PELAWAT DIDAHULUKAN RAKAN DIUTAMAKAN

"PAPARAN TERBAIK DENGAN MOZILLA" ....... "Selamat datang ke http://sotonglaut.blogspot.com/"....."Pusat maklumat yang membincangkan secara konsisten berkaitan sotong serta teknik pancingan sotong"---------“Semoga anda mendapat sesuatu yang berguna di sini..........JANGAN LUPA KONGSI DENGAN RAKAN YANG MEMERLUKAN...Copy-paste, link, cetak, share takde masalah... jangan niaga sudah.......... Thanks follower semua"

.

.

27 April 2011

Jangan Tamak !

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan menyambung semula penerangan berkaitan teknik-teknik mencandat  sotong. Tumpuan Abe Din pada kali ini ialah memancing sotong mabang di kawasan batuan atau daratan.

Pada kebiasaannya, pencandat sotong mabang di kawasan daratan duduk sebelah menyebelah dan berdekatan antara satu sama lain (selalunya teman rapat le).. maka, apabila salah seorang bertarung dengan sotong maka ia mudah diketahui oleh rakan lain walaupun dalam keadaan gelap.

Kalau asyik orang yang sama sahaja yang menaikkan sotong, maka kadang-kala ia akan menimbulkan rasa iri hati di kalangan teman yang lain. Kalau naik seekor dua boleh kira lagi... tapi kalau lepas dia... dia.. kemudian dia lagi dan dia... dan dia... boleh tercabar juga kejantanan.

Maka mula le nak main jahat. Rakan sebelah dah mula keluar tanduk... dengki le tu... Mungkin rezekinya disebabkan oleh kemahirannya mencandat, jenis candat yang digunakan atau memang sotong banyak berkumpul di situ... patutlah asyik dia je yang dapat. Seperti yang diketahui, jika seekor sotong besar dinaikkan maka seekor lagi sotong yang besar akan mengekori rakannya dari belakang. Jika candat dibaling ke arah berkenaan, maka peluang untuk mendapatkan sotong kedua memang cerah.

Walaupun semua pencandat cuba untuk memikat sotong dengan pilihan jig dan gaya tarian candat yang tersendiri... belum tentu mampu memikat si sotong mabang. Sepatutnya pencandat jangan kecewa jika gagal menaikkan sotong, tetapi perbaiki teknik mencandat. Tentunya ilmu mencandat itu perlu dicari agar kita tidak kecewa di masa akan datang.

Cuba lihat situasi di bawah (situasi A). Sepatutnya pencandat mengambil posisi yang betul dengan membaling candat ke arah hadapan. Jika arus bergerak ke kiri atau ke kanan, maka semua pencandat perlu sama-sama mengikut arah yang tidak memintas tali pencandat lain.
Situasi B pula menunjukkan keadaan di mana, dua orang pencandatA dan B telah tumbuh tanduk dan naik minyak. Kemungkinan pencandat C sedang bertarung dengan sotong. Pencandat A dan B tanpa membuang masa terus membaling candat ke arah pencandat C.
Tujuannya hanya satu iaitu untuk memikat sotong kedua yang mengikuti sotong pertama. Walaupun dalam suasana yang gelap, pencandat masih boleh mendengar bunyi semburan sotong yang sedang bertarung kerana tersangkut pada candat.

Adalah dibimbangi balingan pencandat yang merentang tali pencandat C boleh menyebabkan masalah candat tersangkut pada tali pancing rakan berkenaan. Sotong pencandat C boleh terlepas jika tali tersangkut dan bersilang. Kadang-kala banyak masa terbuang hanya untuk meleraikan tali dan candat yang tersangkut.

Semasa aktiviti mencandat sotong, perlu ada sikap bertimbang rasa agar semua pencandat dapat membawa pulang hasil tangkapan tanpa perlu bermasam muka. Jangan berhasad dengki dan jangan tamak. Nilai tindakan kita.. adakah ia disenangi oleh rakan pencandat lain?

Sekian untuk kali ini... selamat mencandat
Abe Din.
Read more >>

25 April 2011

Sotong Di Laut


      Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan menyambung semula penerangan berkaitan teknik-teknik mencandat  sotong torak. 

Sebelum itu, Abe Din ingin membuat sedikit pengumuman kepada siapa sahaja yang bercadang untuk menyertai fiesta mencandat sotong anjuran kerajaan negeri Terengganu bersama sebuah akhbar harian. Sila pastikan anda mendaftar segera kerana tarikh tutup semakin hampir. Abe Din bukan nak promosi... takde kena mengena pun, cuma Abe Din sangat menggalakkan pencandat baru agar menyertai trip mencandat sebegini yang lebih terjamin soal keselamatannya.

