Salam kunjungan untuk semua pelawat dan pengunjung sotonglaut. Baru-baru ini... ambe sempat berkunjung ke sebuah pantai terkenal, di Kemasik. Berjalan mengharung kesejukan waktu subuh seorang diri. Lama sungguh tak singgah ke sini... mungkin ada sotong besar yang sedang menunggu tuannya.
Sampai ke lokasi selepas subuh, ketika air pasang. Tanpa menunggu lama... dalam samar-samar cerah tanah, candat dibaling berkali-kali mengharapkan ada sotong yang sudi menyambut salam selamat datang di pagi hari. Rasa macam nak tercabut bahu sebelah kanan. Masih tiada sambutan sehingga matahari mula keluar hinggalah jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Kecewa dan hairan... memang frust juga. Air pagi tu memang cantik. Mustahil tiada sotong yang bermain.
Berkemas seminit dua terus mengatur langkah menghala ke tempat letak kereta... ketika pulang barulah semua kemusykilan yang bermain di dalam kepala terjawab. Beberapa tompok minyak disyaki minyak kapal terdampar merata-rata di kawasan batu dan pasir pantai. Patutlah sotong tak sudi menyambar jig yang dilontar. Sotong memang dah lari ke tengah laut. Pencemaran minyak merupakan satu faktor yang menyebabkan sotong tidak bermain di kawasan Pantai Kemasik. Ahli sains telah lama menggunakan sotong bagi meramal pencemaran air laut. Jika kawasan berkenaan banyak sotong... itu menunjukkan kawasan berkenaan tidak tercemar.
Apa yang peliknya... adakah perkara ini tidak disedari oleh pihak berwajib kerana tinjauan di kawasan Chagar Hutan juga menunjukkan kehadiran tumpahan minyak yang terdampar di kawasan pantai. Memang kawasan perairan Kemaman merupakan kawasan laluan kapal-kapal dagang dan kapal pengangkut. Kemaman juga mempunyai dua pelabuhan utama yang menjadi lokasi laluan dan persinggahan kapal. Tidak keterlaluan jika ambe katakan... minyak berkenaan adalah dari sisa buangan kapal. Di dalam media massa juga tidak dilaporkan sebarang kes tumpahan minyak yang berlaku ketika itu.
Kesan tumpahan minyak walaupun dalam skala kecil, sedikit sebanyak boleh mempengaruhi keindahan pantai, kehadiran pelancong dan kelangsungan hidup hidupan marin itu sendiri. Pemantauan dan tindakan segera perlu dilakukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.-Abe Din
No comments:
Post a Comment