Pages

27 June 2013

Trip Pulau Ular Siri 2

TRIP PULAU ULAR SIRI 2

Selamat datang kepada semua pengunjung dan pelawat blog sotonglaut. Minggu lepas satu lagi trip ke Pulau Ular telah dijalankan dengan jayanya. Abe Din mendapat panggilan telefon dari seorang guru untuk menjadi fasilitator satu program kelab guru sekolah berkenaan. Selepas perbincangan dan perancangan rapi diatur, trip berkenaan berjaya juga diadakan dengan penyertaan seramai 17 orang peserta.

Dari maklumat yang diperolehi, kebanyakkan peserta tidak pernah tiba di Pulau Ular dan ramai juga yang tiada pengalaman memancing dan mencandat sotong mabang. Kesemuanya  bersemangat untuk mencuba pengalaman baru ini. Peserta trip berkumpul di perkampungan Sungai Ular selepas solat jumaat dan bertolak ke pulau lebih kurang pukul 3.30 petang dengan menaiki dua buat bot. Tekong bot memberikan kerjasama dan bantuan yang cukup baik sepanjang proses menghantar peserta ke pulau.

Peserta Trip Siri 2

Menguruskan peserta yang agak ramai memang mencabar. Perancangan rapi termasuk meramalkan air pasang surut dan masa yang sesuai untuk mencandat perlu dibuat lebih awal agar trip yang disertai tidak mengecewakan. 


Peserta Bersiap Menuju Pulau Ular

Setelah tiba di Pulau Ular, peserta mendirikan khemah terlebih dahulu sebagai persediaan jika berlakunya hujan secara tiba-tiba. Cuaca ketika itu agak berjerebu, tetapi bacaan IPU masih tidak membahayakan. Beberapa orang peserta ditugaskan untuk memasak, sebahagian lagi terus bergerak ke kawasan karang menggunakan bot untuk memancing ikan kerapu. Ada juga yang mengambil kesempatan mandi-manda sebelum hari gelap. Sementara menunggu pasukan pertama pulang memancing, pasukan yang masih berada di pulau sibuk menyiapkan peralatan masing-masing.


Peserta Tiba di Pulau Ular

Pada sebelah malam, air surut pada tahap paling rendah hingga menampakkan batu-batu karang yang cantik. Peserta dinasihatkan agar berehat kerana keadaan tidak sesuai untuk memancing. Ikan dan sotong pada ketika ini kebiasaannya tidak aktif dan bergerak jauh ke laut. Peserta berehat di hamparan batu sambil berbual-bual kosong sementara menunggu mata mengantuk. Air laut dijangka akan pasang semula pada pukul 4 pagi. 

Ketika air pasang sekitar pukul 6 pagi, sotong mabang sudah mula galak memegang umpan candat. Beberapa ekor sotong bersaiz besar berjaya dinaikkan peserta. Selepas sarapan, sebahagian peserta bergerak ke bahagian belakang pulau dan menyusur tebing batu untuk mencandat sotong mabang. Pada waktu ini sotong cukup galak memegang candat. Banyak sotong berjaya dicandat sehingga melewati pukul 9 pagi.


Aktiviti Mandi Manda di Pulau

Ada peserta yang mengambil kesempatan untuk manda manda sambil melihat keindahan batu karang di dasar laut. Lebih kurang pukul 10 pagi, peserta mula mengemas khemah dan peralatan, memandangkan kawasan pulau sudah mula didatangi beberapa kumpulan pelancong dari dalam dan luar negera. Suasana pulau semakin meriah dengan kehadiran pelancong-pelancong. Peserta trip yang sudah siap berkemas, mula menyusun dan membahagikan hasil tangkapan. Sotong dicuci terlebih dahulu dan disusun di atas plastik. Peserta dan pelancong asing yang begitu teruja datang melihat hasil tangkapan sambil bergambar.

Berkumpul Melihat Hasil Pancingan di Pulau Ular

Sotong Mabang yang Berjaya di Candat di Pulau Ular

Sotong yang berjaya dicandat sepanjang trip berjumlah 40 ekor. Saiz memang boleh tahan. Ramai juga peserta yang berjaya mencandat sotong mabang buat kali pertama. Kesungguhan mereka bertanya dan belajar banyak membantu mereka sepanjang aktivti mencandat dijalankan. Semoga trip ini menjadi memori indah bagi mereka semua.


Bergambar Bersama Hasil Tangkapan

Bergambar Sebelum Pulang Ke Tanah Besar

Bot tiba lebih kurang pukul 10 dan kesemua peserta meninggalkan pulau lebih kurang jam 11 pagi. Ada juga peserta yang berhajat untuk datang semula mencandat dan memancing pada masa akan datang. Abe Din berpisah dengan kumpulan trip sebaik sahaja selesai minum di sebuah gerai yang terletak di tanah besar. Trip sebegini memang meletihkan. Tak sabar nak berehat di rumah. 

Di kesempatan ini, Abe Din mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua peserta kerana berjaya melalui trip ini dengan jayanya. Semoga ilmu yang diperolehi dapat digunakan pada masa yang mendatang. Jumpa lagi.
Abe Din.

No comments:

Post a Comment