Kepada mereka yang sudah mendaftar, sekalung tahniah Abe Din ucapkan. Buatlah persediaan yang sewajarnya sebelum anda bertolak ke laut lepas. Persediaan yang dimaksudkan termasuklah dari segi keperluan material, fizikal dan mental termasuk juga keperluan ilmu mencandat itu sendiri.

Jangan cari Abe Din di sana pula kerana Abe Din tidak menyertai fiesta berkenaan. Abe Din dah kerap sangat ke laut. Tanpa fiesta pun Abe Din tetap mencari masa untuk melepaskan rindu pada laut.

Kembali semula kepada isu penting hari ini iaitu teknik mencandat sotong torak. Abe Din akan menerangkan teknik pancingan di atas bot yang disertai oleh ramai pencandat. Dalam kawasan yang terhad di tengah laut, kita perlu saling bertolak ansur dan bertimbang rasa. Jangan sesekali mementingkan diri kerana apabila ditimpa kesusahan rakan-rakan  yang berada di dalam bot berkenaan merupakan orang pertama yang akan datang membantu kita.

Semua pencandat perlu mengamalkan etika yang baik. Semua peserta berhak untuk mencandat dengan selesa kecuali kalau sudah mabuk laut. Jika ada pertandingan sekalipun, jalankan dengan sihat tanpa perasaan hasad dan dengki. Kena ingat sekali lagi... kita berada di tengah laut... Jangan seronok lebih-lebih sangat.. control le sikit.

Bot kecil lebih murah tetapi kurang selesa

Sebelum candat diturunkan ke laut, kenalpasti arah arus laut terlebih dahulu. Pencandat perlu sentiasa peka dengan perubahan arus laut kerana ia kerap berubah-ubah. Jangan beranggapan bahawa arus laut itu sama dengan arah angin.

Apabila arus dikenalpasti, pencandat perlu sedar kedudukan mereka di dalam bot. Pencandat yang pertama perlu menggunakan saiz candat bawah atau batu ladung yang lebih besar dan berat. Begitu juga pencandat kedua dan seterusnya, berat batu ladung sepatutnya semakin berkurang. Paling ideal, pastikan setiap pencandat menggunakan berat batu ladung, saiz tali dan kombinasi ikatan yang sama.

Kita mungkin tidak nampak dan tidak sedar kedudukan candat dan tali kita semasa di dalam laut. Di sini kita perlu belajar untuk menekan sifat keegoan dan kita perlu lebih bertimbang rasa. Situasi di bawah menunjukkan susunan tali pancing yang secara logiknya cukup baik. Apabila semua pencandat sedar akan keperluan ini maka proses mencandat akan menjadi lebih seronok dan menarik.
Situasi kedua pula menunjukkan keadaan di mana candat akhir atau batu ladung tidak dikombinasi dengan baik. Jika perkara seperti ini berlaku, banyak masa terbuang bagi merungkai kekusutan tali di antara pencandat. Sepatutnya masa berkenaan digunakan sebaiknya untuk menaikkan sotong sebanyak mungkin.. Bukan tamak tetapi kita perlu tahu bahawa sotong tidak sentiasa menyambar candat walaupun kadang-kadang kita melihat sotong cukup banyak merempit di bawah bot.

 
Bagi pancandat yang biasa mencandat atau sekurang-kurangnya biasa memancing ikan di laut, tentunya mereka faham apa yang Abe Din ingin sampaikan. Abe Din sangat berharap, agar sifu-sifu yang berada di atas bot tidak berputus asa menurunkan ilmu kepada ahli yang lain terutamanya yang baru hendak mengenali hobi ini.

Setiap tahun, aktiviti mencandat sotong semakin dikenali dan kini telah merentasi aspek-aspek bangsa dan budaya. Sekarang sudah terdapat pencandat-pencandat hardcore dari kalangan wanita... jangan tak caya. Pelancong asing juga kerap mengikut trip mencandat di Terengganu. Jika dilihat dari sudut bangsa pula.. sudah tercapai sasaran 1 Malaysia. Nak beritahu, aktiviti mencandat sotong telahpun memasuki "global market". Jadi kita sebagai rakyat Malaysia.. bila lagi nak cuba?(bagi mereka yang belum le..)

Sekian dahulu, sehingga berjumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

24 April 2011

Candat Torak

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com/

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit panduan kepada semua yang akan melawat Terengganu sepanjang April hingga Jun 2011.


Seperti yang diketahui umum, sotong torak (gambar sebelah yang dijumpai di internet) telah mula menyerang perairan Terengganu sejak akhir Mac lagi. Maka, kaki-kaki sotong bertaraf otai, baru atau tak pernah langsung mencandat sebelum ini mula berkira-kira merancang trip untuk ke Terengganu. Tujuan mereka tentunya mencandat sotong torak. Ada juga yang secara sambilan memancing ikan.


Cuba tengok gambar di atas. Siapa yang tidak terliur bila terbayangkan sotong bakar. Saiz sotong pula... wuiii.. semangat gila. Jika kena lubuk.. sotong yang dinaikan panjang-panjang belaka. Jika sudah rezeki, siap boleh jual sotong yang ditangkap. Tolak kos bot.. untung pula.

Bagi memberi panduan kepada semua pencandat baru, Abe Din akan menumpukan post-post yang berkisar kepada teknik tangkapan sotong torak. Jika ada kemusykilan.. tanya tau... jangan malu-malu.

Gambar di atas merupakan set yang biasa digunakan bagi memancing sotong torak. Berikut adalah petunjuk bagi rajah di atas:
A-Klip logam (cili)
B-Candat mayat merah putih jenis luminous
C-Candat timah atau batu ladung.

Abe Din syorkan anda menggunakan candat kepala merah berbadan putih jenis luminous. Candat jenis ini memang nampak tidak menarik tetapi sebenarnya power. Jenis biasa tanpa luminous lebih murah tetapi kurang ganas. Candat ini dijual dalam set-set tertentu dan mudah dijumpai di kedai-kedai pancing di Terengganu.

Candat kepala merah yang power

Cara mengikat candat di atas ke tali perambut sama seperti mengikat mata kail apollo. Kalau tak tahu.. minta tolong mereka yang mahir. Anda boleh memasang seberapa banyak candat yang anda mahu jika anda mampu mengendalikan tali kusut dengan baik. Untuk junior, Abe Din cadangkan anda memasang di antara 3 hingga 5 candat.

Jangan pasang candat terlalu dekat antara satu sama lain. Dibimbangi candat bawah dan atas akan tersangkut bersama. Disebabkan sotong torak mempunyai badan yang panjang, perlu diambil kira panjang berkenaan dalam menganggar jarang antara candat. Jika teknik ini tidak dipatuhi, sotong yang terkena candat akan tersangkut pula pada mata candat di bahagian ekornya dan peluang pemancing untuk mendapatkan lebih sotong dalam satu masa akan terjejas.

Candat timah

Candat di atas diletak di bahagian paling bawah tali perambut. Tujuannya untuk memastikan tali perambut sentiasa berada di dalam keadaan tegak, melurus ke bawah. Jika candat di atas tiada, anda boleh gantikan dengan batu ladung yang bersesuaian saiznya. Jika batu ladung digunakan.. tentunya tiada sotong yang sudi menyambar batu ladung berkenaan.  Setakat ini, candat timah berwarna merah merupakan candat yang paling berjaya menambat hati sotong.

Ketika anda menurunkan candat, pastikan anda menurunkan candat timah terlebih dahulu. Turunkan secara perlahan-lahan. Tindakan tergesa-gesa akan menyebabkan tali anda  berpintal. Proses meleraikannya memang menyiksakan batin kerana orang lain sedang sibuk menaikan sotong sambil memprovokasi emosi anda.

Jika sotong memegang candat anda, layan seperti biasa dengan drag kekili dilaras mengikut berat sotong. Jika anda menggunakan serek, rapatkan tali pada tepi bot dan lepas tali secara terkawal jika henjutannya semakin keras dan kuat. Bila tiada tarikan... anda perlu tarik tali  perlahan-lahan. Jangan tarik sotong seperti menarik ikan ... jika bernasib baik anda akan dapat double atau triple..

Selepas sotong pertama dinaikkan. Jangan membuang masa... turunkan candat dengan segera. Sotong torak makan mengikut pergerakan arus. Jika kumpulannya berada di bawah bot anda, semua pemancing akan merasa tarikan sotong. Untuk menaikkan semangat anda, bayangkan sotong berkenaan akan menjadi sotong bakar yang enak apabila anda tiba di daratan nanti..

Jangan terkejut jika sotong jenis lain juga dinaikan. Sotong yang biasa bermain bersama sotong torak termasuklah sotong ketupat dan sotong jarum. Sotong mabang sangat jarang dan hampir tiada kerana sotong ini suka bermain di kawasan berstruktur.

Jika anda pergi mencandat nanti, jangan lupa mengambil gambar yang cantik-cantik dan e-mail kepada Abe Din. Nanti Abe Din post dalam blog.. Beri info sikit..tentu glamour. Akhir kata, selamat memancing.. dan jumpa lagi.
Abe Din
Read more >>

23 April 2011

Memilih Sotong

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung laman sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Pada post kali ini, Abe Din akan memberikan sedikit panduan ketika membeli sotong segar di pasar. Ikan yang segar boleh dilihat pada mata, insang dan sisik sebagai tanda kesegarannya. Bagaimana pula cara untuk memilih sotong segar ?

Sotong besar disusun ketika dijual

Sotong kecil diletak secara berselerak

Ketika anda berada di pasar ikan, biasa dilihat sotong di susun dengan pelbagai cara bagi menarik pelanggan. Sotong memang terkenal sebagai haiwan yang mudah rosak kerana organ dalaman yang terdedah kepada persekitaran luar berbanding ikan yang mempunyai organ di bahagian lebih tersorok. Berdasarkan faktor berkenaan, sotong kerapkali disimpan bersama ketulan ais bagi mengekalkan kesegarannya.

