Pages

01 June 2013

Hulurkan tangan..


Salam sejahtera kepada semua pelawat sotonglaut. Pada kali ini, ambe ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua followers dan juga blogger-blogger yang telah menyokong ambe selama ini. Sejak mula bertatih dalam dunia blogging dari 17 April 2010 hingga sekarang... ambe telah banyak belajar dari blogger otai tentang dunia blog.

Ambe melihat blog dan kecanggihan dunia siber ini boleh dimanfaatkan untuk memajukan lagi industri memancing dan rekreasi... bagi ambe tentunya dunia pancingan sotong. Ambe masih lagi konsisten dengan tema yang tidak berubah iaitu ingin melihat... pada suatu dari nanti, hobi pancingan sotong ini diangkat pada satu kedudukan yang baik di negara kita sebaris negara seperti Jepun, Taiwan dan Australia.

Adalah sangat malang apabila "dunia kita" tidak diangkat oleh "orang kita" sendiri. Mereka melihat sepi pada ilmu dan proses memberi pendidikan itu sendiri. Walaupun mereke berada pada posisi yang boleh membantu... tetapi mereka tidak membuat demikian. Ambe sendiri tidak tahu apa tujuan mereka.... nama? kedudukan? ganjaran? atau ada agenda lain yang tidak diketahui.

Dalam mengangkat dunia memancing ke tahap yang boleh dibanggakan... kita perlu ikhlas. Abe Din mengucapkan tahniah kepada blogger-blogger pancing yang tidak jemu-jemu menulis dan mencari bahan untuk didedahkan kepada pembaca baru dan lama. Sebenarnya ia adalah satu proses pendidikan dan pengalaman yang mahal.

Ambe tidak mahu melihat skop yang terlalu jauh... ambe memberi contoh pada tema sotong yang ambe perjuangkan. Berapa ramai orang di luar sana yang ada pengetahuan tentang pancingan sotong... banyak? tapi peratusanya? tentu kecil. Ramai mana yang menceburkan diri di dalam bidang ini secara suka-suka dan ikut kawan? Bagaimana pengalaman mereka mengikut trip kali pertama... yang bernasib baik akan teruskan hobi ini.. ramai orang baru yang kecewa dan terus melupakan hobi ini...  bagi mereka merugikan dan membuang masa.

Jika perkara seperti ini berlaku... sampai bila industri kita akan berkembang? Perkara yang sama juga akan berlaku pada semua hobi memancing yang lain... udang, ikan atau apa sahaja hobi yang bersangkut paut dengan hidupan air dan rezeki dalam air. Ramai yang kecewa dan semakin menjauhkan diri daripada komuniti hobi seperti ini.

Cuba bayangkan... seseorang individu yang ingin menyertai trip mencandat sebagai contoh... berapa kos yang patut dikeluarkan? Apa mereka dapat selepas menyertai trip berkenaan? Mabuk, letih tak bermaya, kecewa. Banyak kelemahan yang dapat difikir semula... peralatan tidak sesuai, masa dan cuaca tidak sesuai, umpan tidak sesuai... itu belum lagi ditipu tekong yang malas mencari port terbaik. Banyak mana wang dibazirkan di dalam industri ini? 

Sepatutnya industri seperti mencandat dan memancing di laut adalah satu aset yang penting kepada negeri atau komuniti setempat bagi meningkatkan ekonomi tempatan... jika kena cara dan gayanya. Pemancing dalam dan luar akan tetap datang silih berganti. Jika promosi bersesuaian dengan hasil yang dipromosikan.... jika tidak? Adakah kita yakin mereka akan datang lagi. Sangat rugi jika anugerah tuhan ini tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh kita.

Isu yang utama di sini adalah ilmu yang betul, pengalaman yang benar dan maklumat yang tepat. Jika semua ini berada dalam diri individu baru... tentunya kita mampu melihat pada suatu hari nanti... warisan memancing yang boleh dianggap tertua ini tidak akan dilupakan begitu sahaja oleh generasi akan datang.

Sekali lagi ambe... mengucapkan tahniah kepada semua blogger-blogger pancing yang masih terus berusaha tanpa jemu memperjuangkan hobi ini. Masih gigih menulis pengalaman dan memberi ilmu kepada mereka yang baru. Teruskan usaha murni anda. Berjuanglah dengan ikhlas. "Hulurkan tangan anda... sambutlah mereka".
 

Abe Din.

No comments:

Post a Comment