Pages

13 June 2010

Pemilihan Joran

Pemilihan joran sangat berkait rapat dengan lokasi pancingan dan berat candat atau jig. Pemilihan joran juga perlu disesuaikan dengan kekili dan tali pancing.

Pancingan di unjam

Pemancing tempatan lebih selesa menggunakan 'serek' atau 'cetong'. Serek diperbuat daripada plastik seakan-akan roda serta mempunyai alur di bahagian tengahnya bagi tujuan melilit tali pancing. Serek boleh dibeli di kedai-kedai pancing dalam pelbagai saiz. Saiz yang berbeza akan menentukan panjang dan diameter tali yang boleh digunakan. Selalunya untuk memancing sotong mabang, serek sederhana besar sudah mencukupi dipadankan dengan tali murah. Serek tidak mempunyai brek atau penahan seperti kekili pancing. Pemancing perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menghulur dan menarik tali. Jika tali ditahan, sotong pasti akan terlepas. Secara peribadi, saya lebih suka menggunakan serek kerana ia akan membantu kita mengetahui kekuatan sebenar sotong serta mengganggar saiz sotong yang dipancing.

Sedikit kesulitan akan timbul jika anda tidak pernah menggunakan serek

Jika anda memilih untuk menggunakan joran, pilihlah joran aksi sederhana yang lebih keras. Joran ikan juga boleh digunakan kerana pancingan sotong mabang di kawasan unjam tidak memerlukan henjutan yang kerap. Joran yang digunakan di unjam agak berbeza dengan joran yang digunakan di pesisir pantai. Anda perlu tahu bahawa sotong mabang di unjam sangat kuat tentangannya kerana saiznya besar dan gemuk. Saiz biasa sotong yang ditawan di unjam selalunya melebihi 1 kg seekor. Kadang-kadang sotong bersaiz kecil juga menyambar jig tetapi agak kurang.

Semakin jauh kedudukan unjam dari pantai, semakin besar saiz mabang yang menghuni kawasan berkenaan. Joran tidak banyak mendatangkan kesulitan ketika berlawan dengan mabang jika drag kekili dilaras dengan betul. Jika mabang memegang jig, angkat joran dalam kedudukan meninggi sambil melaras drag pada kekuatan yang bersesuaian. Disebabkan bot selalu diletakkan pada posisi atas unjam atau melawan arus laut maka panjang joran perlu bersesuaian. Jika saiz bot kecil, joran yang lebih pendek sepatutnya menjadi pilihan agar tidak mengganggu keselesaan pemancing-pemancing yang lain.
Aksi ini tidak sesuai bagi sotong mabang kerana ia lebih besar dan berat

Pancingan pesisir pantai
Pancingan pesisir pantai merangkumi pancingan berdekatan pulau, batuan dan pantai. Selalunya lokasi ini tidaklah terlalu dalam. Oleh yang demikian penggunaan serek adalah kurang praktikal. Ada juga pemancing di Kuantan yang menggunakan serek bagi memancing sotong dari tepi batu tambak. Tentunya lontaran candat agak sukar dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

Kebiasaannya pancingan pesisir pantai menggunakan joran aksi sederhana dengan panjang diantara 6 hingga 9 kaki. Joran yang digunakan untuk pancingan di kawasan pesisir pantai perlu ringan kerana henjutan adalah sesuatu yang lumrah bagi pancingan di kawasan ini. Jika joran terlalu berat, tangan dan lengan anda akan sakit disebabkan kekerapan melakukan henjutan. Panjang joran banyak dipengaruhi oleh lokasi pancingan. Jika kawasan balingan dan air agak jauh, joran sepanjang 9 kaki adalah lebih sesuai. Balingan candat dari atas bot ke tepi sesuai menggunakan joran sepanjang 6 kaki. Panjang joran yang selalu digunakan oleh pengilat sotong pesisir pantai ialah 7 kaki.

Pengilat profesional selalunya menggunakan joran berjenama yang dikhaskan untuk pancingan sotong. Joran-joran berkenaan dilabelkan dengan berat jig dan tali yang sesuai bagi panduan pengguna. Harga joran berkenaan adalah di antara RM200 hingga RM400. Bagi pemancing biasa, cukup sekadar menggunakan joran-joran yang lebih murah dengan harga di antara RM100 hingga RM200. Saya sendiri mengunakan joran-joran biasa yang tidak pernah mengecewakan. Berikut adalah joran-joran yang biasa saya gunakan untuk pancingan sotong di kawasan pesisir pantai.

1-Lemax TIGER KING SWB 1100-60MH panjang 6 kaki
2-Relix Bass Star panjang 7 kaki
3-OHUNKO BLITZ-2188-702 panjang 7 kaki
4-Egimasa RFEM742 panjang 7 kaki

Egimasa RFEM742 panjang 7 kaki (warna merah) yang baru saya beli


Relix Bass Star panjang 7 kaki yang telah berkhidmat dengan cemerlang hampir setahun

Sebagai pemancing dan pengilat sotong anda perlu memahami tujuan anda memancing. Ada pemancing yang menjadikan aktiviti mengilat ini sebagai hobi dan rekreasi sahaja atau mencari rezeki. Anda perlu pandai menyesuaikan pemilihan joran dan tujuan anda. Secara umumnya sotong mabang tidak memilih jenis joran. Apa yang penting joran anda mempunyai daya lenturan di hujung dan drag kekili anda berfungsi dengan baik-Abe Din.

2 comments:

  1. Assalammualaikum...abe din,

    tips yang baik utk memancing .. cara memilih joran..

    terima kasih.

    mselim3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima datang sini... moga saudara mendapat manfaatnya.

      Delete