Pages

03 May 2017

Siri 2: Jig Mata Hantu

Sambungan...

 Jig mata hantu yang telah aku siapkan

Selepas mata jig asal ditanggalkan, panaskan besi yang mempunyai saiz yang sesuai dengan tali dan mata yang ingin digunakan. Cucuk besi yang panas merentasi mata sehingga tembus ke sebelah mata yang satu lagi. Gunakan bekas mata yang dicabut sebagai panduan untuk menebuk. Perlu diingat mata yang digunakan perlu sesuai dengan tali dan lubang yang ditebuk bagi mendapatkan hasil yang baik. 



 Pandangan dalam gelap (atas)

Pandangan dalam gelap (bawah)

Perbezaan jig yang belum dan sudah disolek
 
Potong tali lebih kurang sejengkal dan buat simpulan pada salah satu hujung tali. Masukkan mata ke dalam tali dan cucuk hujung tali yang satu lagi ke dalam lubang mata. Masukkan mata kedua, buat simpulan kedua dan kemaskan simpulan. Korang boleh memotong rapat atau membiarkan sedikit juraian tali pada hujung kedua-dua belah mata.

Tinggalkan sedikit juraian
lebih baik jika tali lembut digunakan
Tali luminous mampu beri kesan berbeza

Pemilihan luminous beads perlu mengikut kesesuain warna badan jig. Korang bebas memilih warna yang digemari. Terdapat pelbagai warna beads di pasaran seperti putih, hijau, merah dan kuning. Bagi pemilihan tali pengikat, tali yang sesuai termasuklah tali tangsi, tali reket badminton, tali fly fishing dan pelbagai lagi tali yang bersifat kenyal. 

Tali disyorkan dari jenis yang  lembut dan berwarna gelap. Kelembutan tali diperlukan kerana semasa jig ditarik, tali yang lembut akan mudah berayun dan warnanya yang gelap akan menjadikan seolah-olah mata lumonius berkenaan berkelip dan bergerak apabila tali berayun berulang-alik melepasi luminous beads.


Pelbagai jenama Luminous Bean / Luminous Beads
terdapat dalam pasaran dengan harga yang murah

Pandangn yang lebih jelas

Lepas ini, bolehlah korang cari balik jig-jig lama dan berikan nafas baru agar jig berkenaan dapat berfungsi semula. Aku harapkan perkongsian kali ini akan memberi manfaat kepada kita. Semua yang baik datang dari Allah yang maha esa, sebarang kelemahan datang dari diri aku sendiri. Salah silap harap dimaafkan. Semasa artikel ini ditulis, aku masih berkelubung demam dah dua tiga hari. Doakan semoga aku cepat sembuh. Tunggu siri 3: ubahsuai kaedah yang sama pada jig torak. Hingga berjumpa lagi-Abe Din


Siri 1: Jig Mata Hantu

Salam kunjungan untuk semua sahabat PEN dan sabahat maya sotonglaut. Pada kesempatan kali ini, aku sekali lagi muncul untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang tuhan anugerah bagi manfaat kita semua. Perkhabaran yang diterima, ramai juga ahli PEN sudah pun mencatat rekod peribadi tangkapan sotong bagi tahun 2017. Dari statistik PEN yang dikumpul setakat ini, hasil tangkapan masih lagi tidak menentu di perairan Terengganu. Semoga rezeki akan lebih baik selepas ini.

Pada kali ini aku ingin berkongsi sedikit maklumat bagi mengubahsuai jig lama menjadi jig yang disukai sang lembut. Dari beberapa ujian yang aku lakukan, jig ini sememangnya mampu menipu sang jarum dan mabang. Kebekersanan jig lama mampu dikembalikan menggunakan teknik ubahsuai ini.

Aku namakan ubahsuai kali ini sebagai "mata hantu" kerana fokus utama ubahsuai adalah pada bahagian mata. Bahagian mata jig udang memainkan peranan penting bagi menarik perhatian sotong. Jika kita masih ingat, jig Yamashita pada peringkat awal dihasilkan dengan padanan mata hitam jig yang bergerak-gerak. Jig-jig moden ketika ini pula dihasilkan lebih kepada pantulan cahaya. Bahan yang digunakan termasuklah bahan luminous, dan cebisan plastik bercorak yang dilapisi dengan gam acrylic bagi menampakkan fungsi 3D.



Mata jig moden dilapisi dengan arcylic yang statik. Kepentingan pergerakan mata hitam jig telah lama disedari oleh Yamashita yang menggunakan konsep gerakan mata pada jig-jig keluaran pertama syarikat berkenaan. Seperti diketahui umum, mata ikan, sotong dan udang adalah jenis mata yang boleh bergerak dan boleh digoyangkan. Pengeluar jig memang sukar untuk meniru keadaan semulajadi itu. Yamashita sebagai syarikat yang mempunyai R&D yang kukuh merupakan antara syarikat yang mula-mula mempelopori kaedah ini.

Bagi proses pembuatan jig mata hantu, mata jig arcylic asal perlu dibuang terlebih dahulu menggunakan pisau atau pemutar skru bersaiz kecil. Berhati-hati agar kain jig tidak terkoyak. Bahan yang perlu korang sediakan terlebih dahulu termasuklah lilin, pemetik api, besi, tali tangsi dan luminous beads....bersambung.

Zul: Sotong 1 Mei

Salam kunjungan untuk semua sahabat maya. Selamat menyambut hari pekerja dan selamat bercuti untuk semua. Berita dari Zul dengan tangkapan 1 Mei. Hasil tangkapan sebanyak 2 ekor sotong saiz sederhana.

Lokasi tangkapan: Kampung Seberang Pintasan, Dungun
Jig : Asuka 2.5 Hijau
Masa tangkapan : 10.10 malam

 Saiz yang jauh berbeza dengan tuannya

 Bolehlah nak buat lauk

 Jig Asuka yang diubahsuai: 
sangat menggoda si sotong