Sotong jualan yang tidak disimpan bersama ais dan terdedah kepada suhu persekitaran yang lebih kering akan memudahkan ia menjadi rosak. Penjual selalu menyembunyikan kecacatan ini dengan menggunakan ais atau air sejuk. Walaupun begitu pembeli masih boleh mencari perbezaan antara sotong lama dan sotong yang baru.

Ada ketikanya harga sotong sangat mahal dan 
tidak munasabah

Harga sotong yang dijual kadang-kadang boleh diistilahkan sebagai mencekik darah terutamanya ketika sotong agak sukar untuk diperolehi. Harga borong dan jual begitu jauh bezanya. Pagi semalam Abe Din sempat membeli sotong dengan harga RM14 / kilo, sotong ketupat saiz sederhana. Mungkin bagi sesetengah individu, harga bukanlah suatu masalah yang besar tetapi sebagai pengguna kita sepatutnya menerima produk yang sepadan dengan harga yang ditawarkan.

Selang beberapa kedai, sebuah lagi kedai ikan menjual sotong jenis yang sama dengan harga  lebih murah iaitu RM12/ kilo. Sotong berkenaan juga lebih segar kerana dicampur ais berbanding kedai pertama yang dilonggok secara terbuka dan hanya disiram air sahaja. Apa yang Abe Din boleh katakan di sini, harga sotong tanpa kawalan boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi mengaut keuntungan yang berlebihan.

Siapa yang tidak terbayangkan keenakan sambal sotong, sotong masak lemak, sotong bakar, sotong goreng tepung, ketupat sotong dan lain-lain lagi masakan yang berasaskan sotong. Jika sotong yang dicari mahal dan tidak segar tentunya kita bukan sahaja  kempunan tetapi sangat kempunan.

Pilih sebelum beli
Beberapa panduan boleh digunakan semasa membeli sotong di pasar.
1-Badan sotong baru lebih bulat dan pejal
2-Matanya bulat dan tidak berkedut
3-Kulit luarnya tidak tertanggal
4-Kulit kedua (putih) tiada lebam merah jika kulit pertama tertanggal.
5-Tiada cairan keluar dari kawasan lehernya
6-Baunya tidak kuat
7-Dakwat tidak keluar
8-Jika badan terluka tiada kesan hitam
9-Tantakelnya mengembang atau sedikit mengeras

Tanda-tanda ini agak sukar untuk diperhatikan jika tuan kedai menyimpan sotong di dalam ais. Sebagai pengguna, kita mempunyai hak untuk memilih. Kuasa beli terletak di tangan kita. Jadilah pengguna yang bijak.

Sekian untuk kali ini. Jumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

21 April 2011

Jom ! Candat


Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pelawat yang sudi melawat blog kecil ini. Abe Din juga sangat berharap agar info yang terdapat di sini dapat disebar luas kepada individu yang memerlukan.

Untuk pengetahuan peminat-peminat hardcore sotong, musim mencandat sotong telah tiba. Kerajaan negeri Terengganu bersama dengan agensi-agensi swasta sedang giat membuat promosi mencandat sotong 2011. Walaupun pelancaran beberapa pesta candat baru bermula, telah ada beberapa trip mencandat sotong dijalankan oleh beberapa bot nelayan.

Masa yang paling sesuai untuk mencandat ialah pada 13 hingga 18 bulan Islam setiap bulan. Sotong dikatakan sangat aktif menyambar candat terutamanya candat jenis "twist" dan "candat mayat". Pada bulan mengambang sotong memang suka bermain-main dengan cahaya terang. Pada tahun ini kedatangan sotong diramalkan awal sebulan iaitu pada Mac berbanding bulan April pada tahun sebelumnya.

Musim ini merupakan lubuk rezeki kepada pengusaha hotel, homestay, resort, tuan punya bot pancing dan pemandu-pemandu pelancong. Dari survey yang Abe Din buat di internet, ada pakej mencandat dan menginap yang ditawarkan sehingga RM248. Ketika musim puncak kedatangan sotong, harga sewaan bot sahaja boleh mencecah hampir seribu ringgit bagi setiap trip dan tidak mustahil lebih.

Bagi mempromosi aktiviti candat ini, kerajaan Terengganu telah bekerjasama dengan Harian Metro bagi menganjurkan Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011. Usaha ini dilihat bukan sahaja membantu promosi kerajaan negeri tetapi ia juga membantu memudahkan pemancing luar yang ingin merasai tarikan sotong di Terengganu. Abe Din juga berharap agar promosi sebegini dapat diperhebatkan pada masa-masa akan datang.

