Salam sejahtera untuk semua pengunjung sotonglaut.blogspot.com/
Pada kali ini, Abe Din akan menceritakan serba sedikit mengenai penghasilan blog sotonglaut pada peringkat awal pembinaan.
Dahulu blog sotonglaut dikenali sebagai blog SOTONG MANIA. Blog ini mula dibangunkan pada hari Sabtu, 17 April 2010. Misi utama pembinaan blog ini adalah untuk memberikan sebanyak mungkin input kepada pengunjung di Malaysia dan Nusantara berkaitan dengan pancingan sotong yang lebih dikenali sebagai "candat sotong" di Terengganu.
Blog pertama yang dihasilkan pada April 2010
Rakan-rakan pancing terdekat agak sedikit terkejut di atas penghasilan blog sotong ini kerana mereka semua tahu bahawa Abe Din adalah kaki pancing ikan yang sudah sampai ke tahap mania. Mereka berpendapat sepatutnya blog ikan yang dihasilkan dahulu.
Ramai juga yang tidak mengetahui bahawa disamping memancing ikan, Abe Din juga telah mula melakukan pancingan sotong sejak lebih 10 tahun. Bermula dari modal kecil sehingga modal yang besar dengan menyewa bot untuk pergi memancing. Selalu juga Abe Din dipelawa oleh nelayan tempatan pergi memancing di laut. Dari situlah Abe Din mengutip dan mengumpul satu persatu pengalaman hidup orang laut.
Abe Din juga mula melihat gelagat pemancing-pemancing baru yang kecundang di laut disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang pancingan sotong. Mereka mengeluarkan belanja sewaan dan perjalanan yang bukan sedikit hingga mencegah ribuan ringgit sekumpulan hanya untuk mencandat sotong. Paling menyedihkan hasilnya tidak setimpal dengan pelaburan yang dibuat. Ada juga yang mengikut trip hanya disebabkan terpengaruh dengan cerita kawan yang menyertai trip sebelumnya. Muntah, letih, lesu, kekecewaan adalah perkara biasa yang Abe Din perhati dan lihat.
Bertitik tolak dari situ, Abe Din membulatkan tekad untuk membangunkan blog khusus tentang pancingan sotong bagi memberikan sebanyak mungkin info berguna kepada semua pemancing sotong yang lahir bagai cendawan tumbuh. Tambahan pula tiada blog atau laman web yang membincangkan teknik pancingan sotong secara terperinci dan konsisten.
Sesungguhnya penghasilan blog ini bukan untuk tujuan komersial atau mahu menyaingi sesiapa. Lebih tepat lagi ia hanyalah satu tanggungjawab sosial Abe Din kepada golongan pemancing di Malaysia dan Nusantara. Ilmu yang ada tidaklah banyak, Abe Din hanya ingin berkongsi dan membantu.
Dengan lahirnya blog ini, Abe Din telah mendapat ramai kenalan dan kawan dari merata pelusuk termasuk Singapura dan Brunei. Banyak juga soalan yang ditanya dan proses bertukar fikiran berlaku cukup baik. Abe Din tetap berharap suatu hari nanti, aktiviti pancingan sotong akan mencipta rekod dan sejarahnya yang tersendiri dalam dunia pancingan di Malaysia.
17 April 2011, blog ini genap setahun berada di alam siber. Terima kasih kepada semua pelawat. Semoga sokongan anda akan memberi semangat kepada Abe Din untuk terus bercerita dan berlipurlara tentang sotong. Doakan kejayaan sotonglaut.blogspot.com/
-Abe Din
Penghargaan kepada semua pelawat yang sudi bertandang. Jika info di sini berguna… harap disebarkan kepada rakan anda agar sama-sama mendapat manfaatnya. Terima kasih.
ReplyDelete