Pages

24 April 2011

Candat Torak

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit panduan kepada semua yang akan melawat Terengganu sepanjang April hingga Jun 2011.


Seperti yang diketahui umum, sotong torak (gambar sebelah yang dijumpai di internet) telah mula menyerang perairan Terengganu sejak akhir Mac lagi. Maka, kaki-kaki sotong bertaraf otai, baru atau tak pernah langsung mencandat sebelum ini mula berkira-kira merancang trip untuk ke Terengganu. Tujuan mereka tentunya mencandat sotong torak. Ada juga yang secara sambilan memancing ikan.


Cuba tengok gambar di atas. Siapa yang tidak terliur bila terbayangkan sotong bakar. Saiz sotong pula... wuiii.. semangat gila. Jika kena lubuk.. sotong yang dinaikan panjang-panjang belaka. Jika sudah rezeki, siap boleh jual sotong yang ditangkap. Tolak kos bot.. untung pula.

Bagi memberi panduan kepada semua pencandat baru, Abe Din akan menumpukan post-post yang berkisar kepada teknik tangkapan sotong torak. Jika ada kemusykilan.. tanya tau... jangan malu-malu.

Gambar di atas merupakan set yang biasa digunakan bagi memancing sotong torak. Berikut adalah petunjuk bagi rajah di atas:
A-Klip logam (cili)
B-Candat mayat merah putih jenis luminous
C-Candat timah atau batu ladung.

Abe Din syorkan anda menggunakan candat kepala merah berbadan putih jenis luminous. Candat jenis ini memang nampak tidak menarik tetapi sebenarnya power. Jenis biasa tanpa luminous lebih murah tetapi kurang ganas. Candat ini dijual dalam set-set tertentu dan mudah dijumpai di kedai-kedai pancing di Terengganu.

Candat kepala merah yang power

Cara mengikat candat di atas ke tali perambut sama seperti mengikat mata kail apollo. Kalau tak tahu.. minta tolong mereka yang mahir. Anda boleh memasang seberapa banyak candat yang anda mahu jika anda mampu mengendalikan tali kusut dengan baik. Untuk junior, Abe Din cadangkan anda memasang di antara 3 hingga 5 candat.

Jangan pasang candat terlalu dekat antara satu sama lain. Dibimbangi candat bawah dan atas akan tersangkut bersama. Disebabkan sotong torak mempunyai badan yang panjang, perlu diambil kira panjang berkenaan dalam menganggar jarang antara candat. Jika teknik ini tidak dipatuhi, sotong yang terkena candat akan tersangkut pula pada mata candat di bahagian ekornya dan peluang pemancing untuk mendapatkan lebih sotong dalam satu masa akan terjejas.

Candat timah

Candat di atas diletak di bahagian paling bawah tali perambut. Tujuannya untuk memastikan tali perambut sentiasa berada di dalam keadaan tegak, melurus ke bawah. Jika candat di atas tiada, anda boleh gantikan dengan batu ladung yang bersesuaian saiznya. Jika batu ladung digunakan.. tentunya tiada sotong yang sudi menyambar batu ladung berkenaan.  Setakat ini, candat timah berwarna merah merupakan candat yang paling berjaya menambat hati sotong.

Ketika anda menurunkan candat, pastikan anda menurunkan candat timah terlebih dahulu. Turunkan secara perlahan-lahan. Tindakan tergesa-gesa akan menyebabkan tali anda  berpintal. Proses meleraikannya memang menyiksakan batin kerana orang lain sedang sibuk menaikan sotong sambil memprovokasi emosi anda.

Jika sotong memegang candat anda, layan seperti biasa dengan drag kekili dilaras mengikut berat sotong. Jika anda menggunakan serek, rapatkan tali pada tepi bot dan lepas tali secara terkawal jika henjutannya semakin keras dan kuat. Bila tiada tarikan... anda perlu tarik tali  perlahan-lahan. Jangan tarik sotong seperti menarik ikan ... jika bernasib baik anda akan dapat double atau triple..

Selepas sotong pertama dinaikkan. Jangan membuang masa... turunkan candat dengan segera. Sotong torak makan mengikut pergerakan arus. Jika kumpulannya berada di bawah bot anda, semua pemancing akan merasa tarikan sotong. Untuk menaikkan semangat anda, bayangkan sotong berkenaan akan menjadi sotong bakar yang enak apabila anda tiba di daratan nanti..

Jangan terkejut jika sotong jenis lain juga dinaikan. Sotong yang biasa bermain bersama sotong torak termasuklah sotong ketupat dan sotong jarum. Sotong mabang sangat jarang dan hampir tiada kerana sotong ini suka bermain di kawasan berstruktur.

Jika anda pergi mencandat nanti, jangan lupa mengambil gambar yang cantik-cantik dan e-mail kepada Abe Din. Nanti Abe Din post dalam blog.. Beri info sikit..tentu glamour. Akhir kata, selamat memancing.. dan jumpa lagi.
Abe Din

1 comment: