Pages

18 June 2012

Gajus VS Sotong


Selamat bertemu lagi di blog maya Sotonglaut. Harap anda semua yang sentiasa mengikuti blog buruk aku ni.. akan sentiasa sihat hendaknya.

Pada post kali ini, aku akan berceloteh tentang buah gajus. Di Terengganu buah ini lebih dikenali dengan panggilan "Jambu Golok". Mungkin nama berkenaan diambil sempena bentuk buahnya seperti golok atau parang. Buah ini juga dikenali dengan panggilan "Janggus", "Jambu Monyet", "Jambu Terung" dan "Bunga Kesasar". Nama saintifik gajus ialah Anacardium occidentale.


Buah Gajus Yang Masak Ranum

Pokok Gajus dikatakan berasal dari Brazil dan ditanam untuk mendapatkan bijinya. Bijinya akan dibelah dua dan dibuang kulit luarnya. Biji gajus menghasilkan getah yang sedikit gatal jika terkena kulit. Di Terengganu, penduduk tempatan memungut buah-buah gajus untuk mendapatkan bijinya. Bijinya dibelah dan digoreng sebelum dimakan. Biji gajus mempunyai rasa lemak seperti kacang.

Putik-putik Gajus

Gajus Terbiar: Masak Dan Rosak Di Pokok

Di pantai Timur, Buah gajus kurang popular untuk dijadikan sebagai makanan berbanding kawasan pantai Barat. Besar kemungkinan pokok gajus terlalu banyak di pantai timur. Jika korang berkesempatan datang ke kampung-kampung nelayan di Pantai Timur, korang akan jumpai banyak pokok-pokok gajus tumbuh samada ditanam manusia atau tumbuh meliar. Buah-buah gajus terbiar mengecut di atas pokok. Selalunya hanya haiwan seperti lembu sahaja yang berkumpul di bawah pokok gajus ketika musimnya untuk memakan buah gajus yang gugur. Rasa buah gajus sedikit masam dan kandungan air di dalam buah berkenaan cukup tinggi.


Buah Gajus Pelbagai Warna

Walaupun buah gajus tidak begitu popular berbanding bijinya, masih ada yang menjadikan gajus semagai menu masakan. Selalunya buah gajus dimasak bersama sotong, ikan atau makanan laut lain. Masakan yang biasa dijumpai di sini ialah masak lemak. Rasanya boleh tahan juga...



Pucuk Gajus Sesuai Dijadikan Ulam

Pucuk gajus muda pula dijakan ulam untuk dimakan bersama nasi. Harga secekak ulam gajus di sini ialah RM0.50. Di kawasan pantai barat pula, pucuk gajus juga cukup popular dijadikan ulam. Ia juga dijadikan sebagai ulam yang dipotong untuk dipadankan dengan laksa penang. Rasa memang sedap.


Gajus VS Sotong

Apa kaitan antara buah gajus dan sotong? Mungkin persoalan ini tidak pernah korang fikir. Kalau korang singgah di kedai-kedai makan di Terengganu pada musim gajus berbuah, tentu korang pernah terjumpa menu masakan buah gajus bersama sotong. Menu seperti ini tidak selalu ada. Ianya bermusim. Kalau pucuk gajus tu... sepanjang tahun pun ada..

Kenapa buah gajus selalu dipadankan dengan sotong dalam satu-satu menu masakan? Aku tertarik untuk menulis tentang tajuk ini apabila aku teringatkan perbualan dulu-dulu diantara aku dan seorang otai sotong. Katanya kalau pokok jambu golok dah berbunga dan berbuah itu tandanya sotong sudah boleh dicandat di laut. Sebetulnya musim pokok gajus berbuah dan musim sotong torak hadir ke perairan Terengganu adalah sama. 

Nelayan tempatan menggunakan petunjuk alam ini untuk meramalkan kehadiran sotong di perairan Terengganu. Apa yang menariknya... ia sudah diguna pakai sekian lama dan ramalan berkenaan menjadi. Itulah sebabnya, sotong dan gajus merupakan sebahagian daripada sumber asas yang banyak diperolehi ketika itu untuk dijadikan pasangan masakan. Pada zaman moden ini.. kombinasi masakan sotong boleh dipelbagaikan, maka jarang sekali dijumpai sotong dimasak bersama buah gajus.

Jika korang berhajat untuk datang mencandat sotong torak di Terengganu, pastikan juga adakah masa berkenaan pokok gajus sedang galak berbuah di Terengganu. Ini kerana musim gajus berbunga dan berbuah adalah kemuncak kehadiran sotong torak. Ini bukan bermakna musim lain tiada... cuma jumlah sotong torak ketika itu agak kurang.

Jangan lupa selepas musim kemuncak sotong torak berlalu, kemuncak kehadiran sotong mabang pula akan mengambil tempat sehingga musim tengkujuh melanda. Semoga maklumat yang aku beri kali ini berguna untuk korang yang bercadang ke Terengganu untuk mencandat sotong. Selamat mencandat.
Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment