Pages

24 March 2018

Batik Squid Jig



Salam kunjungan kepada semua sahabat maya. Pada post kali ini, ambe ingin memperkenalkan keluaran jig baru yang lebih ekonomi. Jig ini sesuai digunakan bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia eging sotong.


Corak warna dan kualiti kain yang menarik

Setakat tinjuan ambe di kedai pancing terdekat terdapat 5 versi warna corak dengan dua saiz 2.0 serta 2.5. Harga pasaran sekitar RM7.00 bagi seekor jig. Nama diberi Batik Squid Jig jenama Bakau. Pada kotak terdapat tulisan Jepun yang menggambarkan bahan dan pemasangan dilakukan di luar negara. Walaupun bertulisan Jepun, tidak mustahil reka bentuk dan pemasangan dilakukan di China. Dari pengalaman ambe, jig ini mempunyai banyak persamaan dengan jig-jig keluaran syarikat China.

Kilang-kilang China banyak menghasilkan jig sebegini 

Perkongsian ambe kali ini sesuai dibaca oleh mereka yang mementingkan penjimatan kos dan kualiti yang baik. Orang kaya tak payah baca... pi main jauh-jauh. Orang yang mementingkan jenama dan gaya memang tak pakai benda-benda murah ni. Bagi nelayan tradisional dan individu yang mementingkan teknik memujuk sangat sesuai memilih jig ini sebagai bahan eksperimen.

Setakat ini, ambe belum lagi mencuba keberkesanannya di lapangan. Walaupun begitu, bedasarkan pengalaman ambe... set jig ini mungkin ada yang menyengat dan mampu memberi saingan dengan jig-jig yang mahal. Jika anda kreatif... sedikit pengubahsuaian pasti mampu menjadikan jig ini sebagai jig killer yang mesti dimiliki kaki eging peringkat bawah dan pertengahan.

 Mata jig lebih panjang pada saiz 2.5


Dari pengamatan ambe juga, mungkin jig ini akan jadi pilihan ramai dan semestinya harga akan meningkat sedikit demi sedikit. Jadi, dapatkan koleksi anda dan cuba di lapangan. Selamat bereging dan jimatkan kos eging anda. Sudah tiba masanya kita mengubah minda bahawa jig mahal itu paling baik. Datuk nenek kita yang bertahun-tahun menjadi nelayan hanya menggunakan jig-jig yang daif, murah dan hodoh. Rezeki mereka memang tak dikalahkan. Lupakan tentang glamour barang mahal, tumpukan kepada teknik permainan

Ikatan benang yang tidak begitu kemas.
Sesuai dengan harganya, Anda dinasihatkan
meletak gam di bahagian ini sebelum jig digunakan

Corak yang boleh tahan juga

Analogi yang mudah untuk difahami, gadis yang cantik kerana menggunakan kosmetik mahal sebenarnya tidak cantik jika tidak memakai kosmetik berkenaan. Gadis kampung yang tidak bersolek dan jika guna kosmetik pun murah dan dibuat sendiri sebenarnya lebih cantik dan menawan. Bagi kaki eging, mereka yang bergantung kepada perlatan-peralatan mahal untuk mendapatkan sotong sebenarnya kurang berkemahiran berbanding nelayan tempatan yang kreatif dan menggunakan alatan ala kadar sebenarnya yang sangat berkemahiran. Seorang gadis benar-benar cantik jika tidak menggunakan alat solek atau jika digunakan sangat minima. Eginger yang tidak bergantung kepada alatan mahal pula sebenarnya adalah seorang yang sangat mahir. 

Untuk mengubah minda individu yang mementingkan glamour memang sukar kerana mereka ada pandangan masing-masing yang mereka rasakan betul. Tidak salah menggunakan barangan mahal tetapi berpada-pada. Ukur baju di badan sendiri adalah lebih baik. Ketika ekonomi tidak menentu dan nilai mata wang negara yang jatuh, lebih berbaloi memilih barangan yang lebih ekonomi dan murah. Kita mesti membezakan eging ini sebagai rekreasi atau mencari rezeki. Rekreasi memang mementingkan peralatan dan sudah semesti ahlinya berlumba-lumba mendapatkan item-item yang berkualiti dan mahal. Tujuannya hanya satu, supaya diri diterima dalam sesuatu kumpulan.

Jika ditakdirkan anda terdampar di pulau, anda membina peralatan eging sendiri menggunakan bahan pulau yang terhad dan anda masih berjaya menangkap sotong, andalah seorang juara yang berkemahiran tinggi. Jika kita rujuk sejarah penciptaan Eging di Jepun, bahan asasnya sangat ringkas. Ketika itu teknologi masih rendah. Jig dibuat menggunakan batang pokok, dawai, api dan tali yang bukan tangsi. Hasilnya sangat menarik dan sangat berkesan pada ketika itu.

