Pages

29 May 2010

Trip Malam 28 Mei

Sotong Torok Lebih Sedap Daripada Sotong Mabang
Sekadar Gambar hiasan

Pada malam 28 Mei 2010, lebih kurang pukul 8.30 pm, saya mula ke port sotong di Petronas. Setelah sampai lebih kurang 5 minit seorang lagi rakan Sotong Mania tiba ke lokasi pada ketika itu saya telah berjaya mencandat 2 ekor sotong mabang saiz remaja.

Ramai pemancing telah berada sejak petang di kawasan batu tambak berkenaan. Ada yang memancing ikan dan mengilat sotong. Lebih kurang pukul 11.00 malam semua pemancing telah pulang kerana hasil kurang memberangsangkan. Ketika itu saya yang menduduki lokasi hujung batu tambak arah utara sudah berjaya menaikkan sotong sebanyak 6 ekor termasuk jarum dan seekor torak.

Saya dan rakan terus mengilat sehingga pukul 3.00 pagi. Awan hitam dan kilat dari sebelah selatan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk kembali ke kawasan pantai. Ketika itu saya telahpun menaikkan sebanyak 14 ekor sotong termasuk 3 ekor sotong torak lebih kurang 2.5 jengkal.Memandangkan awan dan kilat semakin menjauh, kami mengambil keputusan untuk cuba mengilat di kawasan pantai arah selatan. Rakan saya berjaya menaikkan seekor sotong mabang saiz remaja. Tidak lama kemudian pancing saya dihenjut dan dibenam keras dalam jarak lebih kurang 15 meter. Saya terus berdiri sambil menahan joran yang semakin melendut dan tali ditarik keluar dari kekili. Sotong masih mampu menarik dan menghenjut sehingga ke pesisir pantai. Kami agak terkejut kerana sotong yang memegang candat ialah sotong torak sepanjang 3.5 jengkal.

Siapa Sangka Torak Menyerang Hingga ke Pesisir Pantai
Sekadar Gambar Hiasan

Beberapa balingan berikutnya sekali lagi mendapat tarikan keras berdekatan dengan tepi pantai. Saya beranggapan candat tersangkut batu. Dengan sekali henjutan, seekor lagi sotong torak bersaiz lebih daripada 2 jengkal terdampar di pantai. Kami agak pelik kerana sotong torak selalunya dipancing di laut lepas. Malam itu saya mendapat 17 ekor sotong (5 mabang, 7 jejarum dan 5 torak). Rakan saya memperolehi 7 ekor sotong. Jumlah keseluruhan lebih kurang 24 ekor. Kami pulang menjelang pukul 5 pagi.

Peristiwa sotong torak membedal jig candat di pesisir pantai adalah sesuatu yang jarang berlaku. Berdasarkan pengalaman saya, torak yang menghampiri kawasan pantai atau batu untuk mencari makanan selalunya berpasangan. Apabila jig saya ditarik dalam jarak 15 meter, sotong kedua mengikut rakannya hingga ke kawasan pantai. Sebaik balingan berikutnya dilakukan, kemungkinan sotong yang sedang keliru mencari rakannya yang hilang secara tiba-tiba akan terus menangkap jig yang melalui kawasannya.

Bagi pemancing yang mahir, mereka tidak akan membuat banyak pergerakan apabila menaikkan sotong bersaiz besar samada torak atau mabang. Pergerakan yang minima akan memudahkan proses menjerat sotong kedua. Jika pemancing bangun dan banyak bergerak, sotong kedua yang mengikut sotong pertama akan melarikan diri ke kawasan tengah laut. Jika keadaan ini berlaku, peluang untuk mendapatkan sotong kedua adalah tipis.

Jig Keramat-Klon Yamashita

Sesuatu yang menarik pada trip berkenaan ialah penggunaan jig murah yang kami namakan jig klon yamashita. Hasil daripada jig ini mengatasi hasil jig yang mahal seperti golden bait (yamashita). Saya hanya memperolehi 2 ekor sotong mabang menggunakan golden bait berharga RM32. Jig klon yang digunakan hanya berharga RM11 bagi 3 jig. Apa yang penting di sini, pemancing dan pencandat perlu membuat beberapa percubaan bagi menguji sesutu jig yang sesuai dengan anda. Dalam post berikutnya, saya akan menerangkan bagaimana untuk melakukan beberapa pengubahsuaian pada jig murah untuk menambahkan lagi nafsu makan sotong-Abe Din

4 comments:

  1. salam abe din nak tanya adakah sotong torak ni bermusim ,di kawasan penang ni agak kurang sotong torak terutama di kawasan karang kedalaman 30-50 m .tkasih

    ReplyDelete
  2. Kalau di Terengganu, sotong ni bermusim.. banyak dalam bulan tertentu je... datang ke pesisir untuk bertelur. Di pantai timur.. saiz torak memang besar2 dan panjang..kalau kena pada musim.. boleh cecah ratusan kilo semalaman mencandat.

    ReplyDelete
  3. Salam Abe Din,

    Utk jig usang yg kain fabrik dah koyak/lusuh, boleh ganti fabrik ke? Dimana ade jual ye?
    Saya xnampak lagi dikedai2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam tuan, Memang boleh dan sepatutnya ditukar. Di Malaysia setakat ini belum ada yang jual. Secara online memang ada. Sebagai altenatif, tuan boleh gunakan kain biasa yang nipis dan ringan dengan 50% ke atas penembusan cahaya. Boleh didapati di kedai-kedai kain. Beli dalam meter. Sebaiknya kain yang berkilat dan berbenang emas.

      Delete