Pada kali ini, Abe Din sempat merakamkan gambar cara nelayan tradisional di Terengganu membuat unjam sebagai perumah kepada ikan-ikan serta sotong. Nelayan tradisional di sini membuang unjam tanpa menggunakan sebarang bantuan mesin.
Unjam yang dibuang ke lokasi pilihan akan masam dalam beberapa minggu dan menjadi perumah sementara bagi pelbagai spesies hidupan laut. Pada tulisan yang lepas, Abe Din ada membincangkan tentang struktur unjam mabang ini.
Apabila air pasang, unjam akan berada di dalam posisi menegak. Posisi ini akan menyebabkan daun-daun kelapa, daun pohon ru atau daun nipah yang di pasang menjadi selari dengan air. Sotong mabang kerapkali menyerang hendap sambil berehat di celah-celah pelepah dan daun unjam.
Sifat sotong yang agresif dan cepat marah akan menyebabkan ia pantas mengejar serta memegang objek-objek seperti jig jika ia ditarik berhampiran kawasannya. Dari permukaan hingga ke dasar unjam, merupakan kawasan yang berpotensi untuk mengilat sotong. Saiz sotong adalah mengikut kedudukannya pada daun unjam. Selalunya, sotong besar berada pada strata yang paling bawah dan pertengahan.
Sotong dan ikan-ikan akan mula menjauhi unjam sebaik sahaja daun-daun pelepah unjam mula reput dan tercabut dari tali yang mengikatnya. Oleh yang demikian, unjam perlu dibuang dengan sekerap mungkin. Semakin banyak unjam yang dibuang, maka semakin banyaklah ikan dan sotong yang akan berkumpul di kawasan berkenaan. Kos bagi membuat sebuah unjam yang sederhana ialah lebih kurang RM250 termasuk upah mencari daun pelepah, mengisi pasir, tali dan pelampung.
Sambil Menyelam Minum Air
Sebaik selesai membuang unjam, bot di labuh di kawasan kawanan ikan bagi mencari umpan. Keadaan arus yang tidak sesuai bagi mengilat sotong membuka peluang saya dan rakan melihat otai sotong memancing ikan menggunakan mata kail berumpan bulu hijau dengan jumlah lebih kurang 15 bentuk mata. Pancing buatan sendiri itu berjaya menjerat ikan kembung, tamban, selayang, selar, anak gerepoh dan seekor sotong mabang.
Tetanda juga banyak di unjam
Sambil menunggu masa yang sesuai untuk mengilat sotong, dapat juga memancing ikan untuk dijadikan lauk. Mengikut kata otai, masa yang sesuai untuk menjerat mabang di unjam ialah ketika arus semata. Arus semata bermaksud keadaan arus laut yang sehala dan selari dengan arah angin. Air laut pula perlu keruh sedikit.
Bersambung...
Bersambung...
No comments:
Post a Comment