Pages

19 April 2022

Dimensi Baru Eging

Salam eging untuk semua kenalan dan pengunjung sotonglaut. Harga jig semakin lama semakin mahal. Harga seekor jig terbaru keluaran Yamashita boleh mencapat harga sehingga RM30 hingga RM50 bagi setiap ekor. Bagi eginger yang berkemampuan memang tiada masalah, RM100 pun diorang beli. Bagi nelayan tempatan, orang baru dan orang muda, harga RM10 pun  sangat mahal bagi mereka. Apatah lagi sekali turun tiga empat ekor bersemadi sebagi tukun di dasar laut.

Di Indonesia, candat import dari jenama terkenal agak kurang mendapat tempat. Penjualannya  terhad kepada golongan elit sahaja. Keadaan ini berlaku kerana percambahan industri kecil dan hiliran yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Setiap industri kecil ini memperkenalkan produk dan keistimewaan yang berbeza pada produk mereka. Disebabkan harga yang jauh lebih murah ianya mendapat sambutan yang sangat baik. Tambahan pula, keberkesanannya memerangkap sotong hampir menyamai produk import. 

    Kehebatan buatan tangan manusia


Dari perbualan ambe dengan seorang rakan di Indonesia, antara keistimewaan produk mereka selain murah, juga mesra alam. Badan jig diperbuat dari kayu dan mudah diurai secara semulajadi. Kepintaran buatan dengan meniru produk-produk import antara faktor industri ini dilihat mampu pergi jauh.

Variasi jig di pasaran dengan harga berpatutan

Perbezaan dengan pencandat di Malaysia, Candat dari Vietnam lebih digemari. Harganya sangat murah. Produk Vietnam dibuat daripada bahan resin ringan tetapi sangat mudah rosak.  Walaupun ia mampu menjerat sotong-sotong mega tetapi kualiti kainnya sangat rendah dan mudah terkoyak. Dari penelitian ambe produk dari Indonesia lebih berkualiti walaupun harganya  lebih sedikit dari produk Vietnam. Kain yang digunakan disalut dengan sangat rapi menggunakan resin tebal. Kain koyak agak mustahil berlaku.

Kecerdasan buatan tangan


Walaupun harga produk mahal itu dikira berkualiti tetapi ia tidak menjamin kejayaan memerangkap sotong. Jika sahabat terbaca post ambe yang dulu berkaitan jig tradisional Jepun, Jig mereka sangat ringkas, tiada kain hanya menggunakan besi panas bagi menghasilkan corak pada badan jig. Hasil yang diperolehi bukan calang-calang.

Apa hebatnya aktiviti eging atau aktiviti candat ini? Kehebatannya terletak kepada keupayaan pencandat memainkan teknik eging yang berkesan. Lengkok jig yang tepat pada masa yang tepat mengatasi jenama jig yang terkenal. Kehebatan seorang eginger terletak kepada keupayaannya membaca keadaan air dan faktor persekitaran. Tiada jalan pintas untuk menjadi eginger yang hebat. Pilihan di tangan kita. Tepuk dada tanya selera. Semoga perkongsian kali ini akan memberi manfaat dan membuka minda kita ke dimensi baru. Selamat mencandat-Abe Din

Evolusi Jig Tempatan

Salam eging kepada semu rakan-rakan maya. Pada post kali ini, ambe ingin berkongsi dengan satu rekabentuk jig yang dibuat oleh orang tempatan di Kemaman. Jig ini digunakan bagi menjerat sotong spesies Torak. Sotong panjang di Perairan Laut China Selatan. Penemuan secara tak sengaja ini sangat menarik. Jig ini digunakan oleh beberapa nelayan tradisional tempatan. Harga jig yang melambung tinggi menyebabkan sebahagian nelayan lebih selesa membuat jig mereka sendiri.


Badan jig diperbuat daripada "hot glue plastic" jernih dan berwarna. Ketika panas, badan jig dibentuk dan dibiarkan sejuk. Selepas gam keras, badan jig akan dilukis dengan corak-corak yang pelbagai bagi menarik sotong.