Untuk maklumat semua,  TMFiesta Cabaran Candat Sotong tahun 2010 telah menawarkan hadiah RM277.000 cukup untuk memberikan gambaran tentang sambutan acara mencandat sotong di Terengganu setiap kali musim mencandat tiba. Pada tahun ini, dianggarkan lebih 50 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Marin, Maritim, PDRM, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam bergabung tenaga terbabit dalam Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011 di Pulau Warisan dan Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa mulai 30 April hingga 1 Mei.
Konsep pada tahun ini ialah ‘Meriah Di Laut, Meriah Di Darat’.

Bagi pemancing luar, Abe Din sertakan satu promosi yang mungkin boleh membantu.

Pesta Candat Sotong
Tarikh: 1 April hingga 31 Julai 2011
Tempat: Pulau Redang, Terengganu
Penganjur: Kerajaan Negeri Terengganu
Tel: 09-623 1957
Faks: 09-624 6989


Maklumat kepada pencandat baru
Bagi membantu pencandat baru, Abe Din berikan beberapa tips yang boleh digunakan sebelum dan selepas menyertai trip mencandat sotong.
1-Tetapkan baget mengikut kemampuan anda.
2-Pastikan anda menyediakan peralatan peribadi yang perlu sahaja.
3-Pastikan anda membeli peralatan mencandat yang betul
4-Sediakan ubat tahan mabuk jika anda tidak yakin
5-Sediakan baju tebal bagi menahan kesejukan
6-Jika bot tiada bumbung, sediakan baju hujan
7-Jaket keselamatan sebagai keperluan penting
8-Pergi secara berkumpulan. Seeloknya ada sifu sotong
9-Pastikan harta anda di darat berada dalam keadaan selamat
10-Jangan panik jika berdepan situasi yang tidak diingini
11-Tambah ilmu mencandat sebelum mengikut trip
12-Jika perlu bertanya kepada sifu, rakan tekong. Jangan malu
13-Jika anda mabuk di darat.. elakkan memandu. Rehat dahulu.

Tips lain
1-Pastikan candat disusun dengan selamat di dalam bot
2-Cuba cari bot yang lebih murah dan ada ciri keselamatan
3-Best lagi kalau tekong..seorang yang baik
4-Sentiasa bantu-membantu ketika mencandat
5-Jangan guna tali yang banyak jika pencandat ramai
5-Cuba gunakan candat mayat kepala merah putih jenis flourensent

Jangan Buat
1-Datang lewat.. orang lain kena tunggu pula.
2-Ada beberapa peralatan penting tertinggal.
3-Malas mencandat... duduk saja
4-Sotong tidak dibahagi sama banyak
5-Cakap merapu, cakap besar
6-Melunjur kaki keluar bot
7-Sukaria berlebih-lebih di laut
8-Baling.. letak sotong ikut suka dalam bot
9-Jika guna pancing... hampir kena orang sebelah
10-Kamera jatuh dalam air
11-Muntah dalam bot
12-Menangis ... nak balik (ada ke?)

Jika anda lihat di sepanjang pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut seakan-akan terdapat bandar terapung yang bercahaya, ini adalah petanda bahawa aktiviti mencandat sotong sedang memuncak. Orang kata kalau pergi... mesti dapat. Jangan terkejut jika anda mendengar berita seorang nelayan tempatan membawa pulang sebanyak 80 hingga beratus kilo sotong dalam semalaman sahaja. Perkara seperti ini tidak mustahil berlaku jika kena pada "kandang sotong".

Abe Din berharap pada tahun ini tidak berlaku kes-kes yang tidak diingini seperti tahun sebelumnya. Jika masih ingat pada tahun sebelumnya ada kes bot karam, pemancing lemas, dipanah petir, tertikam todak dan sebagainya. Sama-samalah kita mengingatkan antara satu sama lain. Semoga trip yang anda rancang akan membuahkan hasil yang lumayan.

Ingat..! pastikan ada mempunyai ilmu yang cukup sebelum lautan dalam hendak diduga. Selamat mencandat.
Abe Din.
Read more >>

15 April 2011

Frust Gila....

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din masih lagi ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung terutamanya individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini. Terima kasih juga kepada pengunjung yang sudi menghantar komen pada post-post sebelum ini.

Semalam adalah kali pertama Abe Din dan seorang rakin karib Mat (macam cerita Lat le..pulak) mengikat janji setia untuk melawat port popular di batu tambak bagi membuat servey kehadiran sotong di kawasan berkenaan. Tahun-tahun lepas, masa-masa gini sotong dah datang cari makan kat situ.

Ini sotong Abe Din dapat tahun lepas

Pukul 12 malam... Abe Din gi ambik Mat di rumah dan terus ke lokasi peninjau tanpa membuang masa. Lokasi peninjau kami di pantai berdekatan kuala sungai.. tengok keadaan air. Sampai je situ... wahhh... air memang sesuai. Ombak sikit.. bulan cerah. Memang kegemaran sotong.

