotong Kering

Salam untuk semua sahabat Sotong Mania.
Pada post kali ini Abe Din akan cuba untuk memberikan serba sedikit panduan bagaimana untuk menghasilkan atau memproses sotong kering sebagai satu produk makanan.

Sotong yang biasa digunakan untuk menghasilkan produk sotong kering ialah sotong torak dan mabang. Sotong kurita pula digunakan untuk membuat sotong masin. Sotong-sotong bersaiz lebih kecil tidak sesuai digunakan untuk menghasilkan sotong kering.

Apabila tiba musim sotong, jumlah sotong torak dan mabang yang ditangkap semakin meningkat. Jika untuk kegunaan isi rumah tentunya lebih daripada mencukupi. Setiap hari makan sotong segar pun jemu juga. Sotong yang banyak juga boleh menyesakkan ruang beku peti ais anda serta menghadkan ruang untuk menyimpan makanan jenis lain.

Cara terbaik untuk memastikan agar bekalan sotong tidak putus ialah dengan menghasilkan sotong kering. Sotong kering yang dihasilkan juga boleh disimpan lama atau dijual untuk menambah sumber pendapatan anda.

Baru-baru ini Abe Din berjaya mengilat banyak sotong mabang pelbagai saiz. Untuk mengelak berlakunya pembaziran, sotong-sotong berkenaan telah dijadikan sotong kering. Sempat juga Abe Din ambil gambar proses berkenaan untuk tatapan semua. Walaupun proses di bawah mungkin agak berlainan dengan yang biasa dilakukan, sekurang-kurangnya niat Abe Din untuk membuat sotong kering tercapai juga akhirnya.

Gambar1-Sotong dibelah di bahagian bawah perut
Gambar2-Pandangan dalam perut sotong
Gambar3-Sotong-sotong yang siap dibelah
Gambar4-Sotong yang telah dibuang perut

Gambar5-Sirip renang dipisah dari badan
Gambar6-Badan sotong tanpa sirip renang
Gambar7-Kepala yang dipisah dari perut
Gambar8-Kepala yang dipisah dari badan

Gambar 9-Kepala dibelah dua
Gambar10-Kepala yang siap dibersihkan
Gambar 11-Mata dan gigi yang dibuang
Gambar 12-Gigi sotong mabang

Gambar13-Isi perut sotong
Gambar14-Tulang sotong mabang
Gambar15-Sotong yang siap dibersihkan
Gambar16-Disusun di dalam bekas jemuran
Gambar 17-Ditutup bagi menghalang lalat

Sotong kering yang dihasilkan di luar negara.

Di Terengganu, sotong kering yang dihasilkan bagi tujuan komersial dibelah dua, dibersihkan dan dijemur di atas pelapik buluh khas atau jaring dawai. Harga pasaran sotong torak kering boleh mencapai diantara RM15 hingga 25 bagi 3 hingga 5 ekor sotong dewasa. Sotong kering ini mudah ditemui dijual di Pasar Payang, Kuala Terengganu atau gerai-gerai keropok lekor di tepi-tepi jalan utama.

Musuh utama ketika menjemur sotong ialah lalat, tebuan, bari-bari, semut dan yang paling ganas sekali ialah kucing. Jika anda mampu mengawal makhluk perosak ini, sotong anda akan kering dengan secukupnya dalam masa 2 atau 3 hari sahaja jika dijemur di bawah panas terik matahari. Selamat mencuba-Abe Din
Read more >>

PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

Blogger Pancing