
Ancaman Todak
Jangan bermain-main dengan lampu. Lampu suluh yang disuluh di merata-rata boleh mengejutkan ikan todak. Kebiasaannya ikan todak berada dekat dengan permukaan air. Apabila terkejut ia akan berenang dengan laju dan melompat di atas permukaan air. Jika nasib tidak baik, muncung tajamnya akan mencucuk kita. Saiz ikan todak di laut lebih besar daripada saiz ikan todak di sungai. Ikan todak juga suka berkejaran dan memburu makanan dengan membuat lompatan dan renangan yang laju. Kes tikaman todak pernah berlaku beberapa tahun lepas di Kelantan. Tikaman ikan todak berkenaan telah menyebabkan kehilangan nyawa manusia.
Spesies AsingApabila lampu bot dipasang bagi tujuan mencandat, banyak haiwan-haiwan kecil yang akan timbul menghampiri lampu. Ada diantaranya berwarna-warni dan cukup cantik. Anda dinasihatkan agar tidak menangkap atau memegangnya walaupun saiznya kecil. Kemungkinan, haiwan berkenaan sangat bahaya. Antara haiwan yang biasa timbul ialah "ulat bulu laut" yang cukup berbisa.

Ular laut akan timbul dipermukaan laut apabila arus laut semakin perlahan atau mati. Ular ini akan timbul bagi mencari ikan dan sotong. Ular laut seringkali terkena pancing candat yang menggunakan umpan ikan (candat umpan). Pastikan yang mengena pancing anda adalah sotong sebelum anda memegang atau mengangkatnya ke dalam bot.
Ribut dan Kilat
Apabila berlaku perubahan monsun, hujan ribut dan kilat boleh berlaku secara tiba-tiba. Jika ribut datang dari arah laut, tekong akan mudah mengesannya. Jika ribut datang dari arah daratan, sudah tentu bot mencandat tidak sempat untuk mengelak. Ada sesetengah tekong yang sudah biasa dengan ribut mengambil keputusan untuk tidak beralih dengan alasan tempoh ribut yang singkat. Bagi pemancing yang tidak biasa tentunya akan menimbulkan keadaan cemas dan takut. Ada juga tekong bot yang berlindung di kawasan pulau yang lebih tenang sebelum kembali semula ke lokasi mencandat selepas ribut berlalu.


Sebelum ke laut adalah baik jika kita berdoa serta memohon kepada-Nya agar kita diselamatkan dari sebarang musibah dan bahaya-Abe Din.
No comments:
Post a Comment