Cepat-cepat kami masuk kereta dan pecut ke lokasi mencandat lebih kurang 15 minit dari lokasi peninjau. Sampai je sana.. Mat cepat-cepat pasang umpan.. menyesal lak Abe Din kena kunci kereta dulu... tup..tup... apa dah jadi? Ombak sampai atas kepala. Nak mancing macamana?

Disebabkan kami dah tiba di lokasi... campak juga le candat, walaupun kami tahu peluang kami tipis. Sebenarnya takde peluang langsung nak dapat sotong. Paling menyedihkan tengah dok gewang dalam 3 minit.. hujan pulak mai. Tak sempat nak lari. Redha je la... dah basah. Ombak makin kuat. Kepala kekili Abe Din pula buat hal.. tersangkut dan tercabut, jatuh celah batu. Langsung tak boleh memancing... last sekali... sekali lagi kami berpakat.. balik.

  
 Hujan tiba-tiba.. dah le sotong tak dapat.. basah lagi

Gambar di atas adalah sambal sotong yang rakan pejabat Abe Din buat semasa jamuan sehari sebelum tragedi frust gila. Inilah punca yang menyebabkan Abe Din semangat gila nak cari sotong. Hajat hati nak masak masam gambar tu le... kih kih..

Gambar di bawah pula adalah sejenis spesies sotong... eh bukan.. itu udang atau lebih tepat lagi udang galah yang Abe Din dan kawan Abe Din, Midi berjaya pancing 2 hari sebelum tragedi Frust gila. Anda diminta agar tidak dengar cakap orang dan jangan mengumpat... gambar di bawah bukan gambar Abe Din... dia tu nama Midi (pakar menangkap ketam nipah), kawan Abe Din. Cuma udang tu Abe Din dapat sekor, dia dapat sekor. Ada lagi yang bersaiz sederhana dan kecil... gambar tak ambil... sebab terlalu sibuk memancing.


 

Sehingga post ini ditulis, udang-udang berkenaan masih belum dimasak lagi. Ada dalam peti sejuk kat rumah. Sayang wooo.. susah dapat. Walaupun tak dapat sotong... sekurang-kurangnya Abe Din diberi rezeki udang dua hari lepas. Rasa syukur sangat walaupun ada sikit-sikit lagi rasa frust.. Sekarang tengah berkira-kira bila lagi nak pergi servey port sotong. Semoga survey kali kedua ini akan membuahkan hasil.

Jumpa lagi
Abe Din
Read more >>

13 April 2011

Telur Sotong

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. blogspot.com

Pada kesempatan ini, Abe Din masih lagi ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasihkepada semua pengunjung terutamanya individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini. Terima kasih juga kepada pengunjung yang sudi menghantar komen pada post-post sebelum ini.
 
Sotong sedang mengawan dan bertelur

Pada post kali ini, Abe Din akan berceloteh tentang telur sotong. Mungkin ramai di antara kita adalah peminat telur sotong. Telur sotong tidak bercengkerang dan mempunyai tekstur yang lembut. Telur sotong mengandungi kandungan air yang menyebabkan ia agak lembik pada peringkat awal kematangan telur. Oleh sebab itu telur sotong mudah pecah dan berkecai. 

Pada kebiasaannya, telur sotong berwarna putih susu pada peringkat awal, berbiji-biji putih di peringkat separa matang dan berbiji-biji gelap pada fasa akhir sebelum penetasan berlaku. Ketika fasa akhir, anak sotong yang kecil boleh dilihat bergerak-gerak di dalam biji-biji telur berkenaan. 

Ketika telur sotong berada di dalam tiub badan, bentuk telur akan dikekalkan oleh badan sotong. Bentuk telur sotong adalah berbeza mengikut spesies. Ada yang berbentuk memanjang, bulat, dan bentuk tidak sekata.

Lokasi-lokasi pilihan sotong untuk bertelur

Sotong memillih tempat yang berbeza-beza untuk bertelur mengikut spesies. Sotong Torak, jejarum, ketupat, dan mabang memilih lokasi cetek yang boleh ditembusi oleh cahaya matahari bagi membantu proses penetasan telur. Selalunya sotong jenis ini bertelur secara kumpulan besar dan setempat. Sotong kurita pula bertelur di kawasan tersorok dan biasanya bertelur secara sendiri atau kumpulan yang kecil.

Proses dimulai dengan ritual mengawan yang melibatkan kumpulan sotong. Dari pembacaan Abe Din, sotong bukan jenis haiwan monogami tetapi pemilihan pasangannya adalah rawak dan sukar ditentukan. Beberapa spesies sotong seperti sotong mabang akan berlawan bagi merebut seekor sotong betina. Ada juga sotong bersaiz lebih kecil mengambil kesempatan mengawan dengan sotong betina ketika jantan yang lebih besar sedang mengancam antara satu sama lain.