Mata kail jig [Jig Hook] diperbuat daripada mata pancing ikan yang dipotong, disusun dan diubahsuai menyerupai candat sotong. Mata jig dilukis atau diletak manik plastik bagi menambah ciri interkatif jig. Badan jig juga kadang-kadang di lukis dengan cat luminous dan cat glowing.



Cara penggunaan jig ini sama seperti penggunaan candat stick atau "candat mayat". Diikat  pada tangsi seperti apollo dalam jarak tertentu. Jig jenis ini tahan lama dan tidak terkoyak kerana diperbuat daripada plastik. 

Selepas jig dilepaskan ke laut, jig akan ditarik ke atas dan dilepaskan kembali. Proses ini  diulang sehinggalah sotong mengena pada hook. Selamat mencandat sotong torak-Abe Din

Jaga Khazanah Kita

Assalamualaikum, Salam Eging untuk semua pelawat sotonglaut
Selepas PKP baru-baru ini ambe sempat melawat ke tempat biasa menyotong. Nampak memang tiada banyak perubahan. Dari kejauhan nampak mendamaikan. Tak sabar nak mendarat buat kali pertama selepas PKP. Pasir masih memutih dan air masih jernih. Banyak anak-anak ikan meronda sana dan sini. Sesekali tetanda mengejar anak-anak ikan berkenaan.

Suasana yang tenang dan mendamaikan

Semasa meninjau ke belakang pulau, terjumpalah sesuatu yang sangat mengharukan, Sebahagian dari pulau telah terbakar. Dari kejauhan memang tak nampak. Semasa tracking melalui bukit, baru perasan. Sangat bertuah kerana kebakaran hanya berlaku di bahagian bawah dan pertengahan serta tidak melibatkan pohon yang besar.

Sangat mengharukan

Tumbuhan di sini merupan aset utama yang menjadikan kawasan sekitar redup dan sangat indah. Ambe tak boleh bayangkan jika semua pokok musnah seperti Pulau Balok. Hanya ada pohon kelapa yang kecil. Tidak sesuai untuk persinggahan yang lama.

Kesan kebakaran yang dapat dilihat

Dari penelitian di kawasan sekitar kemungkinan kebakaran tidak disengajakan. Kemungkinan disebabkan api di tapak perkhemahan atau aktiviti BBQ yang tidak dipadam dengan baik sebelum kawasan ditinggalkan. Memandangkan kawasan pulau memang banyak daun dan kayu kering di bahagian bawah menyebabkan api cepat marak. Ada juga kemungkinan disebabkan puntung rokok yang dibuang. Beberapa kotak rokok kosong juga dijumpai di sekitar pulau. Diharapkan pengunjung lebih bertanggungjawab dan sama-sama menjaga pulau ini kerana kawasan ini menjadi tumpuan ramai terutama ketika hari cuti.

Sampah sarap disebabkan sikap tidak bertanggungjawab 
Pengunjung disarankan membawa keluar sampah dari pulau


Sampah sarap boleh dijumpai di mana-mana sekitar pulau. Sikap mementingkan diri dan tidak kisah tentang kesan lebih besar yang akan berlaku sangat dikesali. Ibubapa dan pengunjung yang hadir perlu mendidik anak-anak agar lebih menghargai alam sekitar. Khabar orang kampung mengatakan aktiviti gotong-royong selalu diadakan di sekitar pulau. Bagi ambe, aktiviti berkenaan tidak memadai walaupun patut dipuji. Tanggungjawab dan kesedaran pengunjung itu sendiri perlu diutamakan. Pulau ini juga menjadi tumpuan pelancong asing yang tentukan akan memberi imej buruk kepada negara.

Jika aktiviti tidak bertanggungjawab itu masih berterusan, tidak mustahil kehadiran pengunjung akan disekat oleh pihak berkuasa. Ambe mencadangkan kepada jawatankuasa penduduk untuk kenakan yuran masuk bagi proses penyelengaraan sampah dan infrastruktur lain di pulau ini. Semoga pulau ini terus terjaga kelestariannya dan menjadi waris berharga untuk anak cucu kita-Abe Din