Pages

28 August 2010

Mengilat Di Pantai IV

Sotong mabang cukup galak ketika bulan naik

Selamat berpuasa bagi rakan-rakan yang sedang berpuasa. Pada bulan puasa ini, misi sotong tetap diteruskan. Pada kebiasaannya Abe Din turun ke padang pancing lebih kurang pukul 9.00 malam. Pada bulan ini, aktiviti terpaksa dilewatkan atas beberapa sebab. Kadang-kadang Abe Din turun bersama rakan pada pukul 12.00 malam dan pulang sebelum bersahur.

Tiba di lokasi selalunya telah ramai kaki-kaki mengilat menjalankan aktiviti mengilat mabang. Sesekali rasa sedikit kebimbangan tentang hasil yang bakal diperolehi. Apabila membayangkan kegarangan sotong mabang, tidak mustahil sotong-sotong telah habis ditangkap. Tetapi apabila melihat saiz beg palstik yang dibawa mereka masih kecil, semangat mengilat kembali membara.

Ketika ini sotong mabang sedang menghampiri kawasan pantai di Terengganu. Banyak sotong dinaikkan samada di kawasan pantai atau unjam. Jika anda berpeluang ke Terengganu, cuba lawati kawasan pasar ikan. Ada akan dapat melihat banyak sotong mabang dijual. Ini merupakan petanda bahawa sotong mabang sedang mengamuk.

Pada musim mabang, lokasi-lokasi pancing akan dipenuhi oleh pengilat-pengilat tegar. Setiap tahun juga akan ada kehadiran pengilat-pengilat baru yang sedang berjinak-jinak dengan aktiviti ini. Abe Din mengalu-alukan azam dan kesungguhan mereka mencari mabang sehingga ke pagi. Jangan pula lupa hendak bersahur.

Kehadiran pengilat baru boleh dikenali dengan beberapa petunjuk fizikal seperti berikut :

1-Menggunakan pancing ikan untuk memancing sotong
2-Membawa sauk bagi tujuan menyauk sotong yang dipancing
3-Tidak memakai kasut ketika berjalan di atas kawasan berbatu
4-Membawa lampu bersaiz besar

Beberapa jenis lampu yang tidak sesuai

Lampu kepala yang semakin popular

5-Tiada bekas mengisi sotong @ bekas ditinggalkan jauh
6-Memakai baju berwarna cerah dan terang
7-Membuat bising sambil bercerita dan bergelak ketawa
8-Banyak berehat ketika pemancing lain sibuk mengilat
9-Menggunakan jig berkelip cahaya merah
10-Riuh rendah apabila dapat menangkap seekor sotong

Menyuluh ke arah air boleh mengganggu pemancing lain

11-Kerap menyuluh ke kawasan air
12-Suka mengilat secara berkumpulan dan setempat

Joran tidak sesuai, berkumpul dan membuat bising

13-Makan sambil mengilat sotong
14-Menggunakan jig bersaiz besar dengan warna tidak sesuai
15-Tali kerap kusut dan lain-lain lagi

Pemancing mahir sukakan kawasan yang sunyi dan jauh dari
gangguan
yang boleh mejauhkan sotong dari pantai.

Abe Din sangat mengalu-alukan kehadiran pemancing baru bagi memeriahkan lagi dunia pancingan sotong. Pemancing baru perlu banyak bertanya dan belajar. Padang pancing sotong adalah satu tempat awam yang perlu dikongsi bersama. Elakkan dari sikap angkuh dan terlalu mementingkan diri kerana dibimbangi akan menimbulkan situasi yang tidak diingini.

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin memberikan beberapa tips kepada pemancing baru dalam mencari pengalaman sambil menanam sikap berkongsi padang pancing. Beberpa perkara utama yang Abe Din senaraikan ini perlu dielakkan :

1-Menyuluh-yuluh dan bermain dengan cahaya lampu.
Baru-baru ini Abe Din berkesempatan melawat sebuah padang pancing sotong. Ketika sedang mengilat datang beberapa anak muda dengan riuh-rendah sambil menyuluh di merata-rata tempat tanpa memikirkan pengilat yang sedang mengilat di kawasan berkenaan. Lebih malang lagi, setiap kali mendapat sotong mereka akan menyuluh ke arah sotong dan tuannya sehinggalah sotong dinaikkan. Ada juga yang mengilat denganl membuka lampu sambil menyuluh pergerakan jig.

Apa yang perlu anda tahu ? : Sotong mabang bersaiz besar tidak menyukai kehadiran cahaya lampu rawak. Setiap kali sotong besar dinaikkan kerapkali pasangannya akan mengikut dari arah belakang.

2-Bergerak ke sana ke mari dan bermain-main air
Apa yang perlu anda tahu ? : Sotong dapat mengesan bayang pergerakan dari arah batuan atau pantai terutamanya ketika bulan terang dan air laut jernih. Sotong yang terkejut selalunya akan bergerak menjauhi rangsangan yang berlaku. Akibatnya pengilat perlu membaling jauh untuk mendapatkan sotong. Sotong kerapkali menyambar jig dalam kedudukan yang jauh. Jika ini berlaku, ia menunjukkan bahawa sotong telah mengesan kehadiran manusia.

3-Menyilang tali pengilat lain
Memancing ketika waktu malam memerlukan kemahiran yang tinggi. Dengan latihan yang konsisten, seseorang pemancing akan mahir dengan situasi pancingan malam. Pemancing perlu mengelak dari membaling jig secara rambang. Perhatikan dahulu kedudukan tali pancing pengilat bersebelahan sebelum jig dibaling.

Apa yang perlu anda tahu ? : Dua tali yang bersentuhan akan memudahkan tali bersimpul dengan mata kail jig. Keadaan akan bertambah rumit jika salah seorang pengilat menggunakan tali benang sulam. Banyak masa diperlukan bagi mengurai kekusutan berkenaan. Masalah juga akan berlaku jika salah satu pancing disambar sotong. Lebih teruk lagi jika sotong yang menyambar jig, bersaiz besar. Risiko terlepas adalah tinggi.

4-Balingan rambang
Balingan rambang dan tidak berhati-hati boleh menyebabkan kecederaan kepada pemancing bersebelahan. Jig yang tajam mudah tersangkut pada baju, beg, kulit tubuh, bahagian muka serta bahagian lain tubuh serta struktur sekeliling.

Apa yang ada perlu tahu ? : Jika kejadian tidak diingini terjadi, aktiviti pemancing akan terganggu. Ia juga akan menyusahkan pengilat-pengilat sotong yang lain.

Diharapkan tip-tip yang diberi diambil perhatian serius oleh pemancing baru. Malang tidak berbau. Jika anda perlu melakukan perkara-perkara berkenaan, cuba meminimakan kesannya kepada pemancing-pemancing di kawasan berkenaan. Mungkin selama ini, anda tidak tahu apa yang anda lakukan di padang pancing menyakitkan hati pemancing lain. Semoga pengalaman akan mematangkan anda untuk belajar memberi dan menerima. Selamat berpuasa-Abe Din

No comments:

Post a Comment