Pengalaman Abe Din menunjukkan bahawa sotong yang sedang mengawan tidak begitu berminat untuk menyambar jig udang. Sotong yang sedang mengandung telur pula lebih berminat untuk menyambar jig begitu juga sotong yang telah bertelur. Abe Din tidak dapat memastikan adakah sotong yang sedang bertelur mempunyai minat untuk menarik jig.

Ketika proses ritual mengawan, semasa bertelur atau dengan kata lain ketika sotong berkumpul dalam kumpulan yang banyak, berlaku kecederungan untuk sotong mencederakan sesama sendiri terutamanya bagi spesies sotong jarum, cumi-cumi dan torak.

 
Anak sotong yang mula menetas

Sotong torak dan mabang yang begitu popular di Terengganu bertelur dalam kumpulan yang besar. Lokasi telur berkenaan dikenali sebagai "kandang" oleh masyarakat setempat. Jika di kawasan laut lepas terdapat banyak "kandang" sotong yang perlu dicari pemancing. Setiap tahun lokasi "kandang" akan berubah-ubah mengikut lokasi pasir yang terbentuk di tengah laut. Kemahiran tekong mencari "kandang" tentunya akan membuahkan hasil yang lumayan kerana lokasi berkenaan merupakan tempat berkumpulnya beribu-ribu sotong. (Cara-cara mencari "kandang" telah Abe Din bincangkan di dalam post sebelum ini)

Sotong yang mempunyai telur boleh dikenalpasti dengan melihat bahagian abdomennya yang nampak sedikit membengkak dan mengeras. Telur sotong memang sedap... setakat ini belum ada yang palsu macam telur ayam tu...kih.kih. Jika anda mempunyai stok telur sotong yang banyak tentunya pelbagai resepi boleh direka dan dicuba.
 
Telur sotong selalunya agak lembik dan mudah pecah. Keadaan ini akan menyukarkan kita untuk mencuci bahagian dalam badan sotong. Satu cara yang boleh dipraktikan ialah dengan menyimpan sotong di dalam peti sejuk. Selepas dibekukan sedikit, proses mengeluarkan telur, membuang dakwat dan mencuci akan menjadi lebih mudah.

Telur sotong boleh dimasak secara berasingan atau dibiarkan berada di dalam badan sotong. Jangan buang telur sotong... rugi... kerana sotong tidak bertelur sepanjang masa. Kita jarang melihat sotong yang dijual mempunyai telur. Tidak mustahil jika dikatakan sotong bertelur setahun sekali bergantung kepada spesies. 

Tidak lama lagi "si panjang" atau sotong torak akan mula ditangkap di perairan Terengganu. Mungkin ramai yang ingin tahu kenapa pada masa-masa tertentu sahaja sotong spesies ini mengunjungi pantai Timur? Jawapanya hanya satu iaitu untuk mencari makan, mengawan dan BERTELUR.

Semoga berjumpa lagi..
Abe Din
Read more >>

05 April 2011

Sotong BAHAYA

Salam sejahtera dan selamat datang kepada semua pengunjung blog sotonglaut. 

Pada kesempatan ini, Abe Din masih lagi ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih semua pengunjung terutama individu yang sudi menjadi pengikut blog sotonglaut ini. Abe Din berharap semua info yang terdapat di laman ini akan dapat disebar luas dan dikongsi bersama rakan-rakan lain yang tidak berkesempatan melawat blog kecil ini.


Mungkin anda pernah terjumpa atau terbaca keratan yang berkaitan dengan gambar di atas. Sebenarnya ulsaan di atas telah disiarkan oleh sebuah akhbar perdana berkaitan kenyataan  CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) yang mendedahkan bahawa sotong kering tidak selamat dimakan kerana mengandungi logam kadmium.

Bahan kadmium dikatakan digunakan di dalam pembuatan bateri, plastik dan baja fosfat. Presiden CAP juga menyatakan bahawa logam berkenaan juga dikesan di dalam tiram, ikan bilis dan udang. Kadmium juga dikatakan bahan yang boleh mencetuskan kanser, penyakit buah pinggang dan penyakit hati.

Sotong kering yang diuji dikatakan mengandungi 4 kali ganda kadmium melebihi daripada yang dibenarkan. Kajian yang telah dijalankan terhadap sampel sotong kering mendapati 5 sampel mengandungi kadmium manakala 3 lagi sampel mengandungi logam berkenaan secara berlebihan.

Kenyataan akhbar berkenaan telah mengejutkan peminat-peminat sotong kering. Banyak blog dan laman-laman peribadi telah mengulas isu ini. Tidak kurang juga yang membuat link bagi kenyataan akhbar berkenaan. Hampir semua ulasan dan catatan laman berkenaan seolah-oleh memberi signal iaitu memakan sotong kering boleh mengundang bahaya.