Ubah minda. Tumpukan kepada permainan, gaya dan teknik yang sesuai dengan peralatan ala kadar kita. Bina teknik, kaedah-kaedah baru dan kongsi ilmu yang ada. Bukti telah wujud, hipotesis telah dibuktikan tahun lepas, peralatan bukan penentu kuantiti dan kualiti tangkapan. Bukti juga telah lama ditunjukkan oleh nelayan tua tradisional di perkampungan nelayan. Bukan sahaja di Pantai Barat, Sabah, Jepun di zaman dahulu, Filipina, dan Pulau Jawa, Indonesia adalah pakar dalam membina alatan eging sendiri yang lebih menjimatkan kos.

*Isu berikutnya berkaitan cara menambah interaktif Batik Squid Jig.


Fahami dengan hati yang ikhlas, anda akan mendapatkan ilmunya. Jika anda suka mencari salah orang, anda akan jumpa banyak kesalahan. Malu bertanya, sesat jalan. Mendongak ke langit, kaki tersadung. Maaf dipohon jika ada salah dan silap. Semoga berjumpa lagi -Abe Din

20 March 2018

Sotong Pertama 2018


Salam untuk semua. Perkongsian sotong pertama yang ambe tangkap di Kemasik. Saiz boleh tahan. Tangkapan waktu malam sekitar jam 9 malam. Umpan Yamashita warna biru saiz 2.0.

Kunjungan pertama: 7 Ekor
Kunjungan kedua : 2 ekor




Tahun Suram Eging 2017

Salam untuk semua pengunjung sotonglaut. Terlebih dahulu, ambe memohon berbanyak kemaafan di atas pemberhentian posting ke blog sejak hampir 9 bulan yang lalu. Ramai yang menghantar E-mail dan text mesej bertanya tentang post terkini. Umum masih tidak mengetahui tentang duduk perkara yang sebenarnya. Pada post kali ini, ambe akan memberi sedikit penjelasan berkaitan masalah yang berlaku. 

  
 Tahun suram dunia eging

Sebenarnya, ambe terikat dengan komitmen terhadap group yang ditubuhkan. Syarat telah menyatakan tiada sebarang posting ke media sosial yang membenarkan imej berlatar belakang kawasan eging. Bahan yang memenuhi syarat agak terhad dan ambe hanya simpan sebagai koleksi peribadi sahaja. 

Walaupun ambe boleh membuat posting yang lain tetapi ambe rasa bertanggungjawab untuk memberi lebih komitmen kepada group yang ditubuhkan. Ambe sedar ada sedikit rasa kerugian kerana tidak dapat berkongsi dengan semua pengunjung seperti sebelum ini. Selepas penulisan ini, blog sotonglaut akan diaktifkan seperti biasa.

Group telah dibubarkan di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan dan group baru telah ditubuhkan. Group terbaru tidak mempunyai syarat yang ditetapkan secara terperinci. Ambe akan melengkapkan tugas untuk memberi sebanyak mungkin maklumat berkaitan eging sotong kepada umum.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, tuhan telah tunjukkan beberapa hikmah di atas tindakan yang diambil. Ambe mula mengenali ramai orang dengan lebih dekat. Rupanya di dalam tidak serupa dengan di luar. Ramai watak dan perangai yang ambe jumpa. Ada pelbagai watak yang baik dan buruk. Ambe tidak bercadang untuk bercerita di sini, cukup sekadar ianya menjadi sempadan dan panduan bagi ambe. Ambe harapkan mereka akan success dengan bidang mereka.


Orang kita kata, bagi betis hendak peha
atau Tikam belakang
Mungkin lebih sesuai

Dunia eging di Malaysia masih baru dan kecil. Perlu diperkasakan. Kadang-kadang ambe rasa macam nak berhenti sahaja dari semua ini tetapi apabila teringatkan kata Jack Ma, rasa macam tak sanggup. Eging dah jadi sebahagian daripada ambe. Ambe mesti kembangkan ke peringkat yang lebih baik. Masuk dalam group yang ada tidak banyak membantu. Perkembangannya sangat perlahan dan beredar secara dalaman sahaja. Ambe perlu bebas untuk meneruskan cita-cita mendidik, memaju dan memperkenalkan eging seperti yang berlaku di negara luar. Ambe tidak boleh paksa orang lain untuk bersama-sama. Ambe perlu lakukan walaupun seorang diri.

" Tidak ada putih atau hitam, Sekiranya kamu berkata "Tutup Laman Itu" 
ia tidak adil kepada penjual yang ada. Kami perlu melindungi mereka 
dan bukan fokus kepada perniagaan berjenama sahaja. Kita 
perlu mengambil berat tentang semua orang dan hak mereka"
Forbes, 4 November 2015

Saya perlu adil kepada orang baik di luar sana. Sebelum menutup post kali ini ambe tinggalkan beberapa rangkap pantun bagi renungan kita bersama. Panjang umur kita berjumpa lagi di ruang maya. Salah silap ambe mohon seribu keampunan. -Abe Din


Sotong datang hingga ke jeti,
Sambil berenang lalu di tepi;
Sepatah kias tidak mengerti,
Hati tertutup jiwanya mati. 

Sotong gila datang menyerang,
Langkah gaya macam pencuri;
Adat mencandat di tempat orang,
Jangan biadap menyilang tali.

Tanah ini memang bertuan,
Bersangka baik mencari rezeki;
Jika sumbang langkahku tuan,
Ajarkan aku adat dan budi.