Sotong kering memang ramai peminatnya.

Abe Din sememangnya sangat terkejut dengan kenyataan berkenaan. Betul ke..? Carian internet bertajuk "bahaya sotong kering" mudah dicapai kerana tajuk ini banyak diulas dan dijadikan isu perbincangan. Walaupun begitu artikel yang dipaparkan nampak agak berat sebelah.

Perasaan bimbang sekali-sekala datang juga hinggalah Abe Din menjumpai satu lagi ulasan akhbar yang sama yang menyatakan sotong kering masih selamat dimakan dan paras kadmium berada di bawah paras bahaya. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, berkata pihaknya sentiasa  memantau kandungan kadmium dalam produk makanan laut bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna. 
 
Di bawah Peraturan 38, Peraturan-peraturan Makanan 1985 paras kadmium yang dibenarkan di dalam makanan termasuk makanan laut adalah tidak melebihi 1.00 bahagian sejuta (ppm) atau mg/kg. Hasil pemantauan dari Januari hingga Jun 2010 mendapati sebanyak 12 atau (0.86 peratus) daripada 1,372 sampel yang diambil dikesan positif untuk kadmium iaitu kandungan antara 1.1 hingga 10.75 ppm.

Antara sampel yang diuji termasuk udang harimau (dua sampel), sotong kering (dua sampel), ikan bilis (tiga sampel), ikan tuna ( satu sampel), ikan hake (satu sampel), rumpai laut berperisa (dua sampel) dan kepala sotong kering (satu sampel).


Penggunaan kadmium yang berlebihan dalam makanan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 dan mereka yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kadmium adalah sejenis logam berat yang boleh hadir secara semulajadi dalam udara, air dan tanah tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja. Ia tidak terurai dan akan berkumpul mengikut masa.
Kadmium juga terhasil daripada pembakaran bahan buangan dari rumah atau industri, pembakaran arang batu dan minyak selain terhasil daripada asap kenderaan, penghasilan bateri dan cat, industri pemprosesan logam, pengangkutan dan pembuangan sampah. Kesan sampingan kadmium boleh dibahagikan kepada dua iaitu kesan jangka masa pendek di mana seseorang itu akan mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, berpeluh berlebihan, otot menggigil dan keresahan.

Apabila dikaitkan dengan kanser yang memang menjadi igauan terutamanya di kalangan wanita, isu ini mula mencetuskan aura kebimbangannya tersendiri. Tidak mustahil ada di antara mereka yang telah berhenti memakan sotong kering kesan daripada kenyataan CAP ini. 

Seperti yang diketahui umum, sotong kering merupakan makanan popular orang Melayu terutamanya di Kelantan dan Terengganu kerana makanan ini mudah diperolehi. Abe Din cuba mendapatkan sedikit statistik yang cuba mengaitkan kanser dan sotong kering. Statistik yang dijumpai menunjukkan kajian risiko bagi 100,000 orang antara tahun 2002 hingga 2003 mengikut kaum utama, kanser payudara paling biasa di kalangan kaum Cina diikuti oleh kaum India dan Melayu.

Banyak pandangan CAP yang boleh dipertikaian terutama dari segi pengumpulan datanya. Sepatutnya lokasi di Pulau Pinang tidak boleh mewakili keseluruhan data bagi Malaysia. Bahan kajian yang dipilih juga perlu diperhalusi terutama punca bahan, tempoh pembuatan bahan, Bahan campuran, teknik pembuatan begitu juga lokasi dan pembuat.

Kajian berasaskan sampel yang kecil dan lokasi tunggal tidak mematuhi kaedah kajian yang sebenar. Datanya masih boleh dipertikaikan dan dianggap lemah. Kenyataan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan yang dibuat sehari selepas kenyataan CAP berkenaan wajar diambil sebagai satu kenyataan yang lebih ilmiah.

Abe Din tidak berhasrat untuk mempertikaikan usaha CAP tetapi kenyataan mereka telah mengubah pandangan awam terhadap makanan berasaskan sotong kering. Kesan terhadap kenyataan berkenaan perlu diambil perhatian yang serius. Kesan yang paling besar adalah terhadap pengusaha sotong kering komersial. Apabila pandangan terhadap sotong kering terlalu negatif maka sotong mentah dan sotong segar juga akan terkena tempiasnya dan mendapat title yang sama.


 Makan makanan yang halal

Akhir kata, Abe Din berharap blog dan laman-laman yang menyiarkan hanya kenyataan CAP agar memperbetulkan kenyataan berkenaan dengan menyiarkan kenyatan Pengarah Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan. Semoga pembetulan ini akan menghilangkan fobia pengguna terhadap sotong samada yang kering atau segar.


Sehingga berjumpa lagi.. jaga diri.
Abe Din
Read more >>

.

.

Blogger Pancing